26 October, 2007

Esok awal pagi lagi saya akan bertolak daripada Singapura ke Bangi. Dalam perjalanan nanti, saya sebenarnya ingin sekali berkunjung ke rumah rakan saya di Melaka yang akan melangsungkan perkahwinannya. Tetapi diatas sebab-sebab yang tidak dapat saya elakkan saya terpaksa mengecewakan rakan saya yang amat berharap akan kehadiran saya. Maafkan saya. Bukan kehendak saya. Banyak perkara yang perlu saya siapkan sesampainya saya di Bangi nanti. Saya juga berasa agak terkilan dan sedih. Tetapi apakan daya saya.

Minggu hadapan peperiksaan. Perjuangan saya akan lebih menjadi hebat. Kerana perjungan saya tidak sama seperti perjuangan rakan-rakan saya yang lain. Saya yakin, saya akan menghadapi pelbagai kemungkinan dan saya hanya punya semangat yang tinggi dan kebergantungan saya kepada Allah yang jitu untuk menghadapi semuanya.

‘Amaran’ awal telah saya rasakan. Walaupun ianya sudah berjaya saya hapuskan, tetapi saya tahu…’amaran itu’ tidak akan berhenti disitu. ‘Dia’ tidak akan berputus asa lantaran ‘dia’ TERLALU banyak ‘tentera’ yang juga tidak pernah berputus asa untuk terus ‘memerangi’ saya.

Jika ‘dia’ tidak pernah berputus asa. Saya juga begitu, saya tidak akan berputus asa. Kadang-kadang saya tidak tahu bagaimana nak luahkan..bagaimana nak katakan. Hanya saya yang menghadapi dan hanya saya yang tahu bagaimana rasanya. Saya tidak punya harapan melainkan Allah untuk membantu saya. Saya perlu teruskan perjuangan ini seperti sem-sem yang lepas walaupun LEBIH daripada seribu satu dugaan yang datang silih berganti TANPA HENTI.

Ya Allah…lindungilah diri ini.

24 October, 2007

Hari ini masa saya ‘terbang’ lagi…
mmm…tinggal dua hari sahaja saya akan pulang ke bumi UKM, tetapi saya masih belum bersedia sepenuhnya untuk peperiksaan.
Bukan kehendak saya. Kesihatan saya amat tidak mengizinkan saya untuk duduk setia menelaah kitab-kitab yang saya bawa dari UKM. Tapi belajar, tetap belajar. Saya paksa juga diri saya menelaah Nota dan buku Kajian Perbandingan Kitab Hadith, walau kadangkala terhenti-henti. Apabila saya tidak tahan, saya baring sebentar di atas katil, kemudian saya sambung lagi duduk diatas karpet bilik saya yang berselerak dengan kertas dan buku-buku. Tidak tahan dengan keadaan yang asyik baring dan duduk itu, akhirnya saya membuat keputusan mengalihkan semua bahan-bahan bacaan saya diatas katil queen size saya. Jadinya saya belajar sambil berbaring, tetapi akhirnya saya terlelap hingga jam 5.30 petang tadi!.Ya Allah…saya gagal lagi hari ini. Inilah dugaan saya. Semester ini saya agak slow sedikit dalam mengulangkaji pelajaran saya. Berat sungguh saya rasakan beban ini .

Sambung Belajar

Dalam saya cuba mengalihkan mata saya sekali lagi kepada nota-nota bacaan saya, terlintas dalam pemikiran saya kenapa saya sanggup belajar lagi. BELAJAR. Belajar dilihat sebagai satu perkara yang positif, menjana keilmuan diri manusia dan memperlihatkan betap tingginya keazaman seseorang untuk menghadapinya. Namun, ia juga dilihat sebagai satu perkara berat dan sukar untuk dipikul oleh seseorang. Macam saya pernah katakan pada post yang lalu bahawa peperiksaan cukup menyusahkan hidup saya. Maknanya belajar sebenarnya boleh menyusahkan hidup seseorang. Atas sebab itu, apabila saya mengambil keputusan untuk menyambung lagi pengajian saya setelah agak setahun lebih saya meninggalkannya, ramai yang terkejut. Lebih-lebih lagi pada waktu itu saya sudah berstatus isteri. Perjuangan saya agak cukup mencabar. Saya perlu meninggalkan suami saya yang baru setahun melayari bahtera rumahtangga bersama dan Saya perlu tinggalkan juga mak dan abah saya, yang sebenarnya banyak bergantung harap pada saya. Pahit dan perit. Itulah yang saya rasakan. Tetapi jika saya ikutkan keperitan dan kepahitan itu sampai bila-bila pun saya tidak akan dapat mempertingkatkan diri saya.

