30 May, 2007

Saat hatiku diketuk oleh kasihmu
Aku redha dengan ketentuan
Walau dirimu masih asing dalam hidupku
Tidak kukenal budimu
Tidak kuselam hatimu
Aku yakin akan takdir tuhan
Aku pasrah dengan jodoh pertemuan

Kerana telah kuberjanji pada ilahi
Tidak kucintai seorang lelaki
Melainkan tali akad itu pasti disimpul mati.

Walau mak kata masih terlalu awal
Walau ramai kata adakah sudah kenal
Aku yakin dengan ketentuan tuhan
Kau tetap menjadi pilihan

Jelas cintaku
demi iman
Jelas kasihku
demi islam
Walau banyak kelebihan dan kekurangan
Untuk apa kupersoalkan
Kerana semua manusia tidak ada kesempurnaan

Biar tuhan menjadi saksi
Diatas cinta yang terpatri
Berpaksikan iman dihati
Kuserah jiwa dan hati
Hanya untuk yang dikasihi
Suami yang kucintai.

umairah sh
1 Mei 2007

23 May, 2007

Novel Pembangun Jiwa
meruntun perasaan
alhamdulillah sudah kumiliki kesemuanya









(versi Indonesia)



(versi Indonesia)

22 May, 2007

Memikir dan merenungkan...

Bilakah kali terakhir airmata kita mengalir kerana rindukan solat tahajjud?
Bilakah kali terakhir hati kita bergetar saat mendengar bacaan al-Quran al-Karim?
Bilakah kali terakhir kita sujud menangis merayu ampunan tuhan dan keredhaan-Nya?

Andai kita sudah tersasar jauh…masih ada jalan utk kembali
Andai kita hampir melupakan semua itu….masih ada yang sudi ingin mengingatkan.
Jgn biarkan mata kita kering kontang dari mengalirkan airmata utk Tuhan
Andai kita mampu mengalirkan airmata utk yang dikasihi
Mengapa tidak utk Tuhan
Tuhan yang menciptakan kita dan perasaan kita
Hingga kita mampu mencintai dan dicintai
Hingga kita mampu utk mempunyai rasa memiliki dan dimiliki
Biarkan mata kita terus basah
Mengalirkan airmata
Kerana takut kan tuhan
Kerana ingin menyemai TAQWA
Siapalah kita tanpa Allah s.w.t, tuhan sekalian ‘alam.

Fazakkir innaz zikraa tanfa’ul mu’minin

21 May, 2007

Astaghfirullah..

Perasaan apakah ini? Sakit…dan kadangkala menusuk bagai ditusuk sembilu! pedihnya sukar untuk ku ungkap..bagai ada sesuatu yang terbuku penuh di lubuk hati. Amarahku mudah berada di kemuncaknya, bagai gunung berapi yang sedang mengeluarkan laharnya yang amat panas! Marah…dan mudah meragam!!apa sudah jadi dengan perasaan ini ya Rabb!

Rabish rah lii sodri, wa yassir li amri…

Itulah yang selalu kubisik di dalam hati..kurayu di sujud terakhir.

“sakinah, awak tolong buat nie ye?”
“ustazah, nanti buat nie ye?
“kakak, tolong lah mak lipat kain!”
“inah…amik kan itu?”
“awak..boleh kita call?”
“kak, nak minta tolong boleh?”
“saya ada kemusykilan boleh tolong jawab?”
“kak, nak tanyalah…”
“ustazah besok free tak”

Adakah semua itu..membuat hatiku rajuk! adakah semua arahan dan permintaan itu membuat hati ini terasa sesak?! Sehingga benar…aku sudah mula sesak nafas!aku sudah mula sakit jantung!aku sudah mula pening kepala di TAHAP MAKSIMA!!!! Badan aku kadang kala bagai di toreh-toreh dengan pisau..bisa dan amat menyakitkan..pedih dan amat mengerikan!namun apa daya, kaki ini perlu juga melangkah, jiwa ini perlu kuat untuk terus menghadapi hari-hari yang terus berganti tanpa henti dan perlu menghulurkan tangan memberi bantuan pada mereka yang memerlukan.

