27 February, 2008

Mungkin sesiapa yang sering melawat ke blog ini ataupun baru pertama kali singgah ke blog ini perasan dengan name card ruqyah consulting yang menghiasi ruang sebelah kirinya. Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa pula saya meletakkan name card tersebut di blog saya. Jika nak tahu, itu sebenarnya adalah name card suami saya.

Untuk pengetahuan semua, beliau sebenarnya merupakan seorang perawat untuk mereka yang mengalami masalah gangguan jin dan sihir (Kalau di Malaysia, senang kata macam Ustaz Haron Din di Darul Syifa’, Bangi tu). Walaupun hanya melakukan tugas ini sebagai kerja part-time nya iaitu pada sebelah malam (untuk hari-hari biasa) dan pada hari Sabtu dan Ahad (untuk hujung minggu), tidak salah saya katakan bahawa beliau di antara perawat perubatan Islam yang agak popular di Singapura.

Pesakitnya terdiri di kalangan kanak-kanak hinggalah kepada orang-orang tua, daripada orang yang fakir-miskin hinggalah orang yang kaya-raya dan begitu juga terdiri di kalangan orang yang buta Islam (tidak tahu apa-apa tentang Islam sama ada mereka adalah orang Islam yang tidak mempraktikkan Islam atau non Muslim) hinggalah kepada orang yang celik Islam (selalunya mereka ini terdiri di kalangan orang awam (Islam) yang mengambil berat tentang agama dan mempraktikkan Islam dan juga di kalangan ustaz-ustaz).

Bayaran?!

Suami saya adalah seorang yang telah berpengalaman dalam perubatan ini lebih daripada lima tahun. Semenjak kami belum berumahtangga lagi, beliau telah memulakan khidmatnya sebagai seorang perawat kepada masyarakat Islam (kadangkala bukan Islam) yang memerlukan. Suatu perkara yang menarik dan mungkin disukai ramai, beliau tidak menetapkan sebarang bayaran tertentu untuk mendapatkan konsultasi atau rawatan daripadanya.

Ini kerana ada juga di kalangan mereka yang sakit adalah orang yang susah. Beliau tidak mahu kerana orang yang susah ini tidak berduit mereka membiarkan diri mereka sakit tanpa mendapatkan sebarang rawatan. Sekurang-kurangnya mereka masih ada peluang untuk berusaha.

Oleh itu, semuanya bergantung kepada kemampuan pesakit. Terus-terang saya katakan, kadangkala beliau tidak mendapat satu sen pun, setelah berpenat-lelah merawat orang selama berjam-jam. Tetapi beliau tetap meneruskan kerjanya dalam bidang ini, tanpa memikirkan tentang soal bayaran. Semoga Allah memurahkan rezekinya. Allahumma Amin.

Bukan Tugas Mudah

Tugas seorang perawat bukanlah tugas yang mudah. Berperang dengan jin dan syaitan, berentap dengan bomoh-bomoh handalan dan menghapuskan bahan-bahan sihir mereka adalah tugas yang perlu untuk dilaksanakan dalam bidang ini. Walaupun ianya kelihatan mengerikan dan amat membahayakan tetapi keyakinan yang tinggi kepada Allah s.w.t tanpa mengharapkan bantuan daripada selainNya menjadi kunci kejayaan seorang perawat.

Tidak dinafikan memang ia tugas yang agak merbahaya. Atas sebab itu ramai orang tidak mahu mendekati atau berjinak-jinak dengan tugas ini. Tetapi suami saya(seperti kebiasaannya) sering mempunyai pandangan yang berbeza daripada orang lain. Beliau pernah mengatakan kepada saya dengan panjang lebar:

“Kalau bukan kita yang mengambil tanggungjawab ini siapa lagi? Ramai masyarakat Islam di Singapore yang sakit gangguan dan disihir pergi ke bomoh-bomoh dan bomoh-bomoh ini selalunya menggunakan kaedah yang kebanyakannya mensyirikkan Allah s.w.t (seperti menggunakan jin sebagai perantara, memohon bantuan selain Allah s.w.t dan menggunakan tangkal sebagai pendinding) Kita kena selamatkan masyarakat Islam kita, selamatkan akidah mereka. Mereka sakit tetapi tidak tahu nak berubat dengan siapa. Nak cari ustaz-ustaz, ramai ustaz-ustaz yang lari dan tidak mahu tahu tentang benda-benda ini sebab takut kena hentam balik (maksudnya takut kalau membantu orang yang kena sihir atau gangguan akan turut disihir dan diganggu juga). Kalau kita takut siapa yang nak selamatkan mereka. Sebab nak baik mereka sanggup habiskan beribu-ribu ringgit jumpa bomoh, macam-macam bomoh mereka pergi. Jumpa bomoh Malaysia dan sampai pergi ke Indonesia (bukan itu sahaja ada juga yang berjumpa bomoh siam, India, sami Budha dan lain-lain). Sedangkan Islam ada caranya untuk merawat sakit gangguan dan disihir. Kita kena tunjukkan pada masyarakat Islam, sebarkan dan beritahu mereka apa yang betul dan apa yang tidak boleh ketika berubat dalam perkara ini. Anggap ini juga satu dakwah. Kalau tak kita yang tolong mereka siapa lagi?”

Ya, pada saya memang ada benarnya kata-kata beliau itu. Kalau tidak kita yang menolong siapa lagi. Ini juga salah satu jalan dakwah iaitu menyelamatkan akidah masyarakat Islam, menyedarkan mereka tentang al-Quran yang diturunkan Allah s.w.t sebagai syifa’ (penyembuh) dan mengajar mereka cara ruqyah (jampi) yang diajarkan dalam Islam.

Apa yang saya lihat, suami saya bukan sahaja seorang perawat semata tetapi beliau juga merupakan seorang pendakwah yang menyampaikan mesej Islam dengan cara yang paling unik iaitu melalui rawatan jampi dengan menggunakan al-Quran dan al-Hadith yang dilakukannya.

Untuk menjadi seorang perawat kita bukan sahaja perlu berani dan berkemahiran tetapi kita juga perlu mampu membaca al-Quran dengan bertajwid dan mempunyai ilmu yang banyak tentang Islam. Kerana dalam sesi rawatan kita bukan sahaja bercerita tentang sakit tetapi kita juga berbicara tentang halal dan haram dalam Islam. Maka tidak hairanlah pada masa sesi rawatan itu, ada sahaja persoalan-persoalan agama yang timbul. Ini boleh tak.. itu boleh tak? Atas sebab itu saya katakan ia bukanlah satu tugas yang mudah.Ianya terlalu mencabar!

Masa yang terkorban

Kadangkala untuk merawat seorang sahaja pesakit ianya memerlukan masa berjam-jam lamanya bagi menghapuskan sihir atau mengeluarkan jin di badannya. Pernah kami berpengalaman merawat seorang pesakit (eh…saya tidak rawat orang,tau! saya cuma tengok orang je…hehe. Saya selalunya menemani suami saya ke rumah pesakit-pesakitnya dan di situlah saya belajar kaedah rawatan untuk pesakit yang disihir dan diganggu jin) bermula dari selepas solat Maghrib hinggalah hendak masuk ke waktu subuh. Hinggakan pada waktu itu kerana terlalu keletihan dan mengantuk yang amat sangat saya tidur di sofa rumah pesakit tersebut. Waktu itu saya sudah tidak kira malu lagi lah sebab terlalu mengantuk sangat.

Kebiasaannya keadaan akan menjadi lebih lambat jika pesakit sudah meracau atau menunjukkan tindak balasnya (seperti contoh bersilat, memekik-mekik, bertindak ganas). Pada masa ini, sesi dialog selalunya berlaku antara perawat dan jin yang masuk (mengawal) badan pesakit. Di sinilah yang lambatnya, nak suruh jin supaya keluar dari tubuh badan pesakit dan tidak mengganggu pesakit lagi bukan mudah.

