15 August, 2007

Aku dan Syuhada’, sedang menghabiskan masa di PTSL. Kuliah berikutnya adalah jam 4 petang. Sekarang jam di tangan baru menunjukkan pukul 12.40 tgh/hari.mmm..lambat lagi!

Sebentar tadi kami berjumpa dengan Nik. Perjumpaan yang sebentar tadi, membuatkan aku ingin menarikan jari-jemari diatas papan kekunci laptop ini. Aku ucapkan “Tahniah dan selamat pengantin baru untuk Nik”. Terima kasih diatas kad jemputan yang dihulurkan,tapi sayangnya kami pelajar-pelajar jabatan al-Quran dan al-Sunnah tidak dapat menghadiri majlis pernikahannya. Kami semua akan bertolak ke Perak Ahad ini untuk menghadiri seminar Hadith anjuran jabatan kami. Apapun aku doakan yang terbaik untuk Nik, moga menjadi isteri solehah penyejuk mata dan hati suami tercinta.

Terkenang detik-detik aku akan nikahkan dengan suami. Sebuah majlis ringkas, tetapi tetap menelan belanja beribu dollar. Aku nikah tanpa secalit make-up di wajah, tanpa mak andam penyeri pengantin, tanpa bunyi kompang meriuhkan suasana dan tanpa pelamin,persandingan dan persalinan yang sering di idamkan para gadis. Mujur ada abang pen yang memang gemar memetik gambar,maka dialah juru kamera aku pada hari yang bersejarah itu. Jika tidak,tentu gambar pun aku tidak ada sebagai kenang-kenangan.

Saudara-mara pelik, anak dara kahwin tidak ada pelamin,tidak ada mak andam malah aku nikah tetap berjubah dan bertudung labuh. Banyak bisikan dan tanggapan negative dari mereka, namun demi menjaga syariat aku tabahkan hati dan perasaan. Bukan mudah menelan kata orang. Menelan kata-kata orang, pahitnya umpama aku menalan jadam!

Aku tidak mahu meruntuhkan benteng syariat yang aku bina selama ini. Tidak mungkin kerana bergelar raja sehari, akan aku korbankan semua yang aku pegang kukuh kerana takut dengan tanggapan masyarakat. Aku takut pada Allah, Aku yang bakal menanggung dosa. Mereka tidak rugi apa-apa.

Bukankah pernikahan itu adalah sesuatu yang suci dan sebuah majlis yang penuh rahmah. Maka aku tidak mahu mengotorkan kesucian majlis dengan perkara-perkara bid’ah dan melanggar syariat Allah. Aku tidak rela keberkatan majlis itu pudar!

Aku bersyukur kerana dapat mempertahankan syariat dan aku bersyukur kerana dapat memperlihatkan inilah hasil didikan agama yang aku perolehi.

Hari raja sehari adalah hari yang benar-benar menguji sejauhmana orang yang mendalami ilmu agama akan mempraktikkan setiap apa yang dipelajarinya dan mempertahankan syariat Allah dan sunnah Rasulullah. Adakah kita yang mengaku sebagai orang yang belajar agama Allah ini kalah atau menang?Mampukah kita menangkis nafsu dan keinginan untuk berhias-hias umpama puteri kayangan (bagi yang muslimah)? Mampukah kita menahan umpatan dan kata orang untuk menpertahankan syariat Allah?Maka hari itu, adalah ujian besar bagi kita. Ittaqillah!

0 Comments:

Post a Comment