Keputusan Peperiksaan Yang Pertama

Saya juga selalu berfikir kenapalah saya perlu menyusahkan diri saya, sedangkan saya sudah boleh hidup dengan senang disisi suami saya, mentelah lagi saya sudah mempunyai pekerjaan yang boleh menjamin keselesaan hidup saya dan keluarga. Bukankah lebih baik jika saya meneruskan kehidupan saya seperti 2 tahun yang lalu?tak perlulah saya berpenat-penat memerah otak dan stress dengan assignment dan exam.
Saya masih ingat lagi saat-saat awal saya menjadi pelajar universiti.Pada mulanya saya agak terkejut bila kembali ke dunia belajar. Saya amat tertekan.
Walaupun pada waktu itu, saya berusaha sedaya upaya saya untuk melakukan yang terbaik, saya tidak pernah mengharap untuk menjadi yang terbaik kerana saya faham bahawa saya mempunyai ramai saingan yang hebat-hebat. Mana mungkin saya mampu bersaing dengan mereka-mereka yang baru sahaja tamat STPM, STAM dan diploma. Ilmu mereka masih panas lagi. Sedangkan saya? Saya sudah terlalu lama meninggalkan ilmu-ilmu saya. Banyak perkara yang saya perlu ‘aktif’kan kembali. Tetapi, keputusan peperiksaan saya pada semester pertama tahun satu agak memeranjatkan saya. Malah bukan saya sahaja tetapi suami saya. Apabila saya mengkhabarkan padanya melalui telefon bahawa saya mendapat 8A 1B, apa yang terpantul di bibirnya adalah

“bedeklah! (bohong, lah!)”

ehheeh…apabila saya mengarahkan dia sendiri yang memeriksa keputusan peperiksaan saya melalui laman web UKM, barulah suami saya percaya.

Sokongan Dan Dorongan

Daripada situ, saya berjaya membuktikan kepada suami saya bahawa saya memang benar-benar ‘boleh belajar lagi’ dan daripada keputusan peperiksaan yang pertama itulah telah menjadikan suami saya menjadi pendorong utama dan pertama sewaktu saya akan menghadapi peperiksaan. Kadang-kadang saya rasa ,saya seperti anak-anak sekolah menengah yang sering diingatkan bahawa saya perlu belajar sebab exam sudah tidak lama lagi!.Setiap kali pulang daripada kerja, suami saya akan bertanya “tadi study tak?”.hehe..itulah suami saya.




Dorongan dan sokongan itu penting sebenarnya. Namun, sebanyak mana kita didorong dan disokong, tetapi kita tidak mahu menjadikan dorongan dan sokongan itu sebagai kunci untuk melangkah lebih jauh pun tidak ada gunanya. Segalanya terpulang pada diri kita. Kalau kita hendak….kita pasti lakukan yang terbaik.kalau kita tak nak…buat macam manapun..tentu tidak akan menjadi.

Tidak ada sesiapa yang boleh membantu kita…melainkan kita sendiri. Kalau boleh kita ingin sekali ada orang yang boleh membantu kita untuk menduduki peperiksaan ,tetapi itu adalah mustahil. Kita jugalah, yang perlu menduduki peperiksaan itu, bukan orang lain. Dengan itu, kita jugalah yang akan membentuk masa hadapan kita bukan orang lain. Orang lain hanya boleh menjadi pendorong dan penyokong kita tetapi untuk merealisasikannya adalah diri kita sendiri.

