30 January, 2008

Entah mengapa malam ini waktu seakan bergerak terlalu lambat bagi saya. Padahal saya tidak menantikan apa-apa pada malam ini. Saya sedang duduk bersantai menghadap laptop dan melihat-lihat gambar-gambar yang ada di dalam laptop saya. Melihat gambar-gambar tersebut membuatkan saya tersenyum-senyum. Benarlah, sekeping gambar itu mampu mengungkap pelbagai rasa yang sukar untuk diungkap dengan kata-kata. Mata saya memandang jam bujur berwarna biru di atas meja belajar saya - 8.20 malam. Mmm…masih awal lagi rupanya. Kenapa dengan saya ini atau saya tak sabar nak tunggu esok? Entahlah…tapi saya memang macam ni, kalau duduk saja-saja rasa masa macam lambat je…kalau sedang sibuk dengan tugasan kadang-kadang nak bangun pergi tandas pun rasanya macam buang masa...hehheh melampau, kan saya ni?

Contohnya macam siang tadi, saya mengurung diri saya di dalam library dari jam 9.00 pagi hingga ke jam 4.30 petang. Pecah rekod saya hari ini! Sepanjang di UKM inilah pertama kali saya duduk library dengan masa yang paling lama. Saya duduk di atas kerusi library tak bergerak-gerak sibuk menilik dari satu kitab ke satu kitab. Di atas meja penuh dengan kitab-kitab rujukan hadith yang saya kumpul dari rak-rak buku sebelum saya duduk menelaah satu persatu. Setiap kali kawan-kawan saya lalu di meja saya, mesti ada yang menegur: “Banyak nya buku!!! Tingginya buku!!!!” Saya tidak mampu berkata apa melainkan memberi respon dengan senyuman saya kepada mereka.
Kawan-kawan saya yang tiba awal bersama-sama saya di library akhirnya seorang demi seorang berundur diri meninggalkan saya. Tinggallah saya sendirian meneruskan kerja-kerja saya. Saya menahan lapar dan dahaga macam orang berpuasa, sambil mengatakan pada diri saya “Sabar,sakinah. Sikit lagi.sikit lagi. Sabar.Fokus!”

Sebenarnya saya macam dah nak tumbang di meja library, kalau tidak kerana kesabaran dan semangat saya yang masih kukuh dalam diri, memang saya tumbang juga tadi! Tapi akhirnya, berkat kesabaran itu saya berjaya juga mentakhrij kesemua hadith-hadith saya petang tadi. Alhamdulillah. Saya sudah mampu menarik nafas lega!. Kini tugas saya menjadi mudah sedikit, saya sudah boleh fokus untuk membuat perbandingan hadith dan mencari hukum untuk hadith-hadith yang tidak terkandung di dalam sahih al-Bukhari dan Muslim. Mengapa saya cuma perlu mencari hukum untuk hadith-hadith yang tidak terkandung di dalam sahih al-Bukhari dan Muslim? Sebabnya mudah sahaja, kalau yang sudah tersenarai di dalam sahih al-Bukhari dan Muslim, hukumnya sudah disepakati ulama’ hadith sebagai sahih.

Kerja keras saya dalam mengkaji hadith ini akan berterusan hingga cuti pertengahan semester. Cuti semester ini saya tidak pulang ke Singapura lantaran saya berazam untuk menyelesaikan kajian saya. Apabila semuanya sudah selesai kerja-kerja untuk meng’edit’ semula kajian saya akan menjadi mudah, saya tinggal tambah apa yang kurang, membetulkan apa yang tersalah dan membaiki apa yang disarankan oleh penyelia saya.

Bercakap tentang kerja kajian ilmiah saya ini, kadang-kadang membuatkan saya terfikir-fikir mengenai persoalan-persoalan yang diajukan oleh kebanyakan rakan-rakan saya. Ramai yang bertanya kepada saya : “Saya dengar Kak Sakinah dah siap latihan ilmiah, ye?” Eh, siapa pula yang kata ni? orang tak tahu ke, saya sebenarnya sedang pening kepala fikir macam mana nak selesaikan kajian saya.

Ada soalan yang paling pelik lagi: “Saya dengar Kak Sakinah menulis dalam bahasa Arab ye?” hehehhe,soalan ini lah yang buat saya macam nak pecah perut tahan ketawa. Aduiii..nak suruh saya menulis dalam bahasa Arab ke? Pengsan lah saya. Kalau betul lah, saya rasa saya tak sempat nak habiskan penulisan tesis saya. Penyelia saya baca penulisan saya terus beliau akan berkata: “awak tak payah grad lah sem ni, tunda sem depan, tak de masa saya nak periksa. Bahasa tinggi sangat” hahaha.

Aduiii… Pelik lah, mana saja budak-budak ni dapat cerita. Saya ingat khabar angin tentang penulisan saya itu hanya berlegar di kalangan student perempuan sahaja. Rupa-rupanya student lelaki pun dapat berita yang sama. Semasa Mesyuarat Agong Jannah kelmarin, Ezwan yang menemankan saya mengeluarkan duit di Atm BCB, bertanyakan dengan 2 soalan yang serupa. Saya pun tergelak mendengarnya. Saya bertanya kembali kepadanya “Mana awak dengar cerita ni?”

“Ada lah..dari sumber-sumber yang boleh dipercayai”

Saya hanya tersenyum. Dia tidak berpuas hati. Diajukan kepada saya persoalan yang sama tetapi dengan gaya bahasa yang berbeza.

“Betul ke? akak dah selesai tulis tesis?dalam bahasa Arab ye,kak?”

