31 December, 2007

Salam kasih dari saya di bumi UKM.

Hari pertama untuk semester akhir pengajian saya ini, cukup membosankan. Saya jadi muram sepanjang hari ini. Tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Kelas-kelas belum lagi bermula malah kelas tutorial untuk modul hadith satu pun belum lagi dikeluarkan jadualnya. Apa yang membuatkan saya lebih hilang mood apabila penyelia tesis saya tidak ada di jabatan hari ini, akibatnya kerja-kerja penulisan saya tepaksa saya tangguhkan. Sepatutnya saya sudah mula menulis untuk bab yang keempat, tetapi ada perkara yang perlu saya bincangkan dengan ustaz dan meminta saranan beliau. Tapi nampaknya…

Entah kenapa tiba-tiba saya rasa sunyi yang amat sangat. Lalu saya jadi buntu untuk menulis sesuatu yang baik untuk dikongsikan. Mm..mungkin kerana kesihatan saya yang tidak beberapa baik 2-3 hari ini…mungkin kerana saya masih ingatkan emak di rumah, mungkin kerana saya risau dengan tesis saya…entahlah,segalanya mungkin.

Bila saya sendirian saya sering mengingatkan kebaikan suami saya kepada saya. Bagaimana beliau melayani kerenah dan telatah saya yang manja dan kadang-kadang mengada-ngada, bagaimana beliau sabar melayan saya ketika saya sakit dan memerlukan bantuan dan banyak lagi kebaikan-kebaikannya yang sukar untuk saya hitung dan ucapkan. Suami saya terlalu baik terhadap saya. Alhamdulillah….Allah berikan nikmat itu kepada saya. Mungkinkah saya sebenarnya sedang kerinduan.mmm, saya tidak menafikan kemungkinan ini. Akhirnya saya perlu mengaku bahawa berpisah itu tidak ada manisnya tetapi banyak hikmahnya….

Semalam saya menerima satu sms berbunyi;

“Salam perantauan.Kaifa hal zaujah Yazid?Doakan ana. Ana akan melalui musim imtihan bermula 1.1.08 sehingga 20.1.08. Maafkan segalanya dan doakan ana”

Nombor hp mesir tertera di skrin hp saya. Saya tahu siapa pengirimnya. Sms itu sebenarnya diakhiri dengan nickname nya yang tidak dapat saya nyatakan disini. Saya termenung seketika..saya teringatkannya malah wajahnya juga terbayang dimata. Mengapa…..mengapa dia masih mengharapkan kemaafan dari saya..mengapa juga dia masih mengharapkan doa dari saya. Bukankah sudah acapkali saya katakan padanya bahawa telah saya maafkan dan layakkah saya mendoakan kejayaan untuknya. Adakah dia lupa, Saya ini siapa pada dirinya? Namun sebagai saudara seislam saya perlu mendoakan kebaikan untuk dirinya. Biarlah tiada dendam diantara saya dan dia..biarlah semuanya berakhir…walaupun sebenarnya saya benar-benar terluka!

28 December, 2007

Pagi tadi, saya menghadiri usrah AhlulquranPTS. Usrah yang agak relax, tidak ada perkara ‘berat’ yang diutarakan dan dibincangkan. Cakap yang saja-saja…sekali pandang macam berbual kosong…tapi tidak ada yang kosong, semuanya satu perkongsian pengalaman yang amat bernilai. Paling seronok apabila kita semua dapat berjumpa. Alhamdulillah…saya dapat berjumpa shaista yang sudah bertahun saya tidak lihat wajahnya, saya dapat bertemu Nadia yang mana kali terakhir saya melihatnya adalah ketika majlis khatam al-Quran di rumahnya, saya juga dapat bertemu dengan Huda yang semakin bertenaga ucapannya, bertemu dengan 'Adilah yang manis,Rafidah dan Rasyidah dua beradik kembar yang bagi saya amat istimewa, Suhaila, adik Mardhiya, sakinah, kakaknya dan 'Atikah. Malah pagi tadi juga saya sempat singgah ke pejabat masjid Darul Ghufran untuk bertemu dengan kak Rina serta staf yang lain. Segala puji itu hanya layak bagi Allah, saya rasa cuti saya sempurna dengan pertemuan demi pertemuan pagi tadi.

Saya nak ketawa bila teringat kembali saya membaca doa penutup majlis dengan tersangkut-sangkut. “Hai..apahal pulak dengan aku ni?”, bisik saya dalam hati. Saya rasa do’a-doa saya semuanya berterabur..mana satu yang saya nak baca..haha. Tapi sebenarnya memang saya dah lama betul tidak baca doa dalam majlis. Dulu masa di maahad memang sering diminta membacakan doa…tapi bila belajar kat UKM, tidak ada pula orang nak suruh baca doa. Akhirnya, saya jadi kelam-kabut tadi. Cuma satu je yang saya syukuri, saya tidak sedikit pun nak rasa malu dengan pelajar-pelajar saya. Bagi saya, mereka perlu melihat saya sebagai orang yang tidak sempurna dan masih lagi memperbaiki diri saya. Saya suka mereka membantu saya dan menegur saya dikala saya memerlukan bantuan dan teguran. Semua itu juga mengajar saya bahawa saya perlu bersedia dalam mengahadapi pelbagai kemungkinan pada masa-masa akan datang.

Hari ini adalah hari terakhir saya berada di kota Singa.
Semester 2 untuk tahun 3 akan membuka tirainya pada hari Isnin. Maknanya perjuangan saya bermula lagi dan saya cuma tinggal baki 5 bulan lebih untuk menamatkan pengajian saya. Kehidupan saya akan bermula seperti biasa, sibuk dengan kuliah, tutorial, assignments dan keluar masuk library dan Cyber Cafe. Paling PENTING Saya perlu belajar, belajar dan belajar untuk masa yang berbaki ini.Saya bimbang… masih banyak lagi yang belum saya pelajari dan masih banyak lagi yang perlu saya fahami.Insya Allah, saya akan gunakan masa yang ada dengan sebaik-baiknya.

Pada semester baru nanti nampaknya saya tidak berpeluang untuk menjenguk-jenguk bumi Singapura walaupun untuk cuti pertengahan semester. Mmmm..suami saya tidak dapat menjemput saya lantaran terikat dengan reservist nya. Macam ini, lepas exam bulan Mei baru saya dapat pulang. Hai terpaksalah saya bertapa dalam bilik sorang-sorang…hehehe.

Manakala cuti kali ini, biasa-biasa saja. Saya lebih banyak menaip latihan ilmiah (tesis) saya daripada menumpukan pada perkara lain. Kalau tidak pun saya duduk dihadapan komputer melayari internet untuk membaca dan seperti cuti-cuti saya yang lalu juga, saya menghadiri kelas ‘Iadah al-Quran dengan Ustaz Alaina di al-Kuliyyah. Alhamdulillah, banyak juga sasaran saya untuk cuti ini tercapai tapi yang saya tidak dapat laksanakan saya akan tetap usahakan pada masa cuti akan datang. Cuti akan datang?bila tu?dah habis belajar dahhh…

mmm…Akhir sekali saya ingin tinggalkan kota Singa dengan penuh harapan dan doa.
Moga mereka yang sakit disembuhkan. Mereka yang susah di permudahkan. Mereka yang dikhianati dilindungi. Mereka yang jauh dengan Allah mendapat hidayah dan di dekatkan. Mereka yang bahagia dan gembira tidak tidak terjerumus dalam kesombongan dan kemungkaran. Moga ukhwah yang baru diikat tidak putus dan moga ukhwah yang sudah lama terkait akan terus kukuh.

Lalu saya bermadah:

Pelbagai peristiwa..
pelbagai suka dan duka
bermacam kerenah manusia
ku lihat, ku dengar dan ku lalui
Itulah asam garam kehidupan
tidak pernah sunyi dari kepahitan dan kemanisan
tidak ada dayaku Ya Allah…
melainkan dengan bantuan dan pertolongan Mu.
Aku harapkan redhaMu
Dalam senyum dan tawaku
Dalam tangis dan senduku
Dalam amal dan ibadahku
Dalam perjuangan ilmuku
Dalam hidup dan matiku
La Haula Walaa Quwwata Illa Billah

22 December, 2007

Sesuatu yang tidak saya jangkakan. Sujud syukur saya bergegar dengan gigilan badan saya.

Saya kira saya tidak akan menangis…saya juga sangka jika saya menangis itu bermakna saya tidak betah untuk menerima takdir yang bakal saya hadapi. Ketika computer saya dalam usaha memasuki ruang SMPweb, saya asyik berdoa di dalam hati “Ya Allah kuatkan hati saya…kuatkan hati saya”.

Saat keputusan peperiksaan saya dipaparkan..saya terkejut! Benarkah apa yang saya lihat? Lidah saya tidak putus-putus melafazkan tasbih dan tahmid. Saya sujud syukur..lalu airmata saya mengalir deras. Saya tidak dapat menahan sebak lantaran kesyukuran yang tidak tahu bagaimana untuk saya luahkan.

Keputusan peperiksaan saya kekal dari sudut PNGK (markah keseluruhan dari sem 1 tahun 1 hingga sem 1 tahun 3) manakala PNGS (markah untuk semester 1 tahun 3) saya turun 2 mata. Saya perlu bersyukur kerana saya tahu jika tidak kerana pertolongan Allah, saya tidak akan dapat semua ini.

Allahuakbar walillahil hamd! Segala puji itu hanya untuk Allah s.w.t.

