05 February, 2008

Oleh Sakinah Saptu

PENGENALAN

Kitab Muntakhab al-Kalam Fi Tafsir al-Ahlam yang dinisbahkan kepada Abu Bakar Muhammad Ibn Sirin mengandungi 59 bab yang membincangkan mengenai ta’bir mimpi sama ada mimpi itu adalah mimpi yang buruk ataupun mimpi yang baik. Ia disusun bab demi bab dimulai dengan bab seorang hamba melihat dirinya di tangan Allah s.w.t di dalam tidurnya dan di akhiri dengan bab menyebut kisah-kisah mimpi sebahagian orang-orang saleh r.a.

Kitab ini dimulai dengan mukaddimah kitab kemudian diikuti dengan khutbah kitab. Perkara-perkara yang dibahaskan di dalam mukaddimah kitab ialah:

1- Ta’bir mimpi yang pelbagai
2- Kaedah umum dalam menta’bir mimpi
2.1 Adab ta’bir mimpi
2.2 Waktu dalam menta’bir mimpi
2.3 Mimpi yang boleh dipercayai
2.4 Beberapa prinsip penta’bir dalam menta’bir mimpi
2.5 Mentafsir mimpi berdasarkan watak, waktu dan kebiasaan
3- Kedudukan roh dan jiwa dalam mimpi
4- Mentafsir mimpi dengan Nama, makna dan peribahasa yang sering dipakai
5- Mimpi yang paling benar
6- Perkara yang perlu dilakukan ketika bermimpi sesuatu yang tidak disukai (mimpi buruk)

Manakala di dalam khutbah kitab pula ia membincangkan mengenai perkara-perkara berikut:
1- Hakikat mimpi dalam ilmu syariat
2- Hal-hal yang diperlukan oleh orang yang bermimpi untuk membuktikan kebenaran mimpinya
3- Dua jenis mimpi yang hak dan yang batil
4- Adab penta’bir mimpi

Abd al-Rahman al-Juzu menyatakan di dalam kitab tahqiqnya bahawa manuskrip kitab ini terdapat di Dar-al-Kutub, Mesir dan Iskandariah. Kitab ini juga telah di cetak di Bulaq pada tahun 1284H dan pada tahun yang sama juga ia telah dijadikan sebagai هامش (catatan ditepi kitab) untuk kitab Ta’thir al-Anam oleh al-Nablusi yang mana telah diulang cetak beberapa kali di Lucknow pada tahun 1874M dan di Bombay pada tahun 1296H. Kitab ini juga telah diulang cetak dengan versi yang baru (disusun semula untuk memudahkan pembacaan) dan diterbitkan oleh beberapa penerbit di Beirut, Damsyik dan Kahirah(1). Malah kitab ini juga telah ditahqiq dan diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa seperti Bahasa Melayu, Inggeris, Indonesia dan kemungkinan juga di dalam bahasa-bahasa yang lain.

MENGAPA IA DIKATAKAN KITAB YANG DINISBAHKAN KEPADA IBN SIRIN

Perlu diketahui bahawa Kitab Muntakhab al-Kalam Fi Tafsir al-Ahlam yang dinisbahkan kepada Ibn Sirin adalah nisbah yang salah, malah dengan mengatakan ia sebagai kitab karangan Ibn Sirin juga merupakan satu kenyataan yang silap. Ia sebenarnya adalah karangan Abu Sa’ad (Sa’id) Abd al-Malik al-Wa’iz al-Kharkusyi. Nama kitabnya pula ialah al-Basyarah Wa al-Nadharah. Kesalahan menisbahkan kitab ini kepada Ibn Sirin ataupun mengakui ia adalah hasil karya Ibn Sirin telah diikuti dari zaman ke zaman hinggalah pada hari ini.

Abd Al-Rahman al-Juzu telah menyenaraikan dengan jelas bukti yang menunjukkan bahawa ia bukanlah kitab karangan Ibn Sirin dan ia hanya sebuah kitab yang dinisbahkan kepada beliau itupun dengan nisbah yang salah. Menurut Abd al-Rahman dengan meneliti kitab itu sendiri dapat dilihat tanda-tanda yang jelas bahawa sebahagian atau beberapa bahagian daripada kitab tersebut bukanlah daripada Ibn Sirin. Ini kerana di dalam kitab itu menyebut nama-nama mereka yang lahir, hidup dan juga meninggal dunia selepas Ibn Sirin meninggal dunia dengan jarak masa yang begitu jauh, ataupun di dalam kitab tersebut ada menyatakan kisah-kisah yang berlaku pada zaman selepas Ibn Sirin(2). Di antara contohnya ialah:

1- Di dalam khutbah kitab tersebut sering menyebut nama Abu Sa’id al-Wa’iz, contoh:

قال الأستاذ أبو سعيد الواعظ رضى الله عنه) أما بعد فإنه لما كانت الرؤيا الصحيحة في الأصل المنبئة عن حقائق الأعمال منبهة على عواقب الأمور

Kata-kata ini yang sering disebut di awal kebanyakan perenggan menunjukkan dengan jelas bahawa kitab ini adalah dari hasil himpunan atau penulisan Abu Sa’id al-Wa’iz.