Kadang-kadang kena herdik, kena marah, kena cubit dan kena pukul, baru jin bersetuju nak tinggalkan pesakit (tapi itu pun kadang-kadang jin berbohong. Bila dia telah keluar dari badan pesakit, kemudian dia masuk semula. Saja nak main-main).

Untuk seorang perawat, masa lebih banyak dihabiskan untuk merawat orang yang sakit. Setiap hari ada sahaja orang yang sakit untuk dirawat. Kadangkala tidak tahu mana satu untuk dibantu dahulu. Banyak sangat dan semua sedang kesakitan. Maka atas sebab ini, suami saya menggunakan cara yang dahulu-didahulukan, kecuali pada emergency case (iaitu jika pesakit sudah tidak boleh bertahan dan sakit yang terlalu kritikal dan memerlukan rawatan segera).

Waktu malam dan waktu hujung minggu lebih banyak dihabiskan untuk ke rumah pesakitnya. Dengan itu, banyak masa untuk bersantai terpaksa dikorbankan. Pada awalnya memang saya agak kurang senang dengan kerja suami saya yang kurang meluangkan masa untuk saya, tetapi lama-kelamaan saya mengerti bahawa suami saya bukan milik saya seorang. Ramai di antara masyarakat Islam yang memerlukan bantuannya dan memandangkan mereka yang mahir dalam rawatan ruqyah di Singapura boleh dibilang dengan jari, maka beliau yang berkemahiran dalam hal ini perlu membantu.


Ustaz Malam


Saya tersenyum apabila teringatkan jawapan saya apabila kawan-kawan saya bertanya kepada saya:

“Suami akak ustaz, ye? Ustaz ajar apa?”

Selalunya jawapan yang saya berikan:

”A’ah..suami akak ustaz malam.hehehe”

Mendengar jawapan saya selalunya mereka akan terpinga-pinga: “Ustaz malam?!”

Lalu saya menjelaskan:

“Bukanlah, dia bukan ustaz. Dia kerja bahagian komputer. Tapi waktu malam dia rawat orang sakit kena sihir dan gangguan. Pastu, nanti ada pesakit-pesakit panggil dia ustaz. Sebab itu, akak panggil dia ustaz malam.heheh”

Tetapi suami saya, apabila orang menggelarkan dirinya ustaz, dia akan cepat-cepat memperbetulkan dan menerangkan tentang dirinya dengan penuh rendah diri:

“Saya bukan ustaz. Saya kerja bahagian komputer. Tapi, isteri saya yang ustazah”

Alamak! Dia kata saya pulak…nak tak nak saya senyum jelah.hehe

Saya Banyak Belajar

Jika dahulu saya tidak percaya bahawa sihir-menyihir, dirasuk, diganggu jin dan diwariskan saka masih wujud pada zaman moden, tetapi sekarang saya percaya.

Jika dahulu saya tidak dapat membayangkan betapa deritanya orang yang disihir dan terkena gangguan jin, kini saya dapat merasai dan amat memahami.

Jika dahulu saya tidak tahu langsung tentang ruqyah dan merawat orang sakit gangguan dan disihir, kini saya tahu dan boleh melakukannya (tetapi pada keadaan yang memang terdesak sahaja)

Sungguh…banyak perkara yang saya pelajari dari suami saya. Saya bukan setakat belajar mengenai kaedah rawatan jampi dengan al-Quran dan al-Hadith tetapi saya juga belajar untuk mengambil hikmah dan pengajaran daripada setiap kes yang ditangani oleh suami saya.

Apapun, sebenarnya di samping menceritakan tugas suami saya sebagai seorang perawat separuh masa, apa yang hendak saya sampaikan di sini ialah mengetahui kaedah atau rawatan ruqyah (jampi) menggunakan al-Quran dan al-Hadith adalah penting kerana dengannya kita mampu menyelamatkan masyarakat Islam daripada terjerumus ke dalam kaedah perubatan yang mensyirikkan Allah s.w.t dan jika kita, keluarga kita dan rakan-rakan kita yang ditimpa sakit disihir dan diganggu jin sekurang-kurangnya kita mengetahui cara rawatan yang bagaimana yang perlu kita dan mereka cari dan gunakan untuk mengatasi sakit tersebut.

Akhir sekali, untuk mengetahui tentang rawatan ini dengan lebih lanjut, anda boleh melayari laman web berikut:

http://ruqyah.tripod.com/alibaadurrahman/

http://ruqyah-online.blosgspot.com

Baiklah hingga di sini dahulu, jika di izinkan Allah s.w.t kita bertemu lagi di post yang lain. Wassalam.

25 February, 2008

Di dalam perkahwinan ini ada lebih dan ada kurangnya
Maafkan di atas segala kekurangan
Bersyukurlah di atas segala kelebihan
Moga Ajid faham
Hati ini sentiasa hidup
Hidup untuk berjuang demi agama Allah
Hidup untuk terus berada di jalan Allah.


Itulah kata-kata yang pernah saya coretkan untuk suami saya. Tiba-tiba kata-kata itu kembali bermain di fikiran saya ketika saya sedang menghitung hari! Bulan Mei akan tiba juga dan hati saya berdebar-debar menanti bulan itu. Pelbagai kemungkinan akan berlaku: antara kehidupan dan kematian, antara cita-cita dan harapan, antara keteguhan hati dan kelemahan perasaan. Saat ini saya masih mempunyai semangat yang utuh untuk menanti segala kemungkinan itu. Namun saya tidak pasti saat ketentuan itu tiba, bagaimanakah saya? meneruskan atau berpaling dari tujuan dan kemahuan?!.

Nekadnya saya! Saya pelik. Nekadnya suami saya! Saya bertambah-tambah pelik!
Saya tidak tahu apakah reaksi mak dan abah jika mengetahui keputusan saya kelak. Mungkin mereka terkejut dan mungkin juga mereka sedih. Tetapi saya perlu meneruskan perjuangan saya. Kadangkala sukar untuk saya memahamkan pada orang lain tentang perjuangan ini.

Mungkin pada pandangan orang lain saya adalah seorang isteri yang paling berani dan paling nekad! Berani dan nekad untuk meninggalkan suami saya sendirian mengharungi hari demi hari yang semestinya penuh dengan ujian dan godaan.
Begitu juga, mungkin pada pandangan orang lain suami saya adalah seorang suami yang paling pelik, berani dan nekad! Pelik, berani dan nekad melepaskan saya sendirian menuntut ilmu jauh beribu batu tanpa sedikitpun mempersoalkan tentang kepentingan dirinya zahir dan batin.

Kami sama-sama berani! Berani untuk menempuhi hidup seperti ini!

Tetapi tiba-tiba hati saya ada keraguan….

Sampai bila?

Tiba-tiba pula hati saya ada ketakutan…

Mampukah saya bertahan?

Tiba-tiba hati saya ada kesayuan…

………………………

“Ini semua untuk dakwah…”,kata suami saya kepada saya dengan penuh keyakinan.

Ya..kemungkinan suami saya telah mengukir indah kata-kata saya di dalam hatinya:

“Moga Ajid faham
Hati ini sentiasa hidup
Hidup untuk berjuang demi agama Allah
Hidup untuk terus berada di jalan Allah.”

Sehinggakan saya melihat dia tidak pernah mahu berpaling dari apa yang telah dia usahakan untuk saya malah dia yang lebih bersungguh-sungguh dari saya.
Hati ini menangis….menangis kesyukuran kerana dia ditakdirkan untuk saya.

