14 December, 2007

Sedang saya asyik memeriksa penulisan-penulisan saya yang lama saya terjumpa satu luahan perasaan yang saya taip 4 tahun yang lalu. Kini segalanya berubah. Air mata saya mengalir mengenangkan semuanya. Pekerjaan memberikan saya pengalaman agar menjadi insan yang lebih matang dalam dunia dakwah dan pendidikan dan perkahwinan memberikan saya kebahagiaan yang melaluinya saya diberi peluang oleh Allah s.w.t untuk merealisasikan cita-cita saya yang telah terpadam. Siapa sangka… saya kira segala impian saya berakhir apabila saya bekerja dan bernikah tetapi rupanya …derita bertukar bahagia. Allah maha mengetahui apa yang terbaik untuk saya 4 tahun yang lalu. Allahu Akbar wallilahilhamd!

***************************************************************
(Semuga luahan hatiku menjadi iktibar buat akhawat yang sudi menatap. Ketahuilah, mak dan ayah itu adalah anugerah Allah yg perlu disyukuri. Sayangilah mereka, seperti mana, kamu menyayangi diri kamu sendiri. Jadilah yang terbaik untuk mereka. Wallau ‘Alam).

Emak..

Hari-hari aku termenung, membilang hari dan melayan perasaan. Jika diturutkan rasa sedih dan pilu dihati memang tidak ada sudahnya. Hendak atau tidak, itulah juga yang perlu aku fikirkan dan laksanakan. Masakan ingin kubiar hari-hari yang bakal menyusul ini dangan perkara yang sama?.Pasti,jawapannya tidak!

Terngiang-ngiang lagi di telingaku perbincangan dua orang sahabatku yang sedang merancang untuk melanjutkan pelajaran. Mulanya kudengar, mereka hendak menyambung pengajian di tahun hadapan, tapi bila masa berjumpa kelmarin…tup,tup sahaja sudah berubah perancangannya. Bila kutanya mengapa, dengan ghairah sekali dia menjawab, ‘tak sabar nak belajarlah!’. Aku tersenyum bangga mendengar jawapan itu. Inilah sahabat-sahabatku, masih mengerti akan diri yang terlalu kehausan dengan ilmu, walhal baru sahaja menamatkan pengajian diploma di salah sebuah institusi pengajian tinggi di Malaysia. Namun jauh di sudut hatiku, tersembunyi sedikit rasa cemburu. Akhirnya aku memujuk diri sendiri dengan mengatakan, ‘nanti kalau ada rezeki kau pun boleh sambung belajar’.Aku hanya tersenyum pahit, bila mendengar bisikan suara di dalam hati itu.

Aku mengerti bukan abah dan emak tidak suka aku meneruskan pembelajaran ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Tapi kerana masalah kewangan yang benar-benar meruncing, segala harapan dan impian ku tersekat begitu sahaja. Pada mulanya aku nekad, borang kemasukan ke dua buah institusi yang sudah menjadi milikku akan ku isi. Aku tidak mahu memberitahu emak dan abah tentang niatku itu. Soal kos pembelajaran akan aku usahakan kemudian, aku akan cuba membuat mana-mana pinjaman dan memohon biasiswa. Namun bila kutimbang-timbang perbuatanku, aku bimbang emak akan berkecil hati, abah pula kan bersusah hati. Akhirnya, aku hanya membiarkan rancanganku itu begitu sahaja, walau cinta dan rinduku untuk kembali ke dunia menuntut ilmu begitu membara!!. Sehingga kini,dua bulan sudah berlalu, aku hanya duduk rumah seperti budak bodoh yang tak punya apa-apa pelajaran!. Kerja yang ditawarkan padaku pula kan bermula sebulan dari hari ini. Hidup ini kurasakan penuh dengan kebosanan yang tiada tepian!.

Dalam hatiku masih bengkak kerana tidak dapat melanjutkan pelajaran, emak pula asyik membebel itu dan ini kepadaku. Terasa bengkak di hati kian parah. Sedang orang lain sibuk menggalakkan anak-anak meneruskan pembelajaran, emak asyik sibuk mengingatkan aku tentang pekerjaan dan perkahwinan. Pilu hatiku tidak siapa pun memahami. Tinggi harapanku untuk belajar hanya di pandang sepi oleh emak!. Emak tidak sedikit pun ingin mengambil tahu tentang semua itu, yang emak tahu aku kerja, dapat gaji boleh tolong abah langsaikan bil-bil yang menggunung tinggi, yang emak inginkan hanyalah aku bekerja, bila dapat gaji nanti mak nak rasa duit anaknya, dan yang emak idamkan, puteri tunggalnya menamatkan zaman bujangnya!! Emak…emak, andai kau cuba fahami apa yang aku rasa waktu ini..