2- Terdapat di dalam khutbah kitab nama-nama berikut:

الأصمعي عن ابن المقدام
اسحاق بن ابراهيم الموصلي
جعفر بن جعفر بن محمد الفريابي


Al-Asma’iy lahir pada tahun 122H, Ishaq al-Musli lahir pada tahun 155H, Ja’far bin Muhammad al-Faryabi pada tahun 257H sedangkan Ibn Sirin meninggal dunia pada tahun 110H. Bagaimana pula Ibn Sirin boleh meletakkan nama mereka di dalam penulisannya sedangkan ketiga orang tersebut belum lagi lahir sewaktu Ibn Sirin masih hidup?

3- Kitab ini meriwayatkan daripada al-Kirmani, al-Salimi dan al-Qairawani. Mereka adalah ulama’ selepas Ibn Sirin. Ishaq al-Kirmani contohnya merupakan ulama’ pada kurun ke empat hijrah manakala al-Salimi adalah di kalangan ulama’ kurun ke lapan hijrah.

4- Di dalam kitab ini juga memuatkan mimpi yang dilihat oleh mereka yang hidup selepas Ibn Sirin, antaranya:

1- Di dalam bab 2:

Daripada Abu al-Wafa’ al-Farisi al-Harawi telah berkata: “Aku telah melihat al-Mustafa s.a.w di dalam tidur di Farghanah pada tahun 360H”.

Teks ini menyatakan bahawa Abu al-Wafa’ telah bermimpi melihat Rasulullah s.a.w di dalam tidurnya pada tahun 360H, sedangkan pada tahun tersebut Ibn Sirin sudah meninggal dunia. Dengan itu, bagaimana kitab ta’bir ini boleh dikatakan salah satu daripada karya Ibn Sirin?.

2- Di dalam bab 23:

“Dan amir al-Mukminin Harun al-Rasyid telah bermimpi…”
Di dalam kitab ini juga menyebut nama Harun al-Rasyid yang lahir pada tahun 149H sedangkan Ibn Sirin meninggal dunia pada tahun 110H.

3- Dalam bab 31:

“Dan diceritakan bahawa Al-Syafi’i r.a bermimpi di dalam penjara seolah-olah dia di salib…”

Di kitab ini juga menyebut nama Imam al-Syafi’i sedangkan beliau lahir pada tahun 150H.

4- Di dalam bab 43:

Abu Ubaidah telah berkata: “Aku bermimpi pelita masjid terpadam, maka Mus’ir bin Kidam telah meninggal dunia…”

Di dalam kitab ini juga menyebut nama Abu Ubaidah yang lahir pada tahun 110H sedangkan pada tahun yang sama Ibn Sirin meninggal dunia dan ia juga menyebut nama Mus’ir bin Kidam yang meninggal dunia pada tahun 152H.

Daripada kenyataan dan contoh-contoh yang dikemukakan oleh Abd al-Rahman al-Juzu, dapat diakui bahawa penisbahan kitab ini kepada Ibn Sirin adalah satu nisbah yang salah kerana kebanyakan daripada isi kandungannya bukanlah daripada Ibn Sirin, apatahlagi setelah dikaji semula kita dapati kitab ini dihasilkan pada jarak masa yang jauh selepas Ibn Sirin, iaitu ia dihasilkan atau dikumpulkan oleh Abu Sa’id al-Wa’iz yang meninggal dunia pada tahun 407H.

Mengenali Pengarang Sebenar Kitab Tafsir Mimpi Ibn Sirin

Beliau ialah Abu Sa’ad (Sa’id) Abd al-Malik bin Abu Uthman Muhammad bin Ibrahim, al-Naisaburiyy al-Wa’iz. Beliau merupakan seorang zuhud yang lebih dikenali dengan nama al-Kharkushi(3).Di dalam kitab Siyar A’lam al-Nubala’ menyatakan beliau sebagai al-Imam Qudwah dan Syaikh al-Islam.