“Ya Allah berkatilah kami….jadikanlah kami sepasang suami isteri yang hatinya takut kepadaMU dan sentiasa bergerak untuk agamaMu, di mana jua dan di dalam apa jua keadaan…”

22 February, 2008

Sudah dua hari saya menghirup udara Singapura
Apakah yang saya rasa?
Sesekali lega..
dan sesekali..ada melodi rindu di jiwa

Siapa menyangka saya akan pulang ke Singapura Khamis lalu
malah saya juga tidak menyangka..
itulah dia takdir
takdir seringkali melangkau segalanya.

Saya kira kepulangan saya kali ini tidak membawa saya untuk duduk bersengkang mata di hadapan komputer
rupanya saya silap
Ada tujuan Allah menggerakkan saya agar pulang
rupa-rupanya ada tugas besar menanti saya.

Apapun saya serahkan segalanya kepada Allah s.w.t
saya telah berusaha
berusaha untuk kesihatan saya
berusaha untuk AhlulquranPts
berusaha untuk banyak perkara yang saya tinggalkan di sini.

"Ya Allah, Jangan Kau goyahkan hati ini untuk terus berdiri teguh pada jalan yang bernama perjuangan. Bantulah...."

17 February, 2008

Tangan saya mencapai buku kecil yang amat saya gemari isinya “Doa dan Hiburan untuk orang sakit dan terkena musibah menurut al-Quran dan al-Sunnah” oleh Yazid bin Abdul Qadir Jawas.

Hati saya tenang…saya memejamkan mata saya setelah terbaca bait kata dari Ibn al-Qayyim rahimahullah. Katanya:

“Kalau tidak kerana dugaan dan musibah dunia, tentu sahaja manusia mempunyai penyakit sombong, ‘ujub (bangga diri) dan kekerasaan hati. Padahal sifat-sifat ini merupakan kehancuran untuk manusia sama ada di dunia dan akhirat. Di antara rahmat Allah, kadang-kadang manusia tertimpa musibah yang menjadi pelindung baginya dari penyakit-penyakit hati dan menjaga kebersihan ‘ubudiyyahnya. Maha suci Allah yang merahmati manusia dengan musibah dan ujian”

Ya…maha suci Allah yang menjadikan setiap dugaan itu sentiasa datang silih berganti dalam hidup seseorang hamba.

Dahulu saya sering mempersoalkan: Kenapa dan untuk apa? Hingga satu ketika saya hampir berputus asa untuk meneruskan perjuangan dalam menentang setiap apa yang mendatang kerana dugaan itu sentiasa datang dan pergi tanpa sedikit pun memberikan saya peluang untuk menarik nafas lega!

Dugaan yang Allah takdirkan untuk hidup ini tentu sahaja bukan yang biasa-biasa.
Andai diri ini tidak sekuat mana kemungkinan dugaan itu mampu merobohkan tembok keyakinan pada kekuasaan Allah (Nauzubillah min zalik!)

Tetapi mana mungkin untuk saya menafikan bahawa Allah maha bijaksana dan maha berkuasa di atas segala sesuatu. Tidak dijadikan sesuatu itu dengan saja-saja, pastinya terselit seribu hikmah yang berbaur dengan pelbagai rahmat. Lalu saya membisikkan kata-kata ini dalam diri saya:

“Sehebat mana dugaan itu datang, maka sehebat itu juga aku perlu bangun untuk menghadapinya!”

Maka untuk mereka yang manatap ruangan blog ini:

Memang benar, dugaan yang datang tentu sahaja membuatkan bukan sahaja mata tetapi hati kita menangis.

Namun jangan lupa bahawa dugaan itu adalah sebagai penghapus dosa, begitu juga sebagai bukti sejauhmana kita mengaku kita manusia yang beriman denganNya.
Kita diuji dan terus diuji…bila kita bersabar dosa-dosa pun berguguran dari dalam diri.

Hingga pada satu saat mungkin diri kita sudah bersih dari segala dosa.
Dan pada ketika itu juga mungkin kita dijemput pulang menghadap yang Esa dengan diri yang suci dari dosa.

Bukankah disitu kita layak untuk dinobatkan sebagai manusia yang berjaya merangkul ‘Anugerah Kecemerlangan’ yang tiada tandingannya jika hendak dibandingkan dengan anugerah kecemerlangan yang kita terima di dunia?

Sebuah hadith berbunyi:

حدّثني عبدُ الله بن محمدٍ حدثَنا عبدُ الملكِ بن عمرو حدثنا زُهيرُ بن محمدٍ عن محمدِ بن عمرو بن حَلْحَلةَ عن عطاءٍ بن يسار عن أبي سعيدٍ الخُدريِّ وعن أبي هريرةَ عن النبيِّ صلى الله عليه وسلم قال: ما يُصيبُ المسلمَ من نَصبٍ ولا وَصَبٍ ولا همّ ولاَحَزَن ولا أذى ولا غَمّ ـ حتى الشَّوكةِ يُشاكها ـ إلا كفَّرَ اللهُ بها من خَطاياه

Maksudnya: “Tidaklah seorang Muslim ditimpa keletihan, penyakit, kesusahan, kesedihan, gangguan, kegundah-gulanaan –hingga duri yang menusuknya sekalipun- melainkan Allah akan menghapuskan sebahagian daripada dosa-dosanya”
(Sahih al-Bukhari, Kitab al-Mardha, Bab Ma Jaa Fi kaffarah al-Maradhi)

Lalu menanamkan kesabaran di dalam diri saat menempuhi apa jua dugaan yang mendatang adalah yang terbaik. Percayalah, walau sabar itu pahit sebenarnya tetapi tetap menghasilkan buah yang manis rasanya.

Moga di situ ada rahmah ..

Moga di situ ada barakah…

Moga di situ…menjadikan diri ini dan kita semua hamba yang dahinya sentiasa rindu untuk sujud kepada Allah.

13 February, 2008

Sekeping hati ini
Bukan dicipta untuk menanam dengki
Bukan jua untuk memendam rindu insan ajnabi
Tetapi untuk membaja kasih Ilahi
Ketahuilah
Cinta itu Indah
Bila ada TAQWA

11 February, 2008

Pesta buku di UKM kembali lagi.

Namanya sahaja gah “PESTA BUKU”, tetapi tidak lah pesta mana pun, tetap macam biasa, lebih kurang 5-6 gerai buku sahaja. Apa yang membuat saya rasa terkilan sangat ialah tidak ada kitab-kitab bahasa arab yang dijual. Kalau ada pun, kitab-kitab biasa yang sudah saya miliki.

Bila saya membeli buku, memang saya tidak fikirkan perkara lain. Bila saya fikir buku itu best dan hebat, maka saya akan beli dan beli! Apabila pulang ke bilik dan membelek buku-buku tersebut, mmm…memang semuanya saya suka dan amat berharga untuk saya. Tetapi, bila fikir-fikir balik ”Aih..bila nak baca dan habis baca ni?” heheh. Sebenarnya masih ada juga buku-buku di rak bilik ini yang belum selesai dibaca oleh saya, ini tidak termasuk buku-buku yang terdapat di rak rumah saya di Hougang dan Bedok yang banyak saya tangguhkan pembacaannya.

10 buah buku (kemungkinan akan bertambah lagi bilangannya) yang baru sahaja berada di genggaman saya ini juga perlu saya tangguhkan pembacaannya lantaran perlu memberi ruang kepada penulisan tesis saya. Selagi tesis saya tidak sampai ke nokhtah yang terakhir nampaknya saya masih belum bebas untuk menumpukan pada perkara lain. Lebih-lebih lagi, bila saya mendapat tahu bahawa subjek ‘kajian hadith dhaif dan maudhu’ akan diberikan assignment nya oleh ust Asmadi pada hari khamis ini. Itu belum ditambah dengan assignment subjek ‘hadith 2’ yang entah bila akan diberikan tugasannya oleh Ust Akil. Nampak gayanya, kerja-kerja kajian saya perlu disiapkan pada masa yang terdekat ini agar ianya tidak diganggu dengan tugasan-tugasan lain.



