27 February, 2008

Mungkin sesiapa yang sering melawat ke blog ini ataupun baru pertama kali singgah ke blog ini perasan dengan name card ruqyah consulting yang menghiasi ruang sebelah kirinya. Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa pula saya meletakkan name card tersebut di blog saya. Jika nak tahu, itu sebenarnya adalah name card suami saya.

Untuk pengetahuan semua, beliau sebenarnya merupakan seorang perawat untuk mereka yang mengalami masalah gangguan jin dan sihir (Kalau di Malaysia, senang kata macam Ustaz Haron Din di Darul Syifa’, Bangi tu). Walaupun hanya melakukan tugas ini sebagai kerja part-time nya iaitu pada sebelah malam (untuk hari-hari biasa) dan pada hari Sabtu dan Ahad (untuk hujung minggu), tidak salah saya katakan bahawa beliau di antara perawat perubatan Islam yang agak popular di Singapura.

Pesakitnya terdiri di kalangan kanak-kanak hinggalah kepada orang-orang tua, daripada orang yang fakir-miskin hinggalah orang yang kaya-raya dan begitu juga terdiri di kalangan orang yang buta Islam (tidak tahu apa-apa tentang Islam sama ada mereka adalah orang Islam yang tidak mempraktikkan Islam atau non Muslim) hinggalah kepada orang yang celik Islam (selalunya mereka ini terdiri di kalangan orang awam (Islam) yang mengambil berat tentang agama dan mempraktikkan Islam dan juga di kalangan ustaz-ustaz).

Bayaran?!

Suami saya adalah seorang yang telah berpengalaman dalam perubatan ini lebih daripada lima tahun. Semenjak kami belum berumahtangga lagi, beliau telah memulakan khidmatnya sebagai seorang perawat kepada masyarakat Islam (kadangkala bukan Islam) yang memerlukan. Suatu perkara yang menarik dan mungkin disukai ramai, beliau tidak menetapkan sebarang bayaran tertentu untuk mendapatkan konsultasi atau rawatan daripadanya.

Ini kerana ada juga di kalangan mereka yang sakit adalah orang yang susah. Beliau tidak mahu kerana orang yang susah ini tidak berduit mereka membiarkan diri mereka sakit tanpa mendapatkan sebarang rawatan. Sekurang-kurangnya mereka masih ada peluang untuk berusaha.

Oleh itu, semuanya bergantung kepada kemampuan pesakit. Terus-terang saya katakan, kadangkala beliau tidak mendapat satu sen pun, setelah berpenat-lelah merawat orang selama berjam-jam. Tetapi beliau tetap meneruskan kerjanya dalam bidang ini, tanpa memikirkan tentang soal bayaran. Semoga Allah memurahkan rezekinya. Allahumma Amin.

Bukan Tugas Mudah

Tugas seorang perawat bukanlah tugas yang mudah. Berperang dengan jin dan syaitan, berentap dengan bomoh-bomoh handalan dan menghapuskan bahan-bahan sihir mereka adalah tugas yang perlu untuk dilaksanakan dalam bidang ini. Walaupun ianya kelihatan mengerikan dan amat membahayakan tetapi keyakinan yang tinggi kepada Allah s.w.t tanpa mengharapkan bantuan daripada selainNya menjadi kunci kejayaan seorang perawat.

Tidak dinafikan memang ia tugas yang agak merbahaya. Atas sebab itu ramai orang tidak mahu mendekati atau berjinak-jinak dengan tugas ini. Tetapi suami saya(seperti kebiasaannya) sering mempunyai pandangan yang berbeza daripada orang lain. Beliau pernah mengatakan kepada saya dengan panjang lebar:

