31 December, 2007

Salam kasih dari saya di bumi UKM.

Hari pertama untuk semester akhir pengajian saya ini, cukup membosankan. Saya jadi muram sepanjang hari ini. Tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Kelas-kelas belum lagi bermula malah kelas tutorial untuk modul hadith satu pun belum lagi dikeluarkan jadualnya. Apa yang membuatkan saya lebih hilang mood apabila penyelia tesis saya tidak ada di jabatan hari ini, akibatnya kerja-kerja penulisan saya tepaksa saya tangguhkan. Sepatutnya saya sudah mula menulis untuk bab yang keempat, tetapi ada perkara yang perlu saya bincangkan dengan ustaz dan meminta saranan beliau. Tapi nampaknya…

Entah kenapa tiba-tiba saya rasa sunyi yang amat sangat. Lalu saya jadi buntu untuk menulis sesuatu yang baik untuk dikongsikan. Mm..mungkin kerana kesihatan saya yang tidak beberapa baik 2-3 hari ini…mungkin kerana saya masih ingatkan emak di rumah, mungkin kerana saya risau dengan tesis saya…entahlah,segalanya mungkin.

Bila saya sendirian saya sering mengingatkan kebaikan suami saya kepada saya. Bagaimana beliau melayani kerenah dan telatah saya yang manja dan kadang-kadang mengada-ngada, bagaimana beliau sabar melayan saya ketika saya sakit dan memerlukan bantuan dan banyak lagi kebaikan-kebaikannya yang sukar untuk saya hitung dan ucapkan. Suami saya terlalu baik terhadap saya. Alhamdulillah….Allah berikan nikmat itu kepada saya. Mungkinkah saya sebenarnya sedang kerinduan.mmm, saya tidak menafikan kemungkinan ini. Akhirnya saya perlu mengaku bahawa berpisah itu tidak ada manisnya tetapi banyak hikmahnya….

Semalam saya menerima satu sms berbunyi;

“Salam perantauan.Kaifa hal zaujah Yazid?Doakan ana. Ana akan melalui musim imtihan bermula 1.1.08 sehingga 20.1.08. Maafkan segalanya dan doakan ana”

Nombor hp mesir tertera di skrin hp saya. Saya tahu siapa pengirimnya. Sms itu sebenarnya diakhiri dengan nickname nya yang tidak dapat saya nyatakan disini. Saya termenung seketika..saya teringatkannya malah wajahnya juga terbayang dimata. Mengapa…..mengapa dia masih mengharapkan kemaafan dari saya..mengapa juga dia masih mengharapkan doa dari saya. Bukankah sudah acapkali saya katakan padanya bahawa telah saya maafkan dan layakkah saya mendoakan kejayaan untuknya. Adakah dia lupa, Saya ini siapa pada dirinya? Namun sebagai saudara seislam saya perlu mendoakan kebaikan untuk dirinya. Biarlah tiada dendam diantara saya dan dia..biarlah semuanya berakhir…walaupun sebenarnya saya benar-benar terluka!

28 December, 2007

Pagi tadi, saya menghadiri usrah AhlulquranPTS. Usrah yang agak relax, tidak ada perkara ‘berat’ yang diutarakan dan dibincangkan. Cakap yang saja-saja…sekali pandang macam berbual kosong…tapi tidak ada yang kosong, semuanya satu perkongsian pengalaman yang amat bernilai. Paling seronok apabila kita semua dapat berjumpa. Alhamdulillah…saya dapat berjumpa shaista yang sudah bertahun saya tidak lihat wajahnya, saya dapat bertemu Nadia yang mana kali terakhir saya melihatnya adalah ketika majlis khatam al-Quran di rumahnya, saya juga dapat bertemu dengan Huda yang semakin bertenaga ucapannya, bertemu dengan 'Adilah yang manis,Rafidah dan Rasyidah dua beradik kembar yang bagi saya amat istimewa, Suhaila, adik Mardhiya, sakinah, kakaknya dan 'Atikah. Malah pagi tadi juga saya sempat singgah ke pejabat masjid Darul Ghufran untuk bertemu dengan kak Rina serta staf yang lain. Segala puji itu hanya layak bagi Allah, saya rasa cuti saya sempurna dengan pertemuan demi pertemuan pagi tadi.

Saya nak ketawa bila teringat kembali saya membaca doa penutup majlis dengan tersangkut-sangkut. “Hai..apahal pulak dengan aku ni?”, bisik saya dalam hati. Saya rasa do’a-doa saya semuanya berterabur..mana satu yang saya nak baca..haha. Tapi sebenarnya memang saya dah lama betul tidak baca doa dalam majlis. Dulu masa di maahad memang sering diminta membacakan doa…tapi bila belajar kat UKM, tidak ada pula orang nak suruh baca doa. Akhirnya, saya jadi kelam-kabut tadi. Cuma satu je yang saya syukuri, saya tidak sedikit pun nak rasa malu dengan pelajar-pelajar saya. Bagi saya, mereka perlu melihat saya sebagai orang yang tidak sempurna dan masih lagi memperbaiki diri saya. Saya suka mereka membantu saya dan menegur saya dikala saya memerlukan bantuan dan teguran. Semua itu juga mengajar saya bahawa saya perlu bersedia dalam mengahadapi pelbagai kemungkinan pada masa-masa akan datang.