21 December, 2007

14 December, 2007

Sedang saya asyik memeriksa penulisan-penulisan saya yang lama saya terjumpa satu luahan perasaan yang saya taip 4 tahun yang lalu. Kini segalanya berubah. Air mata saya mengalir mengenangkan semuanya. Pekerjaan memberikan saya pengalaman agar menjadi insan yang lebih matang dalam dunia dakwah dan pendidikan dan perkahwinan memberikan saya kebahagiaan yang melaluinya saya diberi peluang oleh Allah s.w.t untuk merealisasikan cita-cita saya yang telah terpadam. Siapa sangka… saya kira segala impian saya berakhir apabila saya bekerja dan bernikah tetapi rupanya …derita bertukar bahagia. Allah maha mengetahui apa yang terbaik untuk saya 4 tahun yang lalu. Allahu Akbar wallilahilhamd!

***************************************************************
(Semuga luahan hatiku menjadi iktibar buat akhawat yang sudi menatap. Ketahuilah, mak dan ayah itu adalah anugerah Allah yg perlu disyukuri. Sayangilah mereka, seperti mana, kamu menyayangi diri kamu sendiri. Jadilah yang terbaik untuk mereka. Wallau ‘Alam).

Emak..

Hari-hari aku termenung, membilang hari dan melayan perasaan. Jika diturutkan rasa sedih dan pilu dihati memang tidak ada sudahnya. Hendak atau tidak, itulah juga yang perlu aku fikirkan dan laksanakan. Masakan ingin kubiar hari-hari yang bakal menyusul ini dangan perkara yang sama?.Pasti,jawapannya tidak!

Terngiang-ngiang lagi di telingaku perbincangan dua orang sahabatku yang sedang merancang untuk melanjutkan pelajaran. Mulanya kudengar, mereka hendak menyambung pengajian di tahun hadapan, tapi bila masa berjumpa kelmarin…tup,tup sahaja sudah berubah perancangannya. Bila kutanya mengapa, dengan ghairah sekali dia menjawab, ‘tak sabar nak belajarlah!’. Aku tersenyum bangga mendengar jawapan itu. Inilah sahabat-sahabatku, masih mengerti akan diri yang terlalu kehausan dengan ilmu, walhal baru sahaja menamatkan pengajian diploma di salah sebuah institusi pengajian tinggi di Malaysia. Namun jauh di sudut hatiku, tersembunyi sedikit rasa cemburu. Akhirnya aku memujuk diri sendiri dengan mengatakan, ‘nanti kalau ada rezeki kau pun boleh sambung belajar’.Aku hanya tersenyum pahit, bila mendengar bisikan suara di dalam hati itu.

Aku mengerti bukan abah dan emak tidak suka aku meneruskan pembelajaran ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Tapi kerana masalah kewangan yang benar-benar meruncing, segala harapan dan impian ku tersekat begitu sahaja. Pada mulanya aku nekad, borang kemasukan ke dua buah institusi yang sudah menjadi milikku akan ku isi. Aku tidak mahu memberitahu emak dan abah tentang niatku itu. Soal kos pembelajaran akan aku usahakan kemudian, aku akan cuba membuat mana-mana pinjaman dan memohon biasiswa. Namun bila kutimbang-timbang perbuatanku, aku bimbang emak akan berkecil hati, abah pula kan bersusah hati. Akhirnya, aku hanya membiarkan rancanganku itu begitu sahaja, walau cinta dan rinduku untuk kembali ke dunia menuntut ilmu begitu membara!!. Sehingga kini,dua bulan sudah berlalu, aku hanya duduk rumah seperti budak bodoh yang tak punya apa-apa pelajaran!. Kerja yang ditawarkan padaku pula kan bermula sebulan dari hari ini. Hidup ini kurasakan penuh dengan kebosanan yang tiada tepian!.

Dalam hatiku masih bengkak kerana tidak dapat melanjutkan pelajaran, emak pula asyik membebel itu dan ini kepadaku. Terasa bengkak di hati kian parah. Sedang orang lain sibuk menggalakkan anak-anak meneruskan pembelajaran, emak asyik sibuk mengingatkan aku tentang pekerjaan dan perkahwinan. Pilu hatiku tidak siapa pun memahami. Tinggi harapanku untuk belajar hanya di pandang sepi oleh emak!. Emak tidak sedikit pun ingin mengambil tahu tentang semua itu, yang emak tahu aku kerja, dapat gaji boleh tolong abah langsaikan bil-bil yang menggunung tinggi, yang emak inginkan hanyalah aku bekerja, bila dapat gaji nanti mak nak rasa duit anaknya, dan yang emak idamkan, puteri tunggalnya menamatkan zaman bujangnya!! Emak…emak, andai kau cuba fahami apa yang aku rasa waktu ini..

Emak tidak pernah bertanya apa yang aku inginkan untuk masa hadapan, senyuman yang sering terukir di wajahku dan tawa yang sering memeriahkan suasana rumah ini bagi emak sudah cukup membuktikan aku benar-benar bahagia. Emak sering berkata, bahagianya emak bila aku selalu berada bersamanya. Sifatku yang suka mengusiknya dan bergurau dengannya sering membuatnya terhibur dan tidak kesepian. Katanya lagi, dia suka bila mendengar kekecohan aku meminta itu dan ini, mengusik itu dan ini, semua itu bagai melenyap setiap permasalahannya dan derita jiwa yang ditanggungnya. Anak mana yang tidak berasa bangga jika begitulah pandangan seorang emak kepada dirinya. Saat aku mendengar katanya itu, ingin sahaja kuhamburkan airmata kesyahduan. Namun, senyumku mampu menahan airmata yang menjerit-jerit untuk mengalir dari kolam kedua mata bulatku. Sebak dan pilu di dada mampu kusembunyikan dengan tawa kecil yang kubuat-buat!. Aduhai ..emak..kalau kau tahu impian hatiku, andai kau tahu jeritan hatiku….

Aku bukanlah jenis seorang anak yang suka mendesak. Kalau sekali dua ku pinta, tapi jawapannya tetap sama…mengalah itu adalah jalan yang terakhir. Aku tidak mahu emak bersusah hati memikirkan kehendak hatiku kerana aku tahu di dalam kepala tuanya itu sudah berserabut dengan seribu satu masalah yang belum ada lagi jalan penyelesaian!. Air mataku tidak pernah aku perlihatkan kepadanya, kalau adapun hanyalah wajah serius ku yang hanya mampu bertahan sejam dua dihadapannya. Pernah sekali aku cuba meluahkan rasa hatiku, tapi baru sahaja aku ingin membuka cerita, emak sudah menyimpang menceritakan masalah nya yang bertimpa-timpa kepadaku. Hendak atau tidak, aku hanya memendam sahaja perasaan. Sambil mengubah arah niatku dengan mendengar penuh prihatin setiap luahan emak. Katanya, “emak tak ada tempat mengadu melainkan kakak.” Sekali lagi naluriku tersentuh!!.Begitu tinggi sekali nilai harga kehadiranku disisi emak.

Demi emak, aku rela korbankan segalanya, walau untuk menggenggam segulung ijazah itu merupakan impianku yang terlalu menggunung tinggi!. Akhirnya aku sedar, tidak semua impian itu mampu direalisasikan. Mungkin rezekiku bukan hari ini ,mungkin esok..mungkin juga lusa. Bila waktu dan ketikanya..pasti hanya Allah s.w.t yang lebih mengetahui. Pastinya setiap apa yang berlaku mempunyai hikmah yang berbaur dengan pelbagai rahmat. Dan yang sudah sedia tersurat, pasti mempunyai maksudnya yang tersirat!!.

Aku mempunyai sebuah keluarga yang berada di ambang kejatuhan, justeru itu tanggungjawabku adalah untuk mempertahankannya agar terus berdiri teguh dan ikatan kasih yang dikait bertahun-tahun itu terus mekar mewangi di taman bahagia!.

Aku mempunyai seorang adik lelaki yang mana kebajikannya sering terabai, justeru itu, tanggungjawabku adalah untuk membela kebajikannya agar dirinya bersemangat untuk bangkit mengejar impian di masa depan!.

Aku punya seorang abah yang dirundung malang, justeru itu, tanggungjawabku adalah mengeluarkan dirinya dari terus dihimpit malang yang tiada penghujung.

Dan yang paling penting…aku mempunyai seorang emak yang telah banyak berkorban jiwa dan perasaan demi anak-anak. Justeru itu, tanggungjawabku adalah menggembirakan emakku yang sentiasa berendam airmata itu!.

Dan aku?!. Tiada lain yang kuharap melainkan setiap perkara yang kulakukan adalah berlandaskan janji yang sering terucap di dalam solat… “inna solaati wanusukii wamahyaya wamamaatii lilaahirabil a’lamin…”, redha Allah terletak pada redha mak dan abah.

Emak..kakak sayang emak…sayang sangat-sangat!!.
***************************************************
Pesananku: “jika kalian mempunyai keluarga yang bahagia,hargailah kurniaan itu teman, krn sekali ianya hilang tidak mudah untuk dimilikinya kembali. Seburuk mana pun,mak dan abah kita, itulah mak dan abah yang tiada gantinya,sulamilah kasih seindah warna pelangi indah sbg. Hadiah untuk mrk. Sungguh..jasa mrk tidak terbalas. Justeru itu lakukan yg terbaik untuk mrk.”

