02 February, 2008

Saya tersenyum bila mengingatkan bait kata tersebut. Sebenarnya saya sendiri tidak menyangka kata-kata itu boleh terkeluar dari mulut saya. Ia saya ucapkan tanpa disengajakan kepada seorang adik yang sedih untuk duduk jauh dari emaknya. Kami sama-sama ketawa dengan bait ayat yang saya ucapkan itu.

“Itu dia..madah Islami kak Sakinah” kata Syuhada’ sambil tersenyum kepada saya.

“Hah!nak sindir aku lah tu! yelah..akak sorang je faham apa yang akak cakap tadi. Eh mesti kalau orang dengar dia pening,kan? Apa benda ‘meninggalkan tak bererti meninggalkan’.Pelik je..bunyi ayat tu”, kata saya sambil mengerutkan dahi.

“Tulah..dahlah perkataan ‘meninggalkan’ ada dua. Susah nak faham”

Kami ketawa dengan tertahan-tahan dek memikirkan ayat yang pelik tersebut. Maklumlah, ketika itu kami berbual di kawasan bilik pensyarah Jabatan Pengajian al-Quran dan Al-sunnah, jadi mana mungkin kami akan mengeluarkan tawa yang kuat. Lain lah kalau di dalam bilik sendiri.hehe.

Bila saya fikir-fikir semula, sebenarnya kata-kata itu mengandungi maksud yang mendalam. Jauh di sudut hati ini amat mengerti betapa meninggalkan orang dan apa yang kita sayang sememangnya amat menyakitkan. Tetapi diri saya yang sering bersikap seperti tidak ada apa-apa yang berlaku kepada diri saya, amat sukar untuk dimengertikan oleh orang lain, adakah saya suka atau duka?

Kalau ikutkan hati, saya tidak mahu meninggalkan mak dan abah saya di kota Singa. Kalau ikutkan hati juga saya lebih-lebih lagi tidak mahu meninggalkan suami saya yang terlalu saya hormati dan kasihi menjalani kehidupan seperti orang bujang di kota metropolitan itu. Bukan itu sahaja, malah banyak perkara yang sukar untuk saya lepaskan dan tinggalkan semata-mata ingin meneruskan perjuangan dalam menuntut ilmu.

Berat..terlalu berat untuk saya. Namun dengan hati yang berat itu juga saya meninggalkan semuanya. Saya selalu meyakinkan diri saya bahawa meninggalkan mereka demi menimba ilmu Allah tidak akan mengecewakan saya. Atas dasar itu perpisahan ini tidak mengundang kegelisahan. Saya bersyukur kerana meninggalkan mereka telah mendidik jiwa saya untuk lebih mujahadah, untuk lebih berdiri di atas kaki sendiri, untuk lebih menjadi anak perempuan dan seorang isteri yang kesabaran dan kekuatannya begitu tinggi dan yang paling bererti buat saya meninggalkan mereka telah mendidik saya untuk lebih bergantung harap hanya kepada Allah s.w.t pada setiap masa dan ketika. Allahu Akbar Walillah hil hamd!

Saya suka duduk jauh daripada mak, abah dan juga suami bukan bermakna saya suka meninggalkan mereka. Ketika berada jauh daripada mereka, ia telah mengajar saya untuk lebih menghargai apabila berdekatan dan meninggalkan mereka juga mengajar saya betapa indahnya sebuah kasih sayang. Selalunya fitrah manusia, bila yang disayangi berada di hadapan mata jarang sekali untuk menghargai tetapi apabila sudah jauh dari pandangan, baru mahu menyedari betapa yang disayangi itu amat berharga sekali. Benarlah, makin jauh makin sayang.

Saya selalu merasa bahawa dengan meninggalkan mereka saya telah mengabaikan tanggungjawab saya sebagai anak dan isteri. Perasaan itu seringkali membuatkan hati ini terasa sayu lalu air mata jua menjadi pengubat kesayuan. Untuk menguatkan semangat saya yang dihambat dengan perasaan ini, saya mengatakan kepada diri saya bahawa ‘selagi redha dan doa mereka bersama saya dalam perjuangan ini, itu bermakna mereka tidak merasakan saya meninggalkan tanggungjawab saya’. Meninggalkan tidak bererti meninggalkan. Meninggalkan mereka membuatkan saya tidak meninggalkan mereka di dalam doa saya. Tanggungjawab saya di kejauhan ini adalah mendoakan mereka,mendoakan mereka dan terus mendoakan mereka.

Moga perjuangan saya menuntut ilmu Allah ini mendidik saya menjadi anak solehah yang lebih mengenang budi mak dan abah, lebih membalas bakti mereka, lebih menghormati mereka dan lebih mengingati mereka di dalam doa saya. Moga perjuangan ini juga mendidik saya menjadi isteri solehah yang lebih menyayangi, lebih merendah diri, lebih menjunjung budi dan lebih berbakti kepada insan bernama suami.

Saya sentiasa sedar walau saya meninggalkan mereka, tidak bermakna saya meninggalkan mereka. Ini kerana saya membawa nama baik keluarga dan juga suami di mana sahaja kaki saya memijak. Maka tanggungjawab saya adalah menjaga maruah diri, suami dan keluarga walau beribu batu saya berada daripada mereka.

Di Kejauhan ini ku sulam rindu
Menanti hari untuk bertemu
Walau ku tahu pahit bagai hempedu
Ku lalui jua demi Ilmu.

0 Comments:

Post a Comment