01 September, 2007

Perbualan saya dengan seorang teman di dalam bas ketika pulang dari kelas tutorial telah mencetuskan satu idea untuk saya coretkan di atas kertas ini. Perbualan itu adalah berkenaan teguran seorang pensyarah. Tentang teguran itulah sebenarnya yang saya nak kaitkan dengan tajuk diatas.

‘Bila lelaki ‘malu’…., mmm malu mengenai apa pula ni,ya?. Ini bukan malu nak mengorat perempuan, bukan juga malu nak berbual dengan perempuan, apatah lagi malu nak menyuarakan hasrat hati tapi ini adalah apabila lelaki malu NAK DUDUK DEPAN DALAM DEWAN KULIAH!!!

Hah! Jangan marah, pada kaum lelaki yang membaca penulisan ini. Yang penting saya nak tegaskan disini, tidak semua lelaki mempunyai sikap yang sedemikian. Jadi, kalau lelaki yang tidak mengaku diri mereka segan nak duduk depan, janganlah nak marah-marah pula. Kalau nak marah, biar pada yang hak!Kalau nak marah biar marah pada orang yang membuat kemungkaran, bukan orang yang menegur kesilapan. Baru cantik keperibadian!

Fenomena siswa suka duduk di belakang bukanlah satu fenomena asing (Itu jugalah yang terjadi di Fakulti Pengajian Islam, pahadal semua ustaz-ustaz (siswa-siswa) tahu kedudukan lelaki dan perempuan). Masuklah ke dewan kuliah manapun, pasti siswi yang memenuhi barisan hadapan. Betulkah siswa tidak diberi peluang? Benarkah siswi selalu menjadi penghalang?!

Betul atau tidak, bukan persoalannya. Persoalannya, kenapa siswa sendiri yang tidak mahu merebut peluang? Mengapa siswa sendiri tidak mahu menjalankan apa yang telah ditunjukkan dalam sunnah? Kalau nak kejar anak gadis orang, amboi bukan main lagi, selalunya tak nak kalah, mesti nak dia yang dulu, bimbang melepas..tapi kalau nak rebut kerusi dihadapan, mmm rela tunggu pensyarah datang, dapat duduk belakang pun tidak mengapa. Bagi alasan, “Saya malulah..perempuan ramai!” Alasan semata! Jangan sampai siswi su’ zhan (berburuk sangka) pula pada siswa, nanti dilabelkan sebagai orang yang bukan dengar kuliah, tapi duduk di belakang sengaja nak cuci mata!.

Tidak salah jika saya berpandangan, seANDAInya siswi dibenarkan menjadi imam, Saya rasa siswi jugalah yang berada dihadapan dan siswi juga yang imamkan solat, lantaran siswa malu nak menjadi orang depan, siswa malu nak memperlihatkan mereka yang seharusnya berada dihadapan!. (Tapi jangan salah faham, apa yang saya nyatakan ini, tidak ada kena-mengena dengan Aminah Wadud. Ini hanya pandangan sekiranya berlaku sedemikian)

Mungkin siswa lupa. Mereka lupa pada semangat perjuangan para sahabat. Mereka lupa pada tertib dalam solat. Siapakah yang dihadapan dan siapakah yang seringkali menjadi penyelamat agama dan pejuang di medan perang jika bukan manusia bergelar lelaki. Mungkin mereka juga lupa firman Allah s.w.t الرجال قوامون على النساء, mereka lupa mengapa harta warisan diberikan lebih kepada kaum lelaki, siapa yang menjadi wali, talak itu ditangan siapa, siapa yang menjadi tok kadi, siapa pula pemimpin dalam keluarga? Sudah tentu jawapannya ialah LELAKI.

Tetapi jika disaat sedang menjadi mahasiswa ini mereka memperlekehkan peranan kepimpinan yang diberikan oleh Allah kepada mereka, nampaknya mereka sendiri memperlihatkan pada kaum wanita bahawa mereka itu lemah (sebenarnya mereka tidak). Bukankah sikap sedemikian mendatangkan tanggapan negatif siswi terhadap siswa, lebih-lebih lagi jika siswa itu berpengajian Islam? Jangan marah jika saya nyatakan bahawa sikap itu juga mengurangkan kredibiliti dan karisma seorang pelajar muslim yang cemerlang. Kerana apa? Kerana kita takut untuk tampil kehadapan diatas sebab yang kurang munasabahnya!.

Maka, duduklah dibarisan hadapan wahai siswa muslimin. Perlihatkanlah, bahawa dirimu tahu akan tunjuk ajar Rasulullah, dirimu mewarisi semangat perjuangan para sahabat, dirimu mampu dijadikan contoh bagi siswi muslimat sebagai hamba Allah pengegak syariat, jagalah pandangan matamu kerana bimbang kita tersilap pandang dan kerana tersilap pandang itu membenihkan zina hati, dan apabila terbitnya zina hati ia mampu menjadi penghalang masuknya ilmu kurniaan Ilahi.

Jangan salahkan siswi muslimah jika mereka tersilap tingkah. Fikirkanlah jika tidak kerana lelaki yang kurang memberikan contoh, maka wanita akan menjadi lebih kurang terkawal, jika tidak kerana lelaki yang kurang menjaga adab pergaulan dengan wanita, maka mereka juga kurang mengerti bagaimana untuk meletakkan sifat malu dihadapan, dan jika lelaki tidak mahu duduk dihadapan, maka jangan marah jika muslimah lebih terkehadapan daripada lelaki.

Fahamilah bahawa kata-kata saya bukan ingin menyakiti hati, tetapi kata-kata saya cuma ingin membantu muslimin agar sedari peranan diri demi Islam yang dicintai. Wallahua’lam.

0 Comments:

Post a Comment