14 July, 2007

Semalam ketika kami serumah sedang makan tengah hari berjamaah,timbul soal anak oleh adik2 serumah.Aku tersenyum,topik itu dibuka krn Rabithah sudah ada seorang anak comel di bawa ke fakulti tempoh hari. Semua itu membuat aku kembali membaca penulisan aku, di blog friendster.Airmata aku mengalir tapi Aku masih tersenyum. Senyum manis bersulam pahit!

*************************************************************
Memetik ungkapan kata penulisan ku di blog ini pada tajuk -
Ada apa pada anugerah dekan?:

Hakikatnya semakin hari aku semakin haus dengan ilmu, semakin hari aku semakin gelisah untuk tiba ke tahun akhir pengajian. Kerana aku belum puas! Aku masih lagi ingin di bimbing untuk ilmu, masih lagi ingin bergelumang dengan buku. Biarlah orang lain jemu…tapi hatiku tetap rindu

Benar… HATIKU TETAP RINDU!!

Aku kembali menghitung usia.. ia semakin meningkat ke angka yang lebih besar. Adakah berlaku pembaziran usia di dalam hidup ini? Rasanya tidak…dalam satu fatrah, aku berada di alam rumah tangga, dalam masa yang sama hidup di dunia pembelajaran, terjun juga ke bidang dakwah, kadangkala masuk pula ke bahagian psikologi, tiba-tiba pula sibuk dalam bidang penulisan,.pendek kata, dalam satu fatrah banyak perkara yang aku lakukan. Dan kesemua perkara yang aku sebutkan dan yang tidak disebutkan… memerlukan kepada satu komitmen yang tinggi, kerana dalam hidup aku tidak ada perkara yang aku lakukan dengan saja-saja tapi pastinya bagi memberi manfaat kepada diri dan manusia lain.

Seterusnya ia membuatkan aku terkenang kembali kata-kata seorang ustazah kepada ku:
“Sakinah, ada anak satu dulu pun tak pelah, lepas tu baru amik master!” Subahanallah, Allah belum mentakdirkan aku untuk terjun ke bidang ‘mendidik diri menjadi ibu mithali’. Tidak pernah sekali aku menyentuh tentang anak didalam setiap penulisan aku. Rasanya inilah pertama kali aku menulis perkataan ‘anak’, untuk diri sendiri. Mak juga selalu kata: “Bila nak ada baby. Kalau ada ,kan mak boleh jaga”, hai senangnya mak cakap, sekarang belum ada bolehlah mak cakap macam tu, nanti bila dah ada macam–macam alasan pula yang mak nak bagi. Bukan aku tak kenal dengan sikap mak. Ramai juga selalu kata kepadaku: “kak sakinah bila lagi?” Selalunya apa-apa sahaja persoalan yang ditimbulkan oleh orang tentang anak kepada aku, aku hanya tersenyum dan berkata “Belum ada rezki. Insya Allah satu hari, adalah”.

Pada awalnya, memang agak tertekan. Aku jadi manusia murung dan memikirkan kata-kata orang terutama sekali keluarga. Tapi mujurlah, aku adalah seorang yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan semangat diri yang begitu tebal, aku bangkit dari kemurungan dan meneruskan hidup macam biasa. Menerima setiap persoalan yang dilontarkan kepada ku tentang anak dengan penuh positif tidak lagi sensitive. Aku menjadi manusia yang berlapang dada, bila membincangkan tentang anak. Walau bagaimanapun perlu aku tekankan bahawa aku juga wanita biasa yang punya naluri yang halus dan mudah tersentuh, semua itu mungkin tak mampu aku hadapi dengan berani dan tabah tanpa ada kekuatan diri yang begitu tinggi. Untuk membina kekuatan diri ini sebenarnya bukanlah mudah dan cukup menguji kesabaran dan kekuatan perasaan seorang perempuan yang sudah berumahtangga seperti aku.

Hingga mak juga ada menyuarakan padaku “Sampai bila kakak nak belajar. Kakak tak fikir ke nak ada anak!” aku ulang sekali lagi ‘hatiku tetap rindu’. Katakanlah apa pun, namun untuk aku berganjak dari laluan ilmu ini, tidak sekali. Walau ditakdirkan aku sudah mempunyai anak sekalipun, akan aku lalui jalan ilmu ini dengan anak-anak itu, biar mereka bersama berada di medan perjuangan dengan ku untuk merawat rindu yang tidak pernah lekang di hati ini kepada ilmu. Biar mereka juga turut bersama-sama merasai betapa manisnya perjuangan belajar untuk menegakkan agama Allah.

Siapa kata aku tidak fikirkan tentang anak, siapa kata aku tidak mahu adanya insan ketiga yang digelar ‘penyejuk mata, pengarang jantung hati bonda dan ayah’ di dalam percintaan kami, siapa kata aku ini akan terus menghambakan diri ku dengan dunia pembelajaran dan siapa kata aku tidak rindu untuk menggenggam jari jemari anak kecil yang aku lahirkan sendiri…..hakikatnya aturan Allah itu cukup indah. Aku tidak mahu mempersoalkan semua itu, kerana Allah s.w.t telah mengaturkan yang lebih baik untuk aku.

Ya Allah
Kau takdirkan kakiku memijak bumi ini (UKM),
agar aku lebih tenang..
lebih damai..
lebih melihat betapa agungnya kekuasaan Mu
lebih menjadikan tali pergantunganku pada MU
semakin kukuh dan utuh
tidak ada tempat pergantungan yang lebih aula yang aku cintai
melainkan pergantungan ku dengan tuhanku yang satu.
Biar kan hati ini terus rindu
Rindu dalam merindui ilmu Mu
Moga aku mati di dalam laluan ini
Menjadi syuhada’
Tika menegakkan agamaMu
Tika menjunjung tinggi kalam Mu
Biarkan rindu itu terus hidup di hati ini….


Aku bersyukur kerana ditakdirkan bercinta dengan suami yang tidak jemu-jemu meniupkan semangat untuk terus berjuang di laluan ini. Tika aku dibelenggu hampa dan jemu, dia juga yang mengatakan: “belajar kerana Allah dapat pahala”. Dari situ, aku simpulkan: belajar kerana Allah usah diselit rasa jemu..belajar kerana Allah jangan di lafaz kata hampa!

Pada Ajid pernah ku coretkan:

Di dalam perkahwinan ini ada lebih, ada kurangnya
Maafkan diatas segala kekurangan
Bersyukurlah diatas segala kelebihan
Moga ajid faham
Hati ini sentiasa hidup
Hidup untuk berjuang demi agama Allah
Hidup untuk terus berada di jalan Allah…


Ya Allah ,takdirkanlah yang terbaik untuk kami…moga cinta dihati kami sentiasa dibelai kasih dan sayang Mu..agar kami terus menjadi suami isteri yang sentiasa sujud dan bersyukur diatas segala nikmat yang telah Engkau kurniakan.

Aku sendiri sedang berjuang
Antara cita-cita dan perasaan
Antara harapan dan impian
Menahan sakit rindu yang mendatang
Mengumpul sabar yang sering berkurang
Mengharap redha pada sebuah perpisahan dan perjuangan.


(ungkapan rasa ini dicoret sebaik sahaja pulang dari peperiksaan al-amthal dalam al-Quran dan al-Sunnah. Selesai penulisan pada jam 4.30 petang)

0 Comments:

Post a Comment