Tetapi setiap kali memandang 10 buah buku yang terletak di atas rak-rak buku, saya merasa terpanggil untuk memegang dan membaca bait ayatnya. Tidak sabar rasanya untuk saya membacanya. Lalu saya memutuskan untuk memperuntukkan setiap hari sejam untuk membaca salah satu di antara buku-buku tersebut (selalunya sejam itu adalah waktu saya hendak melelapkan mata tapi rasanya tentu tidak sampai sejam saya baca..mesti tertidur,kan?..hehe) dan seperti biasa saya akan mengambil buku-buku yang ringan dahalu untuk saya tatap. Maka saya akan memulakan pembacaan saya dengan sebuah novel yang bertajuk ‘Ketika Cinta bertasbih 2 oleh Habiburrahman El-Shirazy’ (sebuah novel yang saya cari sejak tahun lepas ..akhirnya pencarian saya berakhir jua, Alhamdulillah).

Disini saya senaraikan buku-buku yang telah saya beli di pesta buku pada hari ini dan buku-buku yang dibeli semasa saya berkunjung ke Shah Alam pada cuti Tahun Baru Cina kelmarin:

1- Kutemu Dikau Dalam Setiap Tahajjudku oleh Desi Puspitasari
2- Teknik Belajar Berkesana & Efektif Oleh Hasan Mohd Ali
3- Turki Negara Dua Wajah - Pengkhianatan Atartuk Terhadap Dunia Islam Oleh Abdullah Azzam
4- Menempatkan Lagu Dan Muzik Dalam Timbangan Quran & Sunnah – Jawapan atas koreksi Syaikh Nasiruddin al-Albani terhadap Buku Halal Dan Haram dalam Islam Oleh Yusuf al-Qardhawi
5- Tenggelamnya Kapal Van Der Wicjk Oleh Hamka
6- Pengeboman Berani Mati Bukan Jihad Tetapi Maksiat oleh Rasul Dahri
7- Ketika Cinta Bertasbih 2 oleh Habiburrahman El-Shirazy
8- Fahaman Wahabi Menular: Satu Analisis Terhadap Dakwaan Yang ditimbulkan Oleh Akhbar Utusan Malaysia Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
9- Ahmadinejad Singa Baru Dalam Islam Oleh Muhsin Labib, Ibrahim Muharam, Musa Kazhim & Alfian Hamzah
10- Kesalahan-Kesalahan Terhadap Fakta-Fakta Sejarah yang perlu diperbetulkan semula Oleh Ibrahim Ali Sya’wat.

Moga saya berjaya menghabiskan pembacaan saya untuk kesepuluh buah buku ini pada semester akhir ini. Kalau tidak pun, sambung ke semester depan agaknya. Semester depan? Eh..mana ada semester depan lagi lah, dah final year. Lupa ke? Heheh…

Tetapi mungkin ada semester depan lagi untuk saya di UKM dan mungkin juga tidak. Selepas tamat pengajian di UKM banyak teka-teki yang bermain di fikiran saya. Walaupun niat saya untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana (Master) sememangnya sudah diketahui ramai tetapi saya mempunyai perancangan lain yang mungkin membuatkan saya perlu menunda pengajian saya selama satu semester jika saya ditakdirkan layak untuk meneruskan pengajian sarjana. Kini saya sedang berdoa agar perancangan saya yang kedua itu dipermudahkan Allah dan sekiranya Allah mentakdirkan ia benar-benar menjadi kenyataan, saya amat memerlukan kekuatan dan memohonnya dari Allah s.w.t untuk menempuhinya sendirian. Sekilas saya teringatkan perbualan antara saya dan suami saya tempo hari:

“Ajid tak risau ke..nak biarkan inah sorang-sorang kat sana?” soal saya penuh kehairanan.

“Tak perlu risau, serahkan semuanya kepada Allah. Allah ada. Ini semua untuk dakwah. Kalau ditakdirkan inah mati pun, mati dalam keadaan dapat pahala. Ajid tak kisah”

Saya menelan air liur saya. Lidah saya kelu…saya cuma mampu berdoa di dalam hati “Rabbi Yassir Walaa Tuassir”

08 February, 2008

“Kak…akak ni dah tua rupanya,eh?”,kata Syuhada’ sewaktu saya bertandang ke biliknya pada Jumaat yang lalu. Saya tersenyum kelat.

“Memang pun…lagi 4 tahun nak masuk angka 30! Nampak je..macam budak-budak”

Syuhada’ tersenyum.

“Apa rahsia? Rahsianya ialah kalau nak nampak muda berperangailah macam budak-budak..hehhe” Suka betul Syuhada’ dengan soalan dan jawapannya sendiri. Amboi…sedap betul dia kata saya berperangai macam budak-budak. Saya ni patut dah jadi mak budak,tau! heheh.

Apabila berfikir tentang umur, saya sebenarnya kadang-kadang tidak perasaan umur saya yang sebenar. Kadangkala juga saya tidak terfikir langsung tentang diri saya yang sudah dewasa. Senang kata, tidak perasaan yang saya ini lebih tua daripada kawan-kawan yang ada di sekeliling saya. Walaupun ramai orang memanggil saya kak Sakinah, tetapi tetap rasa macam saya sama seperti mereka. Lalu saya cuba membayangkan bagaimanakah saya nanti jika umur saya menjejaki angka 30 dan seterusnya (jika dipanjangkan umur oleh Allah s.w.t). Adakah saya akan tetap sama seperti hari ini?.

Berikutan pertemuan saya dengan seorang yang senang untuk saya gelarnya sebagai ‘pak tua’ (heheh..sebenarnya saya tidak tahu namanya pun) menyebabkan saya memikirkan tentang diri saya pada masa depan. Pertemuan ini bukanlah pertemuan berbual dan beramah mesra. Pertemuan ini berlaku apabila pak tua itu duduk di meja berhadapan dengan meja saya di library semalam. Saya agak terkejut juga melihat pak tua itu. Ini kerana melihat kepada penampilannya saya sudah boleh mengagak umurnya tentu sahaja dalam lingkungan usia 70an iaitu hampir seusia dengan bapa mertua saya.
Ketika saya menaip di laptop saya, sambil itu saya sempat menjeling-jeling beliau yang memang betul-betul duduk membelakangkan saya. Beliau sedang sibuk untuk meng’on’kan laptopnya. Dalam hati saya kata “mmm…atuk nie…advance jugak seh…ada laptop..hehe”. Buat beberapa ketika saya meneruskan kerja-kerja menaip dan mengkaji hadith. Tanpa saya sedari mata saya kembali menjeling laptopnya. Ketika mata saya terpandang betul-betul di skrin laptopnya, dahi saya berkerut lalu mata saya terbuka besar dan jari-jemari saya berhenti menaip. Terus saya berkata di dalam hati ”Eh! Biar real atuk nie…adui..takut nyer aku!! type tesis dalam bahasa Arab seh!”

Tiba-tiba sahaja menyelinap perasaan kagum di dalam diri saya terhadapanya walaupun saya sebenarnya tidak pernah mengenali pak tua ini. Soalan pertama yang muncul di dalam hati saya: “Dia tak de isteri, anak dan cucu ke? Datang sini jauh-jauh buat phd?” Sebenarnya melalui cara beliau berpakaian dan dari riak wajahnya saya memang pasti dia adalah warganegara Indonesia. Mmm…dalam meniti usia senja dia masih lagi duduk di negara orang untuk menaip tesis?