Saya tersenyum lagi lalu saya menjawab:
“Tak lah.baru sampai bab 4. Lagi baki satu bab je. Tulis dalam bahasa Melayu.Rujukan semua dalam bahasa Arab, itu yang betul. Apa yang awak dengar tu,salah”

“Alah..kira bahasa Arab lah tu, rujukan semua bahasa Arab..akak kena terjemah.”

‘Oh..macam tu,ke? Maknanya kalau rujukan saya semuanya dalam bahasa Arab, kira saya menulis dalam bahasa Arab ke? walau saya terpaksa menterjemah ke dalam bahasa melayu untuk menulis?’ detik saya di dalam hati. Alahh..malas lah saya nak layan khabar angin ni. Pelik lah,saya. Ada sahaja cerita yang nak direka tentang saya.hai…

Apapun, kepada adik-adik saya yang kini sedang pening kepala dalam usaha menyiapkann kajian masing-masing, saya mendoakan yang terbaik untuk semua. Perancangan masa yang baik, sabar, disiplin dan doa adalah kunci untuk kita membuka pintu kejayaan. Sekarang bukan masanya untuk kita duduk berehat di atas katil dan berangan-angan seolah-olah duduk di atas awan. Jika selama ini kita tertidur, maka bangunlah dari tidur itu dan aturlah strategi untuk bergerak dengan lebih pantas. Ingat-ingat bahawa masa kita tidak lama untuk berada di penghujung semester. Kita hanya tinggal 2 bulan untuk berusaha. April peperiksaan akan membuka tirainya. Dengan itu, susah-susahkanlah diri kita bermula dari sekarang agar di kemudian hari kita boleh tersenyum dengan senang tanpa menyalahkan diri sendiri di atas setiap kelewatan yang kita cipta sendiri.

Oklah, hingga di sini sahaja.Masa saya untuk melelapkan mata sudah tiba. Esok banyak lagi perkara dan tugas yang menanti saya. Insya Allah, kita jumpa lagi di post yang lain. Salam kasih dari saya di bilik 202 blok 8U Kolej Ungku Omar UKM ;)

10.55 malam
29 Januari 2008

25 January, 2008

Sepatutnya saya sudah dibuai mimpi pada waktu ini, tetapi keinginan saya untuk mencoretkan apa yang terbuku di jiwa saya lebih kuat dari keinginan saya untuk berada di atas katil. Apa yang saya lihat dan saksikan sebentar tadi terlalu mendesak saya untuk duduk di depan komputer ini walau saya sepatutnya perlu berehat untuk persediaan kelas memandu pada esok pagi.

Sebenarnya saya baru sahaja pulang dari Mesyuarat Agong Tahunan Jannah ke-5 (Kelab Jabatan al-Quran dan al-Sunnah). Di sana saya menyaksikan siswa dan siswi yang hebat-hebat dalam hal kepimpinan. Mereka berani dalam berhujjah dan mereka lantang menyuarakan persoalan, cadangan dan pandangan sehinggakan apa sahaja yang terkandung di dalam minit mesyuarat dipersoalkan walaupun kemusykilan mengenai kewujudan angka lima sen pada laporan kewangan Kelab. Kagumnya saya! Mereka terlalu peka dan mereka terlalu inginkan ketelitian di dalam soal kepimpinan.



Namun begitu hati saya tiba-tiba menjadi tawar. Apa yang saya lihat sukar untuk saya percaya sebenarnya. Ini kerana suasana bertukar pendapat dan mementingkan ketelitian itu tidak wujud di dalam sesi pembelajaran yang berlangsung baik di dalam dewan kuliah mahupun perbincangan tutorial.Wajah-wajah berani menyuarakan pendapat dan pandangan kadangkalanya adalah manusia berat mulut di dalam sesi perbincangan ilmiah, lebih-lebih lagi apabila diterjah oleh pensyarah dengan persoalan demi persoalan. Saya menjadi pelik. Adakah dunia kepimpinan dan pembelajaran merupakan dua situasi yang berbeza sedangkan keduanya menuntut perbincangan dan penukaran fikrah di antara satu sama lain?



Yang Mana Lebih Penting?

Bila saya amati perbincangan ilmiah kelihatan lebih hambar dan lebih tidak bermaya jika hendak dibandingkan dengan perbincangan di dalam mesyuarat persatuan. Di dalam kuliah dan tutorial, siswa dan siswi lebih banyak mendengar dan berdiam diri. Apabila ditanya pendapat, lambat sekali untuk memberikan respon dan apabila didesak baru ada yang bersuara tetapi itupun masih di dalam keadaan yang tidak berkeyakinan. Akibatnya perbincangan di dalam bilik tutorial dan dewan kuliah seringkali membuatkan jiwa-jiwa yang menghadirinya seolah-olah tidur tetapi matanya celik dan pada kebanyakan waktu kepala mereka mengangguk tanda faham tetapi sebenarnya anggukan itu tidak memberikan apa-apa erti kefahaman.