Bicara kasih, luahan syahdu:
Umairah Sh
28 Jun 2003

11 December, 2007

Bersyukurlah
Kita dilahirkan di dalam nikmat Iman dan Islam
Tetapi dalam sedar atau tidak
NAFSU kita lebih menguasai diri
akhirnya bukan Iman sebagai benteng
bukan Islam sebagai pembimbing
tapi Nafsu lebih memimpin

Lantas...
kita lemas dalam lautan kemungkaran
Kita lupa akan hakikat kejadian seorang insan
kita lupa akan peluang taubat yang terbentang
Hidayah Allah sudah berada dihadapan...
kenapa sebelah mata hanya dipandang?!
Hatta, mahu disentuh pun tiada keinginan!

Jangan begitu teman
Jangan angkuh dgn Tuhan
Kita tidak miliki apa-apa
Segalanya milik Rabbul 'Alamin
mengapa perlu menunggu masa untuk berubah?
walhal,
Tuhan jarang sekali bertangguh memberi nikmat yang berlimpah-ruah?
Nyata sungguh..
kita adalah manusia yang tidak mengenang budi
tidak malu dgn Tuhan!
Jangan tangguh wahai Teman,
sujudlah kepada kebesaranNya
Pulanglah kepangkal jalan
sebelum malaikat Izrail
datang mengundang....
kerana..
mungkin hari ini adalah kali terakhir kita melihat dunia
kita tidak pasti..apakah nasib kita di alam barzakh
apakah nasib kita akhirat sana.

16 April 2005

10 December, 2007

Saya tidak mengerti….
Mengapa masih ada manusia yang tidak kenal diuntung?

Kehidupan adalah pentas lakonan

Saya tidak pernah menafikan kenyataan itu. Ramai orang yang berlakon dengan kebaikan walaupun mereka itu bukan pelakon. Berpura-pura beridentitikan malaikat tetapi sebenarnya …....

Haruskah kebaikan dibalas dengan kejahatan? Mengapa setelah kita melakukan kebaikan masih ada lagi manusia yang tidak menghiraukan? Ahhh…saya sering mempersoalkan sedemikian. Nyatanya perkara itu bukan satu perkara yang pelik. Perkara itu bukan tidak pernah terjadi di dalam kehidupan ini. Banyak kebaikan yang dibalas dengan kejahatan. Selalunya kejahatan itu tidak nampak lantaran perangai manusia yang pandai bersandiwara. Inilah yang dikatakan: Madu yang diberi, tuba pula yang dibalas. Bukankah sejarah telah memperlihatkan kepada kita bahawa dakwah awal Nabi Muhammad s.a.w yang dilaksanakan dengan penuh kebaikan tanpa kekasaran itu telah dibalas dengan kejahatan oleh Musyrikin Makkah? Bukankah ada juga manusia munafik yang berpura-pura Islam dan berpihak kepada Nabi Muhammad s.a.w tetapi sebenarnya tidak? Itulah sejarah manusia….

Hingga kini saya masih tidak mampu untuk percaya. Walau dijiwa saya perlu akur ini adalah satu kebenaran walaupun pahit saya perlu menerimanya. Ianya berlaku di depan mata saya. Bagaimana ‘seorang’ yang kami sayangi dan kami hargai boleh melakukan sedemikian rupa kepada keluarga kami? Saya seperti tidak percaya. Saya masih tidak dapat melupakan wajahnya walaupun dia sudah berada jauh dari keluarga kami dan tentu dia sedang bergembira dengan keluarganya.

Jauh disudut hati saya berkata-kata: “Mengapa kamu sanggup lakukan semua ini kepada kami? Memang benar kamu itu tak sedar diuntung, tidak takut dengan Allah dan hanya manusia yang bertopengkan kebaikan!!” Entah mengapa semua itu tidak terluah dihadapannya, semuanya masih berada di dalam hati ini dan kami sekeluarga sejak kepulangannya lebih banyak bercakap tentang dirinya (mengata dan menyumpah hidupnya!Astaghfirullah)

Hairan..hairan..hairan…
Dia pergi tanpa memohon maaf malah berani bersumpah dengan nama Allah dia itu tidak bersalah. Mmm..apa yang boleh dilakukan. Keluarga kami bukan keluarga yang suka mengasari. Kami lebih suka meletakkan ihsan di dalam hati. Dia benar-benar bernasib baik…sedari awal menjejakkan kaki dalam keluarga kami, kami menganggap dirinya seperti keluarga kami hinggalah saat kami mengetahui onar yang dilakukannya, dia masih lagi kami layan seperti keluarga, bukan itu sahaja kepulangannya kami hantar dengan do’a, pelukan dan lambaian perpisahan.

Tapi saya masih hairan? Dia tidak kesal atas apa yang dia lakukan mungkin. Biarlah..biar satu masa....dia akan memohon taubat kepada Allah s.w.t. dan datang melutut memohon maaf kepada kami.

Allahummaghfirlana

07 December, 2007

Saya menziarahi blog anak murid saya fathia, beliau ada memuatkan video ini di blognya. Saya benar-benar tertarik! Suka dengar kata-katanya..menusuk kalbu..menggegarkan perasaan.

05 December, 2007

Berikut saya muatkan sebuah penulisan yang dihasilkan untuk blog AhlulquranPTS. Moga setiap apa yang terkandung di dalam penulisan tersebut memberikan manfaat kepada mereka yang membaca.
_________________________________________________________________

Salam kasih penuh ukhwah Islamiah ustazah hulurkan kepada semua akhawat ahlulquranpts. Moga berada di dalam lindungan Allah s.w.t hendaknya. Alhamdulillah pada waktu ini ustazah diberi peluang oleh Allah s.w.t untuk menuliskan sesuatu khas untuk murid-murid dan akhawat yang ustazah kasihi.

Sebelum itu, ustazah ingin mengimbas kembali sebuah dialog yang berlaku diantara ustazah dan seorang adik yang sama-sama menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia:

“Kalau awak sayang, kawan awak. Awak kena nasihatkan dia. Bantu dia supaya dia sedar yang dia banyak buat kesilapan”

“tapi saya tak boleh,lah kak!nanti terasa pulak dia. Terus kita tak kawan lagi. Saya tak nak jadi macam tu. Saya tak kuat nak terus terang. Kadang-kadang saya jadi serba salah dibuatnya. Kalau tak tolong, tu kawan kita.”


Akhawat yang ustazah kasihi, persahabatan adalah satu ikatan yang indah di dalam kehidupan kita. Dengan rakan, kita makan bersama, keluar bersama, belajar bersama, berkongsi hati dan perasaan, bergurau-senda, dan bergelak ketawa. Tidak salah jika ustazah katakan, hidup ini sepi tanpa kawan disisi. Sehinggakan peranan kawan dan rakan ini, mampu mengatasi peranan ibu bapa kita lantaran kita sering bersama rakan-rakan jika hendak dibandingkan dengan ibu bapa kita.

Sahabat itu penting dalam hidup kerana jika tidak penting, apa gunanya Allah s.w.t, memperlihatkan kepada kita contoh di dalam kehidupan Rasulullah s.a.w yang dikelilingi dengan sahabat–sahabat baginda yang dikasihi baginda seperti Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq, Umar al-Khattabdan Uthman bin al-Affan.

Kehadiran sahabat dalam kehidupan, mampu menguatkan kita yang kadangkala lemah dengan mehnah kehidupan, kerana mereka seringkali berperanan sebagai penyokong kuat kita dalam menempuh setiap apa yang ingin kita perjuangkan. Begitu juga dengan Rasulullah s.a.w, para sahabat lah yang sering menyokong baginda dari belakang bagi membantu baginda dalam memperjuangkan agama Allah s.w.t walaupun nyawa dan harta terpaksa dikorbankan.


Boleh juga kita katakan bahawa sahabat umpama cermin bagi kita. Sesungguhnya kita adalah manusia biasa yang sukar untuk melihat kesalahan diri sendiri. Maka rakan-rakan kita adalah manusia yang mampu melihat setiap kekurangan dan kelemahan diri kita. Atas sebab itu, sahabat yang baik adalah sahabat yang sentiasa mampu menegur kesilapan diri kita, kerana daripada situ, kita mampu memuhasabah diri dan menjadikan kita insan yang lebih baik pada hari-hari yang mendatang.

Tetapi akhawat, kita seringkali sukar untuk menegur rakan kita yang melakukan kesilapan. Kita bimbang hilang kawan, kita bimbang hidup bersendirian. Kita takut kawan kita berkecil hati dan kawan kita tidak boleh menerima teguran kita. Benar, ianya memang sukar.

Ana sendiri pernah mengalami kepahitan dimarahi seorang sahabat yang sudah ana anggap umpama adik-beradik. Persahabatan yang dikait bersama hampir 14 tahun itu tiba-tiba menjadi hambar akibat teguran ana yang tidak ana berikan kepadanya melainkan kerana kasih sayang seorang sahabat yang tiada tandingannya. Tetapi keegoan dan rasa tidak mahu mempertimbangkan teguran tadi lebih mengatasi ukhwah yang ada. Sedihnya ana masih terasa hingga kini. Apakan daya. Inilah bukti bahawa menegur rakan kita walau baik macam manapun ianya tetap memberikan implikasi pada hubungan tersebut. Semuanya terpulang pada kita, sama ada kita sanggup menanggung risiko ataupun tidak. Tapi bagi ana, biar ana tanggung risiko di dunia namun untuk tanggung risiko di akhirat ana minta dijauhkan.

Atas sebab itu, sering kelihatan di dalam mana-mana persahabatan pun, seseorang itu takut untuk menegur kesilapan kawan-kawannya. Kita terpaksa membiarkan rakan-rakan kita terus berada di dalam keadaan melakukan kesilapan tanpa sedikit pun menunjukkan protes. Kadangkala pula kita sendiri seolah-olah menyokong rakan kita, dengan memberikan bantuan dan melibatkan diri kita di dalam perkara salah yang rakan kita lakukan. Kononnya demi kawan dan demi persahabatan. Tetapi wajarkah tindakan kita itu?