Ketika saya sedang di baluti kekaguman itu datang seorang yang berbangsa Arab menegur beliau dan bersalaman dengannya. Lalu mereka berbual-bual di dalam bahsaa Arab dengan penuh mesra. Mahu tidak mahu telinga saya tetap terpasang untuk mendengar perbualan mereka, maklum sahajalah jarak meja kami terlalu dekat. Kalau letak penghadang pun confirm boleh dengar, hehhe. Perbualan mereka adalah perbualan biasa. Bercakap tentang kehebatan pensyarah dan berbincang tentang tesis yang perlu disiapkan. Agak lama juga mereka berbual-bual akhirnya pak arab pun meminta diri. Dalam pada pak tua mengalihkan pandangannya ke laptop untuk menyambung taipan tesisnya, datang pula seorang anak muda Indonesia menegur. Wah! Lagi mesra dari pak Arab tadi, maklumlah satu negara dan memegang bendera yang sama. Mereka berbual di dalam bahasa Arab, kemudian bertukar bahasa Indonesia. Masih membincangkan topic yang sama iaitu tentang tesis.

Daripada perbualan mereka saya dapati bahawa pak tua yang layak juga saya panggil atuk itu, bukan orang sebarangan. Tentu sahaja dia dihormati anak-anak muda Indonesia yang belajar di UKM. Dari cara perbualan mereka, saya dapat lihat dan rasakan betapa anak muda Indonesia itu begitu merendah diri berbual dengan pak tua. Suaranya rendah, sopan-santun dan begitu berhati-hati. Perbualan mereka bagaikan perbualan seorang bapa dengan anak. Pak tua mendengar dengan penuh perhatian dan kadangkala mengangguk-angguk pada penerangan anak muda mengenai tesis yang akan dihasilkan olehnya. mmm…”budak muda ni pun bukan calang-calang orang ni, dari perbualan yang saya dengar walaupun dia setakat belajar di Indonesia tetapi boleh bertutur bahasa Arab dengan fasih. Lepas tu..dia nak kaji novel Arab lak tu,adui…mesti Balaghah (sastera Arab) terror ni. Satu percubaan yang cukup berani!”, detik saya di dalam hati. “Eh,tapi budak-budak Indonesia rata-ratanya memang berani.Tak hairanlah!”, kata saya lagi dalam hati.

Selesai perbualan mereka, anak muda meminta diri untuk meneruskan usaha mencari novel-novel Arab. Pak tua menatap kembali laptopnya. Dia membaca ayat demi ayat seperti orang berbisik-bisik dengan penuh fokus. Kemudian kedengaran azan asar berkumandang. Tiba-tiba dia menoleh ke arah saya. (Takut jugak saya …siapalah tahu dia nak marah saya sebab asyik sibuk perhatikan dia dari tadi..hehe) Saya hanya tersenyum biasa kepadanya. Dia membalas senyuman saya kembali lalu bangun dan mengemas barang-barang di atas mejanya. Saya tahu dia ingin pulang. Barangkali dia ketandusan idea untuk menaip tesisnya dan kebetulan sudah masuk waktu asar, mungkin juga dia sudah keletihan.

Sedang mata saya menghantar pak tua keluar dari library, terlintas di pemikiran saya persoalan demi persoalan yang saya ajukan kepada diri saya sendiri. Adakah jika saya sudah berusia setua itu saya masih tetap mahu memerah otak untuk menghasilkan tesis seperti pak tua itu? (dan waktu itu, bila orang nampak saya mereka gelarkan saya saya nenek tua, tak? macam mana saya gelarkan pak tua tu..heh) Saya yakin pak tua itu bukan membuat tesis untuk peringkat sarjanamuda atau peringkat sarjana tetapi tentu sahaja penghasilan tesisnya untuk peringkat Doktor Falsafah. Usia senja yang seharusnya dihabiskan bersama keluarga dan untuk bersantai digunakan untuk menelaah kitab dan duduk bersengkang mata di hadapan laptop. Mampukah saya menjadi seperti pak tua yang mana dapat saya rasakan dirinya mempunyai semangat juang yang begitu tinggi untuk menimba ilmu Islam walaupun pada usia yang sedang berbaki (senang kata, umpama rumah kata pergi kubur kata mari)? Bagaimana pula ketika saya sudah berusia seperti pak tua, adakah orang di sekeliling saya tetap merasakan saya seperti anak muda yang sekali pandang seperti tidak ada apa-apa pengalaman dan keistimewaan? Jika saya tidak menjadi seperti pak tua, saya menjadi apa pula pada usia seperti itu?

mmm…akhirnya saya sendiri berkerut dahi memikirkan jawapan pada persoalan yang saya cipta sendiri. Hidup ini sememangnya payah. Tetapi pak tua Indonesia itu telah memperlihatkan kepada saya bahawa kepayahan hidup boleh menjadi senang jika kita yakin dengan bantuan Allah s.w.t. Belajar tidak pernah mengenal usia selagi kita melakukannya kerana Allah.

Semangat saya yang tidak pernah padam ini semakin bersemangat untuk meneruskan perjuangan. Jika pak tua itu mampu bersengkang mata untuk tesisnya mengapa saya yang masih muda ini perlu memberi banyak alasan untuk duduk menyelesaikan kajian saya? Sungguh..pak tua itu telah menambahkan inspirasi untuk saya terus maju kehadapan. Terima kasih pak tua!

Selesai penulisan pada jam 10.05 malam
6 Februari 2008

05 February, 2008

Air mata saya hampir tumpah..mujur saya masih ingin bersabar.
Seharian saya di library untuk melayari laman web dorar, tapi ia tetap tidak boleh berfungsi seperti biasa. Aduh! kepala saya pening secara tiba-tiba! Jika saya tidak dapat melayari laman web tersebut, ini bermakna proses menyelesaikan latihan ilmiah saya akan tertunda.

Dari pagi tadi hinggalah ke petang ini, ia tetap sama!
Jeritan kegelisahan saya hanya mampu saya luah di dalam hati.

Selagi saya tidak dapat melayari laman web itu, bermakna bab 4 saya tidak boleh diteruskan.Jika bab 4 saya tidak lagi sempurna, ini juga bermakna bab 5 saya juga tidak boleh dimulakan.

Ya Allah...bantulah hamba-Mu.
Rabbi Yassir Walaa Tuassir...

Oleh Sakinah Saptu

PENGENALAN

Kitab Muntakhab al-Kalam Fi Tafsir al-Ahlam yang dinisbahkan kepada Abu Bakar Muhammad Ibn Sirin mengandungi 59 bab yang membincangkan mengenai ta’bir mimpi sama ada mimpi itu adalah mimpi yang buruk ataupun mimpi yang baik. Ia disusun bab demi bab dimulai dengan bab seorang hamba melihat dirinya di tangan Allah s.w.t di dalam tidurnya dan di akhiri dengan bab menyebut kisah-kisah mimpi sebahagian orang-orang saleh r.a.

