31 March, 2008

Bicara Hatiku 1

Semenjak pulang dari rumah ustaz Azwira ahad yang lalu, banyak perkara yang bermain di fikiran saya. Tetapi apa yang mampu saya katakan: saya terharu!
Saya seakan mahu menangis apabila ustaz banyak kali mengingatkan kepada suami saya dengan katanya: “Nanti bawak sakinah sekali”.

Sepanjang perjalanan pulang dari rumah ustaz, saya lebih banyak berdiam di dalam kereta. Memikirkan diri saya dan merenung dengan sedalam-dalamnya tentang diri saya. Air mata saya ingin tumpah tetapi demi menjaga suasana, saya menahan air mata itu. Akhirnya, tangisan saya hanya berirama di dalam hati….

24.03.08

************

Bicara Hatiku 2

Selesai solat isyak, saya termenung di atas sejadah lalu berbisik di dalam hati:

“Ya Allah…andai ini yang perlu ku gadai demi berjuang di landasan dakwah. Kuatkanlah aku ya Allah. Kadangkala aku tidak mampu. Semangat untuk berjuang di dalam agamaMu..tidak pernah mematahkan semangat diri ini…walau jiwa dan kesihatan yang perlu aku pertaruhkan.”

Airmata saya menitis …

Setitis demi setitis…saya menyapu airmata dengan jari-jemari saya.

Saya menarik nafas dalam-dalam. Tiba-tiba saya teringat kata-kata seorang kakak kepada saya: “Dia ada kata…dia geram. Sebab inah masih nak teruskan perjuangan. Dia dah buat macam-macam tapi inah still dapat bertahan”

Saya tersenyum. Saya tidak pernah takut dengan ‘dia’. Saya hanya takut kepada Allah! lakukankanlah apa sahaja, namun untuk saya berundur dari landasan ini tidak sekali. Ingin sahaja saya berkata padanya…dia tersilap orang mungkin..saya bukan lawannya!

Mungkin bagi orang lain saya begitu sombong untuk mengucapkan kata-kata sedemikian. Biarlah apapun yang orang nak kata. Tetapi saya selalu menganggap itu adalah ketegasan dari diri saya. Tegas untuk terus melawan, untuk terus berjuang dan untuk terus bertahan hingga ke nafas saya yang terakhir.

Perjuangan saya dalam menuntut ilmu beserta jiwa dan hati saya yang sudah terikat dengan dakwah, bukanlah seindah dan semudah pada pandangan mata orang lain. Walaupun mungkin pada orang lain saya belum cukup berjuang dalam dakwah, mungkin pada pandangan orang lain saya tidak terlalu kehadapan dalam dakwah, mungkin pada orang lain saya hanya berdakwah untuk orang-orang tertentu dan mungkin pada pandangan orang lain siapalah saya untuk berbicara tentang dakwah? Saya tidak aktif berusrah, saya tidak aktif dalam halaqah dan saya tidak aktif mengikuti apa-apa kumpulan untuk dakwah dan tarbiyah.

Tetapi adakah orang mengetahui bahawa saya hidup antara derita dan bahagia hampir setiap hari? Saya hidup berlawan dengan kesakitan hampir setiap hari? Semuanya kerana saya ingin terus berada di landasan dakwah! Saya perlu tempuhi semua itu kerana dakwah!

Lalu, mereka yang tidak merasai apa yang saya rasai…adakah wajar beranggapan bahawa saya memperlekehkan dakwah? Saya hanya memilih-milih sasaran mad’u saya? Saya hanya ingin mementingkan diri saya? Belajar untuk pengetahuan saya sahaja?

25.03.08

*********************

Bicara Hatiku 3

Majlis Jamuan Bakal Graduan 08 pagi tadi saya hadiri jua walau sebenarnya saya tidak mempunyai hati untuk duduk di dalam majlis itu. Bukan kerana saya tidak suka. Keadaan jiwa dan kesihatan saya amat menuntut saya agar berehat dan menyendiri. Tetapi mana mungkin saya mengecewakan rakan-rakan saya dan mana mungkin saya memperlekehkan sesuatu yang diatur untuk pelajar tahun akhir (siswa/wi jabatan pengajian al-Quran dan al-Sunnah). Saya tidak boleh mementingkan diri saya…Saya ada banyak hati yang perlu dijaga dan saya ada banyak tanggungjawab yang perlu saya laksanakan.

Walau perit…saya perlu mengukir senyuman

Walau sakit…saya perlu hadapi seolah-olah tiada apa-apa demi sebuah kehidupan

Jika terlalu menurutkan apa yang terjadi, saya tidak akan ke mana

Saya akan sentiasa dirundung malang dan bermuram duka

Saya tidak mahu menjadi manusia yang menyesali nasib diri

Kerana saya sentiasa sedar: Tidak Allah menentukan sesuatu di dalam kehidupan manusia itu dengan saja-saja.

Saya lemah…

tetapi Kebergantungan saya kepada Allah lah yang menguatkan saya

Kepercayaan saya pada bantuan Allah jua yang menjadikan saya penuh bersemangat untuk terus tersenyum meniti hari.

Semuanya kerana Allah…semuanya kerana Allah

Tanpa Allah siapalah saya!

