17 February, 2008

Tangan saya mencapai buku kecil yang amat saya gemari isinya “Doa dan Hiburan untuk orang sakit dan terkena musibah menurut al-Quran dan al-Sunnah” oleh Yazid bin Abdul Qadir Jawas.

Hati saya tenang…saya memejamkan mata saya setelah terbaca bait kata dari Ibn al-Qayyim rahimahullah. Katanya:

“Kalau tidak kerana dugaan dan musibah dunia, tentu sahaja manusia mempunyai penyakit sombong, ‘ujub (bangga diri) dan kekerasaan hati. Padahal sifat-sifat ini merupakan kehancuran untuk manusia sama ada di dunia dan akhirat. Di antara rahmat Allah, kadang-kadang manusia tertimpa musibah yang menjadi pelindung baginya dari penyakit-penyakit hati dan menjaga kebersihan ‘ubudiyyahnya. Maha suci Allah yang merahmati manusia dengan musibah dan ujian”

Ya…maha suci Allah yang menjadikan setiap dugaan itu sentiasa datang silih berganti dalam hidup seseorang hamba.

Dahulu saya sering mempersoalkan: Kenapa dan untuk apa? Hingga satu ketika saya hampir berputus asa untuk meneruskan perjuangan dalam menentang setiap apa yang mendatang kerana dugaan itu sentiasa datang dan pergi tanpa sedikit pun memberikan saya peluang untuk menarik nafas lega!

Dugaan yang Allah takdirkan untuk hidup ini tentu sahaja bukan yang biasa-biasa.
Andai diri ini tidak sekuat mana kemungkinan dugaan itu mampu merobohkan tembok keyakinan pada kekuasaan Allah (Nauzubillah min zalik!)

Tetapi mana mungkin untuk saya menafikan bahawa Allah maha bijaksana dan maha berkuasa di atas segala sesuatu. Tidak dijadikan sesuatu itu dengan saja-saja, pastinya terselit seribu hikmah yang berbaur dengan pelbagai rahmat. Lalu saya membisikkan kata-kata ini dalam diri saya:

“Sehebat mana dugaan itu datang, maka sehebat itu juga aku perlu bangun untuk menghadapinya!”

Maka untuk mereka yang manatap ruangan blog ini:

Memang benar, dugaan yang datang tentu sahaja membuatkan bukan sahaja mata tetapi hati kita menangis.

Namun jangan lupa bahawa dugaan itu adalah sebagai penghapus dosa, begitu juga sebagai bukti sejauhmana kita mengaku kita manusia yang beriman denganNya.
Kita diuji dan terus diuji…bila kita bersabar dosa-dosa pun berguguran dari dalam diri.

Hingga pada satu saat mungkin diri kita sudah bersih dari segala dosa.
Dan pada ketika itu juga mungkin kita dijemput pulang menghadap yang Esa dengan diri yang suci dari dosa.

Bukankah disitu kita layak untuk dinobatkan sebagai manusia yang berjaya merangkul ‘Anugerah Kecemerlangan’ yang tiada tandingannya jika hendak dibandingkan dengan anugerah kecemerlangan yang kita terima di dunia?

Sebuah hadith berbunyi:

حدّثني عبدُ الله بن محمدٍ حدثَنا عبدُ الملكِ بن عمرو حدثنا زُهيرُ بن محمدٍ عن محمدِ بن عمرو بن حَلْحَلةَ عن عطاءٍ بن يسار عن أبي سعيدٍ الخُدريِّ وعن أبي هريرةَ عن النبيِّ صلى الله عليه وسلم قال: ما يُصيبُ المسلمَ من نَصبٍ ولا وَصَبٍ ولا همّ ولاَحَزَن ولا أذى ولا غَمّ ـ حتى الشَّوكةِ يُشاكها ـ إلا كفَّرَ اللهُ بها من خَطاياه

Maksudnya: “Tidaklah seorang Muslim ditimpa keletihan, penyakit, kesusahan, kesedihan, gangguan, kegundah-gulanaan –hingga duri yang menusuknya sekalipun- melainkan Allah akan menghapuskan sebahagian daripada dosa-dosanya”
(Sahih al-Bukhari, Kitab al-Mardha, Bab Ma Jaa Fi kaffarah al-Maradhi)

Lalu menanamkan kesabaran di dalam diri saat menempuhi apa jua dugaan yang mendatang adalah yang terbaik. Percayalah, walau sabar itu pahit sebenarnya tetapi tetap menghasilkan buah yang manis rasanya.

Moga di situ ada rahmah ..

Moga di situ ada barakah…

Moga di situ…menjadikan diri ini dan kita semua hamba yang dahinya sentiasa rindu untuk sujud kepada Allah.

0 Comments:

Post a Comment