Situasi ini menyebabkan saya menyoal diri sendiri, perbincangan mana yang lebih penting, persatuan atau pembelajaran? Saya bukan anti pada persatuan. Ini kerana pada satu ketika dahulu saya merupakan ketua pengawas di Madrasah Alsagoff al-Arabiah Singapura dan seterusnya menjadi insan yang bertanggungjawab dalam menubuhkan Persatuan Muraqibah Umum (PMU) yang kini bertukar nama kepada Prisma (saya tidak berapa pasti dengan ejaannya). Seterusnya ketika menuntut di Maahad Tahfiz Melaka saya merupakan naib ketua unit pendidikan Majlis Perwakilan Pelajar dan juga bertanggungjawab mengendalikan program kelas asas Tahfiz untuk kanak-kanak. Maknanya saya bukan manusia asing dalam dunia persatuan. Begitu juga saya bukan anti pada aktiviti luar kuliah dan tutorial. Buktinya, semasa saya berjuang menuntut ilmu selama 10 tahun di Madrasah Alsagoff saya banyak terlibat dengan aktiviti atas pentas dan saya juga tersenarai sebagai salah seorang pembahas madrasah pada pertandingan bahas antara sekolah-sekolah menengah di Singapura. Semasa di Maahad pula saya banyak terlibat dengan ta’lim, tazkirah, usrah dan juga pernah dihantar oleh Maahad untuk memberikan ceramah di sekolah rendah dan menengah di Melaka. Saya nyatakan semua ini bukan untuk mendabik dada menunjukkan kehebatan saya tetapi saya ingin pembaca mengetahui bahawa saya bukan pelajar anti berpesatuan dan anti pada dunia aktif. Sungguh pada satu masa (tidak silap saya ketika saya di tahun 2) saya pernah berkecil hati dengan seseorang apabila dia mengatakan bahawa dia pernah memandang rendah terhadap saya kerana hanya cemerlang di dalam akademik tetapi tidak pada yang lain. Mmmm..usah memandang rendah pada saya dengan sebarangan dan usah mudah memandang rendah pada orang lain. Hebat sangat kah diri kita? Sedangkan apa sahaja yang kita punyai hanyalah milik Allah semata, kita tidak mempunyai apa-apa. Kita kosong sebenarnya!

Berbalik pada persoalan: Mana yang penting? Jika bertanya pada saya tentu sahaja pelajaran menjadi pilihan hati saya. Ramai yang masuk universiti tetapi masih tidak faham tentang ilmu yang dipelajari setakat belajar untuk menduduki peperiksaan, mendapat keputusan, kemudian menggenggam segulung ijazah. Itulah satu bentuk pemikiran tentang belajar yang sudah menjadi penyakit dalam diri mahasiwa/wi. Saya tidak bimbang jika penyakit ini menular di kalangan pelajar fakulti bukan Islam. Tetapi yang membimbangkan saya apabila mahasiswa/wi Fakulti Pengajian Islam ramai yang mempunyai penyakit ini. Ramai yang kurang berkemahiran dalam bahasa Arab dan ilmu nahu walaupun yang asas, tidak kurang juga yang masih lemah dalam pembacaan al-Quran begitu juga dalam memahami teks Arab. Satu keadaan yang diketahui oleh diri mereka sendiri tetapi hanya dipandang sebelah mata. Sebabnya masa lapang yang ada tidak diperuntukan untuk membaiki kelemahan tetapi lebih kepada aktiviti persatuan dan yang lain-lainnya. Malah kadangkala kepentingan pada persatuan lebih aula dari duduk menelaah kitab. Ramai antara kita yang sanggup bersengkang mata untuk persatuan dan perkara-perkara lain tetapi tidak mampu duduk hingga subuh hari untuk pelajaran. Kita mudah mengalah apabila duduk di dalam ba-bab pembelajaran tetapi tidak mudah mengalah dalam bab-bab yang lain. Di mana silapnya? Jelas, terlalu banyak yang perlu kita muhasabahkan dalam diri kita untuk direnungi lalu mentajdid niat untuk apa kita berada di laluan ilmu ini.

Keadaan Tidak mengizinkan

Saya merupakan pelajar aktif suatu ketika dahulu. Kadangkala terasa janggal apabila tiba-tiba saya perlu mengekang keaktifan saya. Kadangkala saya teringin untuk menjadi seperti rakan-rakan saya yang aktif dengan persatuan dan aktiviti universiti. Mereka ada jawatan, pengalaman dan populariti. Saya juga berkenan untuk hidup seperti mereka, belajar dan aktif. Tapi saya….

Banyak sebab mengapa saya tidak mampu untuk menjadi seperti mereka antaranya adalah di atas sebab kesihatan saya yang amat tidak mengizinkan. Kadangkala sukar untuk saya memahamkan orang lain tentang ketidakmampuan saya, walaupun orang lain sering meyakinkan kepada saya tentang kebolehan dan kelebihan yang saya perolehi untuk melaksanakan sesuatu perkara. Tetapi, saya lebih mengenali diri saya bagaimana dan saya lebih mengetahui implikasinya ke atas saya di belakang hari. Orang lain tidak akan merasainya…saya yang merasa.

Saya Tidak Mengejar Anugerah

Seorang pensyarah pernah bertanya kepada saya:

“Kenapa anti tak aktif,ye? Akademik dah bagus.kalau aktif tentu boleh dapat anugerah Diraja”

Saya hanya tersenyum. Saya tidak mahu anugerah apatah lagi melakukan sesuatu untuk mengejar anugerah. Biar saya melaksanakan sesuatu kebaikan yang mana saya tidak mengetahui apakah imbalan yang akan saya perolehi di kemudian hari. Maka dengan tidak mengetahui itu saya akan lebih puas, lebih rasa dihargai apabila dibalas, tidak merasa hampa apabila diperlekehkan dan yang lebih aula hati dan niat saya lebih terjaga.

“Prinsip hidup saya…saya tidak mahu mengharapkan apa-apa balasan di atas setiap perkara yang saya lakukan. Atas sebab itu saya tidak pernah bertanya ada bayaran ke…bayar berapa ke…saya tidak kisah semua itu. Bagi saya, bila saya lakukan sesuatu perkara itu, biar ianya bukan sahaja memberi kebaikan kepada diri saya sendiri tetapi juga untuk kebaikan orang lain”.