Kitab ini dimulai dengan mukaddimah kitab kemudian diikuti dengan khutbah kitab. Perkara-perkara yang dibahaskan di dalam mukaddimah kitab ialah:

1- Ta’bir mimpi yang pelbagai
2- Kaedah umum dalam menta’bir mimpi
2.1 Adab ta’bir mimpi
2.2 Waktu dalam menta’bir mimpi
2.3 Mimpi yang boleh dipercayai
2.4 Beberapa prinsip penta’bir dalam menta’bir mimpi
2.5 Mentafsir mimpi berdasarkan watak, waktu dan kebiasaan
3- Kedudukan roh dan jiwa dalam mimpi
4- Mentafsir mimpi dengan Nama, makna dan peribahasa yang sering dipakai
5- Mimpi yang paling benar
6- Perkara yang perlu dilakukan ketika bermimpi sesuatu yang tidak disukai (mimpi buruk)

Manakala di dalam khutbah kitab pula ia membincangkan mengenai perkara-perkara berikut:
1- Hakikat mimpi dalam ilmu syariat
2- Hal-hal yang diperlukan oleh orang yang bermimpi untuk membuktikan kebenaran mimpinya
3- Dua jenis mimpi yang hak dan yang batil
4- Adab penta’bir mimpi

Abd al-Rahman al-Juzu menyatakan di dalam kitab tahqiqnya bahawa manuskrip kitab ini terdapat di Dar-al-Kutub, Mesir dan Iskandariah. Kitab ini juga telah di cetak di Bulaq pada tahun 1284H dan pada tahun yang sama juga ia telah dijadikan sebagai هامش (catatan ditepi kitab) untuk kitab Ta’thir al-Anam oleh al-Nablusi yang mana telah diulang cetak beberapa kali di Lucknow pada tahun 1874M dan di Bombay pada tahun 1296H. Kitab ini juga telah diulang cetak dengan versi yang baru (disusun semula untuk memudahkan pembacaan) dan diterbitkan oleh beberapa penerbit di Beirut, Damsyik dan Kahirah(1). Malah kitab ini juga telah ditahqiq dan diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa seperti Bahasa Melayu, Inggeris, Indonesia dan kemungkinan juga di dalam bahasa-bahasa yang lain.

MENGAPA IA DIKATAKAN KITAB YANG DINISBAHKAN KEPADA IBN SIRIN

Perlu diketahui bahawa Kitab Muntakhab al-Kalam Fi Tafsir al-Ahlam yang dinisbahkan kepada Ibn Sirin adalah nisbah yang salah, malah dengan mengatakan ia sebagai kitab karangan Ibn Sirin juga merupakan satu kenyataan yang silap. Ia sebenarnya adalah karangan Abu Sa’ad (Sa’id) Abd al-Malik al-Wa’iz al-Kharkusyi. Nama kitabnya pula ialah al-Basyarah Wa al-Nadharah. Kesalahan menisbahkan kitab ini kepada Ibn Sirin ataupun mengakui ia adalah hasil karya Ibn Sirin telah diikuti dari zaman ke zaman hinggalah pada hari ini.

Abd Al-Rahman al-Juzu telah menyenaraikan dengan jelas bukti yang menunjukkan bahawa ia bukanlah kitab karangan Ibn Sirin dan ia hanya sebuah kitab yang dinisbahkan kepada beliau itupun dengan nisbah yang salah. Menurut Abd al-Rahman dengan meneliti kitab itu sendiri dapat dilihat tanda-tanda yang jelas bahawa sebahagian atau beberapa bahagian daripada kitab tersebut bukanlah daripada Ibn Sirin. Ini kerana di dalam kitab itu menyebut nama-nama mereka yang lahir, hidup dan juga meninggal dunia selepas Ibn Sirin meninggal dunia dengan jarak masa yang begitu jauh, ataupun di dalam kitab tersebut ada menyatakan kisah-kisah yang berlaku pada zaman selepas Ibn Sirin(2). Di antara contohnya ialah:

1- Di dalam khutbah kitab tersebut sering menyebut nama Abu Sa’id al-Wa’iz, contoh:

قال الأستاذ أبو سعيد الواعظ رضى الله عنه) أما بعد فإنه لما كانت الرؤيا الصحيحة في الأصل المنبئة عن حقائق الأعمال منبهة على عواقب الأمور

Kata-kata ini yang sering disebut di awal kebanyakan perenggan menunjukkan dengan jelas bahawa kitab ini adalah dari hasil himpunan atau penulisan Abu Sa’id al-Wa’iz.

2- Terdapat di dalam khutbah kitab nama-nama berikut:

الأصمعي عن ابن المقدام
اسحاق بن ابراهيم الموصلي
جعفر بن جعفر بن محمد الفريابي


Al-Asma’iy lahir pada tahun 122H, Ishaq al-Musli lahir pada tahun 155H, Ja’far bin Muhammad al-Faryabi pada tahun 257H sedangkan Ibn Sirin meninggal dunia pada tahun 110H. Bagaimana pula Ibn Sirin boleh meletakkan nama mereka di dalam penulisannya sedangkan ketiga orang tersebut belum lagi lahir sewaktu Ibn Sirin masih hidup?

3- Kitab ini meriwayatkan daripada al-Kirmani, al-Salimi dan al-Qairawani. Mereka adalah ulama’ selepas Ibn Sirin. Ishaq al-Kirmani contohnya merupakan ulama’ pada kurun ke empat hijrah manakala al-Salimi adalah di kalangan ulama’ kurun ke lapan hijrah.

4- Di dalam kitab ini juga memuatkan mimpi yang dilihat oleh mereka yang hidup selepas Ibn Sirin, antaranya:

1- Di dalam bab 2:

Daripada Abu al-Wafa’ al-Farisi al-Harawi telah berkata: “Aku telah melihat al-Mustafa s.a.w di dalam tidur di Farghanah pada tahun 360H”.

Teks ini menyatakan bahawa Abu al-Wafa’ telah bermimpi melihat Rasulullah s.a.w di dalam tidurnya pada tahun 360H, sedangkan pada tahun tersebut Ibn Sirin sudah meninggal dunia. Dengan itu, bagaimana kitab ta’bir ini boleh dikatakan salah satu daripada karya Ibn Sirin?.

2- Di dalam bab 23:

“Dan amir al-Mukminin Harun al-Rasyid telah bermimpi…”
Di dalam kitab ini juga menyebut nama Harun al-Rasyid yang lahir pada tahun 149H sedangkan Ibn Sirin meninggal dunia pada tahun 110H.

3- Dalam bab 31:

“Dan diceritakan bahawa Al-Syafi’i r.a bermimpi di dalam penjara seolah-olah dia di salib…”

Di kitab ini juga menyebut nama Imam al-Syafi’i sedangkan beliau lahir pada tahun 150H.

4- Di dalam bab 43:

Abu Ubaidah telah berkata: “Aku bermimpi pelita masjid terpadam, maka Mus’ir bin Kidam telah meninggal dunia…”

Di dalam kitab ini juga menyebut nama Abu Ubaidah yang lahir pada tahun 110H sedangkan pada tahun yang sama Ibn Sirin meninggal dunia dan ia juga menyebut nama Mus’ir bin Kidam yang meninggal dunia pada tahun 152H.

Daripada kenyataan dan contoh-contoh yang dikemukakan oleh Abd al-Rahman al-Juzu, dapat diakui bahawa penisbahan kitab ini kepada Ibn Sirin adalah satu nisbah yang salah kerana kebanyakan daripada isi kandungannya bukanlah daripada Ibn Sirin, apatahlagi setelah dikaji semula kita dapati kitab ini dihasilkan pada jarak masa yang jauh selepas Ibn Sirin, iaitu ia dihasilkan atau dikumpulkan oleh Abu Sa’id al-Wa’iz yang meninggal dunia pada tahun 407H.

Mengenali Pengarang Sebenar Kitab Tafsir Mimpi Ibn Sirin

Beliau ialah Abu Sa’ad (Sa’id) Abd al-Malik bin Abu Uthman Muhammad bin Ibrahim, al-Naisaburiyy al-Wa’iz. Beliau merupakan seorang zuhud yang lebih dikenali dengan nama al-Kharkushi(3).Di dalam kitab Siyar A’lam al-Nubala’ menyatakan beliau sebagai al-Imam Qudwah dan Syaikh al-Islam.