Al-Kharkushi telah mengarang kitab (دلائل النبوة), kitab (التفسير), kitab (الزهد) dan lain-lain(4). Al-Hakim berkata:


“Sesungguhnya aku tidak melihat (selain al-Kharkushi) yang mengumpul padanya ilmu, zuhud, tawadhu’, menunjuk ke jalan Allah dan kepada kezuhudan di dunia, Allah menambah padanya taufik, dan menggembirakan kami dengan hari-harinya. Sesungguhnya hasil karyanya telah tersebar di kalangan muslimin”(5)

Al-Khatib pula berkata: “Al-Kharkushi adalah seorang yang thiqah, wara’ dan saleh”(6).

Dinyatakan bahawa orang-orang fakir di dalam majlisnya dilayan seperti para pemimpin. Beliau juga membuat kopiah dan menjualnya. Selain daripada itu, beliau juga membina madrasah dan rumah untuk orang sakit lalu mewakafkan keduanya dan mewakafkan sebuah peti besi yang besar berisi buku-buku.

Muhammad bin Ubaidullah al-Sarim berkata: Aku melihat al-Ustaz Abu Sa’ad al-Zahid di Musalla ketika mengimamkan solat Istisqa’, aku mendengarnya berdoa’(7):

إليك جئنا و أنت جئت بنا وليس رب سواك يغنينا
بابك رحب فناؤه كرم تؤوي إلى بابك المساكينا


Ibn ‘Asakir berkata beliau adalah seorang Asy’ari. Beliau meninggal dunia pada bulan Jamadil awal pada tahun 407H.

METODOLOGI PENULISAN

Setiap penulisan buku mempunyai metodologinya yang tersendiri. Metodologi penulisan sebuah buku itu mampu memperlihatkan keistimewaan dan kelemahan yang terdapat pada hasil karya seorang penulis. Untuk metodologi penulisan kitab Muntakhab al-Kalam Fi Tafsir al-Ahlam, pengkaji memberikan perhatian dari sudut gaya bahasanya, keistimewaan dan kelemahannya.

(1)Gaya Bahasa

Kitab ini menggunakan bahasa yang mudah untuk difahami. Ia tidak menggunakan bahasa sastera yang tinggi. Jika ada pun, ia hanya menggunakan perkataan-perkataan yang agak sukar untuk difahami. Keadaan ini dapat dilihat apabila banyak pentahqiq kitab ini seperti Abd al-Rahman al-Juzu, Yusuf al-Shaikh Muhammad, Saleh Uthman Abd al-Hamid, Samar Muhammad Dahir, dan Zuhair Syafiq al-Kabby tidak mengabaikan dalam memberikan makna atau menjelaskan maksud beberapa perkataan-perkataan yang terdapat di dalam kitab ini, malah ada juga di antara mereka yang hanya menumpukan kepada aspek ini sahaja untuk kitab tahqiq mereka.

Di samping itu pengkaji melihat ia lebih menggunakan teknik straight to the point kepada mimpi-mimpi yang dita’birkan. Tidak ada penerangan yang lebih terperinci diberikan kepada setiap mimpi yang dita’bir. Ia hanya mengemukakan objek ataupun perkara yang dimimpikan lalu memberikan makna mimpi tersebut. Sebagai contoh, di dalam bab 1 menyatakan:

قال الأستاذ أبو سعيد رضي الله عنه : من رأى في منامه كأنه قائم بين يدى الله تعالى و الله تعالى ينظر إليه فإن كان الرائى من الصالحين فرؤياه رؤيا رحمة

Di dalam kenyataan di atas, Abu Sa’id mengatakan sesiapa yang bermimpi di dalam tidurnya seoalah-olah ia berada di hadapan tangan Allah s.w.t dan Allah s.w.t melihatnya dan jika sekiranya yang bermimpi itu adalah di kalangan orang yang saleh maka mimpinya adalah mimpi rahmat. Banyak lagi contoh-contoh lain yang boleh didapati di dalam kitab Muntakhab tentang teknik straight to the point ini.

(2) Keistimewaan

Kitab Muntakhab al-Kalam Fi Tafsir al-Ahlam mempunyai banyak keistimewaannya. Ia bukan sekadar sebuah kitab yang memainkan peranannya untuk menta’birkan mimpi, tetapi ia juga banyak membahaskan mengenai ilmu menta’bir mimpi dari sudut syariat. Perbahasan ini seperti mana yang telah disebut oleh pengkaji di dalam pengenalan bab ini boleh didapati di dalam mukaddimah kitab dan khutbah kitabnya(8).

Manakala jika hendak dibandingkan kitab ini dengan Kitab Ta’thir al-Anam Fi Ta’bir al-Manam oleh al-Nablusi dan Kitab al-Isyarat Fi Ilmi al-‘Ibarat oleh Ibn Syahin, kitab Muntakhab lebih mempunyai keistimewaannya. Ini kerana ia sering diutarakan atau dikemukakan sebagai kitab ta’bir mimpi yang berpandukan kepada al-Quran dan al-Sunnah lantaran terdapat ta’biran mimpinya yang disertai bersama ayat al-Quran atau al-hadith(9). Malah bukan itu sahaja, bahkan ianya juga sering memuatkan pendapat-pendapat yang bersanad yang menceritakan mimpi mereka serta maksud daripada mimpi tersebut.