Ya itulah prinsip saya dan kata-kata itulah juga yang saya ucapkan kepada Ustaz Irwan Shah di hari terakhir di Masjid Darul Ghufran Singapura tempat saya menjalani Latihan Amali dan Industri UKM sesi 2006/2007.


Belajar dan Aktif


Saya tidak menafikan bahawa ada juga mahasiswa/wi yang mampu berjaya dalam pembelajaran walaupun mereka bergiat aktif di dalam pelbagai aktiviti dan persatuan. Itu merupakan satu bonus yang perlu dihargai bagi mahasiswa/wi yang dikurniakan oleh Allah s.w.t dengan nikmat tersebut. Namun begitu saya perlu tegaskan bahawa keadaan itu tidak boleh berlaku ke atas diri saya. Pada waktu ini, saya berbeza dengan orang lain. Saya ingin lebih mengutamakan pembelajaran saya. Saya tidak mahu membazir masa saya dengan perkara-perkara yang berbaur politik, kalah menang dan sebagainya. Lagi pula saya datang ke sini dengan tujuan utama saya iaitu untuk ilmu. Tujuan utama itu dibayar dengan wang, masa dan tenaga saya. Semua itu saya korbankan untuk belajar bukan untuk yang lain. Saya diamanahkan untuk belajar dalam bidang yang saya minati hingga mahir, maka bukankah menjadi satu kesalahan yang amat mengecewakan jika saya belajar bertahun-tahun tetapi tidak mahir malah saya telah menghabiskan masa saya dengan perkara lain?

Namun begitu, tidaklah bermakna saya tidak mempunyai keseimbangan di dalam kehidupan saya. Maknanya sepanjang kehidupan saya di UKM tidaklah saya hanya belajar tanpa memikirkan hal lain dan tidak tahu bagaimana untuk berinteraksi dengan orang lain. Saya mempunyai cara saya yang tersendiri untuk aktif.

Bagi saya, aktif tidak bermakna saya perlu menyertai mana-mana persatuan dan pertandingan di Universiti. Aktif bagi saya ialah saya aktif dalam membantu rakan-rakan saya menyelesaikan permasalahan mereka sama ada dalam pembelajaran mereka ataupun apa sahaja yang mampu untuk dibantu, aktif di dalam mengemukakan persoalan-persoalan dakwah kepada mereka, aktif di dalam membantu mereka untuk tetap berjalan teguh di dalam syariat Islam, aktif di dalam nasihat-menasihati di antara satu sama lain untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik dari masa ke semasa dan yang paling penting aktif sewaktu perbicangan ilmiah di dewan kuliah dan bilik tutorial. Keaktifan saya ini dilihat dengan 3 senjata utama yang saya miliki iaitu persaudaraan (ukhwah), komunikasi dan penulisan. Mungkin kerana keaktifan yang saya sebutkan ini, tidak hairan mengapa saya agak dikenali walaupun tidak bergiat aktif di dalam mana-mana persatuan, aktiviti fakulti ataupun universiti.

Muhasabah Diri

“Ya Allah aku tidak mahu berada di sini untuk menerima pujian, sanjungan, penghargaan dan anugerah semata-mata, apatah lagi memegang tampuk kepimpinan kerana aku mengerti bahawa ia bukan calang-calang tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan penuh hikmah dan amanah, yang aku mahu adalah ilmu yang menghasilkan kebijaksanaan, hikmah dan kepakaran dalam membantu agama Mu. Lantas masaku adalah untuk ilmu. Moga dengan ilmu itu aku menjadi manusia yang lebih terpimpin dalam melaksanakan usaha dakwah untuk memimpin orang lain.”

Kepimpinan itu bukan hanya terserlah pada persatuan dan organisasi malah kepimpinan itu lebih terserlah apabila jiwa dan fikrah kita terpimpin dengan ilmu dan akhlak diri yang berasaskan al-Quran dan al-Sunnah. Pemimpinkah kita, andai apa yang penting (belajar dengan tekun dan fokus) menjadi seolah perkara sampingan? Jangan buat-buat lupa, belajar juga adalah satu amanah yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat sana. Wallahua’lam.

Selesai penulisan pada Jam 2.30 pagi
25 Januari 2008

23 January, 2008

Alhamdulillah. Maha suci Allah s.w.t yang telah mengembalikan kesihatan saya seperti sediakala…saya kembali ceria. Alhamdulillah, Maha Suci Allah s.w.t yang telah menjadikan pembentangan dan hasil kertas kerja kumpulan saya dengan ‘agak’ puas hati (itu kata ust Fadlan-katanya kalau kata puas hati, tentu tidak ada sebarang komen untuk kertas kerja itu. Memandangkan ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi lagi, sebab itu ust kata ‘agak’ berpuas hati). Alhamdulillah juga, malam ini saya di izinkan Allah s.w.t untuk menaipkan sesuatu yang terlalu lama saya tundakan untuk diabadikan sebagai salah satu penulisan blog saya…dan kini saya ingin menulis tentang itu…