Aku semakin sesak!ku tarik nafas perlahan-lahan..ku hembuskan jua dengan perlahan-lahan. Sejenak aku terfikir..apakah yang akan terjadi andai nafas ini tiba-tiba terhenti?! Kerana aku sering bertanya pada Ajid “adakah inah akan mati?”. Semua orang akan mati..setiap jiwa pasti merasai mati!Aku tersenyum, kemudian muram kembali. Aku tidak mahu mati dengan sia-sia…aku ingin berjuang walau disaat2 akhir hayat itu…adalah saat aku masih lagi dalam perjuangan!

Ada orang kata aku berkira. Membuat itu dan ini pun nak berkira. Bukan..aku bukan berkira…kerana aku bukan jenis manusia berkira. Tetapi, memahamkan orang tentang keadaan kita adalah yang terbaik, daripada memikul beban yang cuba digalas walau sedari awal kita memang tahu bahawa kita tidak mampu. Aku tidak kisah mendengar masalah orang, aku tidak kisah menghabiskan masa utk org yang memerlukan bantuan, aku tidak kisah menjadi pendengar setia, kerana aku yakin aku diciptakan Allah untuk itu…membantu manusia keluar dari lingkaran permasalahan hidupnya dengan kekuatan dan keupayaan yang termampu oleh ku!

Tapi jiwa ini tiba-tiba jadi sesak…aku seolah-olah ingin mencari nafas. Dimana nafas yang telah lama sebati dalam diri ku?

Mungkinkah aku TERLALU rindu..aku rindu pada pejuang kebenaran.
Aku rindu pada akhawat yang takutkan Tuhan.
Aku rindu pada muslimah yang berbicara dengan iman.
Aku rindu pada an-nisa’ yang menjaga kehormatan dirinya.
Aku rindu pada wanita yang jiwanya dahaga utk mendengar ilmu dan nasihat.

Mungkin…
Dewasa ini dipersekitaran ku yang membuat aku bungkam
Yang membuat aku menahan perasaan
Mengalirkan airmata…
Membuatkan aku mati akal
Bagaimakah jalan penyelesaiaannya!
Aku tidak mampu bergerak sebagaimana aku bergerak…
Kerana mungkin mawar-mawar berduri itu yang membuat aku sesak nafas..
Yang membuat aku beristighfar panjang
Yang membuat aku tersenyum kepahitan..walau cuba kumaniskan dengan kemesraan…
Aku rindu pada wanita yang hatinya bukan utk hiburan dan kegemilangan
Tetapi hatinya penuh dengan keimanan dan ketaqwaan…
Ya rabb..bantulah aku
Aku tidak mahu beralah
Aku mahu terus berjuang
Walau nyawa sebagai gantian.

Jalan menuju syurga tidak menjanjikan kesenangan.
Tiket ke syurga TERLALU MAHAL….
Moga aku tidak tumpas…dalam merebut TIKET KE SYURGA

20 May, 2007

Sesuatu yang ingin dikongsi bersama.Kata2 berikut ..ditulis krn mengenangkan nasib seorang isteri yang sungguh menyedihkan.walaupun pada waktu itu aku masih belum mendirikan rumahtangga, tapi pahit dan sakit yang bersarang dijiwa wanita nya cukup kuat aku rasakan, sehinggakan aku dapat meluahkannya dalam bentuk kata-kata berikut.kisah 5 tahun yang lalu seolah-olah diulang tayang dimataku setiap kali membaca kata-kata ini. Semoga Allah memberinya kekuatan utk meneruskan hidup ini berpayungkan iman dan taqwa.Amin

Bicara Isteri buat Suami Tersayang

Saat kau bisikkan kalimah ‘I love U’
Tak terucap sepatah kata,tak terluah walau sedikit rasa
Aku bungkam,
Yang hanya ada padaku tika itu..
Airmata kasih dan gumpalan rasa penuh syahdu.

Bila kau putuskan akulah permaisuri seumur hidupmu
Senyumku tak lekang dari bibir,bahagiaku hanya Tuhan yang tahu.