Cuba kita imbas kembali ikatan persahabatan para sahabat Rasulullah s.a.w Mereka tidak pernah malu untuk menegur kesilapan sahabat yang lain malah tegur-menegur dan nasihat menasihati bagaikan menjadi budaya dalam kehidupan mereka. Mereka hidup dalam keadaan penuh kasih sayang dan sentiasa sama-sama berlumba-lumba dalam melaksanakan kebaikan. Tetapi persahabatan kita? Persahabatan kita banyak yang tidak ikhlasnya. Kita sering berlaku baik dihadapan kawan kita, tetapi di belakangnya kita mengejinya. Kadangkala persahabatan kita lebih banyak maksiatnya dari kebaikannya. Mmm…semua itu berlaku tanpa kita sedari dan jika kita sedar pun kita selalunya buat-buat tidak sedar.

Kita sebenarnya mempunyai kuasa yang luar biasa untuk mengubah rakan kita kerana kita mempunyai kuasa ‘pengaruh rakan sebaya’ yang cukup unik. Sehinggakan pengaruh ini mampu mengatasi pengaruh ibubapa. Ini melihatkan betapa kuasa yang Allah berikan kepada kita amat hebat dan cukup istimewa. Justeru itu, usah sia-siakan kuasa ini, akhawat. Gunakan ia dengan sebijak-bijaknya untuk membawa rakan kita sentiasa berada di landasan yang diredhai Allah s.w.t. Pengaruhi rakan kita untuk melakukan kebaikan, pengaruhi rakan kita agar dia berusaha untuk mengejar pahala dan pengaruhi rakan kita dalam melaksanakan perkara-perkara yang positif. Kita mampu melakukannya.

Segalanya perlu mula pada diri kita, akhawat. Kita perlu menjadi rakan yang berlapang dada dengan teguran rakan kita. Walaupun kita rasa teguran itu tidak layak untuk kita, tetapi sekurang-kurangnya kita perlu fikirkan dan pertimbangkan teguran tersebut. Mungkin ada benar dan ada hikmahnya. Kita perlu bersyukur sekurang-kurangnya ada juga orang yang mahu kita memperbaiki diri, ada juga orang yang prihatin dengan kita, dan ada juga orang yang mahu menyelamatkan maruah diri kita di dunia dan akhirat. Maka ucapkanlah terima kasih kepada rakan yang menasihati kita. Jangan sekali kita sombong, usah juga kita mendabik dada apatahlagi berkata kasar:

“Kau tu siapa nak nasihat-nasihat aku. Tak payah nak buang masa lah. Cermin dulu diri kau tu, baik ke tidak!”

mmm…jika selama ini kita seperti itu, maka muhasabahlah diri kita. Wajarkah kita memberikan reaksi sedemikian? Teguran itu umpama madu lalu jangan kita balas dengan tuba. Mengapa ana katakan ia umpama madu? Kerana tanpa teguran hidup kita menjadi pahit. Kepahitan itu akan berdarah daging dalam diri kita, sehingga sampai pada satu saat sukar untuk kita buang kepahitan itu. Maka madu yang diberikan oleh sahabat kita jangan dipandang dengan sebelah mata, kerana madu itu akan menyelamatkan kita dari terus berada dalam kepahitan yang tidak kita sedari.

Ana ulangi, rakan umpama cermin diri kita. Kadang-kala kita tidak sedar kesilapan kita, maka rakan yang sentiasa dengan kita yang menyedari dan melihat apa yang tidak kena dengan diri kita. Atas sebab itu, penting kita menjadi dan mencari kawan yang baik. Kawan yang baik itu bukan hanya mampu untuk menggembirakan kita, tapi dia juga mampu menjadi penguat kala kita lemah, mampu menjadi penasihat bila kita leka, mampu menjadi penghibur waktu duka, mampu menghulurkan bantuan dan berkorban untuk kita dan sentiasa mengucapkan terima kasih bila kita menghadiahkan nasihat kepadanya. Yang penting kawan yang baik adalah kawan yang mampu menegur kesilapan kita, yang tidak menyokong kita dikala kita ingin melakukan kemaksiatan dan selalu mahu melihat kita mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Itulah dia fenomena akrab persahabatan yang sebenar diperlihatkan oleh para sahabat Rasulullah s.a.w kepada kita. Contohilah mereka akhawat.

Jadi, pilihlah. Kita ini mahu jadi rakan yang bagaimana untuk rakan kita? Dan kita pula mahu rakan yang macam mana untuk menghiasi hidup kita? Untuk itu, Jangan lupa tips persahabatan yang dibekalkan oleh Rasullah s.a.w kepada kita:

حدّثنا موسى بنُ إسماعيلَ حدثَنا عبدُ الواحدِ حدَّثَنا أبو بُردةَ بنُ عبدِ اللهِ قال: سمعتُ أبا بُردَةَ بنَ أبي موسى عن أبيهِ رضيَ اللهُ عنهُ قال: قال رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم: «مَثَلُ الجَليسِ الصالحِ والجليسِ السُّوءِ كمثَلِ صاحبِ المِسك وكِيرِ الحدّادِ: لا يَعدَمُكَ من صاحب المسكِ إِمّا تَشتَرِيهِ أو تَجِدُ رِيحَه وكِيرُ الحدّادِ يَحرِقُ بدنكَ أو ثَوبَك أو تَجِدُ منه رِيحاً خبيثةً

Maksudnya: “Perumpamaan rakan yang baik dan rakan yang tidak baik adalah seperti orang yang mempunyai minyak wangi dan pembuat besi. Tidak kamu dapati daripada orang yang mempunyai minyak wangi itu sama ada kamu membeli wangian itu ataupun kamu mendapat bau wangi darinya. Manakala tidak kamu dapati daripada pembuat besi itu sama ada ia membakar tubuh badanmu atau bajumu ataupun kamu mendapati bau yang tidak enak daripadanya.”*

Maka jadilah dan carilah rakan yang baik seperti orang yang mempunyai minyak wangi, jangan sekali kita menjadi dan mencari rakan yang tidak baik seperti si pembuat besi kerana kita sering dinilai dengan siapa kita berkawan, seandainya kawan kita baik, insya Allah kita juga sering dinilai sebagai insan yang baik dan begitu jugalah sebaliknya. Semoga bermanfaat.Wallahu’alam.

Salam Sayang:
Ustazah Sakinah

********************************************************************

* Nota: H.R Imam al-Bukhari.

Hadith yang sama juga diriwayatkan oleh Imam Muslim tetapi terdapat perbezaan dari sudut sanad dan matan:

حدّثنا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ. حَدَّثَنَا سُفْيَانُ بْنُ عُيَيْنَةَ عَنْ بُرَيْدِ بْنِ عَبْدِ اللّهِ عَنْ جَدِّهِ، عَنْ أَبِي مُوسَىٰ عَنِ النَّبِيِّ . ح وَحَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْعلاَءِ الْهَمْدَانِيُّ وَاللَّفْطُ لَهُ. حَدَّثَنَا أَبُو أُسَامَةَ عَنْ بُرَيْدٍ عَنْ أَبِي بُرْدَةَ عَنْ أَبِي مُوسَىٰ ،، عَنِ النَّبِيِّ قَالَ: «إِنَّمَا مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ، كَحَامِلِ الْمِسْكِ وَنَافِخِ الْكِيرِ. فَحَامِلُ الْمِسْكِ، إِمَّا أَنْ يُحْذِيَكَ، وَإِمَّا أَنْ تَبْتَاعَ مِنْهُ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ مِنْهُ رِيحاً طَيِّبَةً. وَنَافِخُ الْكِيرِ، إِمَّا أَنْ يُحْرِقَ ثِيَابَكَ، وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ رِيحاً خَبِيثَةً

Begitu juga ia diriwayatkan oleh Imam Ahmad Bin Hanbal tetapi dengan lafaz yang berbeza, terdapat juga penambahan lafaz pada awal dan akhir hadith dan lafaz المسك diganti dengan perkataan العطار :

حدّثنا عبدالله حدَّثني أبي حدثنا سفيان عن بريد بن عبدالله بن أبي بردة عن أبي موسى رواية قال: «المؤمن للمؤمن كالبنيان يشد بعضه بعضاً، ومثل الجليس الصالح مثل العطار إن لم يحذك من عطره علقك من ريحه، ومثل الجليس السوء مثل الكير إن لم يحرقك نالك من شرره، والخازن الأمين الذي يؤدي ما أمر به مؤتجراً أحداً المتصدقين

Imam Abu Daud pula meriwayatkannya dengan penambahan lafaz hadith yang panjang diawalnya:

حدثنا مُسْلِمُ بنُ إبْرَاهِيمَ أخبرنا أَبَانُ عن قَتَادَةَ عن أَنَسٍ ، قالَ قالَ رَسُولُ الله صلى الله عليه وسلم: « مَثَلُ المُؤْمِنِ الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ مَثَلُ الأتْرَجَّةِ رِيحُهَا طَيَّبٌ وَطَعْمُهَا طَيَّبٌ، وَمَثَلُ المُؤْمِنِ الَّذِي لا يَقْرَأُ الْقُرْآنَ مَثَلُ التَّمْرَةِ طَعْمُهَا طَيَّبٌ وَلا رِيحَ لَهَا، وَمَثَلُ الْفَاجِرِ الَّذِي يَقْرَأُ القُرْآنَ كَمَثَلِ الرَّيْحَانَةِ رِبْحُهَا طَيَّبٌ وَطَعْمُهَا مُرٌّ، وَمَثَلُ الْفَاجِرِ الَّذِي لا يَقْرَأُ القُرْآنَ كَمَثَلِ الْحَنْظَلةِ طعْمُهَا مُرٌّ وَلا رِيحَ لَها، وَمَثَلُ جَلِيسِ الصَّالِحِ كَمَثَلِ صَاحِبِ المِسْكِ أَنْ لَمْ يُصِبْكَ مِنْهُ شَيْء أَصَابَكَ مِنْ رِيحِهِ، وَمَثَلُ جَلِيسِ السُّوءِ كَمَثَلِ صَاحِب الكيرِ إِنْ لَمْ يُصِبُكَ مِنْ سَوَادِهِ أَصَابَكَ مِنْ دُخَانِهِ

Manakala Imam Ibnu Hibban meriwayatkannya dengan terdapat sedikit perubahan pada lafaznya dan lafaz الكير diganti dengan القين :

أخبرنا عمر بن محمد الهَمْدَاني ، قال: حدثنا عبدُ الجبار بنُ العلاء ، قال: حدثنا سفيانُ ، عن بُرَيْد بن عبد اللَّهِ، عن جده عن أبي موسى قال: قال رسولُ اللَّهِ، : «مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ مَثَلُ الْعَطَّارِ، إِنْ لَمْ يُصِبْكَ مِنْهُ، أَصَابَكَ رِيحُهُ، وَمَثَلُ الْجَلِيسِ السُّوءِ مَثَلُ الْقَيْنِ، إِنْ لَمْ يُحْرِقْكَ بِشَرَرِهِ، عَلِقَ بِكَ مِنْ رِيحِهِ


Hatiku bersalut dengan kegusaran
Aku tersenyum dalam kepahitan
Ketenangan dan kebahagiaan itu tidak berkekalan
Pasti badai penuh gelombang akan singgah dalam kehidupan
Bukankah inilah yang perlu ditempuhi orang-orang yang mengaku beriman?
Diri kan diuji setelah mengaku beriman
Usah nafikan pengakuan
Usah salahkan kehidupan

Berat mataku memandang, tentu berat lagi bahunya memikul beban
Aku tidak tahu bagaimana untuk aku hulurkan bantuan
Aku sendiri lemah dan tidak berkemampuan
Aku hanya mampu menemani dan memberikan sokongan

Di dalam hati ini
Ada tangisan
Ada kebimbangan
Ada kegusaran
Ada kesedihan
Ya Allah… takdirkanlah yang terbaik
Tidak ada daya untuk menempuhi melainkan dengan bantuanMu
Kuatkanlah hati-hati yang sememangnya lemah
Permudahkanlah Ya Allah..permudahkanlah…

02 December, 2007

Teman
Apalah ertinya ukhwah tanpa kasih sayang
Bukankah itu hanya mengundang kebencian?
Apalah ertinya ukhwah tanpa keikhlasan
Bukankah itu hanya menghadirkan dengki dalam perasaan?

Pertemuan telah menghadiahkan kita ukhwah
Antara dua hati kita lahirnya kasih sayang
Wujudnya keikhlasan
Bersama ‘Nur’
Bernama ‘Nur Kasih’.

Teman
Jangan biarkan NUR KASIH ini pudar
Biar ia bersinar bersama kasih Ilahi
Berdoalah
Agar NUR KASIH kita mendapat rahmat dan keredhaanNya

Jauhnya kita pastinya diulit rindu
Bersamanya kita pastinya dengan matlamat yang satu
Segalanya demi Allah tuhan yang Esa
Demi Sunnah Rasulullah yang diperjuangkan hingga ke hujung nyawa.

Teman
Berilah ruang untuk NUR KASIH kita bersinar di hati
Sinaran itu akan membentuk CINTA
Terbina diatas titian
IMAN, ILMU, AMAL dan TAQWA
Ketahuilah….
Perjalanan dan perjuangan kita masih jauh
Belum tahu apa kesudahannya
Hanya dengan ikatan ukhwah yang dihiasi NUR KASIH
Ketabahan, kesabaran dan kekuatan kita
Mampu menjadi benteng pertahanan yang kukuh lagi utuh
Dan pastinya
Hati dan ingatan kita bersatu
Walau berpisah beribu tahun lamanya.

Teman
Redha dan pasrahlah
Andai ukhwah ini berakhir dengan perpisahan
Kerana yang pastinya
NUR KASIH akan tetap mekar mewangi
Ditaman ukhwah fi din al-Islam kita.

Ikatan ukhwah itu suci dan murni
Hiasilah ia dengan mahabbah Islamiah sejati
Kerana disitulah sebenarnya terletak ketulusan hati
Tanda cinta kasih ilahi.

Kata-kata ini telah dihasilkan pada 30 November 2000 di Singapura untuk seorang teman yang kini hanya tinggal kenangan. Telah diubahsuai pada 1 Disember 2007.

29 November, 2007



Jabatan al-Quran & al-Sunnah Sesi 2005-2008
Fakulti Pengajian Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia

27 November, 2007

Saya membalas kembali senyuman dua orang pelajar perempuan yang saya pasti kedua-duanya adalah pelajar UKM. Dari jaket yang mereka kenakan dan dari rupa mereka yang sememangnya familiar bagi saya cukup membuktikan bahawa mereka adalah pelajar UKM. Mata mereka berdua jelas menunjukkan kelainan, apatah lagi mata keduanya mengalih pandang kepada insan di sebelah saya.

Tentu hilang respect orang pada saya, kan? Nampak je..macam budak baik, pakai jubah dan tudung labuh tapi jalan berkepit dengan lelaki kat pasar malam! (Saya nak ketawa sorang-sorang ni!) Adui….susah…susah!Takkan saya tak le ada pakwe..pulak!heheh gurau jer. Manalah saya main pakwe-pakwe ni. Itu bukan saya ok! Kalau orang yang tidak kenal saya dan tidak tahu siapa saya tentu orang salah anggap pada saya. Tentu orang menyampah entah berapa berapa puluh bakul pada saya pun..saya tidak tahu. Kata orang: thiqah semacam..tapi …(macam-macam lah..orang kata)

Nampak Macam Budak-Budak

Walaupun sudah hampir tiga tahun saya belajar di UKM, tapi saya yakin tidak semua orang di Fakulti Pengajian Islam atau siapa-siapa yang kenal saya di UKM, mengetahui bahawa saya sebenarnya adalah isteri orang. Hanya mereka yang belajar satu jabatan dengan saya dan mereka yang rapat dengan saya sahaja yang tahu status saya. Walaupun saya boleh dikategorikan sebagai pelajar FPI yang agak dikenali ramai tapi itu belum lagi menjamin status saya juga diketahui ramai.

Saya masih ingat lagi bagaimana seorang pelajar lelaki yang pada waktu itu kebetulan pulang dari kuliah berjalan sama dengan saya dan dua orang rakan saya yang lain mengajukan soalan ini (sedangkan waktu itu saya sudah berada di tahun 2):
“Betul ke aku dengar hang (kau) ni dah nikah?”
Waktu itu saya nak ketawa. Lebih-lebih saya nak ketawa, bila dia kata
“mcm tak percaya, aku tengok hang ni muda lagi..comel je…”
Dalam masa yang sama kawan saya memarahi beliau.
“Eh! kak sakinah lah….panggil hang..hang pulak!”
Betul lahh..saya tak tahan waktu tu…sakit perut saya tahan ketawa.

Saya kahwin muda. mmm…tapi muda ke? Saya berkahwin ketika berumur 21 tahun. Tidak lah muda sangat kan?Ada orang berkahwin lebih muda dari saya. Pada waktu saya bernikah pun, saya waktu itu bekerja di Pusat Tahfiz Singapura, Masjid Kampung Siglap. Selepas setahun bernikah barulah saya melanjutkan pelajaran ke UKM.

Mungkin dengan perwatakan saya dan mungkin juga kerana wajah saya yang tidak berapa matang membuatkan orang-orang disekeliling saya tidak dapat menduga status saya. Sebab saya ni gila-gila sikit, suka buat kelakar, suka ketawa dan buat orang ketawa. Kalau pasal mengusik orang…jangan cakap lahh. Tapi..kalau saya dah serius, mengeluarkan pendapat, bentang kertas kerja dan mula membebel, baru lah..nampak saya ni sebenarnya bukan budak-budak!

Ramai orang sangka umur saya 19…20..21..ataupun 22. Masa saya menjalani Latihan Amali dan Industri di Masjid Darul Ghufran Singapura, ada seorang pekerja disitu menyangka umur saya 19 tahun. Sampaikan kak Haslinda yang bekerja di kaunter menceritakan, ketika saya mendaftarkan diri pada hari pertama saya untuk Praktikal dan waktu itu saya meminta untuk berjumpa dengan Imam Eksekutif Masjid, Ustaz Jamaluddin, kak Haslinda menghubungi ustaz dah berkata pada ustaz,
“Ustaz, ada budak nak jumpa ustaz”
hehheh…’budak’ dia gelarkan saya. Ustaz pun terkejut waktu itu, budak mana pula yang nak jumpa imam masjid pagi-pagi ni!hehhe.

Selalu juga apabila saya berjalan dengan suami saya, ada sahaja orang menyangka saya adalah adik kepada suami saya. Semasa saya dan suami saya mengunjungi pameran herba di PWTC Kuala Lumpur dan ketika itu kami ingin mendaftar untuk masuk, pegawai di tempat pendaftaran bertanya kepada suami saya: “Ni, adik abang ke?” Muka saya kerut seribu menahan ketawa.