(3) Kelemahan

Abd Rahman al-Juzu menyatakan bahawa walaupun kitab ini dikatakan berpandukan kepada al-Quran dan al-Sunnah, kebanyakan daripadanya tidak mempunyai kaitan langsung dengan apa yang dita’birkan oleh penulis kitab(10). Bahkan melalui pemerhatian pengkaji pula tidak semua ta’bir mimpi disertakan dengan dalil-dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah, ada juga ta’bir mimpi yang kebanyakannya hanya berdasarkan daripada kata-kata penulis sahaja yang dimulakan dengan ayat ini:

(قال الأستاذ أبو سعيد الواعظ رضى الله عنه)

Perkara ini boleh dikira sebagai perkara yang melemahkan penulisan kitab ini. Tambahan pula, kitab ini juga memuatkan hadith-hadith yang tidak dinyatakan hukum hadithnya.

Kitab ini juga sering membahaskan mengenai perkara yang sama secara berulang-ulang di dalam bab yang berbeza. Ia juga tidak mempunyai penditilan untuk setiap bab yang dikemukakan. Manakala tajuk babnya diletakkan dengan tajuk yang panjang agar setiap inci perkara yang dibahaskan dimuatkan di dalam tajuk-tajuknya.

Dari segi susun aturnya pula, sepertimana kitab-kitab lama yang lain, ia tidak mempunyai perenggan, tanda koma dan noktah.

KESIMPULAN

Melalui perbahasan tadi, dapat dikenalpasti bahawa kitab ini bukanlah hasil karya Ibn Sirin. Hakikatnya ia merupakan sebuah penulisan atau himpunan yang diusahakan oleh al-Kharkushi. Pengkaji berpendapat bahawa perkara ini perlu diambil perhatian oleh setiap penterjemah, pentahqiq dan penyusun kitab muntakhab agar kesilapan ini dapat dijelaskan di dalam hasil kerja mereka sebagai maklumat kepada pembaca kitab ta’bir mimpi yang popular ini.

Keistimewaan kitab ini dilihat dari sudut isinya yang dikatakan berpandukan kepada al-Quran dan al-Hadith. Kitab ini juga dianggap istimewa kerana ia bukanlah kitab ta’bir mimpi semata tetapi ia turut memuatkan perbahasan yang amat menarik berkenaan ilmu ta’bir mimpi dari sudut syariat. Namun begitu, ia juga tidak lari dari kelemahan-kelemahan (sepertimana yang telah dinyatakan pada perbahasan di atas) sebagai sebuah kitab tua yang dihasilkan beribu tahun dahulu.
_________________________________________________________________

(1) Al-Juzu, Abd Al-Rahman, Muntakhab al-Kalam Fi Tafsir al-Ahlam, Dar Maktabah al-Hayah, Beirut, 1995, hlm 20-21.
(2) Ibid, hlm 22.
(3) Kharkushi merupakan sebuah nama jalan yang terdapat di bandar Naisabur.
(4) Al-Dhahabi, Syams al-Din Muhammad bin Ahmad, Siyar A'lam al-Nubala’, Muassasah al-Risalah, Beirut, 1990, Juz 17, hlm 162.
(5) Ibid.
(6) Ibid.
(7) Ibid.
(8) Rujuk pada bahagian Pengenalan.
(9) Ayat-ayat al-Quran lebih banyak dimuatkan jika dibandingkan dengan al-Hadith.
(10) Al-Juzu, hlm 21.


Nota:
Artikel ini merupakan salah satu bab yang terkandung di dalam Latihan Ilmiah (tesis) penulis bertajuk 'Kajian Hadith Kitab Muntakhab al-Kalam Fi Tafsir al-Ahlam Yang Dinisbahkan Kepada Muhammad Ibn Sirin’. Latihan Ilmiah ini masih dalam proses untuk diselesaikan dan artikel ini telah diadaptasi daripada salah satu bab yang telah disemak oleh Dr Azwira Abd Aziz, pensyarah kanan Jabatan al-Quran dan al-Sunnah yang bertindak selaku penyelia penulis dalam menghasilkan kajian ini. Latihan ini perlu diselesaikan sebagai salah satu syarat untuk memiliki Ijazah Sarjanamuda Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. Semoga maklumat yang terdapat di dalam artikel ini, sedikit sebanyak memberikan manfaat kepada semua. Sekian Wallahua’lam.

0 Comments:

Post a Comment