DIRI KITA adalah pendorong utama kita untuk mencapai kejayaan. Jangan hanya bergantung pada sesuatu yang ‘sederhana’ sahaja atau 'ala kadar' sahaja kerana kita orang melayu jangan melayukan diri kita. Kita perlu tanamkan dalam diri, bahawa kita adalah MELAYU MUSLIM, dan seharusnya melayu muslim perlu lebih cemerlang dari yang lain. Saya teringat kata-kata ketua pustakawan kepada seorang rakan saya yang menerima anugerah pencinta ilmu, katanya:

“Kalau di FPI (Fakukti Pengajian Islam) ada orang cina, saya rasa orang cina jugalah yang akan menerima anugerah ini”

Saya tersenyum lalu melihat senarai nama penerima anugerah. Memang benar, hanya 4 orang sahaja pelajar melayu yang mendapat anugerah tersebut, yang selebihnya adalah pelajar cina.Saya tersenyum lagi lalu berkata pada diri, “saya melayu tetapi tidak melayu kerana saya melayu muslim yang ingin sentiasa menjadikan agama saya sebagai panduan hidup saya”

Ketahuilah seorang muslim itu, perlu menjadi umat nabi Muhammad s.a.w yang berusaha untuk mencapai kejayaan dunia dan akhirat.Tetapi kadangkala sering berlaku, mereka yang hanya mementingkan salah satu diantaranya. Sedangkan keduanya itu berjalan serentak.

Kita ingin berjaya?
Segalanya bermula dengan diri kita..bukan orang lain.

23 October, 2007

Salam kasih penuh ukhwah Islamiah saya hadiahkan buat mereka yang sudi menatap ruang blog ini. Semenjak syawal membuka tirainya, saya tidak berkesempatan untuk menulis sesuatu melainkan meng ‘post’ gambar-gambar yang dipetik ketika berjalan raya bersama keluarga dan rakan-rakan. SIBUK!. Adakah itu perkataan yang sesuai untuk saya gambarkan keadaan saya pada ketika ini? Entahlah..tapi yang pasti saya sentiasa mencari-cari masa dan ruang untuk berehat. Kadangkala saya sendiri pelik…sibuk kah saya? sebab saya belum lagi berkesempatan untuk menyelesaikan tugas mengulangkaji setiap subjek yang bakal saya duduki examnya pada minggu hadapan. Tetapi sekurang-kurangnya saya berasa sedikit lega kerana saya baru sahaja berjaya menyelesaikan assignment yang menghantui fikiran saya semenjak sebelum saya pulang bercuti raya lagi.


Semalaman saya bersengkang mata dihadapan komputer untuk menyelesaikan assignment yang masih terbengkalai itu, tiba-tiba tugasan yang hampir 90% saya taip hilang atas sebab yang saya sendiri tidak pasti dan pada waktu itu jam menunjukkan tepat pukul 3.30 pagi! Saya menangis…hancurnya perasaan saya Allah sahaja yang tahu. Kelitihan saya dari pagi hingga ke malam nampaknya tidak berbaloi! Saya lebih berasa terkilan dan tertekan kerana suami saya lebih menyalahkan saya kerana tidak meng ‘save’ tugasan tersebut sedari awal. Ya..mungkin salah saya. Tapi waktu seperti itu saya tidak mahu orang menyalahkan saya. Saya cuma mahu orang memujuk saya dan memberikan kata-kata semangat kepada saya, bahawa saya masih ada masa untuk menaipnya semula! Apakan daya, suami saya tidak mengerti kehendak saya…dan dia tidak habis-habis menyalahkan saya dan mengingatkan saya! mmm..hehhe, kadangkala tidak guna kita mengharapkan orang untuk memberikan kata-kata semangatkan?daripada mengharap lebih baik kita lakukannya sendiri, betul tak? Itulah yang saya lakukan.Saya menguatkan semangat saya. Akhirnya saya mengelap airmata, menghentikan esakan saya dan terus menghadap komputer kembali untuk menaip semula semuanya. Alhamdulillah…dengan keizinan Allah saya mampu menyelesaikannya.