Hari ini adalah hari terakhir saya berada di kota Singa.
Semester 2 untuk tahun 3 akan membuka tirainya pada hari Isnin. Maknanya perjuangan saya bermula lagi dan saya cuma tinggal baki 5 bulan lebih untuk menamatkan pengajian saya. Kehidupan saya akan bermula seperti biasa, sibuk dengan kuliah, tutorial, assignments dan keluar masuk library dan Cyber Cafe. Paling PENTING Saya perlu belajar, belajar dan belajar untuk masa yang berbaki ini.Saya bimbang… masih banyak lagi yang belum saya pelajari dan masih banyak lagi yang perlu saya fahami.Insya Allah, saya akan gunakan masa yang ada dengan sebaik-baiknya.

Pada semester baru nanti nampaknya saya tidak berpeluang untuk menjenguk-jenguk bumi Singapura walaupun untuk cuti pertengahan semester. Mmmm..suami saya tidak dapat menjemput saya lantaran terikat dengan reservist nya. Macam ini, lepas exam bulan Mei baru saya dapat pulang. Hai terpaksalah saya bertapa dalam bilik sorang-sorang…hehehe.

Manakala cuti kali ini, biasa-biasa saja. Saya lebih banyak menaip latihan ilmiah (tesis) saya daripada menumpukan pada perkara lain. Kalau tidak pun saya duduk dihadapan komputer melayari internet untuk membaca dan seperti cuti-cuti saya yang lalu juga, saya menghadiri kelas ‘Iadah al-Quran dengan Ustaz Alaina di al-Kuliyyah. Alhamdulillah, banyak juga sasaran saya untuk cuti ini tercapai tapi yang saya tidak dapat laksanakan saya akan tetap usahakan pada masa cuti akan datang. Cuti akan datang?bila tu?dah habis belajar dahhh…

mmm…Akhir sekali saya ingin tinggalkan kota Singa dengan penuh harapan dan doa.
Moga mereka yang sakit disembuhkan. Mereka yang susah di permudahkan. Mereka yang dikhianati dilindungi. Mereka yang jauh dengan Allah mendapat hidayah dan di dekatkan. Mereka yang bahagia dan gembira tidak tidak terjerumus dalam kesombongan dan kemungkaran. Moga ukhwah yang baru diikat tidak putus dan moga ukhwah yang sudah lama terkait akan terus kukuh.

Lalu saya bermadah:

Pelbagai peristiwa..
pelbagai suka dan duka
bermacam kerenah manusia
ku lihat, ku dengar dan ku lalui
Itulah asam garam kehidupan
tidak pernah sunyi dari kepahitan dan kemanisan
tidak ada dayaku Ya Allah…
melainkan dengan bantuan dan pertolongan Mu.
Aku harapkan redhaMu
Dalam senyum dan tawaku
Dalam tangis dan senduku
Dalam amal dan ibadahku
Dalam perjuangan ilmuku
Dalam hidup dan matiku
La Haula Walaa Quwwata Illa Billah

22 December, 2007

Sesuatu yang tidak saya jangkakan. Sujud syukur saya bergegar dengan gigilan badan saya.

Saya kira saya tidak akan menangis…saya juga sangka jika saya menangis itu bermakna saya tidak betah untuk menerima takdir yang bakal saya hadapi. Ketika computer saya dalam usaha memasuki ruang SMPweb, saya asyik berdoa di dalam hati “Ya Allah kuatkan hati saya…kuatkan hati saya”.

Saat keputusan peperiksaan saya dipaparkan..saya terkejut! Benarkah apa yang saya lihat? Lidah saya tidak putus-putus melafazkan tasbih dan tahmid. Saya sujud syukur..lalu airmata saya mengalir deras. Saya tidak dapat menahan sebak lantaran kesyukuran yang tidak tahu bagaimana untuk saya luahkan.

Keputusan peperiksaan saya kekal dari sudut PNGK (markah keseluruhan dari sem 1 tahun 1 hingga sem 1 tahun 3) manakala PNGS (markah untuk semester 1 tahun 3) saya turun 2 mata. Saya perlu bersyukur kerana saya tahu jika tidak kerana pertolongan Allah, saya tidak akan dapat semua ini.

Allahuakbar walillahil hamd! Segala puji itu hanya untuk Allah s.w.t.

21 December, 2007

14 December, 2007

Sedang saya asyik memeriksa penulisan-penulisan saya yang lama saya terjumpa satu luahan perasaan yang saya taip 4 tahun yang lalu. Kini segalanya berubah. Air mata saya mengalir mengenangkan semuanya. Pekerjaan memberikan saya pengalaman agar menjadi insan yang lebih matang dalam dunia dakwah dan pendidikan dan perkahwinan memberikan saya kebahagiaan yang melaluinya saya diberi peluang oleh Allah s.w.t untuk merealisasikan cita-cita saya yang telah terpadam. Siapa sangka… saya kira segala impian saya berakhir apabila saya bekerja dan bernikah tetapi rupanya …derita bertukar bahagia. Allah maha mengetahui apa yang terbaik untuk saya 4 tahun yang lalu. Allahu Akbar wallilahilhamd!

***************************************************************
(Semuga luahan hatiku menjadi iktibar buat akhawat yang sudi menatap. Ketahuilah, mak dan ayah itu adalah anugerah Allah yg perlu disyukuri. Sayangilah mereka, seperti mana, kamu menyayangi diri kamu sendiri. Jadilah yang terbaik untuk mereka. Wallau ‘Alam).

Emak..