Sungguh…dalam kehidupan kita, tentu terlalu banyak perkara yang berlaku. Pastinya dalam banyak-banyak perkara itu ada yang mengharukan hati kita begitu juga teramat indah untuk kita kenang dalam memori hingga ke hujung nyawa dan di akhirat sana. Saya suka mengenangkan kebaikan orang lain terhadap saya. Apabila kebaikan mereka terpancar di ingatan saya, seolah-olah ada skrin LCD yang mengulang tayang tingkah laku murni mereka terhadap saya, dan jika kebaikan itu berupa sebuah ucapan dan penulisan, seolah-olah saya mendengar suara mereka memberikan kata-kata itu kepada saya. Allah Maha Besar yang menjadikan manusia di sekeliling saya kebanyakannya insan berhati mulia walaupun saya sedar sememangnya sukar untuk menilai kebaikan orang lain, lebih-lebih lagi payah untuk menembusi keikhlasan hati makhluk bernama manusia. Namun saya tetap saya…berbaik sangka pada semua orang dan memaafkan semua orang yang kadangkala kelakuan mereka ada yang mengecilkan hati saya, mengguriskan perasaan saya dan mengalirkan airmata saya…sungguh saya mengerti bahawa kita manusia. Banyak kelemahan dan begitu juga banyak kebaikan. Tidak bermakna sekali orang mengecilkan hati kita dia tidak pernah melakukan sebarang kebaikan pada kita. Tidak salah memaafkan kerana itu lebih membahagiakan.

Saya teringat kepada rakan-rakan saya yang terlalu baik pada saya iaitu Khadij, Khafizah Miswari dan Fadiah. Itulah rakan yang sentiasa bersama saya ketika menuntut di maahad Tahfiz, yang sentiasa memberikan sokongan dan pengertian yang tidak terhingga kepada saya. Kebaikan mereka bila dikenang-kenang kembali mampu mengalirkan airmata saya. Begitu juga kebaikan rakan-rakan Amiraat saya yang pada satu ketika dulu menggenggam satu perjuangan yang sama di alam persekolahan yang mana kami berenam sahaja mengetahui betapa indahnya semangat persahabatan kami. Saya juga teringat kepada kebaikan ustazah Fahimah Ali Hasan yang banyak membantu saya dalam menguatkan semangat saya untuk meneruskan kehidupan penuh mehnah dan fitnah di bumi Chenderah, Maahad Tahfiz Melaka.

Saya sering juga terharu mengenangkan kebaikan dan sifat hormat anak-anak murid saya (seperti Mardhiyah, Halimah, Hida, Huda, Nadia, Nadrah dan yang lainnya) terhadap saya. Mereka masih muda dan mereka semua bijak-bijak orangnya. Tetapi sikap rendah diri mereka amat mengkagumkan hati saya. Mungkinkah semuanya berkat kalamullah yang diusahakan oleh mereka siang dan malam untuk di ukir indah di dalam hati…Insya Allah jawapannya adalah ‘ya’.

Perkara yang paling membuatkan saya terharu, apabila mereka mengaturkan sebuah majlis perpisahan untuk saya sewaktu saya meletakkan jawatan saya sebagai Ustazah Darul Quran Masjid Kampung Siglap Singapura kerana diterima masuk ke Universiti Kebangsaan Malaysia. Malah mereka juga telah menyediakan satu buku khas berupa ucapan-ucapan untuk saya dan ucapan yang paling saya terkesan adalah ucapan Liyana. Dia seorang anak yang baik dan bijak dan saya yakin satu hari dia akan menemui sesuatu yang tidak orang lain temui yang dia akan hargai sepanjang hidupnya. Dia istimewa.

Seperkara lagi mengenai seorang anak murid saya Adilah. Saya masih ingat lagi, ketika kami menghadiri Qiyamullail di Madrasah Alsagoff tahun lalu, dia telah melakukan sesuatu yang membuatkan saya menangis tanpa dia sedari. Waktu itu adalah waktu untuk melelapkan mata dan kami tidur di atas pentas. Saya sebenarnya kesejukan lantaran penghawa dingin yang begitu kuat suhunya. Tanpa saya pinta, dia menyelimutkan saya dengan selimut yang di bawanya. Maka kami berkongsi selimut. Waktu itu mungkin Adilah sangka saya sudah dibuai mimpi tetapi sebenarnya saya hanya melelapkan mata. Saya benar-benar tersentuh. Saya dapat merasakan adanya rasa hormat dan sayangnya yang begitu tinggi terhadap saya. Ketika itu juga hati saya terus mendoakan kebaikan untuknya di mana sahaja dia berada dan di dalam apa jua kebaikan yang dilakukannya. Semoga Allah memberkati hidupnya dunia dan akhirat. Allahumma Amin.

Apabila saya melanjutkan pengajian di UKM. Saya dapat mengenali ramai insan yang memanggil saya kakak. Mereka adalah adik-adik saya yang berhati mulia yang telah melakukan banyak kebaikan kepada saya. Antaranya Salmi (insan pertama yang bergelar rakan ketika saya menjejakkan kaki di UKM. Dia adik yang amat baik dan terlalu menghormati saya) Wahyuni (sukar untuk saya ceritakan kebaikannya), Syuhada’ (yang selalu menemani dan membantu saya), Aisyah (paling saya ingat tentang nya apabila dia menghantar saya ke dentist dengan menaiki motosikalnya), Faridah (yang sering membantu saya bila ada belalang masuk ke bilik saya ..hehhe), Azizah (dia pernah tidur di bilik saya untuk menemani saya ketika saya sakit dan pada waktu itu jam sudah menunjukkan hampir ke jam 2 pagi) Suzana (adik saya yang comel dan terlalu baik pada saya. Kebaikannnya yang saya simpan kukuh dalam ingatan ialah apabila dia sanggup menaiki bas Rapid KL dari kolej UO ke Taman Tenaga semata-mata untuk menemani saya yang bersendirian di flat 3 bilik itu tanpa saya pinta) Hani (yang mengurut kaki saya ketika terseliuh di tangga taman tenaga), adik-adik (Farhah, Diza, Asnah, Suzana, Salmi dan yang lain) yang membantu saya ketika saya sakit kuat di blok A pada di tahun satu pengajian) dan ramai lagi yang tak mampu untuk saya sebutkan nama dan kebaikan mereka satu persatu. Apa yang mampu saya nyatakan adik-adik di UKM ini kebanyakannya adalah manusia berhati baik dan berbudi luhur walaupun kadangkala ada perkara yang membuatkan saya bersedih hati tetapi semua itu tidak saya simpan di dalam hati. Saya sering mengatakan kepada diri saya, mereka masih muda, banyak perkara yang mereka belum fahami dan masih lagi bertatih untuk mengemudi hati dan perasaan dalam menjalani kehidupan sebagai muslim yang cemerlang pada diri dan hati. Yang pasti kebaikan mereka, rasa hormat mereka dan kepercayaan mereka terhadap saya telah membuatkan hati ini menangis kerana terharu dan mereka telah memberikan kepada saya memori terindah untuk diabadikan di dalam peti memori.