Sekarang fikiran saya pening pula dengan peperiksaan. Saya selalu berfikir kenapa kita perlu menduduki peperiksaan? Selalunya orang belajar hanya untuk periksa, selepas itu entah hilang ke mana, apa yang dibaca dan dihafal. Saya sendiri tidak berani nak kata sejauhmana peperiksaan mampu menilai diri seseorang itu sebagai bijak pandai. Selalunya pelajar yang dapat A untuk kesemua mata pelajarannya di gelar sebagai hebat. Selalunya juga pelajar yang pandai menghangatkan suasana tutorial dan pandai mengeluarkan maklumat dihujung lidahnya digelar sebagai pelajar pintar. Benarkah semua itu? Mmm…saya tak berani nak komen apa-apa, sebab nanti takut orang kata saya nak angkat diri saya pula.hehe (tetapi saya sering berpendapat yang sebaliknya tau! Tak semestinya orang selalu dapat A itu dia pandai dan tak semestinya orang pandai memutar-mutarkan maklumat itu hebat)

Walau apapun, bagi saya peperiksaan cukup menyusahkan hidup saya. Peperiksaan akan membuat saya tidak tenteram nak lelap mata dan selalu juga buat saya mengalirkan air mata. Macam itu lah saya…semenjak dari sekolah menengah di Madrasah Alsagoff, kemudian di Maahad Tahfiz sehinggalah penghijrahan laluan ilmu saya ke UKM, gaya saya menghadapi peperiksaan tetap sama. Kurang tidur, tak tidur malam, menangis, risau, dan STRESS!!! Bagaimana tak sukanya saya dengan peperiksaan, saya tetap perlu belajar, perlu berusaha dan perlu mendapatkan yang terbaik. Ini kerana saya sendiri sedar siapa saya, saya bukanlah manusia genius yang hanya perlu membelek buku, tetapi saya jenis manusia perlu berusaha untuk mencapai kejayaan. Matlamat saya tetap satu: belajar bukan untuk A tetap belajar untuk ilmu.

Kepada semua rakan-rakan seperjuangan:

SELAGI ADA MASA DAN TENAGA ..SELAGI ITU KITA PERLU BERUSAHA

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN

16 October, 2007

Salam Aidilfitri Saya Ucapkan kepada mereka yang mengenali diri ini.
Semoga kita tergolong di kalangan mereka yang layak untuk menyambut Syawal.
Selamat Hari Raya
Maaf Zahir Dan Batin
Min al-'Aidin wa al-Faizin wa al-Maqbulin

10 October, 2007

Bismillah

Sudah 4 hari aku berada di rumah. Kembali menghirup udara Singapura. Tapi percutian Hari Raya yang sudah ku rancang untuk bergembira, nampaknya tidak menjadi. Aku terpaksa duduk dihadapan komputer, menyiapkan assignment yang diberikan last minute oleh ustaz. Kadang-kadang aku rasa macam nak marah juga. Maklumlah, banyak persiapan raya belum lagi aku siapkan. Lagi 2 hari nak raya…

Aku jadi muram…
Kadang-kadang geram…
Tak tahulah..apa nak jadi dengan assignment itu.
Aku tidak ada ‘perasaan’ dalam menyiapkannya…
Rancangan aku untuk ke Arab Street dan Geylang terpaksa aku tunda. Sepatutnya hari ini.. tapi aku tunda lagi esok…
Hai.. mcm mana ni..assignment itu tetap tak siap lagi?!!
Hari raya tak lama lagi..
Kuih ada lagi tak buat..
Baju ada lagi yang tergendala ni..
Mak dah bising dah…”baju-baju tu..bila kau nak lipat!”
“Kak..bila kau nak buat kuih nie?”
Adui..pening-pening!!
Aku jadi tertekan…dalam masa yang sama otak ligat memikirkan tentang peperiksaan!!
Ya Allah…tak pernah-pernah aku kalut mcm nie sekali.
Kenapalah dengan ustaz ni? Kenapa bagi assignment last minute macam ni?dah lah aku tak suka buat kerja last minute! Aku nak marah pada siapa sekarang ni?
Entah lahh!!!

Fasobrun Jamil….