Hari-hari aku termenung, membilang hari dan melayan perasaan. Jika diturutkan rasa sedih dan pilu dihati memang tidak ada sudahnya. Hendak atau tidak, itulah juga yang perlu aku fikirkan dan laksanakan. Masakan ingin kubiar hari-hari yang bakal menyusul ini dangan perkara yang sama?.Pasti,jawapannya tidak!

Terngiang-ngiang lagi di telingaku perbincangan dua orang sahabatku yang sedang merancang untuk melanjutkan pelajaran. Mulanya kudengar, mereka hendak menyambung pengajian di tahun hadapan, tapi bila masa berjumpa kelmarin…tup,tup sahaja sudah berubah perancangannya. Bila kutanya mengapa, dengan ghairah sekali dia menjawab, ‘tak sabar nak belajarlah!’. Aku tersenyum bangga mendengar jawapan itu. Inilah sahabat-sahabatku, masih mengerti akan diri yang terlalu kehausan dengan ilmu, walhal baru sahaja menamatkan pengajian diploma di salah sebuah institusi pengajian tinggi di Malaysia. Namun jauh di sudut hatiku, tersembunyi sedikit rasa cemburu. Akhirnya aku memujuk diri sendiri dengan mengatakan, ‘nanti kalau ada rezeki kau pun boleh sambung belajar’.Aku hanya tersenyum pahit, bila mendengar bisikan suara di dalam hati itu.

Aku mengerti bukan abah dan emak tidak suka aku meneruskan pembelajaran ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Tapi kerana masalah kewangan yang benar-benar meruncing, segala harapan dan impian ku tersekat begitu sahaja. Pada mulanya aku nekad, borang kemasukan ke dua buah institusi yang sudah menjadi milikku akan ku isi. Aku tidak mahu memberitahu emak dan abah tentang niatku itu. Soal kos pembelajaran akan aku usahakan kemudian, aku akan cuba membuat mana-mana pinjaman dan memohon biasiswa. Namun bila kutimbang-timbang perbuatanku, aku bimbang emak akan berkecil hati, abah pula kan bersusah hati. Akhirnya, aku hanya membiarkan rancanganku itu begitu sahaja, walau cinta dan rinduku untuk kembali ke dunia menuntut ilmu begitu membara!!. Sehingga kini,dua bulan sudah berlalu, aku hanya duduk rumah seperti budak bodoh yang tak punya apa-apa pelajaran!. Kerja yang ditawarkan padaku pula kan bermula sebulan dari hari ini. Hidup ini kurasakan penuh dengan kebosanan yang tiada tepian!.

Dalam hatiku masih bengkak kerana tidak dapat melanjutkan pelajaran, emak pula asyik membebel itu dan ini kepadaku. Terasa bengkak di hati kian parah. Sedang orang lain sibuk menggalakkan anak-anak meneruskan pembelajaran, emak asyik sibuk mengingatkan aku tentang pekerjaan dan perkahwinan. Pilu hatiku tidak siapa pun memahami. Tinggi harapanku untuk belajar hanya di pandang sepi oleh emak!. Emak tidak sedikit pun ingin mengambil tahu tentang semua itu, yang emak tahu aku kerja, dapat gaji boleh tolong abah langsaikan bil-bil yang menggunung tinggi, yang emak inginkan hanyalah aku bekerja, bila dapat gaji nanti mak nak rasa duit anaknya, dan yang emak idamkan, puteri tunggalnya menamatkan zaman bujangnya!! Emak…emak, andai kau cuba fahami apa yang aku rasa waktu ini..

Emak tidak pernah bertanya apa yang aku inginkan untuk masa hadapan, senyuman yang sering terukir di wajahku dan tawa yang sering memeriahkan suasana rumah ini bagi emak sudah cukup membuktikan aku benar-benar bahagia. Emak sering berkata, bahagianya emak bila aku selalu berada bersamanya. Sifatku yang suka mengusiknya dan bergurau dengannya sering membuatnya terhibur dan tidak kesepian. Katanya lagi, dia suka bila mendengar kekecohan aku meminta itu dan ini, mengusik itu dan ini, semua itu bagai melenyap setiap permasalahannya dan derita jiwa yang ditanggungnya. Anak mana yang tidak berasa bangga jika begitulah pandangan seorang emak kepada dirinya. Saat aku mendengar katanya itu, ingin sahaja kuhamburkan airmata kesyahduan. Namun, senyumku mampu menahan airmata yang menjerit-jerit untuk mengalir dari kolam kedua mata bulatku. Sebak dan pilu di dada mampu kusembunyikan dengan tawa kecil yang kubuat-buat!. Aduhai ..emak..kalau kau tahu impian hatiku, andai kau tahu jeritan hatiku….

Aku bukanlah jenis seorang anak yang suka mendesak. Kalau sekali dua ku pinta, tapi jawapannya tetap sama…mengalah itu adalah jalan yang terakhir. Aku tidak mahu emak bersusah hati memikirkan kehendak hatiku kerana aku tahu di dalam kepala tuanya itu sudah berserabut dengan seribu satu masalah yang belum ada lagi jalan penyelesaian!. Air mataku tidak pernah aku perlihatkan kepadanya, kalau adapun hanyalah wajah serius ku yang hanya mampu bertahan sejam dua dihadapannya. Pernah sekali aku cuba meluahkan rasa hatiku, tapi baru sahaja aku ingin membuka cerita, emak sudah menyimpang menceritakan masalah nya yang bertimpa-timpa kepadaku. Hendak atau tidak, aku hanya memendam sahaja perasaan. Sambil mengubah arah niatku dengan mendengar penuh prihatin setiap luahan emak. Katanya, “emak tak ada tempat mengadu melainkan kakak.” Sekali lagi naluriku tersentuh!!.Begitu tinggi sekali nilai harga kehadiranku disisi emak.