“Kalau bukan kita yang mengambil tanggungjawab ini siapa lagi? Ramai masyarakat Islam di Singapore yang sakit gangguan dan disihir pergi ke bomoh-bomoh dan bomoh-bomoh ini selalunya menggunakan kaedah yang kebanyakannya mensyirikkan Allah s.w.t (seperti menggunakan jin sebagai perantara, memohon bantuan selain Allah s.w.t dan menggunakan tangkal sebagai pendinding) Kita kena selamatkan masyarakat Islam kita, selamatkan akidah mereka. Mereka sakit tetapi tidak tahu nak berubat dengan siapa. Nak cari ustaz-ustaz, ramai ustaz-ustaz yang lari dan tidak mahu tahu tentang benda-benda ini sebab takut kena hentam balik (maksudnya takut kalau membantu orang yang kena sihir atau gangguan akan turut disihir dan diganggu juga). Kalau kita takut siapa yang nak selamatkan mereka. Sebab nak baik mereka sanggup habiskan beribu-ribu ringgit jumpa bomoh, macam-macam bomoh mereka pergi. Jumpa bomoh Malaysia dan sampai pergi ke Indonesia (bukan itu sahaja ada juga yang berjumpa bomoh siam, India, sami Budha dan lain-lain). Sedangkan Islam ada caranya untuk merawat sakit gangguan dan disihir. Kita kena tunjukkan pada masyarakat Islam, sebarkan dan beritahu mereka apa yang betul dan apa yang tidak boleh ketika berubat dalam perkara ini. Anggap ini juga satu dakwah. Kalau tak kita yang tolong mereka siapa lagi?”

Ya, pada saya memang ada benarnya kata-kata beliau itu. Kalau tidak kita yang menolong siapa lagi. Ini juga salah satu jalan dakwah iaitu menyelamatkan akidah masyarakat Islam, menyedarkan mereka tentang al-Quran yang diturunkan Allah s.w.t sebagai syifa’ (penyembuh) dan mengajar mereka cara ruqyah (jampi) yang diajarkan dalam Islam.

Apa yang saya lihat, suami saya bukan sahaja seorang perawat semata tetapi beliau juga merupakan seorang pendakwah yang menyampaikan mesej Islam dengan cara yang paling unik iaitu melalui rawatan jampi dengan menggunakan al-Quran dan al-Hadith yang dilakukannya.

Untuk menjadi seorang perawat kita bukan sahaja perlu berani dan berkemahiran tetapi kita juga perlu mampu membaca al-Quran dengan bertajwid dan mempunyai ilmu yang banyak tentang Islam. Kerana dalam sesi rawatan kita bukan sahaja bercerita tentang sakit tetapi kita juga berbicara tentang halal dan haram dalam Islam. Maka tidak hairanlah pada masa sesi rawatan itu, ada sahaja persoalan-persoalan agama yang timbul. Ini boleh tak.. itu boleh tak? Atas sebab itu saya katakan ia bukanlah satu tugas yang mudah.Ianya terlalu mencabar!

Masa yang terkorban

Kadangkala untuk merawat seorang sahaja pesakit ianya memerlukan masa berjam-jam lamanya bagi menghapuskan sihir atau mengeluarkan jin di badannya. Pernah kami berpengalaman merawat seorang pesakit (eh…saya tidak rawat orang,tau! saya cuma tengok orang je…hehe. Saya selalunya menemani suami saya ke rumah pesakit-pesakitnya dan di situlah saya belajar kaedah rawatan untuk pesakit yang disihir dan diganggu jin) bermula dari selepas solat Maghrib hinggalah hendak masuk ke waktu subuh. Hinggakan pada waktu itu kerana terlalu keletihan dan mengantuk yang amat sangat saya tidur di sofa rumah pesakit tersebut. Waktu itu saya sudah tidak kira malu lagi lah sebab terlalu mengantuk sangat.

Kebiasaannya keadaan akan menjadi lebih lambat jika pesakit sudah meracau atau menunjukkan tindak balasnya (seperti contoh bersilat, memekik-mekik, bertindak ganas). Pada masa ini, sesi dialog selalunya berlaku antara perawat dan jin yang masuk (mengawal) badan pesakit. Di sinilah yang lambatnya, nak suruh jin supaya keluar dari tubuh badan pesakit dan tidak mengganggu pesakit lagi bukan mudah.

Kadang-kadang kena herdik, kena marah, kena cubit dan kena pukul, baru jin bersetuju nak tinggalkan pesakit (tapi itu pun kadang-kadang jin berbohong. Bila dia telah keluar dari badan pesakit, kemudian dia masuk semula. Saja nak main-main).

