05 December, 2007

Berikut saya muatkan sebuah penulisan yang dihasilkan untuk blog AhlulquranPTS. Moga setiap apa yang terkandung di dalam penulisan tersebut memberikan manfaat kepada mereka yang membaca.
_________________________________________________________________

Salam kasih penuh ukhwah Islamiah ustazah hulurkan kepada semua akhawat ahlulquranpts. Moga berada di dalam lindungan Allah s.w.t hendaknya. Alhamdulillah pada waktu ini ustazah diberi peluang oleh Allah s.w.t untuk menuliskan sesuatu khas untuk murid-murid dan akhawat yang ustazah kasihi.

Sebelum itu, ustazah ingin mengimbas kembali sebuah dialog yang berlaku diantara ustazah dan seorang adik yang sama-sama menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia:

“Kalau awak sayang, kawan awak. Awak kena nasihatkan dia. Bantu dia supaya dia sedar yang dia banyak buat kesilapan”

“tapi saya tak boleh,lah kak!nanti terasa pulak dia. Terus kita tak kawan lagi. Saya tak nak jadi macam tu. Saya tak kuat nak terus terang. Kadang-kadang saya jadi serba salah dibuatnya. Kalau tak tolong, tu kawan kita.”


Akhawat yang ustazah kasihi, persahabatan adalah satu ikatan yang indah di dalam kehidupan kita. Dengan rakan, kita makan bersama, keluar bersama, belajar bersama, berkongsi hati dan perasaan, bergurau-senda, dan bergelak ketawa. Tidak salah jika ustazah katakan, hidup ini sepi tanpa kawan disisi. Sehinggakan peranan kawan dan rakan ini, mampu mengatasi peranan ibu bapa kita lantaran kita sering bersama rakan-rakan jika hendak dibandingkan dengan ibu bapa kita.

Sahabat itu penting dalam hidup kerana jika tidak penting, apa gunanya Allah s.w.t, memperlihatkan kepada kita contoh di dalam kehidupan Rasulullah s.a.w yang dikelilingi dengan sahabat–sahabat baginda yang dikasihi baginda seperti Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq, Umar al-Khattabdan Uthman bin al-Affan.

Kehadiran sahabat dalam kehidupan, mampu menguatkan kita yang kadangkala lemah dengan mehnah kehidupan, kerana mereka seringkali berperanan sebagai penyokong kuat kita dalam menempuh setiap apa yang ingin kita perjuangkan. Begitu juga dengan Rasulullah s.a.w, para sahabat lah yang sering menyokong baginda dari belakang bagi membantu baginda dalam memperjuangkan agama Allah s.w.t walaupun nyawa dan harta terpaksa dikorbankan.


Boleh juga kita katakan bahawa sahabat umpama cermin bagi kita. Sesungguhnya kita adalah manusia biasa yang sukar untuk melihat kesalahan diri sendiri. Maka rakan-rakan kita adalah manusia yang mampu melihat setiap kekurangan dan kelemahan diri kita. Atas sebab itu, sahabat yang baik adalah sahabat yang sentiasa mampu menegur kesilapan diri kita, kerana daripada situ, kita mampu memuhasabah diri dan menjadikan kita insan yang lebih baik pada hari-hari yang mendatang.

Tetapi akhawat, kita seringkali sukar untuk menegur rakan kita yang melakukan kesilapan. Kita bimbang hilang kawan, kita bimbang hidup bersendirian. Kita takut kawan kita berkecil hati dan kawan kita tidak boleh menerima teguran kita. Benar, ianya memang sukar.

Ana sendiri pernah mengalami kepahitan dimarahi seorang sahabat yang sudah ana anggap umpama adik-beradik. Persahabatan yang dikait bersama hampir 14 tahun itu tiba-tiba menjadi hambar akibat teguran ana yang tidak ana berikan kepadanya melainkan kerana kasih sayang seorang sahabat yang tiada tandingannya. Tetapi keegoan dan rasa tidak mahu mempertimbangkan teguran tadi lebih mengatasi ukhwah yang ada. Sedihnya ana masih terasa hingga kini. Apakan daya. Inilah bukti bahawa menegur rakan kita walau baik macam manapun ianya tetap memberikan implikasi pada hubungan tersebut. Semuanya terpulang pada kita, sama ada kita sanggup menanggung risiko ataupun tidak. Tapi bagi ana, biar ana tanggung risiko di dunia namun untuk tanggung risiko di akhirat ana minta dijauhkan.