Dan yang terbaru ketika saya menjalani Latihan Amali dan Industri di Masjid Darul Ghufran Singapura, saya mengenali anak-anak murid yang baik dan menghormati saya antaranya Junaidah, Fathi, Marliyana, Hamzah, Azra’ie, Zikri, Hafiz dan yang lain) begitu juga dengan pertemuan saya dengan Kak Rina. Mereka amat istimewa.

Terharu dan terindah….
Kebaikan dan keprihatinan mereka
sukar untuk diungkap menjadi kata-kata madah
Moga keberkatan sentiasa mengiringi ikatan ukhwah
Biar kebaikan memadam amarah
Biar keluhuran budi mencipta sejarah
Segalanya Kerana Allah.

12.05 tgh/mlm
23 Januari 2008

16 January, 2008

Sakit!

Masa benar-benar terhad untuk saya duduk bersantai di hadapan komputer. Saya sebenarnya perlu banyak berehat..tetapi masa tidak mengizinkan.
Selsema saya hampir sembuh, batuk saya hampir hilang dan demam saya tetap datang dan pergi..untuk itu, cold sores saya muncul tanpa kehendak saya.
Aduhhh…pedih dan amat menyakitkan.
Saya amat faham apabila cold sores keluar di hidung saya bermakna saya berada di tahap yang kritikal..saya perlu berehat.
Tapi bagaimana ye?
Nak tak nak saya tetap berlari ke sana ke mari..
Pergi kuliah dan tutorial walau sebenarnya saya tak berdaya nak memberikan penumpuan..
Tetap meneruskan perbincangan demi perbincangan untuk kertas kerja berkumpulan yang akan dibentang minggu depan
Dalam keadaan kepala yang kepeningan saya terpaksa juga buat research di library
Malam duduk depan computer menaip dan terus menaip tesis dan kertas kerja
kadang-kadang sampai terlelap depan komputer…
Pagi-pagi bangun..mata mesti bengkak tak cukup tidur..
mmm..Allah sahaja yang tahu perasaaan saya waktu ini…
kadang-kadang mcam nak give up…
tapi mengalah bukan diri saya
bukankah mengharap senang dalam berjuang umpama merindu bulan di tengah siang?
Walau semangat hampir pudar..
saya tetap ingin berdiri untuk meneruskan perjuangan
semua perkara yang saya lakukan
saya tidak putus-putus berdoa:
Rabbi yassir..Rabbi yassir Wa Laa Tu'assir

08 January, 2008

Bismillah

Segala puji itu hanya layak saya panjatkan kepada Allah s.w.t yang menjadikan diri ini manusia yang mempunyai perisai sabar dan tabah dalam menghadapi setiap takdir yang ditentukan oleh Nya.

saya menangis!

Sebenarnya air mata saya hampir tumpah saat ustaz Fadlan mensyarahkan intro untuk hadith-hadith al-Fitan (hadith yang membincangkan tentang ujian) yang bakal kami pelajari sepanjang semester terakhir ini untuk subjek Hadith 3. Namun syukur, jiwa ini masih ada rasa untuk bertahan agar saya tidak menangis.

Ujian dan Dugaan dalam hidup manusia adalah pelbagai. Seorang adik yang sentiasa bersama saya sering mengatakan kepada saya bahawa "Allah memberi ujian mengikuti tahap keimanan seseorang. Makin kuat iman ..maka makin kuat ujianNya"

Ya..satu kata-kata yang tidak saya nafikan.
Semakin kita berusaha untuk memperbaiki diri dan lebih untuk menjadi Hamba Allah yang taat kepadaNya, semakin banyak ujian yang Allah berikan kepada kita. Namun itu bukan tanda Allah tidak sayang...
mana mungkin Allah membiarkan mereka-mereka yang mengaku beriman tanpa diuji?
sudah acapkali saya ingatkan ayat dalam surah al-Ankabut itu pada diri saya..
sudah banyak kali!

terlalu banyak hikmah
terlalu banyak rahsia
terlalu banyak yang tersirat pada apa yang tersurat
semuanya tidak mampu untuk saya ungkap menjadi bait-bait ayat yang orang kata 'straight to the point'...
sukar untuk saya meluahkan menjadi sebuah penulisan penuh makna
penulisan yang mana jika orang lain membacanya moga ada rasa kehambaan yang tak mampu untuk dilafazkan..
semuanya hanya mampu terungkap di dalam jiwa
tersimpan kemas menjadi kata-kata indah untuk Allah s.w.t
disaat merayu rindu kepadaNya.