Pada hari yang sama ketika suami saya sedang membuat pertanyaan di booth INSANIAH (di pameran IPT), pelajar di booth tersebut bertanya pada suami saya: “Abang tanya untuk adik bang ni ke?” sambil tangannya menunjuk kearah saya. Adui..lagi sekali saya kena! Terus saya kata dalam hati..”eh..muka aku ni..macam budak- budak sangat ke?”.

Tak cukup dengan itu, ada juga makcik-makcik yang nak mencarikan jodoh untuk saya sedangkan mereka tak tahu yang saya ni dah 3 tahun berumahtangga. Begitu juga ketika saya berjalan pergi membeli-belah dengan mak saya, tentu ada orang kedai kata: “Anak daranya ni, tak beli apa-apa?” ataupun “anaknya baru balik sekolah, ye?”.

Hai..kalau nak cerita tentang orang-orang yang sangka saya ini belum berkahwin, sampai esok pun tak habis... Kadang-kadang susah pulak. Tapi..takkan lah, setiap kali kita jumpa orang kita nak cakap “Saya dah kahwin tau!” Nanti orang kata, saya ni ‘tak sihat’ pula kan?.heheh.

Suami Melengkapkan Hidup Saya

Perkahwinan tidak pernah menghalang saya untuk mencapai kejayaan dalam pembelajaran. Mungkin tuah saya mendapat suami yang sentiasa memberi sokongan penuh pada saya untuk terus belajar dan belajar.

Suami saya banyak mengajar saya untuk menjadi manusia yang lebih hebat…lebih berani dan lebih dalam banyak perkara yang positif (bukan negatif tau!) Atas sebab itu saya rasa perkahwinan saya adalah satu rahmat dalam hidup saya. Rahmat dan nikmat Allah s.w.t yang bukan calang-calangnya! Saya bersyukur…

Sungguhpun begitu, saya tidak pernah mahu menasihatkan rakan-rakan saya bernikah semasa belajar. Kerana saya bimbang rezeki mereka tidak sama seperti saya. Suami saya…mungkin tak kan sama dengan suami orang lain.

Bernikah semasa belajar menuntut pengorbanan yang bukan sedikit. Belum bernikah memang kita rasa semuanya ‘ok’ tapi nanti dah nikah baru tahu ‘ok’ ke..’ko’. Lebih-lebih lagi jika dari segi ekonomi kita masih belum mantap. Banyak masalah yang perlu kita hadapi dan selesaikan. Jika pasangan kita adalah yang memahami dan sedia berkorban, Alhamdulillah. Tapi jika sebaliknya, nampaknya kita terpaksa makan hati berulam jantung sendirian. Atas sebab itu, saya lebih suka jika rakan-rakan saya menumpukan sepenuh perhatian pada pembelajaran mereka. Belajar, kemudian mantapkan ekonomi diri, barulah bernikah. Selesaikan satu per satu dahulu. Insya Allah, kita akan hadapi semua permasalahan dengan lebih bersedia dan matang.

Namun perlu saya tegaskan, tidak bermakna saya lebih suka rakan-rakan saya bernikah selepas habis belajar, saya suka rakan-rakan saya menjalin hubungan cinta ketika belajar. Entahlah, kadang-kadang saya fikir kenapalah kita ni suka sangat cari masalah. Kita suka sangat lupa pada amanah. Adakah kerana keadaan sekeliling yang memperlihatkan kepada kita dunia bercouple itu indah? Dan kita yang hidup dalam budaya itu tidak mahu terlepas dari merasai dunia yang kita sangkakan ia indah? Sedangkan kita belajar bahawa yang indah itu tidak indah bagi agama kita, yang indah itu malah mencacatkan pahala kita dalam menuntut ilmu. Tapi, mungkinkah kerana hati kita ini telah mati…hinggakan kita rasa dunia bercouple itu tidak salah malah menghiburkan dan melenyapkan duka dan lara!Astagfirullah…

Inilah fenomena. Apabila kebanyakan remaja Islam kita kini tidak pernah malu untuk mengatakan: “Saya pun ada pakwe/makwe tau!” agar mereka tidak nampak pelik di mata rakan-rakan mereka. Tapi, bagi saya mereka yang tidak ada kekasih hati itu, tidak pelik, malah mereka sedang berjihad melawan nafsu dan keinginan kerana tidak mahu melanggar perintah Allah s.w.t. Itulah mereka yang menjaga kesucian hati agar tidak terjerumus dalam zina hati.

Kalau saya tak pelah, memang saya ada kekasih pun. Cuma masalahnya, ada orang tak tahu, kekasih saya ni kekasih halal. Hehhe. Bila terserempak dengan saya dimana-mana, amboi…mula lah…nak mengata saya macam-macam..

Saya masih ingat lagi apabila ada seorang akhawat ni, minta maaf dengan saya:
“Kak, saya nak minta maaf. Saya tak tahu akak ni dah nikah. Kami banyak mengumpat akak. Sampai kami kata, nama je pakai tudung labuh, tapi kuar dengan jantan”

mmm….. Maafkan sahajalah..orang dah tak tahu…nak buat macam mana,kan?…

20 November, 2007

"Boleh terima tak?" tanya seorang ustaz kepada saya selepas dia menjelaskan 'sesuatu' kepada saya. Saya tersenyum lalu menganggukkan kepala.Kemudian ustaz tersebut ketawa dan berkata:
"Tengok..saya baru 'ayat' sikit dah le terima!" ish!geramnya saya! Suka betul dia bila saya memberikan persetujuan saya keatas ideologi yang baru dibentangkannya kepada saya. Tapi...biarlah!saya tak mahu mengulas tentang ideologinya dan saya pun sebenarnya tak nak kongsi dengan anda apa yang dibincangkannya dengan saya. Ala...bagi saya perbincangan tadi, adalah luahan hati seorang lelaki yang mengharapkan ada insan yang bernama perempuan memahami apa yang dia inginkan untuk masa hadapan dalam hidupnya. 'Ala kulli hal...semuanya itu rahsia saya dengan ustaz itu ;)

Tapi sejak pulang dari berjumpa dengannya.... rasa sedih secara tiba-tiba menyelinap masuk ke dalam diri saya. Mungkin dia menyentuh tentang keputusan peperiksaan saya. Apabila dia mengutarakan tentang peperiksaan, saya jadi tidak tenteram semula. Saya memikirkan tentang bagaimanakah keputusan peperiksaan yang bakal saya terima semester ini? Tidak tahu..kenapa tiba-tiba saya sesedih ini....
tidak ada insan yang memahami....kerana manusia disekeliling saya tidak mahu memahami
mereka merasakan saya sudah cukup hebat...
kadang-kadang tak tahu nak kata apa...
dan seperti biasa..saya cuma ada satu tempat pengaduan dan pergantungan yang terlalu agung...
diatas sejadah jualah dahi saya mencecah..
memohon kekuatan..
memohon ihsan...
kerana saya selalu sedar apa yang saya miliki adalah milikNya..
apa yang saya nikmati dan kecapi adalah hakNya...
SIAPALAH SAYA TANPA ALLAH S.W.T.

19 November, 2007

Bismillah

Segala puji itu hanya layak untuk Tuhan semesta ‘Alam yang menjadikan setiap hidup manusia itu tidak pernah sunyi daripada ujian dan dugaan. Alhamdulillah, semester 1 tahun 3 telah melabuhkan tirainya. Berakhirnya peperiksaan Etika Moral jam 10.00 pagi tadi, maka berakhirlah juga sesi pembelajaran saya pada sem ini. Semester ini adalah semester penuh dugaan dan semester penuh dengan ujian yang cukup menguji kesabaran saya. Bermula dengan penginapan saya dan rakan-rakan di taman tenaga, (kerana duduk di sana saya menjadi murung dan terlalu letih yang mengakibatkan saya banyak terlena di dalam dewan kuliah dan tutorial), banyak nota-nota saya tergendala, saya belajar last minute, kelas lesen memandu yang sering mengecewakan saya dan berakhir dengan peperiksaan yang saya sendiri sukar untuk jangkakan bagaimanakah keputusannya kelak. Semester ini banyak yang pahit dari yang manis….

Tak mengapalah, saya tidak mahu banyak memikirkan apa yang telah lalu, yang penting kini saya sedang sibuk menyiapkan proposal untuk penulisan ilmiah (penulisan ilmiah adalah penulisan seperti tesis bagi pelajar pra siswazah tahun 3, UKM sebagai syarat untuk memiliki ijazah sarjanamuda). Penulisan ilmiah saya ini lebih banyak menjurus kepada kajian hadith (takhrij al-Hadith), walaupun ianya banyak tertumpu pada kajian hadith tetapi saya juga perlukan banyak pembacaan dan rujukan. Dengan itu saya perlu menyiapkan satu proposal yang terbaik untuk menyokong tajuk saya. (tajuk masih rahsia…hehhe).

Petang ini saya suka untuk menyentuh mengenai satu perkara yang menyedihkan jiwa saya. Sebenarnya kesedihan ini telah saya rasakan pada hari khamis yang lalu. Tetapi memandangkan saya perlu memberikan penumpuan kepada peperiksaan, dengan rasa terpaksa saya ketepikan dahulu rasa tersebut.