Abang,
Bila tali ‘akad’ dikait indah dalam hidup kita,
Telah kuserahkan segalanya
Kasihku padamu tidak pernah padam
Anak-anak kita, kuhadiahkan padamu tanda sayang yg tak pernah lekang
Walau kutahu,melahirkan itu bagai mengundang kematian
Apa yang kau ingini aku turutkan
Segalanya ..hanyalah untukmu abang.

Tapi aku sedih,abang
Kau tidak pernah reti-reti untuk memahami
Setiap apa yang kulakukan, bagai tiada memberi apa-apa erti
Pengorbanan yang kusanggupi, tidak sedikitpun kau kenangi
Malah kau ingin mencari satu lagi.

Bukan aku ingin mengungkit abang
Cuma aku ingin memperingatkan
Perkahwinan adalah amanah
Aku adalah amanah Tuhan
Anak-anakmu adalah tanggungjawab yang bakal dipersoalkan
Sudah cukupkah bimbingan yang kau berikan padaku dan anak-anak?!
Sudahkah kau yakin,abang..
Ajaran agama itu sudah sebati dalam hidup kami?!
Ketahuilah abang,
Harta dan kasih sayang masih belum cukup
Seandainya, kau masih membiarkan aku dan anak-anak
Lemas dan terkapai-kapai dalam mengenali yang maha Esa.

Abang,aku merayu..
Jgn kau seksa jiwa dan batinku
Jika Siti Asiah diseksa oleh suaminya Firaun
Kerana beriman kepada Tuhan
Tapi kau telah menyeksa jiwaku
Lantaran membiarkan aku kelemasan dalam
merindui bimbinganmu dan mengenali hakikat Tuhan!!.
Mengertilah abang..
Kau begitu bermakna dalam hidupku
Amanah yang kau pikul kini belum terlaksana
Walau bertahun sudah kita bersama
Dan kini mengapa amanah lain pula ynag ingin kau sandang??!!

Madu yang ingin kau hadiahkan padaku terlalu pahit abang
Menelan madu itu umpama menelan jadam!!
Bukan aku tidak mahu berpayung emas diakhirat
Bukan aku menafikan hak mu yg boleh berkahwin empat
Cuma aku tak sanggup,
Dosa abang kian bertambah,dosa abang tak sempat bertaubat!!.

Bicara kasihku untukmu abang
Agar kau fahami bahawa diamku penuh makna
Tidak sekali ada rela.
Dan aku sememangnya mengerti
Mana mungkin aku mengharap suami semulia Rasulullah
Andai diriku tidaklah sehebat Sayidatina Khadijah.
Abang..ayang sayang abang…

Umairah
18 july 2003

Jadual padat!

Bagaimana perlu ku bentuk mawar-mawar berduri ini,
Agar mereka bergerak dengan iman dihati
Agar islam memang benar-benar sebagai identiti
Kadangkala akalku hampir mati!
Jiwaku sesak disakiti
Perlukah aku melangkah pergi?!
Tidak!
Bukankah aku sering menyatakan dakwah
Walau tidak dapat kuterapkan sepenuhnya
Mengapa tidak separuh darinya
Walau tidak separuh darinya
Mengapa tidak hanya membuat mereka ‘terkesan’
Walau kutahu
SEBENARNYA AMAT SUKAR!!!

19 Mei ‏2007

Rabbi yassir walaa tua’ssir Ya karim.

Sebenarnya aku memerlukan ruang untuk bernafas lega. tetapi nampak-nampaknya, ruang yang kudambakan itu sebenarnya belum ku temui. Minggu-minggu yang bakal dilalui adalah minggu-minggu yang tiada waktu senggang. Setiap hari ada sahaja perkara yang perlu aku berikan komitmen.

Setiap hari Praktikal di Masjid Darul Ghufran 9 pagi – 6 petang.
Setiap Isnin selepas maghrib aku perlu mendengarkan hafazan (I’adah) al-Quran ku kepada ustaz Alaina di al-Kulliyyah.

Khamis (24 Mei) ini pula selepas maghrib, aku dijemput untuk menyampaikan usrah utk ahlulquranPTS.

