25 February, 2008

Di dalam perkahwinan ini ada lebih dan ada kurangnya
Maafkan di atas segala kekurangan
Bersyukurlah di atas segala kelebihan
Moga Ajid faham
Hati ini sentiasa hidup
Hidup untuk berjuang demi agama Allah
Hidup untuk terus berada di jalan Allah.


Itulah kata-kata yang pernah saya coretkan untuk suami saya. Tiba-tiba kata-kata itu kembali bermain di fikiran saya ketika saya sedang menghitung hari! Bulan Mei akan tiba juga dan hati saya berdebar-debar menanti bulan itu. Pelbagai kemungkinan akan berlaku: antara kehidupan dan kematian, antara cita-cita dan harapan, antara keteguhan hati dan kelemahan perasaan. Saat ini saya masih mempunyai semangat yang utuh untuk menanti segala kemungkinan itu. Namun saya tidak pasti saat ketentuan itu tiba, bagaimanakah saya? meneruskan atau berpaling dari tujuan dan kemahuan?!.

Nekadnya saya! Saya pelik. Nekadnya suami saya! Saya bertambah-tambah pelik!
Saya tidak tahu apakah reaksi mak dan abah jika mengetahui keputusan saya kelak. Mungkin mereka terkejut dan mungkin juga mereka sedih. Tetapi saya perlu meneruskan perjuangan saya. Kadangkala sukar untuk saya memahamkan pada orang lain tentang perjuangan ini.

Mungkin pada pandangan orang lain saya adalah seorang isteri yang paling berani dan paling nekad! Berani dan nekad untuk meninggalkan suami saya sendirian mengharungi hari demi hari yang semestinya penuh dengan ujian dan godaan.
Begitu juga, mungkin pada pandangan orang lain suami saya adalah seorang suami yang paling pelik, berani dan nekad! Pelik, berani dan nekad melepaskan saya sendirian menuntut ilmu jauh beribu batu tanpa sedikitpun mempersoalkan tentang kepentingan dirinya zahir dan batin.

Kami sama-sama berani! Berani untuk menempuhi hidup seperti ini!

Tetapi tiba-tiba hati saya ada keraguan….

Sampai bila?

Tiba-tiba pula hati saya ada ketakutan…

Mampukah saya bertahan?

Tiba-tiba hati saya ada kesayuan…

………………………

“Ini semua untuk dakwah…”,kata suami saya kepada saya dengan penuh keyakinan.

Ya..kemungkinan suami saya telah mengukir indah kata-kata saya di dalam hatinya:

“Moga Ajid faham
Hati ini sentiasa hidup
Hidup untuk berjuang demi agama Allah
Hidup untuk terus berada di jalan Allah.”

Sehinggakan saya melihat dia tidak pernah mahu berpaling dari apa yang telah dia usahakan untuk saya malah dia yang lebih bersungguh-sungguh dari saya.
Hati ini menangis….menangis kesyukuran kerana dia ditakdirkan untuk saya.

“Ya Allah berkatilah kami….jadikanlah kami sepasang suami isteri yang hatinya takut kepadaMU dan sentiasa bergerak untuk agamaMu, di mana jua dan di dalam apa jua keadaan…”

0 Comments:

Post a Comment