Demi emak, aku rela korbankan segalanya, walau untuk menggenggam segulung ijazah itu merupakan impianku yang terlalu menggunung tinggi!. Akhirnya aku sedar, tidak semua impian itu mampu direalisasikan. Mungkin rezekiku bukan hari ini ,mungkin esok..mungkin juga lusa. Bila waktu dan ketikanya..pasti hanya Allah s.w.t yang lebih mengetahui. Pastinya setiap apa yang berlaku mempunyai hikmah yang berbaur dengan pelbagai rahmat. Dan yang sudah sedia tersurat, pasti mempunyai maksudnya yang tersirat!!.

Aku mempunyai sebuah keluarga yang berada di ambang kejatuhan, justeru itu tanggungjawabku adalah untuk mempertahankannya agar terus berdiri teguh dan ikatan kasih yang dikait bertahun-tahun itu terus mekar mewangi di taman bahagia!.

Aku mempunyai seorang adik lelaki yang mana kebajikannya sering terabai, justeru itu, tanggungjawabku adalah untuk membela kebajikannya agar dirinya bersemangat untuk bangkit mengejar impian di masa depan!.

Aku punya seorang abah yang dirundung malang, justeru itu, tanggungjawabku adalah mengeluarkan dirinya dari terus dihimpit malang yang tiada penghujung.

Dan yang paling penting…aku mempunyai seorang emak yang telah banyak berkorban jiwa dan perasaan demi anak-anak. Justeru itu, tanggungjawabku adalah menggembirakan emakku yang sentiasa berendam airmata itu!.

Dan aku?!. Tiada lain yang kuharap melainkan setiap perkara yang kulakukan adalah berlandaskan janji yang sering terucap di dalam solat… “inna solaati wanusukii wamahyaya wamamaatii lilaahirabil a’lamin…”, redha Allah terletak pada redha mak dan abah.

Emak..kakak sayang emak…sayang sangat-sangat!!.
***************************************************
Pesananku: “jika kalian mempunyai keluarga yang bahagia,hargailah kurniaan itu teman, krn sekali ianya hilang tidak mudah untuk dimilikinya kembali. Seburuk mana pun,mak dan abah kita, itulah mak dan abah yang tiada gantinya,sulamilah kasih seindah warna pelangi indah sbg. Hadiah untuk mrk. Sungguh..jasa mrk tidak terbalas. Justeru itu lakukan yg terbaik untuk mrk.”

Bicara kasih, luahan syahdu:
Umairah Sh
28 Jun 2003

11 December, 2007

Bersyukurlah
Kita dilahirkan di dalam nikmat Iman dan Islam
Tetapi dalam sedar atau tidak
NAFSU kita lebih menguasai diri
akhirnya bukan Iman sebagai benteng
bukan Islam sebagai pembimbing
tapi Nafsu lebih memimpin

Lantas...
kita lemas dalam lautan kemungkaran
Kita lupa akan hakikat kejadian seorang insan
kita lupa akan peluang taubat yang terbentang
Hidayah Allah sudah berada dihadapan...
kenapa sebelah mata hanya dipandang?!
Hatta, mahu disentuh pun tiada keinginan!

Jangan begitu teman
Jangan angkuh dgn Tuhan
Kita tidak miliki apa-apa
Segalanya milik Rabbul 'Alamin
mengapa perlu menunggu masa untuk berubah?
walhal,
Tuhan jarang sekali bertangguh memberi nikmat yang berlimpah-ruah?
Nyata sungguh..
kita adalah manusia yang tidak mengenang budi
tidak malu dgn Tuhan!
Jangan tangguh wahai Teman,
sujudlah kepada kebesaranNya
Pulanglah kepangkal jalan
sebelum malaikat Izrail
datang mengundang....
kerana..
mungkin hari ini adalah kali terakhir kita melihat dunia
kita tidak pasti..apakah nasib kita di alam barzakh
apakah nasib kita akhirat sana.

16 April 2005

10 December, 2007

Saya tidak mengerti….
Mengapa masih ada manusia yang tidak kenal diuntung?

Kehidupan adalah pentas lakonan

Saya tidak pernah menafikan kenyataan itu. Ramai orang yang berlakon dengan kebaikan walaupun mereka itu bukan pelakon. Berpura-pura beridentitikan malaikat tetapi sebenarnya …....

Haruskah kebaikan dibalas dengan kejahatan? Mengapa setelah kita melakukan kebaikan masih ada lagi manusia yang tidak menghiraukan? Ahhh…saya sering mempersoalkan sedemikian. Nyatanya perkara itu bukan satu perkara yang pelik. Perkara itu bukan tidak pernah terjadi di dalam kehidupan ini. Banyak kebaikan yang dibalas dengan kejahatan. Selalunya kejahatan itu tidak nampak lantaran perangai manusia yang pandai bersandiwara. Inilah yang dikatakan: Madu yang diberi, tuba pula yang dibalas. Bukankah sejarah telah memperlihatkan kepada kita bahawa dakwah awal Nabi Muhammad s.a.w yang dilaksanakan dengan penuh kebaikan tanpa kekasaran itu telah dibalas dengan kejahatan oleh Musyrikin Makkah? Bukankah ada juga manusia munafik yang berpura-pura Islam dan berpihak kepada Nabi Muhammad s.a.w tetapi sebenarnya tidak? Itulah sejarah manusia….