Sabtu dan ahad (26-27 Mei) nanti, menghadiri qiyam di madrasah Alsagoff utk memimpin perbincangan halaqah dan bacaan al-Ma’thurat (kalau jadi, tak jadi baca ma’thurat pun tidak mengapa, sebab tak sunnah pun..heh).

Sibuk untuk siapkan Bicara Hawa untuk Muslimah Darul Ghufran dan Amazing Race Untuk Fityan Darul Ghufran. Kepala ini berserabut.

Datang Bulan Jun lagi pening kepala!

2-3 Jun – Qiyam KPR (Kelas Peningkatan Remaja) Darul Ghufran di Masjid Al-Firdaus.

15-16 Jun – Camp Xplore di Masjid Darul Ghufran.
1
6-20 Jun – Rehlah Keluarga Ghufran di Pulau Pinang.

Subhanallah, pertama kali dalam cuti panjang UKM, aku menjadi kelam kabut dan setiap hari jadual hampir penuh terisi dengan tugasan Darul Ghufran dan program-program lain (bkn program praktikal)

Byk lagi pertemuan-pertemuan (MEETINGS) dan perkara-perkara penting yang belum terlaksana.
- Meeting dengan Mariam.
- Meeting Dengan ahlulquranPTS.
- Kumpul bahan utk penulisan buku.
- Merangka dan menulis laporan praktikal.

Setiap hari aku memandang kalendar…PENUH…semua tarikh2 itu penuh.
Inilah kehidupan…
Inilah dugaan..

18 May, 2007

Aku rindu pada malam itu
malam cukup sunyi sepi
mengadu apa yang tersembunyi di hati
menagih simpati agar dibelai kasih
melafaz rindu meluah hasrat kalbu
mengusik jiwa dalam syahdu
moga tiap malamku adalah malam itu
malam bersendiri bertahajjud pada ilahi.

Zaujah Yazid
20 April 2007

*****************************

Ya Allah
Beban yang kugalas amat berat untuk ku bawa
Berikan kekuatan untuk ku
Biar perjuangan ilmu kutempuh dengan redhaMu
Agar beban ini mengajar aku erti keikhlasan
dalam mengejar ilmu Mu
Jangan Kau jadikan kesibukan ini
penyebab aku jauh dari Mu
Jangan Kau jadikan airmata ini
Penyebab aku berputus asa dari terus mencapai rahmat Mu
Thabbit Quluubana ‘ala diinik!!
Menuntut ilmu kerana Mu
Agar beban ini terasa ringan
Agar hati ini terasa dibelai kasih Mu
Rabbi Yassir walaa Tua’ssir Ya karim.

Zaujah Yazid
2 Februari 2007

16 May, 2007

Berikut adalah penulisan yang ditulis untuk 'projek blog ahlulquranPTS', tetapi malangnya, projek tersebut berhenti di tengah jalan, dan penulisan ini tidak disiarkan. Maka dengan rasa rendah dirinya,aku ingin berkongsi penulisan ilmiah ini dengan semua yang membaca. Semoga bermanfaat.
#####################################################

Bismillah

Menelusuri ruang kisah di dalam kitabullah sememangnya memberikan impak kesedaran yang tidak terhingga kepada mereka yang benar-benar ingin menghayati. Namun bagi mereka yang hanya membaca dan sekadar ingin membaca tidak akan mengerti malah berasa tidak ada apa-apa yang perlu difikirkan bersama. Semua kisah adalah sama….semua kisah adalah kisah kenabian kisah agama zaman silam yang kekal termaktub di dalam al-Quran al-karim.Tetapi jauh disudut hati ustazah amat berharap kita bukanlah di antara mereka yang mempunyai persepsi yang sedemikian. Moga kita menjadi mereka yang amat prihatin diatas setiap apa yang tersirat disebalik apa yang tersurat ….

Akhawat yang dikasihi…

Pada kali ini ustazah ingin membawa akhawat semua mengembara sebentar memasuki ruang kehidupan Nabi Musa a.s dan para ahli sihir Firaun. Boleh nak dikatakan banyak juga kisah nabi Musa dan ahli sihir ini direkodkan didalam al-Quran..Cuma semua itu antara kita sedar atau pun tidak. Disini, ana tidak mahu membawakan secara bulat-bulat ayat-ayat al-Quran tersebut, cukuplah ana menyatakan apakah ayatnya dan apakah surahnya. Rasanya menceritakan secara menyeluruh adalah lebih mudah difahami dan dihayati disamping mengaitkannya dengan kehidupan kita pada hari ini.