Untuk seorang perawat, masa lebih banyak dihabiskan untuk merawat orang yang sakit. Setiap hari ada sahaja orang yang sakit untuk dirawat. Kadangkala tidak tahu mana satu untuk dibantu dahulu. Banyak sangat dan semua sedang kesakitan. Maka atas sebab ini, suami saya menggunakan cara yang dahulu-didahulukan, kecuali pada emergency case (iaitu jika pesakit sudah tidak boleh bertahan dan sakit yang terlalu kritikal dan memerlukan rawatan segera).

Waktu malam dan waktu hujung minggu lebih banyak dihabiskan untuk ke rumah pesakitnya. Dengan itu, banyak masa untuk bersantai terpaksa dikorbankan. Pada awalnya memang saya agak kurang senang dengan kerja suami saya yang kurang meluangkan masa untuk saya, tetapi lama-kelamaan saya mengerti bahawa suami saya bukan milik saya seorang. Ramai di antara masyarakat Islam yang memerlukan bantuannya dan memandangkan mereka yang mahir dalam rawatan ruqyah di Singapura boleh dibilang dengan jari, maka beliau yang berkemahiran dalam hal ini perlu membantu.


Ustaz Malam


Saya tersenyum apabila teringatkan jawapan saya apabila kawan-kawan saya bertanya kepada saya:

“Suami akak ustaz, ye? Ustaz ajar apa?”

Selalunya jawapan yang saya berikan:

”A’ah..suami akak ustaz malam.hehehe”

Mendengar jawapan saya selalunya mereka akan terpinga-pinga: “Ustaz malam?!”

Lalu saya menjelaskan:

“Bukanlah, dia bukan ustaz. Dia kerja bahagian komputer. Tapi waktu malam dia rawat orang sakit kena sihir dan gangguan. Pastu, nanti ada pesakit-pesakit panggil dia ustaz. Sebab itu, akak panggil dia ustaz malam.heheh”

Tetapi suami saya, apabila orang menggelarkan dirinya ustaz, dia akan cepat-cepat memperbetulkan dan menerangkan tentang dirinya dengan penuh rendah diri:

“Saya bukan ustaz. Saya kerja bahagian komputer. Tapi, isteri saya yang ustazah”

Alamak! Dia kata saya pulak…nak tak nak saya senyum jelah.hehe

Saya Banyak Belajar

Jika dahulu saya tidak percaya bahawa sihir-menyihir, dirasuk, diganggu jin dan diwariskan saka masih wujud pada zaman moden, tetapi sekarang saya percaya.

Jika dahulu saya tidak dapat membayangkan betapa deritanya orang yang disihir dan terkena gangguan jin, kini saya dapat merasai dan amat memahami.

Jika dahulu saya tidak tahu langsung tentang ruqyah dan merawat orang sakit gangguan dan disihir, kini saya tahu dan boleh melakukannya (tetapi pada keadaan yang memang terdesak sahaja)

Sungguh…banyak perkara yang saya pelajari dari suami saya. Saya bukan setakat belajar mengenai kaedah rawatan jampi dengan al-Quran dan al-Hadith tetapi saya juga belajar untuk mengambil hikmah dan pengajaran daripada setiap kes yang ditangani oleh suami saya.

Apapun, sebenarnya di samping menceritakan tugas suami saya sebagai seorang perawat separuh masa, apa yang hendak saya sampaikan di sini ialah mengetahui kaedah atau rawatan ruqyah (jampi) menggunakan al-Quran dan al-Hadith adalah penting kerana dengannya kita mampu menyelamatkan masyarakat Islam daripada terjerumus ke dalam kaedah perubatan yang mensyirikkan Allah s.w.t dan jika kita, keluarga kita dan rakan-rakan kita yang ditimpa sakit disihir dan diganggu jin sekurang-kurangnya kita mengetahui cara rawatan yang bagaimana yang perlu kita dan mereka cari dan gunakan untuk mengatasi sakit tersebut.

Akhir sekali, untuk mengetahui tentang rawatan ini dengan lebih lanjut, anda boleh melayari laman web berikut:

http://ruqyah.tripod.com/alibaadurrahman/

http://ruqyah-online.blosgspot.com

Baiklah hingga di sini dahulu, jika di izinkan Allah s.w.t kita bertemu lagi di post yang lain. Wassalam.

0 Comments:

Post a Comment