Hingga kini saya masih tidak mampu untuk percaya. Walau dijiwa saya perlu akur ini adalah satu kebenaran walaupun pahit saya perlu menerimanya. Ianya berlaku di depan mata saya. Bagaimana ‘seorang’ yang kami sayangi dan kami hargai boleh melakukan sedemikian rupa kepada keluarga kami? Saya seperti tidak percaya. Saya masih tidak dapat melupakan wajahnya walaupun dia sudah berada jauh dari keluarga kami dan tentu dia sedang bergembira dengan keluarganya.

Jauh disudut hati saya berkata-kata: “Mengapa kamu sanggup lakukan semua ini kepada kami? Memang benar kamu itu tak sedar diuntung, tidak takut dengan Allah dan hanya manusia yang bertopengkan kebaikan!!” Entah mengapa semua itu tidak terluah dihadapannya, semuanya masih berada di dalam hati ini dan kami sekeluarga sejak kepulangannya lebih banyak bercakap tentang dirinya (mengata dan menyumpah hidupnya!Astaghfirullah)

Hairan..hairan..hairan…
Dia pergi tanpa memohon maaf malah berani bersumpah dengan nama Allah dia itu tidak bersalah. Mmm..apa yang boleh dilakukan. Keluarga kami bukan keluarga yang suka mengasari. Kami lebih suka meletakkan ihsan di dalam hati. Dia benar-benar bernasib baik…sedari awal menjejakkan kaki dalam keluarga kami, kami menganggap dirinya seperti keluarga kami hinggalah saat kami mengetahui onar yang dilakukannya, dia masih lagi kami layan seperti keluarga, bukan itu sahaja kepulangannya kami hantar dengan do’a, pelukan dan lambaian perpisahan.

Tapi saya masih hairan? Dia tidak kesal atas apa yang dia lakukan mungkin. Biarlah..biar satu masa....dia akan memohon taubat kepada Allah s.w.t. dan datang melutut memohon maaf kepada kami.

Allahummaghfirlana

07 December, 2007

Saya menziarahi blog anak murid saya fathia, beliau ada memuatkan video ini di blognya. Saya benar-benar tertarik! Suka dengar kata-katanya..menusuk kalbu..menggegarkan perasaan.

05 December, 2007

Berikut saya muatkan sebuah penulisan yang dihasilkan untuk blog AhlulquranPTS. Moga setiap apa yang terkandung di dalam penulisan tersebut memberikan manfaat kepada mereka yang membaca.
_________________________________________________________________

Salam kasih penuh ukhwah Islamiah ustazah hulurkan kepada semua akhawat ahlulquranpts. Moga berada di dalam lindungan Allah s.w.t hendaknya. Alhamdulillah pada waktu ini ustazah diberi peluang oleh Allah s.w.t untuk menuliskan sesuatu khas untuk murid-murid dan akhawat yang ustazah kasihi.

Sebelum itu, ustazah ingin mengimbas kembali sebuah dialog yang berlaku diantara ustazah dan seorang adik yang sama-sama menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia:

“Kalau awak sayang, kawan awak. Awak kena nasihatkan dia. Bantu dia supaya dia sedar yang dia banyak buat kesilapan”

“tapi saya tak boleh,lah kak!nanti terasa pulak dia. Terus kita tak kawan lagi. Saya tak nak jadi macam tu. Saya tak kuat nak terus terang. Kadang-kadang saya jadi serba salah dibuatnya. Kalau tak tolong, tu kawan kita.”


Akhawat yang ustazah kasihi, persahabatan adalah satu ikatan yang indah di dalam kehidupan kita. Dengan rakan, kita makan bersama, keluar bersama, belajar bersama, berkongsi hati dan perasaan, bergurau-senda, dan bergelak ketawa. Tidak salah jika ustazah katakan, hidup ini sepi tanpa kawan disisi. Sehinggakan peranan kawan dan rakan ini, mampu mengatasi peranan ibu bapa kita lantaran kita sering bersama rakan-rakan jika hendak dibandingkan dengan ibu bapa kita.

Sahabat itu penting dalam hidup kerana jika tidak penting, apa gunanya Allah s.w.t, memperlihatkan kepada kita contoh di dalam kehidupan Rasulullah s.a.w yang dikelilingi dengan sahabat–sahabat baginda yang dikasihi baginda seperti Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq, Umar al-Khattabdan Uthman bin al-Affan.

Kehadiran sahabat dalam kehidupan, mampu menguatkan kita yang kadangkala lemah dengan mehnah kehidupan, kerana mereka seringkali berperanan sebagai penyokong kuat kita dalam menempuh setiap apa yang ingin kita perjuangkan. Begitu juga dengan Rasulullah s.a.w, para sahabat lah yang sering menyokong baginda dari belakang bagi membantu baginda dalam memperjuangkan agama Allah s.w.t walaupun nyawa dan harta terpaksa dikorbankan.


Boleh juga kita katakan bahawa sahabat umpama cermin bagi kita. Sesungguhnya kita adalah manusia biasa yang sukar untuk melihat kesalahan diri sendiri. Maka rakan-rakan kita adalah manusia yang mampu melihat setiap kekurangan dan kelemahan diri kita. Atas sebab itu, sahabat yang baik adalah sahabat yang sentiasa mampu menegur kesilapan diri kita, kerana daripada situ, kita mampu memuhasabah diri dan menjadikan kita insan yang lebih baik pada hari-hari yang mendatang.