Untuk pengetahuan akhawat, Ustazah begitu kagum dengan kehebatan mukjizat nabi Musa a.s yang disangka sebagai perlakuan sihir oleh firaun laktullah. Amat menarik sekali apabila kesemua ahli sihir itu tertunduk kaku dan seterusnya sujud mengakui kebesaran Allah s.w.t, tatkala sihir-sihir mereka berjaya ditundukkan oleh mukjizat nabi Musa a.s (ianya berlaku apabila tongkat nabi Musa a.s yang dilontarkan ke tanah bertukar menjadi seekor ular besar yang membaham ular-ular milik ahli sihir firaun). Allah maha besar, dengan berbekalkan keimanan yang baru itu serta merta mampu merubah kegerunan mereka terhadap firaun kepada keberanian dalam mengakui keimanan mereka kepada Allah s.w.t dengan tanpa berselindung dan seterusnya mengukuhkan keimanan mereka tanpa sedikit pun gentar dengan setiap ancaman firaun terhadap mereka.

Mungkin ada sesetengah akhawat menimbulkan persoalan…apakah releven nya kisah ini dengan kehidupan moden kita hari ini?

Sihir itu wujud.- dulu, kini dan selamanya….sihir itu merupakan sebuah kisah yang tidak ada penghujungnya. Hikmahnya mengapa Allah takdirkan nabi Musa berperang dengan ahli sihir, adalah sebagai panduan bagi kita untuk menghadapi atau memerangi sihir yang berlaku dalam persekitaran kehidupan kita yang mungkin sesetengah daripada kita menyangkakan bahawa perkara itu mana mungkin masih lagi wujud di dalam arus pemodenan yang kita harungi kini. Namun, hakikatnya ia tetap ada, masih berlaku, masih BERLELUASA. Itu yang menyedarkan ustazah, mungkin inilah sebabnya terdapat kisah nabi Musa a.s bertarung dengan ahli sihir di dalam surah al-A’raf: 103-130, surah Yunus: 75-86 dan surah Taha: 55-76 dan ayat-ayat inilah yang dikenali sebagai ayat-ayat pembatal sihir*. Ianya memang benar mempunyai kesan yang cukup menakjubkan. Melalui pengalaman ustazah sendiri, kalamullah yang dikenali sebagai ayat pembatal sihir itu, apabila dibacakan kepada mereka yang terkena sihir, memang ianya mampu membatalkan sihir tersebut, namun begitu ia juga perlu disertai dengan keyakinan yang tinggi bahawa semuanya dengan keizinan dan bantuan daripada Allah s.w.t. Bagi mereka yang tidak biasa ataupun tidak berpengalaman pasti berasa takut ataupun kurang yakin pada awalnya, tapi ia perlu ditolak tepi dengan keyakinan bahawa Allah ada untuk membantu. Di dalam kisah tersebut, pada awalnya nabi Musa a.s juga berasa gentar berhadapan dengan ahli sihir Firaun, tapi Allah menyakinkan nabi Musa a.s dengan firmannya: “Qulna la takhaf innaka anta al-A’laa”. Maka berbekalkan seribu keyakinan dan keimanan jitu kepada Allah s.w.t, nabi Musa a.s berjaya menghapuskan sihir para ahli sihir firaun dan tatkla itu Allah s.w.t berfirman: “walaa yuflihus saahiru haisu ataa”.