30.03.08

****************************

Bicara Hatiku Tiada Penghujung

Bukanlah niat saya meluahkan semua ini, untuk menagih simpati bukan jua untuk meninggi diri. Tetapi saya ingin memberitahu bahawa dakwah fillah dalam hidup saya bukanlah sebuah perjuangan yang biasa walaupun nampaknya saya seperti tidak ada apa-apa dalam dunia dakwah. Keperitan dan kesengsaraan saya untuk memperjuangkan agama Allah s.w.t hanya Allah yang ketahui. Sukar untuk saya menceritakan…payah untuk saya memahamkan. Entah mengapa, Saya tidak pandai menyusun bicara untuk meluahkannya. Walaupun telah banyak kali saya mencuba untuk mengatur kalimah demi kalimah…tetapi akhirnya, bait-bait ayat itu menjadi kaku. Saya tetap buntu!

Saya selalu bermonolog sendirian:

“Sampai bila?”,Tanya saya pada diri.

-“Tak tahulah..mungkin sampai mati”

“Benarkah?”, Tanya saya lagi.

-“kenapa? Kau takut? kau tak yakin dengan Tuhan?”

“Eh..tidak.Bukan macam tu.Cuma kadang-kadang aku rasa aku tidak mampu”

-“Itu Cuma perasaan sahaja…jangan takut Sakinah. Lawan..lawan…kau akan menang! Yakin dengan Allah…yakin dengan bantuan Allah”

“Tapi kenapa? Kenapa mesti aku? Bukankah aku nak bantu agama Allah?”,tanya saya penuh resah.

- “Sudahlah..Sakinah. Kau sendiri tahu jawapannya. Kau tahu! Usah bertanya-tanya. Usah pertikaikan takdir Tuhan. Bukankah kau kata kau ingin berjuang? Perjuangan tidak pernah mengenal erti senang,kan? Renungi diri…muhasabah diri”

“Astaghfirullah….Astaghfirulah…Astaghfirullah. Ampunkan aku, Ya Allah. Kurniakan kekuatan buatku. Moga ini semua adalah penghapus dosaku. Bukti keimanannku kepadaMu. HambaMu merayu..hambaMu mengadu…mohon dipermudahkan…mohon perlindungan”

Saya menangis!

Sedu-sedan memecah suasana!

Ya Allah…

Sabar…sabar…sabar…

Pergolakan yang melanda jiwa…semakin hari semakin mendesah

.............................

19 March, 2008

“Takut ‘Orang Minyak’ ke?”, pertanyaan Aminah yang baru sahaja selesai memberus giginya memeranjatkan saya yang sedang menutup pintu bilik mandi. Azizah terus keluar semula dari bilik mandinya lalu memulakan cerita. Mendengar mereka bercerita saya pun jadi penasaran ingin tahu dan terus keluar semula dari bilik mandi dan tumpang sekaki dengan perbualan mereka.

“Eh…takut lah..macam ni!nak bangun subuh pun takut”

“Macam-macam orang cerita,ada kata mata dia merah. Dia masuk ikut tingkap”

“Tapi hari tu saya dengar dia le tembus tembok..sebab dia ada ilmu”

“Ada kes tu terjadi pada waktu subuh…ish!takut lah nak bangun subuh macam ni”

“Dia ada macam-macam taktik ke?”

“Entahlah..ada kata dia sembunyi bawah katil. Malam baru dia keluar”

“Tapi,saya dengar ada kata dia kat bilik air..tu yang takut nak pergi tandas tu!”

“Risau nyer saya….tak tenteram lah..nak balik kampong!”


mmm…Saya tidak menyangka bahawa petang itu ada mesyuarat tidak terancang di dalam bilik air. Sakit perut saya tahan ketawa. Macam-macam yang mereka ceritakan dan macam-macam yang mereka rekakan taktik untuk menghalang dari diserang orang minyak. Sebenarnya saya sendiri tidak pasti sejauhmana kebenaran cerita-cerita itu, tetapi yang pastinya setiap hari saya mendengar ada sahaja kes-kes baru yang disampaikan oleh kawan-kawan kepada saya. Dari Kolej Ibu Zain, Keris Mas, Hussein On, Aminudin Baki, Ibrahim Ya’kub, Pendeta Za’ba dan terbaru Burhanuddin Helmi. Di mana-mana saya pergi semua tentu menceritakan khabar ini. Semasa dalam kelas tutorial, semasa makan di kafe, semasa balik ke kolej hinggalah petang tadi di dalam bilik air! Dasyat kan?..mmmm…serius jugak ni. Kalau tidak...takkan lah budak-budak ni asyik nak bercerita tentang hal ini. Kata orang: kalau tidak ada angin, masakan pokok boleh bergoyang?. Atas sebab itu, masing-masing takut dengan keselamatan masing-masing! Saya pun naik takut di buatnya! Lalu langkah berjaga-jaga tetap diutamakan setiap kali berada di dalam kolej.


Tiga ‘Qul’


Ketika saya sedang asyik menterjemah untuk penulisan tesis saya, tiba-tiba apa yang diperbualkan di kamar mandi tadi terngiang-ngiang di telinga saya.

“Macam mana nak lindung diri kita,kak?Saya takut lah!”, tanya Azizah dengan soalannya yang sama setiap hari kepada saya. Dalam sehari ini, sudah 3 kali beliau mengajukan soalan tersebut.