Ampunilah segala dosa-doa saya ,ya Allah..
moga apa yang Kau takdirkan..menjadi penghapus dosa
saya sering termenung diatas sejadah ...
menungan saya tidak pernah berakhir tanpa air mata.
menungan saya tidak pernah berakhir jika saya tidak mengelap air mata yang bercucuran dengan kedua belah tapak tangan saya.
terlalu berat...
saat tangisan saya memecah keheningan bilik saya..
hanya kalimah 'Allahu Rabbi'...'Allahu Akbar'
yang mampu saya hiasi pada tangisan itu.
Saat itu jua...
terasa bagai dibelai kasihNya..
terasa bagai dipujuk tanpa dipinta
terasa bagai di dakap olehNya untuk meredakan tangisan saya...

Saya lemah...
sungguh! tempat pergantungan saya hanya satu
Allah S.W.T

04 January, 2008

Bismillah

Saya agak terkejut akhirnya penghasilan filem ini berjaya juga berada di pawagam setelah sekian lama penggemar novel islami yang bertajuk Ayat-Ayat Cinta menantikannya. Namun begitu, saya yakin ianya tetap tidak menepati misi dan isi hati penulisnya Habiburahman El Shirazy. Apapun Filem tetap sebuah filem yang tidak mampu membataskan yang halal dan yang haram.Yang tetap mementingkan nilai komersial di dalam dunia hiburan.Itulah kelemahan...
Saya tetap ucapkan Tahniah kepada penulisHabiburrahman El Shirazy diatas penghasilan novel Islami yang amat baik pada pengamatan saya.Moga karya-karya beliau akan tetap sebagi sebuah novel Islami pembangun jiwa.

01 January, 2008

Salam kasih,
salam penuh kemesraan dan salam penuh mahabbah Islamiah,
ku hadiahkan buat adik-adik yang kukasihi

السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته

Semoga kita semua berada di dalam rahmah dan Inayah Allah s.w.t menjadi hamba-Nya yang merasai kemanisan beribadah di setiap ketika dan waktu, menjadi hamba-Nya yang bertaqwa dimana sahaja dan dalam apa jua keadaan.Allahumma Amin.

Adik, pertama sekali ku ucapkan alfu syukran diatas kesudianmu menatap warkah ini begitu juga diatas kesudianmu meluangkan masa yang ku kira amat berharga untuk dihabiskan semata-mata ingin membaca bait kata yang kusuratkan sekaligus memahami apa yang cuba kusiratkan.

Adik, pernahkah kau menerima kata-kata ini dari ku?

Di dalam hati ini ada selautan kasih untuk mu
Dari kasih ini kubentuk sebuah harapan
Ku hiasi ia dengan persahabatan
Untuk melihatmu sebagai pejuang Islam


Jika inilah pertama kali, anggaplah ini sebagai hadiah istimewa dariku. Andai ini sudah banyak kali kau terima, anggaplah ia sebagai hadiah tanda ingatanku dan kasih yang tiada taranya. Kasih atas nama ISLAM.

Ketahuilah adikku yang kukasihi, dirimu mendapat tempat yang istimewa di dalam hati ini. Oleh kerana keistimewaan itulah, aku seringkali berasa bertanggungjawab untuk mendidikmu menjadi muslimah solehah penuh mujahadah. Namun aku mengaku, diri ini sendiri masih lagi bertatih untuk menjadi seorang muslimah mujahidah, diri ini masih lagi mentarbiah diri sendiri untuk menjadi hamba Tuhan penuh redha dan taqwa. Sungguhpun begitu, kerana kasih ku yang selautan dalamnya, aku tidak mahu bersendirian mencapai rahmat Allah, aku tidak mahu tamak dan meninggalkanmu sendirian dalam mengenali hakikat dirimu sebagai seorang muslimah. Lalu aku biarkan kehadiranku dalam hidupmu dan menjadikan diri ini sebagai seorang insan yang kau tidak akan lupakan hingga ke hujung usiamu dan tidak pula kau lupakan bila kita berada diakhirat sana. Bukankah itu yang dinamakan ukhwah fillah? Ikatan ukhwah kerana Allah ..bertemu berpisah kerana agamaNya

Adikku, dalam hati katanya ada cinta. Aku mengerti malah memahami dirimu ingin dikasihi, dirimu jua ingin mengasihi. Itulah lumrah yang Allah s.w.t ciptakan untuk diri kita yang bernama wanita. Terasa dilindungi bila ada lelaki, terasa dihargai dan berharga bila diri dimiliki. Yang pahit menjadi manis, yang hempedu menjadi madu.Aku tidak pernah menafikan kenyataan itu, adikku.

Namun, kau perlu ketahui, kasih kita ada caranya. Jangan menghalalkan yang haram. Ingatlah pesanan selalu kuucapkan padamu bahawa cinta yang halal adalah cinta selepas perkahwinan. Cinta sebelum perkahwinan banyak dihiasi dengan tipuan syaitan malah banyak di baluti dengan pujuk dan rayuan yang dihasilkan dari bisikan syaitan. Jangan jadi mangsa syaitan, adikku. Ingatkan dirimu bahawa di dalam al-Quran syaitan pernah berjanji kepada Allah dengan katanya :

"Kerana Engkau telah menghukum saya tersesat, saya benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus,
kemudian saya akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat)” (Al-Quran, al-A’raf: 16-17)

Peliharalah dirimu. Sejarah telah membuktikan bahawa syaitan tidak pernah memungkiri janjinya malah terus berusaha hingga ke hari kiamat untuk menyesatkan dan menghumbankan anak-anak Adam agar bersama-sama dengannya di dalam neraka. Maka Ittaqillah! Ittaqillah! Ittaqillah! (Takutlah kepada Allah) Sedarilah, diri kita yang Allah jadikan dengan penuh keindahan dan kemuliaan mampu menjadi fitnah. Jangan sekali kau jadikan dirimu sebagai pelemah iman lelaki. Jangan sekali mencampakkan dirimu dalam cinta dengan lelaki ajnabi. Usah biarkan zina hati itu meraja dijiwa mu. Kelak dirimu akan sakit. Sakit ditimpa penyakit cinta yang tidak diredhai Allah. Maka jadikanlah dirimu mawar berduri yang hanya mampu dilihat tetapi tidak mampu dipegang dan dihidu bau harumnya. Duri itu umpama batasan syariat yang kau pegang utuh sebagai panduan hidup, manakala keharumanmu adalah tanda bahawa dirimu wanita solehah mujahidah yang berjuang menegakkan agama Allah.