Atas sebab itu, sering kelihatan di dalam mana-mana persahabatan pun, seseorang itu takut untuk menegur kesilapan kawan-kawannya. Kita terpaksa membiarkan rakan-rakan kita terus berada di dalam keadaan melakukan kesilapan tanpa sedikit pun menunjukkan protes. Kadangkala pula kita sendiri seolah-olah menyokong rakan kita, dengan memberikan bantuan dan melibatkan diri kita di dalam perkara salah yang rakan kita lakukan. Kononnya demi kawan dan demi persahabatan. Tetapi wajarkah tindakan kita itu?

Cuba kita imbas kembali ikatan persahabatan para sahabat Rasulullah s.a.w Mereka tidak pernah malu untuk menegur kesilapan sahabat yang lain malah tegur-menegur dan nasihat menasihati bagaikan menjadi budaya dalam kehidupan mereka. Mereka hidup dalam keadaan penuh kasih sayang dan sentiasa sama-sama berlumba-lumba dalam melaksanakan kebaikan. Tetapi persahabatan kita? Persahabatan kita banyak yang tidak ikhlasnya. Kita sering berlaku baik dihadapan kawan kita, tetapi di belakangnya kita mengejinya. Kadangkala persahabatan kita lebih banyak maksiatnya dari kebaikannya. Mmm…semua itu berlaku tanpa kita sedari dan jika kita sedar pun kita selalunya buat-buat tidak sedar.

Kita sebenarnya mempunyai kuasa yang luar biasa untuk mengubah rakan kita kerana kita mempunyai kuasa ‘pengaruh rakan sebaya’ yang cukup unik. Sehinggakan pengaruh ini mampu mengatasi pengaruh ibubapa. Ini melihatkan betapa kuasa yang Allah berikan kepada kita amat hebat dan cukup istimewa. Justeru itu, usah sia-siakan kuasa ini, akhawat. Gunakan ia dengan sebijak-bijaknya untuk membawa rakan kita sentiasa berada di landasan yang diredhai Allah s.w.t. Pengaruhi rakan kita untuk melakukan kebaikan, pengaruhi rakan kita agar dia berusaha untuk mengejar pahala dan pengaruhi rakan kita dalam melaksanakan perkara-perkara yang positif. Kita mampu melakukannya.

Segalanya perlu mula pada diri kita, akhawat. Kita perlu menjadi rakan yang berlapang dada dengan teguran rakan kita. Walaupun kita rasa teguran itu tidak layak untuk kita, tetapi sekurang-kurangnya kita perlu fikirkan dan pertimbangkan teguran tersebut. Mungkin ada benar dan ada hikmahnya. Kita perlu bersyukur sekurang-kurangnya ada juga orang yang mahu kita memperbaiki diri, ada juga orang yang prihatin dengan kita, dan ada juga orang yang mahu menyelamatkan maruah diri kita di dunia dan akhirat. Maka ucapkanlah terima kasih kepada rakan yang menasihati kita. Jangan sekali kita sombong, usah juga kita mendabik dada apatahlagi berkata kasar:

“Kau tu siapa nak nasihat-nasihat aku. Tak payah nak buang masa lah. Cermin dulu diri kau tu, baik ke tidak!”

mmm…jika selama ini kita seperti itu, maka muhasabahlah diri kita. Wajarkah kita memberikan reaksi sedemikian? Teguran itu umpama madu lalu jangan kita balas dengan tuba. Mengapa ana katakan ia umpama madu? Kerana tanpa teguran hidup kita menjadi pahit. Kepahitan itu akan berdarah daging dalam diri kita, sehingga sampai pada satu saat sukar untuk kita buang kepahitan itu. Maka madu yang diberikan oleh sahabat kita jangan dipandang dengan sebelah mata, kerana madu itu akan menyelamatkan kita dari terus berada dalam kepahitan yang tidak kita sedari.