“Letakkan kebergantungan kita kepada Allah”, jawab saya seperti biasa. Ringkas dan penuh makna.

“Saya dah letak kebergantungan saya kepada Allah, kak.Tapi takut saya datang jugak.Saya tak boleh lah,kak. Nak Buat macam mana ni?”

“Awak bacalah 3 Qul (Surah Al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah al-Nas)” (Kata-kata saya ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi, Imam Abu Daud dan Imam al-Nasaie. Hadith ini dihukum sahih oleh al-Albani di dalam kitabnya Sahih al-Jami’, No.4406)

“Alah, kak…letih lah saya…asyik baca 3 Qul je…sampai 4 Qul saya baca! Tapi masih takut jugak!”

Saya dan Aminah ketawa.

‘Eh, Nabi ajar 3 Qul…kau baca 4 Qul pulak.pandai-pandai je! Apa qul lagi satu?”,tanya saya geli hati dan kehairanan.

“Qul ya ayyuhal kafirun!(Surah al-Kafirun)”

Heheh…adui…macam-macam lah! Sebenarnya saya berasa kasihan dengan adik-adik yang amat sangat ketakutannnya, hingga nak ke tandas pun terketar-ketar. Saya pun takut juga sebenarnya. Tetapi macam yang selalu saya pesan pada diri saya dan adik-adik:

“Kebergantungan kita dengan Allah mesti mengatasi segalanya. Kita kena yakin jika kita buat sesuatu kerana Allah, tentu Allah akan jaga kita. Bila kita terlalu takut…kita sebenarnya memberi ruang kepada ‘nya’ untuk menguasai diri kita. Kena selalu ingatkan diri: Allah ada!”

“Saya nak buka pintu pun saya selalu kata: ‘Ya Allah hidup dan mati aku kerana Mu,peliharalah aku’.baru saya keluar cepat-cepat pergi tandas”, kata Aminah pula.

“mmm…betul tu. Yakin dengan Allah. Latih diri mengucapkan “Azubillahhi minasy syaitanirrajim”. Nampak apa-apa yang pelik. Ucap ‘Azubillah. Insya Allah, terhapus ilmu jahat orang itu”, kata saya menyakinkan Azizah dan Aminah.

“Dahlah…tak mandi nanti. Tak pasal-pasal bagi tazkirah kat bilik air pulak. Macam tak de tampat lain”, kata saya untuk menamatkan perbualan kami. Kami ketawa lalu bersurai.

Bila masanya Allah diperlukan?

Apabila saya renung-renung kembali dan apabila saya memikirkan sedalam-dalamnya, saya akhirnya sedar bahawa sebenarnya Allah s.w.t nak lihat sejauhmana kita ini berasa Allah itu ada bersama dengan kita dalam setiap keadaan yang kita lakukan. Bila kita diuji dengan perkara-perkara seperti ini, adakah keyakinan kita untuk bergantung harap dan menyerah diri kepada Allah s.w.t itu akan goyah? Adakah kita ini akan menjadi hambaNya yang mengharapkan kuasa lain untuk dijadikan tempat perlindungan selainNya?

Bila terjadi perkara-perkara seperti ini, barulah kita teringat untuk membuka al-Quran. Bila hati kita dirundung ketakutan barulah kita sedar, kita perlu basahkan lidah kita dan lagukan telinga kita dengan kalamullah. Jika tidak…kita lalai untuk membuka al-Quran dan kita sering berkira untuk memperuntukkan masa membaca al-Quran walau sehalaman untuk sehari. Jika tidak…komputer dan laptop kita hanya berirama muzik yang kita suka, menyenangkan hati dan mengkhayalkan pemikiran kita. Jika tidak…mungkin kita tidak kisah adakah dalam sehari itu, kita mengharapkan bantuan dan perlindungan Allah s.w.t atau tidak.

Tetapi seperti biasanya manusia…bila susah baru kelam-kabut nak mengingati Allah. Bila senang…kadang-kadang tidak terasa Allah menjadi pemerhati setia 24 jam kepada kita. Mungkin semasa susah kita sentiasa membaca al-Quran dan berdoa bermacam-macam memohon kepada Allah, tetapi apabila semuanya sudah reda, kita tidak lagi istiqamah dengan amalan kita, lantaran kita beramal pada waktu-waktu yang kita rasa perlu sahaja. mmm…buruknya tingkah kita, jika kita melakukan sedemikian. Jelas, kita hanya memerlukan Allah s.w.t tatkala dirundung malang dan tatkala kita berada di dalam kesusahan. Benarlah firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“dan apabila kamu ditimpa bahaya dilautan, nescaya hilanglah siapa yang kamu seru melainkan DIA. Maka tatkala DIA menyelamatkan kamu ke daratan, kamu berpaling. Dan manusia itu adalah selalu tidak berterima kasih” (Surah al-Isra’:67)

Hikmah

Teringat saya pada ucapan Mariam, seorang adik di Singapura yang jiwanya penuh dengan dakwah fillah:

“Kenapa kan,kak?Mariam rasa kita tak adil dengan Tuhan.Bila kita susah baru kita nak cari Allah.”