Hari khamis yang lalu saya dikejutkan dengan sebuah perkongsian sajak daripada seorang anak murid saya diblog ahlulquranpts. Bila membaca tajuknya sahaja sudah membuatkan saya terkejut kerana tajuk itu amat saya kenali dan saya yakin ia adalah penulisan saya. Saya semakin terkejut apabila meneliti satu persatu bait-bait kata ayatnya kerana ia bukanlah hasil penulisan saya yang asal seratus peratus. Walaupun sajak itu telah lama saya hasilkan tetapi saya masih ingat lagi bait katanya. Untuk memuaskan hati saya, saya memeriksa kembali email-email saya yang lama-lama. Akhirnya pencarian saya berakhir apabila saya menjumpai sebuah email yang bertajuk “Aku sebagai si ‘Alim’. Sah…sudah terang lagi bersuluh…ia sebenarnya milik saya. Apa yang membuatkan saya yakin ia adalah hasil penulisan saya kerana saya menulis kata-kata itu kerana terkesan dengan sikap rakan-rakan saya yang berpengajian agama tetapi seperti orang yang jahil tentang agama. Saya meluahkan rasa kesedihan saya melalui sajak itu dan mengemailkan kepada rakan-rakan saya sebagai kata-kata muhasabah diri di yahoogroups milik saya (al-sagoffiyyat_44, amiraat dan ukhwah_iptqm) sebagai nasihat dan peringatan bersama. Itulah tujuan asal tercetusnya bait-bait kata Aku sebagai si ‘Alim. Atas sebab itu juga saya terkejut bagaiaman anak murid saya boleh mendapatkan kata-kata itu. Setahu saya saya tidak pernah menyampaikan kepadanya.

Tetapi khamis lalu, saya menjumpai kata-kata itu dalam keadaan telah diplagiatkan. saya mengajukan persoalan kepada anak murid saya,’Adilah melalui sms, kata ‘Adilah:

“Dr buku DQ gitu..mcm koleksi2 artikel. Ana tak ubah pape pun ustazah!Betuuuul..ana copy mutlak-mutlak dari artikel tu..mane ana pandai nak tukar2..btw, ustazah buat ke? (sajak tu) Masya Allah!syabas ;) bagus betuii nahhh *winks*”


Dari buku DQ? Maknanya, hasil karya saya telah di terbitkan. Saya bertambah terkejut! Sebenarnya saya tidak kisah seandainya, ada pihak yang berkenan mengambil kata-kata saya sebagai manfaat untuk orang lain. Yang saya kisahkan apabila ia diubah. Kerana bagi saya setiap apa yang saya hasilkan amat istimewa dan setiap apa yang saya luahkan menjadi bentuk sajak sememangnya mengandungi makna tersirat dan cukup berharga, namun apabila ia diubah tanpa kebenaran saya (walaupun perubahan yang sedikit), saya rasa bahawa hak milik saya tidak dihormati (kerana bukan senang dan memikirkan kata-kata untuk meluah rasa..ianya kadangkala memakan masa dan memerlukan hikmah yang tinggi). SAYA TIDAK SUKA!!

Benar, mungkin orang yang mengubah tidak tahu siapa penulis asalnya. Tetapi orang yang mengubah itu perlu menyatakan bahawa penulisan itu adalah penulisan yang telah diubah suai dan perlu menyatakan yang asalnya, perlu menyatakan dari mana sumbernya, perlu menyatakan mana yang diubah, perlu menyatakan atas sebab apa diubah tanpa mengakui bahawa itulah hak ciptanya yang asli. (Hah…kan dah macam nak kaji hadith ni…sebab itu penting mentakhrij hadith agar kita tahu palsu ke tidak..sahih ke tidak) malah dalam penulisan akademik manapun, wajib keatas penulisnya menyatakan sumber dan menyatakan setiap kata-kata itu milik siapa. Semuanya untuk mengelakkan plagiarisme! Agar hak milik orang lain terpelihara, dan orang lain tidak mengambil kesempatan diatas usaha orang lain.

mmmm….penat saya membebel hari ni..heheh…apapun saya maafkan orang itu.Mujurlah yang diubah dan ditambah SEDIKIT SAHAJA. Jadi saya tidaklah marah sangat-sangat heheh. Moga ia memberi manfaat kepada semua yang menghayatinya. Tetapi kalau boleh, saya nak berjumpa dengan orang itu, saya nak beritahu pada dia…bahawa itu adalah hasil karya saya ( ni bukan nak sombong tau tapi Cuma nak mempertahankan hak saya sahaja :)

Akhir sekali, dibawah ini saya sertakan kata-kata ‘Aku sebagai si ‘Alim yang asal dan yang tidak asal:

Bismillah

Aku sebagai si A'lim
tunduk kaku meneliti diri
malu akan hakikat diri
dipandang insan sebagai berisi
tapi diri bagai rumah kosong penuh sepi.

Aku sebagai si A'lim
punya sijil,diploma dan ijazah tinggi
ulumul Islam itulah ilmu diceburi
berhabis waktu dan wang ringgit demi impian suci
tapi sayang, masih buta dalam mempraktik syariah islam itu sendiri.

Aku sebagai si A'lim
walau tahu tapi kadangkala pura2 tidak mengerti
masih samar2 dalam menentukan aurat diri sendiri
masih buta dalam batas pergaulan dgn insan ajnabi
masih memandang sebelahmata
akan hakikat dosa dan pahala.

Ya Allah,
aku sebagai si A'lim (org yang mengetahui)
memohon agar hidayah Mu sentiasa bersama
dalam menunaikan kata2 yang terpatri di dalam solat lima waktu ku
"inna solaati wanusuki wamahyaya wamamati LILLAHIRABBIL A'LAMIN.

Bukti berakalnya seseorang adalah melalui perbuatannya
dan bukti berilmunya seseorang adalah melalui kata-katanya dan penulisannya.. SH
Khamis 11.12.2003

Berikut adalah adalah yang tidak asal:

AKU SEBAGAI SI 'ALIM, TUNDUK KAKU MENELITI DIRI, MALU AKU AKAN HAKIKAT DIRI, DIPANDANG INSAN SEBAGAI BERISI, TAPI DIRI BAGAI RUMAH KOSONG PENUH SEPI...

AKU SEBAGAI SI 'ALIM, PUNYA SIJIL, BAKAL MEMPEROLEHI DIPLOMA DAN IJAZAH TINGGI, ULUMUL ISLAM, ULUMUL QURAN, ITULAH YANG DICEBURI. BERHABIS WAKTU DAN WANG DEMI IMPIAN SUCI. TAPI SAYANG MASIH BUTA DALAM MEMPRAKTIKKAN SYARI'AH ISLAM ITU SENDIRI...

AKU SEBAGAI SI 'ALIM, WALAU MENGERTI, TAPI KADANGKALA PURA-PURA TAK MENGERTI, MASIH SAMAR-SAMAR DALAM MENENTUKAN AURAT DIRI SENDIRI, MASIH BUTA DALAM BATAS PERGAULAN DENGAN INSAN AJNABIY, MASIH MEMANDANG SEBELAH MATA AKAN HAKIKAT DOSA DAN PAHALA...

YA ALLAH!!! AKU SEBAGAI SI 'ALIM(ORANG YANG MENGETAHUI) MEMOHON AGAR HIDAYAHMU SENTIASA BERSAMA DALAM MENUNAIKAN HARTA-HARTA YANG TERPATRI DALAM SOLAT LIMA WAKTUKU...

11 November, 2007

Salam kasih untuk mereka yang menatap ruangan blog ini. Agak lama saya menyepi, lantaran sibuk dengan peperiksaan. Tapi kemunculan saya pada hari ini bukanlah bermakna peperiksaan saya sudah berakhir. Saya masih mempunyai baki 3 kertas lagi untuk diduduki mulai esok. Moga Allah mempermudahkan segalanya untuk saya. Allahumma Amin.

Hari ini saya mencuri masa belajar saya. Tetapi saya rasa tidak kerana Alhamdulillah saya telah selesai mengulangkaji untuk peperiksaan esok. Jadi apa salahnya saya mengambil sedikit masa ini untuk berkongsi rasa yang menyelubungi hati saya.

Entah mengapa, semenjak semalam jiwa saya diasak dengan rindu yang teramat sangat. Saya menjadi benar-benar kerinduan. Kerinduan yang membuatkan saya termenung panjang dan mengalirkan airmata. Saya rindu dengan hafalan al-Quran saya. Saya rindu untuk ‘mencair’kan hafalan al-Quran saya. Segala kenangan di maahad Tahfiz dan Pusat Tahfiz Singapura (PTS) seolah-olah diulang tayang dihadapan mata saya. Jiwa saya penuh dengan kerinduan.

Walaupun masih lagi ber’iadah (mengulang hafazan) tetapi ia tidaklah sehebat dahulu. Terlalu banyak kekurangannya jika hendak dibandingkan pada masa saya masih menuntut di maahad Tahfiz dan mengajar di PTS. Perlukah saya menyesal kerana beralih ke pengkhususan selain tahfiz? Persoalan itu tiba-tiba muncul di fikiran saya. Setelah agak lama saya bermenung saya meyakinkan pada diri saya bahawa saya tidak perlu menyesal, kerana pengkhususan saya sekarang (bidang hadith) banyak mengajar saya apa yang tidak saya ketahui dan banyak mengasah minda saya tentang bagaimana bermuamalah dengan lebih berlapang dada kepada masyarakat. Saya tahu kemunculan saya ditengah-tengah masyarakat bukan sahaja untuk mengajar mereka tentang kepentingan pembacaan al-Quran dan membasmi buta al-Quran dikalangan masyarakat Islam tetapi saya juga perlu mempunyai ilmu-ilmu lain yang boleh membantu mereka menjalani kehidupan berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah.