Ana ulangi, rakan umpama cermin diri kita. Kadang-kala kita tidak sedar kesilapan kita, maka rakan yang sentiasa dengan kita yang menyedari dan melihat apa yang tidak kena dengan diri kita. Atas sebab itu, penting kita menjadi dan mencari kawan yang baik. Kawan yang baik itu bukan hanya mampu untuk menggembirakan kita, tapi dia juga mampu menjadi penguat kala kita lemah, mampu menjadi penasihat bila kita leka, mampu menjadi penghibur waktu duka, mampu menghulurkan bantuan dan berkorban untuk kita dan sentiasa mengucapkan terima kasih bila kita menghadiahkan nasihat kepadanya. Yang penting kawan yang baik adalah kawan yang mampu menegur kesilapan kita, yang tidak menyokong kita dikala kita ingin melakukan kemaksiatan dan selalu mahu melihat kita mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Itulah dia fenomena akrab persahabatan yang sebenar diperlihatkan oleh para sahabat Rasulullah s.a.w kepada kita. Contohilah mereka akhawat.

Jadi, pilihlah. Kita ini mahu jadi rakan yang bagaimana untuk rakan kita? Dan kita pula mahu rakan yang macam mana untuk menghiasi hidup kita? Untuk itu, Jangan lupa tips persahabatan yang dibekalkan oleh Rasullah s.a.w kepada kita:

حدّثنا موسى بنُ إسماعيلَ حدثَنا عبدُ الواحدِ حدَّثَنا أبو بُردةَ بنُ عبدِ اللهِ قال: سمعتُ أبا بُردَةَ بنَ أبي موسى عن أبيهِ رضيَ اللهُ عنهُ قال: قال رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم: «مَثَلُ الجَليسِ الصالحِ والجليسِ السُّوءِ كمثَلِ صاحبِ المِسك وكِيرِ الحدّادِ: لا يَعدَمُكَ من صاحب المسكِ إِمّا تَشتَرِيهِ أو تَجِدُ رِيحَه وكِيرُ الحدّادِ يَحرِقُ بدنكَ أو ثَوبَك أو تَجِدُ منه رِيحاً خبيثةً

Maksudnya: “Perumpamaan rakan yang baik dan rakan yang tidak baik adalah seperti orang yang mempunyai minyak wangi dan pembuat besi. Tidak kamu dapati daripada orang yang mempunyai minyak wangi itu sama ada kamu membeli wangian itu ataupun kamu mendapat bau wangi darinya. Manakala tidak kamu dapati daripada pembuat besi itu sama ada ia membakar tubuh badanmu atau bajumu ataupun kamu mendapati bau yang tidak enak daripadanya.”*

Maka jadilah dan carilah rakan yang baik seperti orang yang mempunyai minyak wangi, jangan sekali kita menjadi dan mencari rakan yang tidak baik seperti si pembuat besi kerana kita sering dinilai dengan siapa kita berkawan, seandainya kawan kita baik, insya Allah kita juga sering dinilai sebagai insan yang baik dan begitu jugalah sebaliknya. Semoga bermanfaat.Wallahu’alam.

Salam Sayang:
Ustazah Sakinah

********************************************************************

* Nota: H.R Imam al-Bukhari.

Hadith yang sama juga diriwayatkan oleh Imam Muslim tetapi terdapat perbezaan dari sudut sanad dan matan:

حدّثنا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ. حَدَّثَنَا سُفْيَانُ بْنُ عُيَيْنَةَ عَنْ بُرَيْدِ بْنِ عَبْدِ اللّهِ عَنْ جَدِّهِ، عَنْ أَبِي مُوسَىٰ عَنِ النَّبِيِّ . ح وَحَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْعلاَءِ الْهَمْدَانِيُّ وَاللَّفْطُ لَهُ. حَدَّثَنَا أَبُو أُسَامَةَ عَنْ بُرَيْدٍ عَنْ أَبِي بُرْدَةَ عَنْ أَبِي مُوسَىٰ ،، عَنِ النَّبِيِّ قَالَ: «إِنَّمَا مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ، كَحَامِلِ الْمِسْكِ وَنَافِخِ الْكِيرِ. فَحَامِلُ الْمِسْكِ، إِمَّا أَنْ يُحْذِيَكَ، وَإِمَّا أَنْ تَبْتَاعَ مِنْهُ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ مِنْهُ رِيحاً طَيِّبَةً. وَنَافِخُ الْكِيرِ، إِمَّا أَنْ يُحْرِقَ ثِيَابَكَ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ رِيحاً خَبِيثَةً