Saya tersenyum lalu menjawab:

“Tentu ada hikmahnya. Kalau tidak ada kesusahan. Mungkin kita terlalu asyik dengan dunia kita. Maka Allah beri kesusahan untuk ingatkan pada kita, kita sudah terlalu jauh. Maka kembali lah,sebelum lebih jauh. Cuma masalahnya, sejauhmana kita ini, mengambil hikmah dari setiap apa yang Allah takdirkan untuk kita. Adakah kita akan bertambah jauh..atau kita akan bertambah dekat dengannya? Atau kita hanya sedar pada masa kita susah sahaja? Lalu kita tinggalkan Allah bila kita senang selepas itu? Semuanya terpulang pada kita.”

“Mariam,kalau ada apa-apa terjadi. Mariam selalu kata: “Ya Allah, Kau ambillah apa yang memang menjadi milik-Mu.Aku relakan.Tapi tolonglah Ya Allah, jangan Kau ambil iman yang ada di hatiku. Aku mohon sangat-sangat,Ya Allah.Jangan lenyapkan Iman dan Islam dari diriku”

Seperti biasa saya akan menghadiahkan setiap ucapannya dengan senyuman kagum. Kagum dengan semangatnya..kagum dengan ketegasan jiwanya.Subhanallah!


Moga Kita Sedar


Tidak Allah menentukan segala sesuatu itu dengan saja-saja. Maka rengungilah diri kita, muhasabahlah diri kita. Moga setiap apa yang terjadi di sekeliling kita, menjadikan kita hambaNya yang lebih taqwa kepadanya bukan menjadian kita hambaNya yang tidak pernah kenal diuntung. Moga kita sedar siapalah diri kita ini. Kita tetap hambaNya yang tidak mempunyai apa-apa pun. Lalu atas dasar itu, kebergantungan kita yang tinggi terhadap Allah s.w.t di mana sahaja dan di dalam apa jua keadaan perlu diaplikasikan di dalam diri.

Akhir sekali, saya tutupi penulisan saya pada malam ini dengan antara do’a yang diajarkan oleh Rasulullah s.aw. untuk membenteng diri :

أعوذ بكلماتِ الله التامَّة، من كلِّ شيطانٍ وهامَّة، ومن كل عينٍ لامَّة

“Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna daripada setiap syaitan dan binatang berbisa dan dari setiap mata yang jahat”

Hadith ini diriwayatkan oleh:

1- Al-imam al-Bukhari dalam Sahihnya; Kitab al-Anbiya’, Bab Qauli Allah Ta’ala, No 3371, halaman 274.
2- Al-imam al-Tirmidhi dalam Sunannya; Abwab al-Tibb, Bab Kaifa Ya’uzu al-Sibyan, No 2060, halaman 1858.
3- Al-imam Abu Daud dalam Sunannya; Kitab al-Sunnah, Bab Fi al-Quran, No 4737, halaman 1571.
4- Al-imam Ibn Majah dalam Sunannya; Kitab al-Tibb, Bab Ma Uwwiza Bi al-Nabiyyi s.a.w, No 3525, halaman 2688.
5- Al-imam Ahmad bin Hanbal dalam Musnadnya; Musnad Abdullah Ibn al-Abbas, Juz 1, No 2112.

Hadith ini dihukum sahih oleh al-Albani di dalam kitabnya Sahih Sunan al-Tirmidhi (2060), Sahih Sunan Abi Daud (4737) dan Sahih Sunan Ibn Majah (2857). Sila rujuk laman web: www.dorar .net/hadith.php

Semoga bermanfaat.Wassalam.

07 March, 2008

Bernarlah sangkaan saya..sebuah filem tidak mampu menghidupkan sebuah penulisan yang penuh dengan unsur dakwah.
Menonton keseluruhan filem tersebut di Youtube membuatkan hati saya menjadi gundah-gulana. Rasa kesal dan sedih tiba-tiba menyelinap dalam jiwa ini!
Ya Allah ampunkanlah saya…
Saya tidak sepatutnya melihat apa yang tidak seharusnya saya lihat!

Saya kecewa watak Fahri yang amat saya kagumi kerana ketabahannya dan kekuatan imannya ditonjolkan sebagai lelaki berjiwa lemah!

Saat beliau dipenjarakan kerana difitnah memperkosa Noura, beliau tidak menunjukkan ciri-ciri seorang lelaki tabah dan menerima takdir itu dengan penuh hikmah. Beliau memekik-mekik..menendang-nendang dan tidak boleh khusyuk untuk menunaikan solatnya….saya bertambah pelik apabila seorang banduan yang kelihatannya seperti orang gila yang berada sepenjara dengannya dan sering mentertawakannya ketika solat yang menasihatinya supaya bersabar!

Tidak ada ciri-ciri seorang yang berani menghadapi kehidupan! Beliau lebih mengharapkan nasihat seorang teman untuk meneruskan kehidupannya yang sukar dan yang lebih membuatkan saya tidak percaya, watak fahri di dalam filem itu seperti seorang lelaki yang suka berdua-duaan dengan wanita bukan mahram (Maria), tidak menjaga matanya dan setelah bernikah beliau menjadi seorang suami yang hanya menurut kata isteri!

