11 November, 2007

Salam kasih untuk mereka yang menatap ruangan blog ini. Agak lama saya menyepi, lantaran sibuk dengan peperiksaan. Tapi kemunculan saya pada hari ini bukanlah bermakna peperiksaan saya sudah berakhir. Saya masih mempunyai baki 3 kertas lagi untuk diduduki mulai esok. Moga Allah mempermudahkan segalanya untuk saya. Allahumma Amin.

Hari ini saya mencuri masa belajar saya. Tetapi saya rasa tidak kerana Alhamdulillah saya telah selesai mengulangkaji untuk peperiksaan esok. Jadi apa salahnya saya mengambil sedikit masa ini untuk berkongsi rasa yang menyelubungi hati saya.

Entah mengapa, semenjak semalam jiwa saya diasak dengan rindu yang teramat sangat. Saya menjadi benar-benar kerinduan. Kerinduan yang membuatkan saya termenung panjang dan mengalirkan airmata. Saya rindu dengan hafalan al-Quran saya. Saya rindu untuk ‘mencair’kan hafalan al-Quran saya. Segala kenangan di maahad Tahfiz dan Pusat Tahfiz Singapura (PTS) seolah-olah diulang tayang dihadapan mata saya. Jiwa saya penuh dengan kerinduan.

Walaupun masih lagi ber’iadah (mengulang hafazan) tetapi ia tidaklah sehebat dahulu. Terlalu banyak kekurangannya jika hendak dibandingkan pada masa saya masih menuntut di maahad Tahfiz dan mengajar di PTS. Perlukah saya menyesal kerana beralih ke pengkhususan selain tahfiz? Persoalan itu tiba-tiba muncul di fikiran saya. Setelah agak lama saya bermenung saya meyakinkan pada diri saya bahawa saya tidak perlu menyesal, kerana pengkhususan saya sekarang (bidang hadith) banyak mengajar saya apa yang tidak saya ketahui dan banyak mengasah minda saya tentang bagaimana bermuamalah dengan lebih berlapang dada kepada masyarakat. Saya tahu kemunculan saya ditengah-tengah masyarakat bukan sahaja untuk mengajar mereka tentang kepentingan pembacaan al-Quran dan membasmi buta al-Quran dikalangan masyarakat Islam tetapi saya juga perlu mempunyai ilmu-ilmu lain yang boleh membantu mereka menjalani kehidupan berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah.

Minat saya yang mendalam dalam pengkhususan hadith telah memberikan manfaat yang bukan sebarangan nilainya kepada kehidupan saya dan dan saya yakin manfaat itu juga adalah untuk insan lain disekeliling saya. Sesungguhnya Allah tidak mentakdirkan sesuatu itu dengan saja-saja. Semuanya mempunyai hikmah yang berbaur dengan pelbagai rahmat.

Sekurang-kurangnya saya masih mampu berasa lega dan bersyukur kerana saya tidak menolak tepi terus hafazan saya kerana kesibukan-kesibukan yang tidak dapat saya elakkan. Walau apapun yang saya lakukan, saya tetap inginkan al-Quran dihati saya.Saya tetap inginkan al-Quran menemani saya. Saya masih ingat lagi sewaktu saya mengajar di PTS, apabila ada pelajar-pelajar saya yang ingin memohon cuti daripada menghadiri kelas tahfiz dua kali seminggu itu kerana peperiksaan, saya selalu menasihati mereka: “kalau tak dapat datang dua kali dalam seminggu, datang sekali pun tak pelah.Jangan tak datang terus. Saya tidak mahu lidah awak kering dari kalamullah, hati awak kosong dari menyebut kalam Allah. Kerana saya yakin, jika awak tak masuk kelas tahfiz, tentu sukar untuk awak istiqamah membuka al-Quran walau seminggu sekali”.

Ya, saya benar-benar bersyukur kerana Allah masih lagi memberikan nikmat untuk saya terus rindu pada kalamNya. Sehingga membuatkan saya terfikir bagaimanakah jiwa-jiwa yang tidak pernah merindukan al-Quran?Bagaimanakah mereka boleh hidup tanpa membaca al-Quran?

Akhir sekali suka untuk saya tinggalkan ruangan ini dengan satu persoalan untuk kita tanyakan pada diri kita: “bilakah kali terakhir kita berasa rindu dengan al-Quran?”
Jika ada diantara kita yang tidak pernah merasakan rindu itu, saya tidak mahu melabelkannya sebagai hamba Allah yang lupa diri dan tidak berguna (kerana itu terlalu keras). Suka untuk saya nyatakan bahawa BELUM TERLAMBAT. Masih ada waktu untuk menyemai rindu..masih ada masa untuk merasa rindu. Mulakan pada hari ini. Bacalah, tadabburlah (baca dengan memahami dan merenung). Kita akan dapat merasai bahawa siapalah kita tanpa Allah.

Wallahu’alam.

0 Comments:

Post a Comment