Al-Kharkushi telah mengarang kitab (دلائل النبوة), kitab (التفسير), kitab (الزهد) dan lain-lain(4). Al-Hakim berkata:


“Sesungguhnya aku tidak melihat (selain al-Kharkushi) yang mengumpul padanya ilmu, zuhud, tawadhu’, menunjuk ke jalan Allah dan kepada kezuhudan di dunia, Allah menambah padanya taufik, dan menggembirakan kami dengan hari-harinya. Sesungguhnya hasil karyanya telah tersebar di kalangan muslimin”(5)

Al-Khatib pula berkata: “Al-Kharkushi adalah seorang yang thiqah, wara’ dan saleh”(6).

Dinyatakan bahawa orang-orang fakir di dalam majlisnya dilayan seperti para pemimpin. Beliau juga membuat kopiah dan menjualnya. Selain daripada itu, beliau juga membina madrasah dan rumah untuk orang sakit lalu mewakafkan keduanya dan mewakafkan sebuah peti besi yang besar berisi buku-buku.

Muhammad bin Ubaidullah al-Sarim berkata: Aku melihat al-Ustaz Abu Sa’ad al-Zahid di Musalla ketika mengimamkan solat Istisqa’, aku mendengarnya berdoa’(7):

إليك جئنا و أنت جئت بنا وليس رب سواك يغنينا
بابك رحب فناؤه كرم تؤوي إلى بابك المساكينا


Ibn ‘Asakir berkata beliau adalah seorang Asy’ari. Beliau meninggal dunia pada bulan Jamadil awal pada tahun 407H.

METODOLOGI PENULISAN

Setiap penulisan buku mempunyai metodologinya yang tersendiri. Metodologi penulisan sebuah buku itu mampu memperlihatkan keistimewaan dan kelemahan yang terdapat pada hasil karya seorang penulis. Untuk metodologi penulisan kitab Muntakhab al-Kalam Fi Tafsir al-Ahlam, pengkaji memberikan perhatian dari sudut gaya bahasanya, keistimewaan dan kelemahannya.

(1)Gaya Bahasa

Kitab ini menggunakan bahasa yang mudah untuk difahami. Ia tidak menggunakan bahasa sastera yang tinggi. Jika ada pun, ia hanya menggunakan perkataan-perkataan yang agak sukar untuk difahami. Keadaan ini dapat dilihat apabila banyak pentahqiq kitab ini seperti Abd al-Rahman al-Juzu, Yusuf al-Shaikh Muhammad, Saleh Uthman Abd al-Hamid, Samar Muhammad Dahir, dan Zuhair Syafiq al-Kabby tidak mengabaikan dalam memberikan makna atau menjelaskan maksud beberapa perkataan-perkataan yang terdapat di dalam kitab ini, malah ada juga di antara mereka yang hanya menumpukan kepada aspek ini sahaja untuk kitab tahqiq mereka.

Di samping itu pengkaji melihat ia lebih menggunakan teknik straight to the point kepada mimpi-mimpi yang dita’birkan. Tidak ada penerangan yang lebih terperinci diberikan kepada setiap mimpi yang dita’bir. Ia hanya mengemukakan objek ataupun perkara yang dimimpikan lalu memberikan makna mimpi tersebut. Sebagai contoh, di dalam bab 1 menyatakan:

قال الأستاذ أبو سعيد رضي الله عنه : من رأى في منامه كأنه قائم بين يدى الله تعالى و الله تعالى ينظر إليه فإن كان الرائى من الصالحين فرؤياه رؤيا رحمة

Di dalam kenyataan di atas, Abu Sa’id mengatakan sesiapa yang bermimpi di dalam tidurnya seoalah-olah ia berada di hadapan tangan Allah s.w.t dan Allah s.w.t melihatnya dan jika sekiranya yang bermimpi itu adalah di kalangan orang yang saleh maka mimpinya adalah mimpi rahmat. Banyak lagi contoh-contoh lain yang boleh didapati di dalam kitab Muntakhab tentang teknik straight to the point ini.

(2) Keistimewaan

Kitab Muntakhab al-Kalam Fi Tafsir al-Ahlam mempunyai banyak keistimewaannya. Ia bukan sekadar sebuah kitab yang memainkan peranannya untuk menta’birkan mimpi, tetapi ia juga banyak membahaskan mengenai ilmu menta’bir mimpi dari sudut syariat. Perbahasan ini seperti mana yang telah disebut oleh pengkaji di dalam pengenalan bab ini boleh didapati di dalam mukaddimah kitab dan khutbah kitabnya(8).

Manakala jika hendak dibandingkan kitab ini dengan Kitab Ta’thir al-Anam Fi Ta’bir al-Manam oleh al-Nablusi dan Kitab al-Isyarat Fi Ilmi al-‘Ibarat oleh Ibn Syahin, kitab Muntakhab lebih mempunyai keistimewaannya. Ini kerana ia sering diutarakan atau dikemukakan sebagai kitab ta’bir mimpi yang berpandukan kepada al-Quran dan al-Sunnah lantaran terdapat ta’biran mimpinya yang disertai bersama ayat al-Quran atau al-hadith(9). Malah bukan itu sahaja, bahkan ianya juga sering memuatkan pendapat-pendapat yang bersanad yang menceritakan mimpi mereka serta maksud daripada mimpi tersebut.

(3) Kelemahan

Abd Rahman al-Juzu menyatakan bahawa walaupun kitab ini dikatakan berpandukan kepada al-Quran dan al-Sunnah, kebanyakan daripadanya tidak mempunyai kaitan langsung dengan apa yang dita’birkan oleh penulis kitab(10). Bahkan melalui pemerhatian pengkaji pula tidak semua ta’bir mimpi disertakan dengan dalil-dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah, ada juga ta’bir mimpi yang kebanyakannya hanya berdasarkan daripada kata-kata penulis sahaja yang dimulakan dengan ayat ini:

(قال الأستاذ أبو سعيد الواعظ رضى الله عنه)

Perkara ini boleh dikira sebagai perkara yang melemahkan penulisan kitab ini. Tambahan pula, kitab ini juga memuatkan hadith-hadith yang tidak dinyatakan hukum hadithnya.

Kitab ini juga sering membahaskan mengenai perkara yang sama secara berulang-ulang di dalam bab yang berbeza. Ia juga tidak mempunyai penditilan untuk setiap bab yang dikemukakan. Manakala tajuk babnya diletakkan dengan tajuk yang panjang agar setiap inci perkara yang dibahaskan dimuatkan di dalam tajuk-tajuknya.

Dari segi susun aturnya pula, sepertimana kitab-kitab lama yang lain, ia tidak mempunyai perenggan, tanda koma dan noktah.

KESIMPULAN

Melalui perbahasan tadi, dapat dikenalpasti bahawa kitab ini bukanlah hasil karya Ibn Sirin. Hakikatnya ia merupakan sebuah penulisan atau himpunan yang diusahakan oleh al-Kharkushi. Pengkaji berpendapat bahawa perkara ini perlu diambil perhatian oleh setiap penterjemah, pentahqiq dan penyusun kitab muntakhab agar kesilapan ini dapat dijelaskan di dalam hasil kerja mereka sebagai maklumat kepada pembaca kitab ta’bir mimpi yang popular ini.