Watak kedua yang membuat saya kecewa adalah watak Aishah. Di dalam novel Aisyah ditonjolkan sebagai seorang wanita yang lemah-lembut dan menghormati suaminya. Namun begitu, saya tidak melihat adanya ciri-ciri itu di dalam filem tersebut. Kelihatannya Aisyah terlalu ego (kadangkala sombong walaupun dengan suaminya sendiri), kasar, isteri yang hanya mahu diikuti kemahuannya, cemburu tidak bersebab, mencurigai suaminya dan tidak menghormati suaminya.

Jelas kelihatan semua itu pada beberapa adegan di dalam filem tersebut di mana Aisyah meninggikan suaranya pada Fahri, hampir bersangka buruk pada suaminya yang dituduh memperkosa, menyelerakkan barang-barang di dalam bilik Fahri, menghempas gambar keluarga Fahri, kata-katanya yang tidak sopan pada suaminya kerana menyuruh mengucapkan ucapan cinta kepada perempuan yang tidak dicintai oleh suaminya dan paling saya tidak berkenan apabila dia keluar rumah tanpa keizinan suaminya walaupun dihalang oleh suaminya!

Bertambah-tambah mengecewakan saya..apabila adanya adegan cium di dalam filem yang digembar-gemburkan sebagai sebuah filem dakwah itu!!!

Aduuuuhhhh…kesal sungguh saya. Apa dah jadi.????
Sebuah novel yang begitu hebat apabila dihidupkan dalam bentuk filem..jadi tak keruan dibuatnya. Nak menangis pun ada.

Sebenarnya ada banyak perkara yang saya tidak berkenan dalam filem itu…tapi biarlah.Malas nak cakap banyak!

Kalau novel saya dibuat seperti itu…hanya tiga perkataan sahaja akan keluar dari mulut saya: “Saya Tak Redha!!”

Namun saya sendiri tidak pasti, apakah pandangan kang Abik sebagai penulis novel Ayat-ayat cinta terhadap filem tersebut dan sejauhmanakah beliau berperanan dalam penghasilan filem itu.

Saya berharap moga-moga Kang ABIK JUGA TIDAK REDHA!

Nasihat saya pada semua: ‘Tidak perlulah menonton filem itu.”

Ketika sedang berbual-bual di kafe Fakulti Pengajian Islam, tiba-tiba Basirah menggenggam jari-jemari saya dan mengucapkan tahniah. Sebenarnya di dalam perjalanan menuju ke kafe, saya telah memberitahu Syuhada’, Basirah dan Haslinda bahawa saya mendapat Anugerah Pelajar Terbaik Fakulti Pengajian Islam pada Majlis Makan Malam Kolej Ungku Omar tetapi saya tidak menghadiri majlis tersebut lalu kawan saya yang mewakilkan saya naik ke pentas. (Saya sebenarnya tidak tahu bahawa saya akan menerima anugerah pada malam itu tetapi kalau saya tahu pun, saya tidak akan hadir pada majlis makan malam kolej. Maklum-maklum sajalah, tentu acara-acara pentasnya akan membuatkan hati saya terbakar dan menangis. Maka untuk mengelakkan sakit hati dan menjaga diri saya sentiasa mengambil keputusan untuk tidak menghadiri majlis makan malam kolej).

“Kak tahniah, kak. Dapat anugerah cemerlang! Kalau boleh saya nak jadi macam akak dan Linda”, katanya kepada saya dan Linda dengan nada separuh kecewa. Tindakannya yang tiba-tiba itu membuatkan saya terkejut dan tergamam. Saya mengucapkan terima kasih dan menghadiahkan senyuman kepadanya lalu berkata:

“Jadilah..kenapa tak nak jadi?”

“Tulah..tak boleh”, katanya dengan memuncungkan mulutnya. Bibir saya masih mengukirkan senyuman kepadanya dan dengan nada yang perlahan saya menyusun kata kepadanya:

“Tak pe. Jangan risau, kecemerlangan sebenar untuk seorang muslim adalah sejauhmana dia sabar dalam menghadapi sebuah kehidupan. Kat dunia memang kita tak dapat anugerah..tapi di akhirat Insya Allah..ada anugerah yang menanti untuk orang-orang yang sabar”

Linda terus menyokong: “Betul..betul!”

Basirah tersenyum kelat dan mengerutkan dahinya lalu berkata:

“A’ahlah..betul apa yang akak cakap tu. kenapalah saya tak terfikir macam tu?”

“Anugerah cemerlang tidak ada apa-apa sebenarnya. Bagi akak, kecemerlangan itu lebih terserlah jika seseorang itu berusaha untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Begitu juga berusaha untuk menjadikan dirinya lebih baik dari sudut iman dan akhlak. Adakah Kita sudah cukup cemerlang dari sudut itu? Tapi, tidaklah bermakna kita tidak perlu untuk jadi cemerlang dalam pelajaran atau perkara-perkara yang lain. Kerana kecemerlangan dalam perkara itu semua merupakan motivasi untuk kita menghadapi kehidupan dengan lebih berani dan berkeyakinan. Jadi, bila nak cemerlang…pastikan kita juga perlu berusaha untuk cemerlang dunia dan akhirat.”

Basirah pun bersuara: “Tiba-tiba saya rasa dapat tazkirah dari akak!”

Saya dan Linda ketawa..hai Basirah ni…macam-macam lah.