Begitu juga ia diriwayatkan oleh Imam Ahmad Bin Hanbal tetapi dengan lafaz yang berbeza, terdapat juga penambahan lafaz pada awal dan akhir hadith dan lafaz المسك diganti dengan perkataan العطار :

حدّثنا عبدالله حدَّثني أبي حدثنا سفيان عن بريد بن عبدالله بن أبي بردة عن أبي موسى رواية قال: «المؤمن للمؤمن كالبنيان يشد بعضه بعضاً، ومثل الجليس الصالح مثل العطار إن لم يحذك من عطره علقك من ريحه، ومثل الجليس السوء مثل الكير إن لم يحرقك نالك من شرره، والخازن الأمين الذي يؤدي ما أمر به مؤتجراً أحداً المتصدقين

Imam Abu Daud pula meriwayatkannya dengan penambahan lafaz hadith yang panjang diawalnya:

حدثنا مُسْلِمُ بنُ إبْرَاهِيمَ أخبرنا أَبَانُ عن قَتَادَةَ عن أَنَسٍ ، قالَ قالَ رَسُولُ الله صلى الله عليه وسلم: « مَثَلُ المُؤْمِنِ الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ مَثَلُ الأتْرَجَّةِ رِيحُهَا طَيَّبٌ وَطَعْمُهَا طَيَّبٌ، وَمَثَلُ المُؤْمِنِ الَّذِي لا يَقْرَأُ الْقُرْآنَ مَثَلُ التَّمْرَةِ طَعْمُهَا طَيَّبٌ وَلا رِيحَ لَهَا، وَمَثَلُ الْفَاجِرِ الَّذِي يَقْرَأُ القُرْآنَ كَمَثَلِ الرَّيْحَانَةِ رِبْحُهَا طَيَّبٌ وَطَعْمُهَا مُرٌّ، وَمَثَلُ الْفَاجِرِ الَّذِي لا يَقْرَأُ القُرْآنَ كَمَثَلِ الْحَنْظَلةِ طعْمُهَا مُرٌّ وَلا رِيحَ لَها، وَمَثَلُ جَلِيسِ الصَّالِحِ كَمَثَلِ صَاحِبِ المِسْكِ أَنْ لَمْ يُصِبْكَ مِنْهُ شَيْء أَصَابَكَ مِنْ رِيحِهِ، وَمَثَلُ جَلِيسِ السُّوءِ كَمَثَلِ صَاحِب الكيرِ إِنْ لَمْ يُصِبُكَ مِنْ سَوَادِهِ أَصَابَكَ مِنْ دُخَانِهِ

Manakala Imam Ibnu Hibban meriwayatkannya dengan terdapat sedikit perubahan pada lafaznya dan lafaz الكير diganti dengan القين :

أخبرنا عمر بن محمد الهَمْدَاني ، قال: حدثنا عبدُ الجبار بنُ العلاء ، قال: حدثنا سفيانُ ، عن بُرَيْد بن عبد اللَّهِ، عن جده عن أبي موسى قال: قال رسولُ اللَّهِ، : «مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ مَثَلُ الْعَطَّارِ، إِنْ لَمْ يُصِبْكَ مِنْهُ، أَصَابَكَ رِيحُهُ، وَمَثَلُ الْجَلِيسِ السُّوءِ مَثَلُ الْقَيْنِ، إِنْ لَمْ يُحْرِقْكَ بِشَرَرِهِ، عَلِقَ بِكَ مِنْ رِيحِهِ


0 Comments:

Post a Comment