Berjuanglah dalam mengejar ilmu dan menyebarkan agama Islam dan berjuanglah jua dalam menegakkan hukum tuhan. Usah bermatian dalam memperjuangkan dan mempertahankan cinta. Usah pula kau renangi lautan api kerana cinta. Aku tidak mahu melihatmu kecewa dengan cinta yang tidak pasti. Katakan dengan tegas pada dirimu: “Cintaku hanya kuberikan pada lelaki yang bernama suami dalam hidupku. Dia adalah lelaki yang takutkan Allah, yang tidak mahu mencampakkan dirinya ke lurah fitnah apatahlagi melibatkan pada dirinya dalam kemaksiatan walau sekecil zarah! Lelaki itulah bakal menjadi suamiku dan menjadi bapa kepada zuriatku yang akan mendidik mereka dan diriku menjadi hamba Allah yang takut pada-Nya!”

Tetapi apabila aku amati dan menoleh di kiri dan kananku, aku sedih sekali adikku. Fenomena disekelilingku dan sekeliling kita ini sudah tidak mempedulikan cinta halal. Fenomena disekeliling kita hanya mementingkan keterbukaan akal dan fikiran tanpa sedikitpun menimbangkan dengan iman dan syariat tuhan. Sedangkan ramai diantara mereka itu adalah akhawat seIslamku. Jiwa ini lebih sakit malah jiwa ini lebih pedih apabila kita anak-anak berpendidikan madrasah dan berpengajian Islam sendiri masih memperlekehkan semua ini. Di manakah kita sebenarnya adik-adikku? Apakah ilmu yang kita pelajari selama ini seperti buih dilautan? Adakah kalam Allah dan sabda Rasul yang sering kita hafal dan lafazkan itu hanya sekadar hiasan dalam diri kita?Atau semua itu hanya sekadar untuk menguatkan hujjah kita ketika berdebat atau hanya sebagai menyokong penulisan kita ketika mengeluarkan pendapat? mmm… Tepuk-tepuklah dada kita, tanya-tanyalah iman kita.

Adikku, sahabat akhawat fillah ku, Allah berfirman “Wa Zakkir innaz Zikraa Tanfaul Mu’minin” (al-Quran, al-Zariyat: 55) Dengan penuh rasa rendah dirinya aku ingin mengingatkan mu dan tidak terkecuali juga diri ini, bahawa jangan lupa yang diri kita adalah muslimah-muslimah yang mengetahui hukum Allah. Dirimu mengetahui batassan lelaki dan wanita, dirimu mengetahui bagaimana sebenarnya Islam menetapkan mu'amalah diantara lelaki dan wanita, malah dirimu juga mengetahui cinta yang bagaimana dibolehkan dalam Islam.

Sedarlah bahawa dirimu adalah generasi harapan ummah. Dirimu diharapkan untuk mendidik anak-anak Islam kita agar menjadi anak-anak Islam yang bukan sahaja mengaku diri mereka sebagai muslim dan mempraktikkan ibadah tetapi tugas yang paling besar adalah untuk mendidik mereka agar menjadi anak-anak Islam yang berusaha menyemai taqwa dalam diri. Namun, jika diri kita sendiri yang bakal mendidik anak-anak Islam kita tidak dapat membezakan yang mana halal dan mana haram dalam mengemudi naluri dan perasaan, bagaimakah kita boleh menjadi contoh kepada anak didik kita? Bimbang-bimbang kita menjadi insan yang mendidik dengan niat mengisi duit di saku kita dan bimbang-bimbang juga kita menjadi da'ie yang cakap tidak serupa bikin. Jangan lupa firman Allah yang bermaksud: “Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan” (al-Quran, al-Shaffat:3) Adakah kita rela menjadi hamba Allah yang dibenci oleh Nya? Adakah kita rela menjadi muslimah yang memperlekehkan hukum Tuhan?Na'uzubillah!

Adikku, ku akhiri warkah kasihku ini dengan jutaan maaf, andai kata-kataku menyinggung perasaanmu. Sungguh, itu bukan niatku. Kita sama-sama insan bergelar muslimah yang tidak sempurna. Ada kelebihan dan ada kekurangan. Segalanya adalah atas dasar kasihku yang selautan dalamnya padamu dan juga atas dasar kasihku kepada adik-adik muslimahku yang tiada taranya, lalu aku berpegang dengan kalam Allah s.w.t yang indah:

"وتواصوا بالحق وتواصوا بالصبر"


Maksudnya: “nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran” (al-Quran,al-Asr:3)
Itulah orang-orang yang tidak rugi. Semoga kita sama-sama sentiasa berpesan-pesan diantara satu sama lain dalam usaha untuk mendidik diri menjadi muslimah solehah mujahidah di jalan Allah s.w.t. Sekian.

Bicara kasih dari kakakmu:
Umairah-Sh
Kolej Ungku Omar, 8U 202.
Universiti Kebangsaan Malaysia.
1 Januari 2008