“Yang pentingnya kita kena ingat: manusia yang cemerlang adalah sejauhmana dia itu bersabar dengan setiap ujian yang Allah berikan kepadanya dan manusia itu juga layak dikatakan cemerlang jika dia mampu mengawal emosi diri dan hawa nafsu. Itulah cemerlang”

Basirah dan Linda mengangguk-anggukkan kepala mendengar pandangan saya yang saya berikan kepada mereka dengan harapan untuk membangkitkan semangat mereka terutamanya Basirah.

“Baguslah....saya suka lah..akak cakap lah lagi”

“Eh awak ni…nak tazkirah free pulak”

Kami ketawa. Kemudian saya sambung lagi kata-kata saya:

“Akak cakap macam ni, supaya awak tidak merasa merendah diri. Jadi apabila awak bersama dengan kawan-kawan yang lebih pandai, awak tidak merasa banyak kekurangan. Kita semua sama sebenarnya. Sama-sama belajar dan sama-sama nak perbaiki diri”.

Anugerah, anugerah dan anugerah.



Semenjak semester kedua tahun pertama hinggalah di saat saya hampir berada di garisan penamat untuk Ijazah Sarjanamuda Pengajian Islam, saya tidak pernah sunyi dari mendapat ucapan tahniah kerana mendapat anugerah pelajar cemerlang pada setiap semester.

Alhamdulillah di atas nikmat yang Allah kurniakan ke atas saya.

Airmata saya mengalir…

Jiwa saya bergetar…

Saya memejamkan mata saya lalu dengan nada penuh kehambaan saya ucapkan pada diri saya:

“Hadha Min Fadli Rabbi liyabluwani a ashkuru am akfur”

(“Ini adalah termasuk kurnia Tuhanku untuk mencuba aku apakah aku bersyukur atau mengingkari (nikmatnya)”- surah al-Naml: 40)

Setiap kali saya mendapat anugerah, saya berasa takut sebenarnya. Saya bimbang saya menjadi hamba Allah yang lupa diri dan saya takut jika saya menanam ujub di dalam hati tanpa saya sedari.

Moga ia menjadikan saya hambaNya yang lebih merendah diri, menjadikan saya hambaNya yang sentiasa mengharap redha Ilahi dan menjadikan saya hambaNya yang menyedari bahawa segalanya tidak mungkin saya perolehi tanpa bantuan dan ketentuanNya.
Saya ingin menjadi inspirasi kepada kawan-kawan saya agar mereka lebih berjaya dan saya ingin menjadi pembakar semangat mereka agar mereka terus berusaha berjuang untuk mencapai kecemerlangan!

Segala puji itu hanya layak untuk Allah s.w.t. Allahu Akbar Walillah hil hamd!

06 March, 2008

Petang tadi, sudah agak hendak masuk ke waktu maghrib baru saya melangkahkan kaki keluar dari Perpustakaan Tun Seri Lanang. Ketika berjalan sendirian dengan memikul laptop di bahu, tiba-tiba saya teringatkan suami saya. mmm…kalau Ajid ada di sini, tentu dia datang menjemput saya pulang dan kalau dia ada tentu dia yang angkatkan laptop saya yang saya rasa berat ini (padahal suami saya dah berusaha mencarikan laptop yang tidak terlalu berat agar mudah saya bawa ke mana saya ingini…tapi tu pun bagi saya masih berat juga..alah nak buat macam mana..saya ni lembik sikit lah…hehe).

Ahhh……berangan jelah saya ni. Kalau saya di Singapore lain lah cerita. Memang jika saya keluar sendirian selalunya suami saya meng’sms’ saya dan bertanya,:

“Agak-agak U balik kul brp? Nak I amik? Atau U balik Bedok (rumah mak dan abah suami saya) nanti kita balik sama-sama?”

mmm…tetapi bila di sini, pandai-pandailah saya nak hidup. Saya tidak boleh mengharapkan suami saya atau sesiapa pun. Beg atau buku-buku berat macam manapun saya kena angkat sendiri. Penat macam manapun saya, saya kena jalan kaki juga.

Tentu ada yang tidak mengetahui bahawa saya menjalani kehidupan di sini dengan pergerakan yang amat terbatas. Pada waktu siang, saya tidak boleh berada luar dari kawasan UKM. Saya boleh keluar, itupun jika dengan keizinan suami saya dan itupun setelah beliau mempertimbangkan sebab-sebab mengapa saya perlu keluar dari kawasan UKM. Selepas jam tujuh malam pula, saya tidak boleh berada luar daripada kawasan kolej. Kalau saya perlu juga keluar (contoh ada kuliah ganti) saya mesti berteman daripada saya keluar pintu blok hinggalah saya kembali semula ke blok. Begitulah kehidupan saya di Univerisiti ini. Walaupun suami saya jauh dari saya tidak bermakna hidup saya bebas macam orang yang belum bersuami.

Begitu jugalah ketika tiba waktu untuk pulang ke Singapura. Setakat ini baru sekali sahaja saya menaiki bas pulang ke Singapura (itupun sebab saya terpaksa pulang kerana sakit dan apabila saya turun dari bas suami saya yang menjemput saya). Pada kebiasaanya suami saya lah yang akan datang menjemput saya dan beliau jugalah yang akan menghantar saya pulang semula ke UKM. Saya tidak dibenarkan menaiki bas kerana beliau amat bimbang dengan keselamatan saya. Beliau lebih rela menjemput dan menghantar saya pulang dari membiarkan saya menaiki bas berulang-alik dari Singapura ke UKM atau UKM Ke Singapura. Atas sebab itu walaupun jarak UKM dengan SIngapura hanya 4 jam lebih perjalanannya, saya hanya pulang ke sana apabila cuti semester bermula.