Keistimewaan kitab ini dilihat dari sudut isinya yang dikatakan berpandukan kepada al-Quran dan al-Hadith. Kitab ini juga dianggap istimewa kerana ia bukanlah kitab ta’bir mimpi semata tetapi ia turut memuatkan perbahasan yang amat menarik berkenaan ilmu ta’bir mimpi dari sudut syariat. Namun begitu, ia juga tidak lari dari kelemahan-kelemahan (sepertimana yang telah dinyatakan pada perbahasan di atas) sebagai sebuah kitab tua yang dihasilkan beribu tahun dahulu.
_________________________________________________________________

(1) Al-Juzu, Abd Al-Rahman, Muntakhab al-Kalam Fi Tafsir al-Ahlam, Dar Maktabah al-Hayah, Beirut, 1995, hlm 20-21.
(2) Ibid, hlm 22.
(3) Kharkushi merupakan sebuah nama jalan yang terdapat di bandar Naisabur.
(4) Al-Dhahabi, Syams al-Din Muhammad bin Ahmad, Siyar A'lam al-Nubala’, Muassasah al-Risalah, Beirut, 1990, Juz 17, hlm 162.
(5) Ibid.
(6) Ibid.
(7) Ibid.
(8) Rujuk pada bahagian Pengenalan.
(9) Ayat-ayat al-Quran lebih banyak dimuatkan jika dibandingkan dengan al-Hadith.
(10) Al-Juzu, hlm 21.


Nota:
Artikel ini merupakan salah satu bab yang terkandung di dalam Latihan Ilmiah (tesis) penulis bertajuk 'Kajian Hadith Kitab Muntakhab al-Kalam Fi Tafsir al-Ahlam Yang Dinisbahkan Kepada Muhammad Ibn Sirin’. Latihan Ilmiah ini masih dalam proses untuk diselesaikan dan artikel ini telah diadaptasi daripada salah satu bab yang telah disemak oleh Dr Azwira Abd Aziz, pensyarah kanan Jabatan al-Quran dan al-Sunnah yang bertindak selaku penyelia penulis dalam menghasilkan kajian ini. Latihan ini perlu diselesaikan sebagai salah satu syarat untuk memiliki Ijazah Sarjanamuda Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. Semoga maklumat yang terdapat di dalam artikel ini, sedikit sebanyak memberikan manfaat kepada semua. Sekian Wallahua’lam.

04 February, 2008

Segalanya sepi
Tiada sms hadir ke dalam inbox HP
Tiada suara yang memanggil 'kak Sakinah'
Tiada pun manusia bernama kawan yang dikenali di PTSL,Pusanika dan FPI
Terlalu sepi....
Sendiri di dalam kamar cinta
Merayu rindu pada yang Esa
Meneruskan perjuangan yang bagai tiada noktahnya
Walau perlu bersendiri berteman sepi!

02 February, 2008

Saya tersenyum bila mengingatkan bait kata tersebut. Sebenarnya saya sendiri tidak menyangka kata-kata itu boleh terkeluar dari mulut saya. Ia saya ucapkan tanpa disengajakan kepada seorang adik yang sedih untuk duduk jauh dari emaknya. Kami sama-sama ketawa dengan bait ayat yang saya ucapkan itu.

“Itu dia..madah Islami kak Sakinah” kata Syuhada’ sambil tersenyum kepada saya.

“Hah!nak sindir aku lah tu! yelah..akak sorang je faham apa yang akak cakap tadi. Eh mesti kalau orang dengar dia pening,kan? Apa benda ‘meninggalkan tak bererti meninggalkan’.Pelik je..bunyi ayat tu”, kata saya sambil mengerutkan dahi.

“Tulah..dahlah perkataan ‘meninggalkan’ ada dua. Susah nak faham”

Kami ketawa dengan tertahan-tahan dek memikirkan ayat yang pelik tersebut. Maklumlah, ketika itu kami berbual di kawasan bilik pensyarah Jabatan Pengajian al-Quran dan Al-sunnah, jadi mana mungkin kami akan mengeluarkan tawa yang kuat. Lain lah kalau di dalam bilik sendiri.hehe.

Bila saya fikir-fikir semula, sebenarnya kata-kata itu mengandungi maksud yang mendalam. Jauh di sudut hati ini amat mengerti betapa meninggalkan orang dan apa yang kita sayang sememangnya amat menyakitkan. Tetapi diri saya yang sering bersikap seperti tidak ada apa-apa yang berlaku kepada diri saya, amat sukar untuk dimengertikan oleh orang lain, adakah saya suka atau duka?

Kalau ikutkan hati, saya tidak mahu meninggalkan mak dan abah saya di kota Singa. Kalau ikutkan hati juga saya lebih-lebih lagi tidak mahu meninggalkan suami saya yang terlalu saya hormati dan kasihi menjalani kehidupan seperti orang bujang di kota metropolitan itu. Bukan itu sahaja, malah banyak perkara yang sukar untuk saya lepaskan dan tinggalkan semata-mata ingin meneruskan perjuangan dalam menuntut ilmu.

Berat..terlalu berat untuk saya. Namun dengan hati yang berat itu juga saya meninggalkan semuanya. Saya selalu meyakinkan diri saya bahawa meninggalkan mereka demi menimba ilmu Allah tidak akan mengecewakan saya. Atas dasar itu perpisahan ini tidak mengundang kegelisahan. Saya bersyukur kerana meninggalkan mereka telah mendidik jiwa saya untuk lebih mujahadah, untuk lebih berdiri di atas kaki sendiri, untuk lebih menjadi anak perempuan dan seorang isteri yang kesabaran dan kekuatannya begitu tinggi dan yang paling bererti buat saya meninggalkan mereka telah mendidik saya untuk lebih bergantung harap hanya kepada Allah s.w.t pada setiap masa dan ketika. Allahu Akbar Walillah hil hamd!

Saya suka duduk jauh daripada mak, abah dan juga suami bukan bermakna saya suka meninggalkan mereka. Ketika berada jauh daripada mereka, ia telah mengajar saya untuk lebih menghargai apabila berdekatan dan meninggalkan mereka juga mengajar saya betapa indahnya sebuah kasih sayang. Selalunya fitrah manusia, bila yang disayangi berada di hadapan mata jarang sekali untuk menghargai tetapi apabila sudah jauh dari pandangan, baru mahu menyedari betapa yang disayangi itu amat berharga sekali. Benarlah, makin jauh makin sayang.

Saya selalu merasa bahawa dengan meninggalkan mereka saya telah mengabaikan tanggungjawab saya sebagai anak dan isteri. Perasaan itu seringkali membuatkan hati ini terasa sayu lalu air mata jua menjadi pengubat kesayuan. Untuk menguatkan semangat saya yang dihambat dengan perasaan ini, saya mengatakan kepada diri saya bahawa ‘selagi redha dan doa mereka bersama saya dalam perjuangan ini, itu bermakna mereka tidak merasakan saya meninggalkan tanggungjawab saya’. Meninggalkan tidak bererti meninggalkan. Meninggalkan mereka membuatkan saya tidak meninggalkan mereka di dalam doa saya. Tanggungjawab saya di kejauhan ini adalah mendoakan mereka,mendoakan mereka dan terus mendoakan mereka.

Moga perjuangan saya menuntut ilmu Allah ini mendidik saya menjadi anak solehah yang lebih mengenang budi mak dan abah, lebih membalas bakti mereka, lebih menghormati mereka dan lebih mengingati mereka di dalam doa saya. Moga perjuangan ini juga mendidik saya menjadi isteri solehah yang lebih menyayangi, lebih merendah diri, lebih menjunjung budi dan lebih berbakti kepada insan bernama suami.

Saya sentiasa sedar walau saya meninggalkan mereka, tidak bermakna saya meninggalkan mereka. Ini kerana saya membawa nama baik keluarga dan juga suami di mana sahaja kaki saya memijak. Maka tanggungjawab saya adalah menjaga maruah diri, suami dan keluarga walau beribu batu saya berada daripada mereka.

Di Kejauhan ini ku sulam rindu
Menanti hari untuk bertemu
Walau ku tahu pahit bagai hempedu
Ku lalui jua demi Ilmu.