Emak tidak pernah bertanya apa yang aku inginkan untuk masa hadapan, senyuman yang sering terukir di wajahku dan tawa yang sering memeriahkan suasana rumah ini bagi emak sudah cukup membuktikan aku benar-benar bahagia. Emak sering berkata, bahagianya emak bila aku selalu berada bersamanya. Sifatku yang suka mengusiknya dan bergurau dengannya sering membuatnya terhibur dan tidak kesepian. Katanya lagi, dia suka bila mendengar kekecohan aku meminta itu dan ini, mengusik itu dan ini, semua itu bagai melenyap setiap permasalahannya dan derita jiwa yang ditanggungnya. Anak mana yang tidak berasa bangga jika begitulah pandangan seorang emak kepada dirinya. Saat aku mendengar katanya itu, ingin sahaja kuhamburkan airmata kesyahduan. Namun, senyumku mampu menahan airmata yang menjerit-jerit untuk mengalir dari kolam kedua mata bulatku. Sebak dan pilu di dada mampu kusembunyikan dengan tawa kecil yang kubuat-buat!. Aduhai ..emak..kalau kau tahu impian hatiku, andai kau tahu jeritan hatiku….

Aku bukanlah jenis seorang anak yang suka mendesak. Kalau sekali dua ku pinta, tapi jawapannya tetap sama…mengalah itu adalah jalan yang terakhir. Aku tidak mahu emak bersusah hati memikirkan kehendak hatiku kerana aku tahu di dalam kepala tuanya itu sudah berserabut dengan seribu satu masalah yang belum ada lagi jalan penyelesaian!. Air mataku tidak pernah aku perlihatkan kepadanya, kalau adapun hanyalah wajah serius ku yang hanya mampu bertahan sejam dua dihadapannya. Pernah sekali aku cuba meluahkan rasa hatiku, tapi baru sahaja aku ingin membuka cerita, emak sudah menyimpang menceritakan masalah nya yang bertimpa-timpa kepadaku. Hendak atau tidak, aku hanya memendam sahaja perasaan. Sambil mengubah arah niatku dengan mendengar penuh prihatin setiap luahan emak. Katanya, “emak tak ada tempat mengadu melainkan kakak.” Sekali lagi naluriku tersentuh!!.Begitu tinggi sekali nilai harga kehadiranku disisi emak.

Demi emak, aku rela korbankan segalanya, walau untuk menggenggam segulung ijazah itu merupakan impianku yang terlalu menggunung tinggi!. Akhirnya aku sedar, tidak semua impian itu mampu direalisasikan. Mungkin rezekiku bukan hari ini ,mungkin esok..mungkin juga lusa. Bila waktu dan ketikanya..pasti hanya Allah s.w.t yang lebih mengetahui. Pastinya setiap apa yang berlaku mempunyai hikmah yang berbaur dengan pelbagai rahmat. Dan yang sudah sedia tersurat, pasti mempunyai maksudnya yang tersirat!!.

Aku mempunyai sebuah keluarga yang berada di ambang kejatuhan, justeru itu tanggungjawabku adalah untuk mempertahankannya agar terus berdiri teguh dan ikatan kasih yang dikait bertahun-tahun itu terus mekar mewangi di taman bahagia!.

Aku mempunyai seorang adik lelaki yang mana kebajikannya sering terabai, justeru itu, tanggungjawabku adalah untuk membela kebajikannya agar dirinya bersemangat untuk bangkit mengejar impian di masa depan!.

Aku punya seorang abah yang dirundung malang, justeru itu, tanggungjawabku adalah mengeluarkan dirinya dari terus dihimpit malang yang tiada penghujung.

Dan yang paling penting…aku mempunyai seorang emak yang telah banyak berkorban jiwa dan perasaan demi anak-anak. Justeru itu, tanggungjawabku adalah menggembirakan emakku yang sentiasa berendam airmata itu!.

Dan aku?!. Tiada lain yang kuharap melainkan setiap perkara yang kulakukan adalah berlandaskan janji yang sering terucap di dalam solat… “inna solaati wanusukii wamahyaya wamamaatii lilaahirabil a’lamin…”, redha Allah terletak pada redha mak dan abah.

Emak..kakak sayang emak…sayang sangat-sangat!!.
***************************************************
Pesananku: “jika kalian mempunyai keluarga yang bahagia,hargailah kurniaan itu teman, krn sekali ianya hilang tidak mudah untuk dimilikinya kembali. Seburuk mana pun,mak dan abah kita, itulah mak dan abah yang tiada gantinya,sulamilah kasih seindah warna pelangi indah sbg. Hadiah untuk mrk. Sungguh..jasa mrk tidak terbalas. Justeru itu lakukan yg terbaik untuk mrk.”

Bicara kasih, luahan syahdu:
Umairah Sh
28 Jun 2003

0 Comments:

Post a Comment