Kehidupan saya ini kadangkala membuat ramai yang mengerutkan dahi kehairanan. Boleh nya saya hidup macam ini. Terperap dalam kawasan university! Ramai kata: “Kalau saya ..saya tak bolehlah..kak! Bosan!” Saya senyum dalam hati kerana telah terbukti saya mampu setelah hampir tiga tahun saya menjalani kehidupan seperti itu. Duduk di dalam kawasan university, hanya keluar dari bilik untuk ke kuliah, tutorial, kafe, library, dan cyber café dan waktu malamnya pula selalu memerap di dalam bilik. Itupun semester lepas dan semester ini saya disuruh belajar memandu oleh suami saya, jadi saya keluar jugalah dari UKM ini, jikalau tidak, terpaksalah saya tunggu suami saya datang sebulan sekali, baru saya dapat menjenguk dunia luar UKM. Heheh.

Melihat kehidupan saya yang seperti itu di sini, ramai yang bertanya kepada saya : “Kat Singapore pun akak macam ni, ke?”

Tidaklah…suami saya bukan jenis yang mengongkong kebebasan saya. Saya boleh keluar berjalan-berjalan dengan kawan-kawan saya dan saya boleh pergi ke mana saya nak pergi dengan syarat beliau tahu tujuan dan di mana tempatnya walaupun pada waktu malam.

Kalau saya ada apa-apa aktiviti pada waktu malam, contohnya ada usrah atau kelas ‘iadah al-Quran, tidak ada masalah untuk suami saya membenarkan saya keluar sendirian (tapi selalunya saya akan dihantar dan dijemput, jarang sekali saya pergi ke mana-mana pada waktu malam sendirian). Hatta semasa saya sedang praktikal di Masjid Darul Ghufran, suami saya tidak punya apa-apa masalah untuk melepaskan saya bermalam di Masjid atau pun menyertai apa-apa program yang menuntut saya untuk stay di sana hingga ke tengah malam.

Yang seronoknya…saya selalu dijemput selepas segala kerja dan aktiviti saya selesai. Kadang-kadang terfikir juga saya ni manja sangat lah. Tapi bila dah berada di sini, mmm…macam hilang tempat bermanja gitu, apa-apa pandai-pandai lah bawa diri. Lebih-lebih lagi, saya di kawal ketat dengan peraturan suami saya.

Pernah ada orang kata pada saya: “Alah..kalau akak keluar pun…bukannya suami akak tahu. Jangan cakap lah dengan dia!”

Ish…Allah tahu tau! Saya tidak boleh mengkhianati suami saya walaupun beliau tidak ada di depan mata saya. Pandai-pandai pula nak mengajar saya supaya tidak mentaati suami saya… anak siapa lah tu… heheh

Sebenarnya…hari ini saya rasa bosan sangat. Tak de mood lah…

Rindu sangat nak berceloteh macam-macam pada suami saya. Maklumlah saya ni banyak cakap dan banyak soal. Ada sahaja perkara yang saya nak timbulkan untuk dibincangkan bersama beliau dan begitu juga ada sahaja persoalan yang hendak saya soalkan pada beliau. Sehinggakan beliau selalu kata:

“Penat Ajid dengar Inah cakap!” heheh

Kalau saya soal macam-macam yang buat dia pening kepala pula, mesti dia kata:

“Adui..soal-soal tak habis-habis….” heheh

Apabila suami saya bercerita pula, tentu saya akan mencelah: “kejap-kejap, Inah ada soalan!”Kemudian suami saya kata: “Wah! Ingat ni kelas tutorial ke?” Adui….sakit perut kami berdua ketawa.

Senang kata, saya dan suami saya selalu bercakap dan sukar hendak berhenti.Tidak tahu di mana nak letak tanda titiknya. Ada sahaja yang nak diceritakan dan digelakkan (maklumlah, kami jarang berjumpa. Bila dah berjumpa, apalagi cerita dan terus bercerita. Call pun tidak. Kalau 5 bulan saya tak balik, 5 bulan lah dia tak call saya. sms pun bila ada benda yang penting-penting sahaja). Tapi saya lagi teruk dari suami saya tau! Kadang-kadang dah nak tidur pun saya masih nak buka pelbagai topik untuk diajak berbincang dan bercerita. Hingga satu hari tu, suami saya tutup mulut saya dengan tangannya sambil berkata:

“Sleep-sleep….penatlah Ajid. Esok kerja pagi ni. Syyyyyh. Diam..diam”

Akhirnya tak tidur juga…kami berdua sambung ketawa lagi … hehehe

Hai…kecoh!

Kerana kekecohan kami mak saya pernah membebel kepada kami berdua:

“Eh Korang dua orang ni dah kawin ke belum ni?Macam budak-budaklah! 2 orang macam sepuluh orang kat rumah ni. belum ada anak. Ada anak nanti, lagi memekak agaknya!”
Apa-apa jelah mak!!!!