Tetapi akhawat, kita seringkali sukar untuk menegur rakan kita yang melakukan kesilapan. Kita bimbang hilang kawan, kita bimbang hidup bersendirian. Kita takut kawan kita berkecil hati dan kawan kita tidak boleh menerima teguran kita. Benar, ianya memang sukar.

Ana sendiri pernah mengalami kepahitan dimarahi seorang sahabat yang sudah ana anggap umpama adik-beradik. Persahabatan yang dikait bersama hampir 14 tahun itu tiba-tiba menjadi hambar akibat teguran ana yang tidak ana berikan kepadanya melainkan kerana kasih sayang seorang sahabat yang tiada tandingannya. Tetapi keegoan dan rasa tidak mahu mempertimbangkan teguran tadi lebih mengatasi ukhwah yang ada. Sedihnya ana masih terasa hingga kini. Apakan daya. Inilah bukti bahawa menegur rakan kita walau baik macam manapun ianya tetap memberikan implikasi pada hubungan tersebut. Semuanya terpulang pada kita, sama ada kita sanggup menanggung risiko ataupun tidak. Tapi bagi ana, biar ana tanggung risiko di dunia namun untuk tanggung risiko di akhirat ana minta dijauhkan.

Atas sebab itu, sering kelihatan di dalam mana-mana persahabatan pun, seseorang itu takut untuk menegur kesilapan kawan-kawannya. Kita terpaksa membiarkan rakan-rakan kita terus berada di dalam keadaan melakukan kesilapan tanpa sedikit pun menunjukkan protes. Kadangkala pula kita sendiri seolah-olah menyokong rakan kita, dengan memberikan bantuan dan melibatkan diri kita di dalam perkara salah yang rakan kita lakukan. Kononnya demi kawan dan demi persahabatan. Tetapi wajarkah tindakan kita itu?

Cuba kita imbas kembali ikatan persahabatan para sahabat Rasulullah s.a.w Mereka tidak pernah malu untuk menegur kesilapan sahabat yang lain malah tegur-menegur dan nasihat menasihati bagaikan menjadi budaya dalam kehidupan mereka. Mereka hidup dalam keadaan penuh kasih sayang dan sentiasa sama-sama berlumba-lumba dalam melaksanakan kebaikan. Tetapi persahabatan kita? Persahabatan kita banyak yang tidak ikhlasnya. Kita sering berlaku baik dihadapan kawan kita, tetapi di belakangnya kita mengejinya. Kadangkala persahabatan kita lebih banyak maksiatnya dari kebaikannya. Mmm…semua itu berlaku tanpa kita sedari dan jika kita sedar pun kita selalunya buat-buat tidak sedar.

Kita sebenarnya mempunyai kuasa yang luar biasa untuk mengubah rakan kita kerana kita mempunyai kuasa ‘pengaruh rakan sebaya’ yang cukup unik. Sehinggakan pengaruh ini mampu mengatasi pengaruh ibubapa. Ini melihatkan betapa kuasa yang Allah berikan kepada kita amat hebat dan cukup istimewa. Justeru itu, usah sia-siakan kuasa ini, akhawat. Gunakan ia dengan sebijak-bijaknya untuk membawa rakan kita sentiasa berada di landasan yang diredhai Allah s.w.t. Pengaruhi rakan kita untuk melakukan kebaikan, pengaruhi rakan kita agar dia berusaha untuk mengejar pahala dan pengaruhi rakan kita dalam melaksanakan perkara-perkara yang positif. Kita mampu melakukannya.

Segalanya perlu mula pada diri kita, akhawat. Kita perlu menjadi rakan yang berlapang dada dengan teguran rakan kita. Walaupun kita rasa teguran itu tidak layak untuk kita, tetapi sekurang-kurangnya kita perlu fikirkan dan pertimbangkan teguran tersebut. Mungkin ada benar dan ada hikmahnya. Kita perlu bersyukur sekurang-kurangnya ada juga orang yang mahu kita memperbaiki diri, ada juga orang yang prihatin dengan kita, dan ada juga orang yang mahu menyelamatkan maruah diri kita di dunia dan akhirat. Maka ucapkanlah terima kasih kepada rakan yang menasihati kita. Jangan sekali kita sombong, usah juga kita mendabik dada apatahlagi berkata kasar:

“Kau tu siapa nak nasihat-nasihat aku. Tak payah nak buang masa lah. Cermin dulu diri kau tu, baik ke tidak!”

mmm…jika selama ini kita seperti itu, maka muhasabahlah diri kita. Wajarkah kita memberikan reaksi sedemikian? Teguran itu umpama madu lalu jangan kita balas dengan tuba. Mengapa ana katakan ia umpama madu? Kerana tanpa teguran hidup kita menjadi pahit. Kepahitan itu akan berdarah daging dalam diri kita, sehingga sampai pada satu saat sukar untuk kita buang kepahitan itu. Maka madu yang diberikan oleh sahabat kita jangan dipandang dengan sebelah mata, kerana madu itu akan menyelamatkan kita dari terus berada dalam kepahitan yang tidak kita sedari.