Akhawat yang ana kasihi…

“walaa yuflihus saahiru haisu ataa”- Ya….ahli sihir itu tidak akan berjaya dari arah mana pun mereka datang. Ustazah berpegang teguh dengan firman Allah ini…kerana ustazah tidak mahu berasa gentar dengan kekuasaan ahli sihir (bomoh, pawang, tukang tilik dan sebagainya) yang merosak akidah manusia…menghacurkan kehidupan manusia dan menyebarkan hasad dengki dikalangan manusia agar saling menjatuhkan diantara satu sama lain..itulah kerja mereka. Dan yang paling dasyat, mereka mensyirikkan Allah s.w.t dan mengajak manusia lain turut sama berada seperahu dengan mereka di dalam pelayaran hidup yang sementara ini. Mereka lupa bahawa mereka sebenarnya tidak berkuasa walau sehebat manapun ilmu sihir mereka itu…
Sesungguhnya Allah MAHA BERKUASA diatas segalanya.

Semoga bermanfaat. Wslm

Ustazah sakinah

*Ayat-ayat pembatal sihir:
1)Al-A'raf : 117-121
2)Yunus : 80-82
3)Toha : 69

15 May, 2007

Kucuba selami hati ini
benar..
ia gerimis!!
aku tenggelam di dalam keharuan
SIAPALAH AKU?!hingga menjadi sebutan orang?
ketika aku mendengar katanya "ini dia sakinah yang disebut-sebut"
dia mendakap aku dengan penuh kemesraan dan kehangatan
benarkah apa yang kudengar?
di saat aku berada di tempat asing ini
masih ada lagi insan yang mengenali
masih ada lagi insan yang menghargai
aku sedar kini
mereka yang cinta pada Islam ...dia akan kenal siapa diri ini
mereka yang rindu pada sentuhan rabbani ilahi.... dia kan tersentuh dengan diri ini
dan disaat ini..
sekali lagi aku bertanya:
"benarkah??!!"
senyumannya masih manis hingga ke saat ini
dakapannya masih terasa hingga kini
salamannnya menggenggam jari-jemari ku masih terasa erat hingga malam ini...
Ya Rabb, kuatkanlah aku
iringilah daku..kemana sahaja aku berada
Rabbi yassir walaa tu'assir, Ya Karim.

11 May, 2007

Adik,
Sememangnya untuk meresapkan ketabahan dalam diri,
tidaklah semudah kita mengungkapkannya di hujung bibir…
Untuk mengabadikan sebuah keteguhan jua,
tidaklah semudah kita melafazkannya dengan suara merintih
Mampukah kita menjadi juara diatas setiap mehnah yang Tuhan hadiahkan pada kita?
Mampukah kita menjadi manusia yang masih terus kuat untuk berdiri walau ribut taufan datang dengan tiba-tiba?
Mampu atau tidak…
Semuanya itu… Terpulang pada diri kita!!

Adik,
Kadangkala kita lupa bahawa semakin hari kita semakin dewasa,
Kita lupa bahawa kita perlu mempersiapkan diri untuk menempuh gerbang dewasa
Agar setiap apa yang mendatang kita bersedia untuk menghadapinya
Kerana..
semakin kita dewasa, kita akan dihimpit dengan dugaan dan cubaan
semakin kita dewasa, kita akan didatangi kemanisan dan kepahitan
yang mana semuanya itu cukup luar biasa
cukup menduga kekuatan kita
cukup untuk membuatkan kita berserah diri pada keadaan

maka kita perlu punya hati yang utuh
jiwa yang kukuh
Agar kita tidak cepat melatah ketika di cubit bisa penderitaan
Jiwa tidak mudah rentung bila dibakar api kekecewaan
diri tidak jatuh terduduk bila di hempas ombak kegelisahan


Namun hakikatnya jiwa kita masih rapuh..
Kerana jiwa kita masih muda.
Kita mahu yang indah-indah
Kita suka yang mudah-mudah
Kita rasa hidup bila gelak dan tawa
Kita tidak mahu yang pahit-pahit
Kita tidak suka yang leceh-leceh
Kita tidak gemar pada yang sakit-sakit
Jelas….
Kita perlukan terapi untuk mengukuhkannya
Agar bila ia berbicara ia menyusun kata dengan iman
Agar bila ia terguris ia mudah diubati jua dengan iman
ketahuilah
Terapi hati kita adalah semangat para anbiya’
Terapi jiwa kita adalah al-Quran dan al-Sunnah


Zaujah Yazid
K8U 202 Ungku Omar, UKM
21 Mac 2007