Oklah…maaf sangat-sangat kerana hari ini saya menulis merepek sikit ke banyak eh?mmm…Terpulang pada anda untuk menilai lah!

Nampak sangat saya sedang stress. Tak pelah bukannya selalu saya menulis macam ini.
Yang pasti…saya sedang kerinduan..rindu sangat-sangat!

Teringat antara bait kata yang pernah saya hadiahkan pada suami saya semasa saya berada di semester pertama tahun satu:

Aku sendiri sedang berjuang
Antara cita-cita dan perasaan
Antara harapan dan impian
Menahan sakit rindu yang mendatang
Mengumpul sabar yang sering berkurang
Mengharap redha pada sebuah perpisahan dan perjuangan.


mmm…Saya tersenyum pahit. ’Menahan sakit rindu yang mendatang’? Sungguh…ianya bukan mudah!!.

Penulisan ini dihasilkan dengan penuh rasa rindu di jiwa pada Selasa 04.03.08 selepas pulang daripada Perpustakaan Tun Seri Lanang,UKM.

05 March, 2008

Bismillah

Terlalu banyak perkara yang bermain di fikiran saya
Terlalu banyak rasa yang tersimpan di dalam jiwa ini
Entah mengapa sukar untuk diluahkan
lama benar saya menghadap komputer
menaip satu dua tiga patah perkataan
kemudian saya mendeletenya kembali
itulah yang berlaku 2 hari ini
Semalam...
ketika berjalan sendirian pulang dari Perpustakaan
jiwa saya terasa sepi
jiwa saya terasa sunyi
saya merindui orang yang jauh di mata
saya merindui orang yang halal untuk saya rindui
Apa yang saya tahu kini
Ombak rindu semakin bergelora di lautan hati...

03 March, 2008

Email seorang adik yang baru saya kenali beberapa minggu yang lalu. Apabila saya mengunjungi blognya beliau menjadikan email ini sebagai salah satu post nya.
Saya termenung seketika....
Apa yang saya mampu katakan: "Beliau istimewa"
Moga ukhwah yang terjalin demi dakwah Islamiah ini mendapat rahmat dari Allah s.w.t.
Terima kasih adik Saadiah.
*********************************************


Date: Tue, 19 Feb 2008 03:11:04 -0800 (PST)
From: "sahabat smuk"
Subject: salam ukhuwah dari saadiah
To: alqamariah@yahoo.com

assalamualaikum...warahmatullah...

alhamdullilah, syukur kerana Allah setiasa memberikan nikmatnya pada diri kita,

dan nikmat yang paling indah adalah teman2 yang sentisa membuatkan kita lebih mengingati Illahi..

membaca tulisan kak sakinah membuat saya makin menghitung diri,

melihat semula diri, mencari nilai diri disisi Illahi.. sejak di ukm ni,

saya berusaha menjadi orang yang lebih realistik.. pikirkan rasional tiap tindakan yang dibuat.

Alhamdulillah juga kerana di sinilah saya menerima sentuhan tarbiah

yang banyak memberi kekuatan untuk merubah diri kepada yang lebih baik..

saya belajar menjadi insan dewasa yang mengerti tujuan hidup,

dan memahami bagaimana jalan yang harus saya lalui..

berada disini kadang membuatkan saya terlalu banyak berfikir,

mencari nilai intelek yang sepatutnya bagi student di gedung ilmu…

adakalanya saya keliru, saya merasakan tahap intelektual di sekolah lebih tinggi..

saya memerhati di teman2 di fakulti, kolej, bersikap tidak seperti orang yang terpelajar…

.., dan banyak perkara yang membuatkan saya merasakan tidak betah untuk menghadapinya..

saya keliru dengan nilaian ini… tapi, mungkin inilah hakikat yang perlu kita hadapi...

bila nak dikatakan tentang kecelaruan pemikiran mahasiswa sekarang memang membingungkan...

apa yang termampu saya cuba pertahankan nilai diri ini.. berada di pusat komunikasi, fssk,

actually sangat mencabar, saya x pernah terfikir hingga ke tahap ini..

banyak perkara yang kadang2 tidak mencerminkan ilmu yang dipelajari…

dengan bi’ah yang terlalu bebas, saya cuba bertahan, tegas dengan pendirian..

Cuma ada tikanya saya bimbang diri terleka dengan dunia yang tak abis dikejar…

andai diberi pilihan, mahu saja saya pergi belajar di pondok2…

perbaiki kembali kekurangan dan kelemahan diri ini…

namun saya pasti Allah tetapkan saya disini ada hikmahnya,..

sebab itulah saya masih punya kekuatan untuk meniti hari2 disini,..

biarpun rindu pada masa lalu, pada teman2 begitu menggamit hati…

seronok dapat kenal dengan akak,, membuatkan saya lebih belajar untuk memperbaiki diri..

dan melakukan yang sebaiknya sebagai seorang muslimah.. cukuplah dalam hidup ini dengan redho Allah,

doakan saya agar menjadi insan yang dicintai dan mencintai Allah…

syukran atas sesuatu yang saya dapat dari akak…

insyaAllah moga Allah memberi kekuatan, rahmat, kasih dan nikmat kesihatan pada k.sakinah..

InsyaAllah, Allah pasti mengangkat darjat orang yang diuji dan tetap dengan keimanan…jazakillah ukhti…