Ana ulangi, rakan umpama cermin diri kita. Kadang-kala kita tidak sedar kesilapan kita, maka rakan yang sentiasa dengan kita yang menyedari dan melihat apa yang tidak kena dengan diri kita. Atas sebab itu, penting kita menjadi dan mencari kawan yang baik. Kawan yang baik itu bukan hanya mampu untuk menggembirakan kita, tapi dia juga mampu menjadi penguat kala kita lemah, mampu menjadi penasihat bila kita leka, mampu menjadi penghibur waktu duka, mampu menghulurkan bantuan dan berkorban untuk kita dan sentiasa mengucapkan terima kasih bila kita menghadiahkan nasihat kepadanya. Yang penting kawan yang baik adalah kawan yang mampu menegur kesilapan kita, yang tidak menyokong kita dikala kita ingin melakukan kemaksiatan dan selalu mahu melihat kita mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Itulah dia fenomena akrab persahabatan yang sebenar diperlihatkan oleh para sahabat Rasulullah s.a.w kepada kita. Contohilah mereka akhawat.

Jadi, pilihlah. Kita ini mahu jadi rakan yang bagaimana untuk rakan kita? Dan kita pula mahu rakan yang macam mana untuk menghiasi hidup kita? Untuk itu, Jangan lupa tips persahabatan yang dibekalkan oleh Rasullah s.a.w kepada kita:

حدّثنا موسى بنُ إسماعيلَ حدثَنا عبدُ الواحدِ حدَّثَنا أبو بُردةَ بنُ عبدِ اللهِ قال: سمعتُ أبا بُردَةَ بنَ أبي موسى عن أبيهِ رضيَ اللهُ عنهُ قال: قال رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم: «مَثَلُ الجَليسِ الصالحِ والجليسِ السُّوءِ كمثَلِ صاحبِ المِسك وكِيرِ الحدّادِ: لا يَعدَمُكَ من صاحب المسكِ إِمّا تَشتَرِيهِ أو تَجِدُ رِيحَه وكِيرُ الحدّادِ يَحرِقُ بدنكَ أو ثَوبَك أو تَجِدُ منه رِيحاً خبيثةً

Maksudnya: “Perumpamaan rakan yang baik dan rakan yang tidak baik adalah seperti orang yang mempunyai minyak wangi dan pembuat besi. Tidak kamu dapati daripada orang yang mempunyai minyak wangi itu sama ada kamu membeli wangian itu ataupun kamu mendapat bau wangi darinya. Manakala tidak kamu dapati daripada pembuat besi itu sama ada ia membakar tubuh badanmu atau bajumu ataupun kamu mendapati bau yang tidak enak daripadanya.”*

Maka jadilah dan carilah rakan yang baik seperti orang yang mempunyai minyak wangi, jangan sekali kita menjadi dan mencari rakan yang tidak baik seperti si pembuat besi kerana kita sering dinilai dengan siapa kita berkawan, seandainya kawan kita baik, insya Allah kita juga sering dinilai sebagai insan yang baik dan begitu jugalah sebaliknya. Semoga bermanfaat.Wallahu’alam.

Salam Sayang:
Ustazah Sakinah

********************************************************************

* Nota: H.R Imam al-Bukhari.

Hadith yang sama juga diriwayatkan oleh Imam Muslim tetapi terdapat perbezaan dari sudut sanad dan matan:

حدّثنا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ. حَدَّثَنَا سُفْيَانُ بْنُ عُيَيْنَةَ عَنْ بُرَيْدِ بْنِ عَبْدِ اللّهِ عَنْ جَدِّهِ، عَنْ أَبِي مُوسَىٰ عَنِ النَّبِيِّ . ح وَحَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْعلاَءِ الْهَمْدَانِيُّ وَاللَّفْطُ لَهُ. حَدَّثَنَا أَبُو أُسَامَةَ عَنْ بُرَيْدٍ عَنْ أَبِي بُرْدَةَ عَنْ أَبِي مُوسَىٰ ،، عَنِ النَّبِيِّ قَالَ: «إِنَّمَا مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ، كَحَامِلِ الْمِسْكِ وَنَافِخِ الْكِيرِ. فَحَامِلُ الْمِسْكِ، إِمَّا أَنْ يُحْذِيَكَ، وَإِمَّا أَنْ تَبْتَاعَ مِنْهُ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ مِنْهُ رِيحاً طَيِّبَةً. وَنَافِخُ الْكِيرِ، إِمَّا أَنْ يُحْرِقَ ثِيَابَكَ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ رِيحاً خَبِيثَةً

Begitu juga ia diriwayatkan oleh Imam Ahmad Bin Hanbal tetapi dengan lafaz yang berbeza, terdapat juga penambahan lafaz pada awal dan akhir hadith dan lafaz المسك diganti dengan perkataan العطار :

حدّثنا عبدالله حدَّثني أبي حدثنا سفيان عن بريد بن عبدالله بن أبي بردة عن أبي موسى رواية قال: «المؤمن للمؤمن كالبنيان يشد بعضه بعضاً، ومثل الجليس الصالح مثل العطار إن لم يحذك من عطره علقك من ريحه، ومثل الجليس السوء مثل الكير إن لم يحرقك نالك من شرره، والخازن الأمين الذي يؤدي ما أمر به مؤتجراً أحداً المتصدقين

Imam Abu Daud pula meriwayatkannya dengan penambahan lafaz hadith yang panjang diawalnya:

حدثنا مُسْلِمُ بنُ إبْرَاهِيمَ أخبرنا أَبَانُ عن قَتَادَةَ عن أَنَسٍ ، قالَ قالَ رَسُولُ الله صلى الله عليه وسلم: « مَثَلُ المُؤْمِنِ الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ مَثَلُ الأتْرَجَّةِ رِيحُهَا طَيَّبٌ وَطَعْمُهَا طَيَّبٌ، وَمَثَلُ المُؤْمِنِ الَّذِي لا يَقْرَأُ الْقُرْآنَ مَثَلُ التَّمْرَةِ طَعْمُهَا طَيَّبٌ وَلا رِيحَ لَهَا، وَمَثَلُ الْفَاجِرِ الَّذِي يَقْرَأُ القُرْآنَ كَمَثَلِ الرَّيْحَانَةِ رِبْحُهَا طَيَّبٌ وَطَعْمُهَا مُرٌّ، وَمَثَلُ الْفَاجِرِ الَّذِي لا يَقْرَأُ القُرْآنَ كَمَثَلِ الْحَنْظَلةِ طعْمُهَا مُرٌّ وَلا رِيحَ لَها، وَمَثَلُ جَلِيسِ الصَّالِحِ كَمَثَلِ صَاحِبِ المِسْكِ أَنْ لَمْ يُصِبْكَ مِنْهُ شَيْء أَصَابَكَ مِنْ رِيحِهِ، وَمَثَلُ جَلِيسِ السُّوءِ كَمَثَلِ صَاحِب الكيرِ إِنْ لَمْ يُصِبُكَ مِنْ سَوَادِهِ أَصَابَكَ مِنْ دُخَانِهِ

Manakala Imam Ibnu Hibban meriwayatkannya dengan terdapat sedikit perubahan pada lafaznya dan lafaz الكير diganti dengan القين :

أخبرنا عمر بن محمد الهَمْدَاني ، قال: حدثنا عبدُ الجبار بنُ العلاء ، قال: حدثنا سفيانُ ، عن بُرَيْد بن عبد اللَّهِ، عن جده عن أبي موسى قال: قال رسولُ اللَّهِ، : «مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ مَثَلُ الْعَطَّارِ، إِنْ لَمْ يُصِبْكَ مِنْهُ، أَصَابَكَ رِيحُهُ، وَمَثَلُ الْجَلِيسِ السُّوءِ مَثَلُ الْقَيْنِ، إِنْ لَمْ يُحْرِقْكَ بِشَرَرِهِ، عَلِقَ بِكَ مِنْ رِيحِهِ


Hatiku bersalut dengan kegusaran
Aku tersenyum dalam kepahitan
Ketenangan dan kebahagiaan itu tidak berkekalan
Pasti badai penuh gelombang akan singgah dalam kehidupan
Bukankah inilah yang perlu ditempuhi orang-orang yang mengaku beriman?
Diri kan diuji setelah mengaku beriman
Usah nafikan pengakuan
Usah salahkan kehidupan

Berat mataku memandang, tentu berat lagi bahunya memikul beban
Aku tidak tahu bagaimana untuk aku hulurkan bantuan
Aku sendiri lemah dan tidak berkemampuan
Aku hanya mampu menemani dan memberikan sokongan

Di dalam hati ini
Ada tangisan
Ada kebimbangan
Ada kegusaran
Ada kesedihan
Ya Allah… takdirkanlah yang terbaik
Tidak ada daya untuk menempuhi melainkan dengan bantuanMu
Kuatkanlah hati-hati yang sememangnya lemah
Permudahkanlah Ya Allah..permudahkanlah…

02 December, 2007

Teman
Apalah ertinya ukhwah tanpa kasih sayang
Bukankah itu hanya mengundang kebencian?
Apalah ertinya ukhwah tanpa keikhlasan
Bukankah itu hanya menghadirkan dengki dalam perasaan?

Pertemuan telah menghadiahkan kita ukhwah
Antara dua hati kita lahirnya kasih sayang
Wujudnya keikhlasan
Bersama ‘Nur’
Bernama ‘Nur Kasih’.

Teman
Jangan biarkan NUR KASIH ini pudar
Biar ia bersinar bersama kasih Ilahi
Berdoalah
Agar NUR KASIH kita mendapat rahmat dan keredhaanNya

Jauhnya kita pastinya diulit rindu
Bersamanya kita pastinya dengan matlamat yang satu
Segalanya demi Allah tuhan yang Esa
Demi Sunnah Rasulullah yang diperjuangkan hingga ke hujung nyawa.

Teman
Berilah ruang untuk NUR KASIH kita bersinar di hati
Sinaran itu akan membentuk CINTA
Terbina diatas titian
IMAN, ILMU, AMAL dan TAQWA
Ketahuilah….
Perjalanan dan perjuangan kita masih jauh
Belum tahu apa kesudahannya
Hanya dengan ikatan ukhwah yang dihiasi NUR KASIH
Ketabahan, kesabaran dan kekuatan kita
Mampu menjadi benteng pertahanan yang kukuh lagi utuh
Dan pastinya
Hati dan ingatan kita bersatu
Walau berpisah beribu tahun lamanya.

Teman
Redha dan pasrahlah
Andai ukhwah ini berakhir dengan perpisahan
Kerana yang pastinya
NUR KASIH akan tetap mekar mewangi
Ditaman ukhwah fi din al-Islam kita.

Ikatan ukhwah itu suci dan murni
Hiasilah ia dengan mahabbah Islamiah sejati
Kerana disitulah sebenarnya terletak ketulusan hati
Tanda cinta kasih ilahi.

Kata-kata ini telah dihasilkan pada 30 November 2000 di Singapura untuk seorang teman yang kini hanya tinggal kenangan. Telah diubahsuai pada 1 Disember 2007.