Minat saya yang mendalam dalam pengkhususan hadith telah memberikan manfaat yang bukan sebarangan nilainya kepada kehidupan saya dan dan saya yakin manfaat itu juga adalah untuk insan lain disekeliling saya. Sesungguhnya Allah tidak mentakdirkan sesuatu itu dengan saja-saja. Semuanya mempunyai hikmah yang berbaur dengan pelbagai rahmat.

Sekurang-kurangnya saya masih mampu berasa lega dan bersyukur kerana saya tidak menolak tepi terus hafazan saya kerana kesibukan-kesibukan yang tidak dapat saya elakkan. Walau apapun yang saya lakukan, saya tetap inginkan al-Quran dihati saya.Saya tetap inginkan al-Quran menemani saya. Saya masih ingat lagi sewaktu saya mengajar di PTS, apabila ada pelajar-pelajar saya yang ingin memohon cuti daripada menghadiri kelas tahfiz dua kali seminggu itu kerana peperiksaan, saya selalu menasihati mereka: “kalau tak dapat datang dua kali dalam seminggu, datang sekali pun tak pelah.Jangan tak datang terus. Saya tidak mahu lidah awak kering dari kalamullah, hati awak kosong dari menyebut kalam Allah. Kerana saya yakin, jika awak tak masuk kelas tahfiz, tentu sukar untuk awak istiqamah membuka al-Quran walau seminggu sekali”.

Ya, saya benar-benar bersyukur kerana Allah masih lagi memberikan nikmat untuk saya terus rindu pada kalamNya. Sehingga membuatkan saya terfikir bagaimanakah jiwa-jiwa yang tidak pernah merindukan al-Quran?Bagaimanakah mereka boleh hidup tanpa membaca al-Quran?

Akhir sekali suka untuk saya tinggalkan ruangan ini dengan satu persoalan untuk kita tanyakan pada diri kita: “bilakah kali terakhir kita berasa rindu dengan al-Quran?”
Jika ada diantara kita yang tidak pernah merasakan rindu itu, saya tidak mahu melabelkannya sebagai hamba Allah yang lupa diri dan tidak berguna (kerana itu terlalu keras). Suka untuk saya nyatakan bahawa BELUM TERLAMBAT. Masih ada waktu untuk menyemai rindu..masih ada masa untuk merasa rindu. Mulakan pada hari ini. Bacalah, tadabburlah (baca dengan memahami dan merenung). Kita akan dapat merasai bahawa siapalah kita tanpa Allah.

Wallahu’alam.

26 October, 2007

Esok awal pagi lagi saya akan bertolak daripada Singapura ke Bangi. Dalam perjalanan nanti, saya sebenarnya ingin sekali berkunjung ke rumah rakan saya di Melaka yang akan melangsungkan perkahwinannya. Tetapi diatas sebab-sebab yang tidak dapat saya elakkan saya terpaksa mengecewakan rakan saya yang amat berharap akan kehadiran saya. Maafkan saya. Bukan kehendak saya. Banyak perkara yang perlu saya siapkan sesampainya saya di Bangi nanti. Saya juga berasa agak terkilan dan sedih. Tetapi apakan daya saya.

Minggu hadapan peperiksaan. Perjuangan saya akan lebih menjadi hebat. Kerana perjungan saya tidak sama seperti perjuangan rakan-rakan saya yang lain. Saya yakin, saya akan menghadapi pelbagai kemungkinan dan saya hanya punya semangat yang tinggi dan kebergantungan saya kepada Allah yang jitu untuk menghadapi semuanya.

‘Amaran’ awal telah saya rasakan. Walaupun ianya sudah berjaya saya hapuskan, tetapi saya tahu…’amaran itu’ tidak akan berhenti disitu. ‘Dia’ tidak akan berputus asa lantaran ‘dia’ TERLALU banyak ‘tentera’ yang juga tidak pernah berputus asa untuk terus ‘memerangi’ saya.

Jika ‘dia’ tidak pernah berputus asa. Saya juga begitu, saya tidak akan berputus asa. Kadang-kadang saya tidak tahu bagaimana nak luahkan..bagaimana nak katakan. Hanya saya yang menghadapi dan hanya saya yang tahu bagaimana rasanya. Saya tidak punya harapan melainkan Allah untuk membantu saya. Saya perlu teruskan perjuangan ini seperti sem-sem yang lepas walaupun LEBIH daripada seribu satu dugaan yang datang silih berganti TANPA HENTI.

Ya Allah…lindungilah diri ini.

24 October, 2007

Hari ini masa saya ‘terbang’ lagi…
mmm…tinggal dua hari sahaja saya akan pulang ke bumi UKM, tetapi saya masih belum bersedia sepenuhnya untuk peperiksaan.
Bukan kehendak saya. Kesihatan saya amat tidak mengizinkan saya untuk duduk setia menelaah kitab-kitab yang saya bawa dari UKM. Tapi belajar, tetap belajar. Saya paksa juga diri saya menelaah Nota dan buku Kajian Perbandingan Kitab Hadith, walau kadangkala terhenti-henti. Apabila saya tidak tahan, saya baring sebentar di atas katil, kemudian saya sambung lagi duduk diatas karpet bilik saya yang berselerak dengan kertas dan buku-buku. Tidak tahan dengan keadaan yang asyik baring dan duduk itu, akhirnya saya membuat keputusan mengalihkan semua bahan-bahan bacaan saya diatas katil queen size saya. Jadinya saya belajar sambil berbaring, tetapi akhirnya saya terlelap hingga jam 5.30 petang tadi!.Ya Allah…saya gagal lagi hari ini. Inilah dugaan saya. Semester ini saya agak slow sedikit dalam mengulangkaji pelajaran saya. Berat sungguh saya rasakan beban ini .

Sambung Belajar

Dalam saya cuba mengalihkan mata saya sekali lagi kepada nota-nota bacaan saya, terlintas dalam pemikiran saya kenapa saya sanggup belajar lagi. BELAJAR. Belajar dilihat sebagai satu perkara yang positif, menjana keilmuan diri manusia dan memperlihatkan betap tingginya keazaman seseorang untuk menghadapinya. Namun, ia juga dilihat sebagai satu perkara berat dan sukar untuk dipikul oleh seseorang. Macam saya pernah katakan pada post yang lalu bahawa peperiksaan cukup menyusahkan hidup saya. Maknanya belajar sebenarnya boleh menyusahkan hidup seseorang. Atas sebab itu, apabila saya mengambil keputusan untuk menyambung lagi pengajian saya setelah agak setahun lebih saya meninggalkannya, ramai yang terkejut. Lebih-lebih lagi pada waktu itu saya sudah berstatus isteri. Perjuangan saya agak cukup mencabar. Saya perlu meninggalkan suami saya yang baru setahun melayari bahtera rumahtangga bersama dan Saya perlu tinggalkan juga mak dan abah saya, yang sebenarnya banyak bergantung harap pada saya. Pahit dan perit. Itulah yang saya rasakan. Tetapi jika saya ikutkan keperitan dan kepahitan itu sampai bila-bila pun saya tidak akan dapat mempertingkatkan diri saya.

Keputusan Peperiksaan Yang Pertama

Saya juga selalu berfikir kenapalah saya perlu menyusahkan diri saya, sedangkan saya sudah boleh hidup dengan senang disisi suami saya, mentelah lagi saya sudah mempunyai pekerjaan yang boleh menjamin keselesaan hidup saya dan keluarga. Bukankah lebih baik jika saya meneruskan kehidupan saya seperti 2 tahun yang lalu?tak perlulah saya berpenat-penat memerah otak dan stress dengan assignment dan exam.
Saya masih ingat lagi saat-saat awal saya menjadi pelajar universiti.Pada mulanya saya agak terkejut bila kembali ke dunia belajar. Saya amat tertekan.
Walaupun pada waktu itu, saya berusaha sedaya upaya saya untuk melakukan yang terbaik, saya tidak pernah mengharap untuk menjadi yang terbaik kerana saya faham bahawa saya mempunyai ramai saingan yang hebat-hebat. Mana mungkin saya mampu bersaing dengan mereka-mereka yang baru sahaja tamat STPM, STAM dan diploma. Ilmu mereka masih panas lagi. Sedangkan saya? Saya sudah terlalu lama meninggalkan ilmu-ilmu saya. Banyak perkara yang saya perlu ‘aktif’kan kembali. Tetapi, keputusan peperiksaan saya pada semester pertama tahun satu agak memeranjatkan saya. Malah bukan saya sahaja tetapi suami saya. Apabila saya mengkhabarkan padanya melalui telefon bahawa saya mendapat 8A 1B, apa yang terpantul di bibirnya adalah

“bedeklah! (bohong, lah!)”

ehheeh…apabila saya mengarahkan dia sendiri yang memeriksa keputusan peperiksaan saya melalui laman web UKM, barulah suami saya percaya.

Sokongan Dan Dorongan

Daripada situ, saya berjaya membuktikan kepada suami saya bahawa saya memang benar-benar ‘boleh belajar lagi’ dan daripada keputusan peperiksaan yang pertama itulah telah menjadikan suami saya menjadi pendorong utama dan pertama sewaktu saya akan menghadapi peperiksaan. Kadang-kadang saya rasa ,saya seperti anak-anak sekolah menengah yang sering diingatkan bahawa saya perlu belajar sebab exam sudah tidak lama lagi!.Setiap kali pulang daripada kerja, suami saya akan bertanya “tadi study tak?”.hehe..itulah suami saya.




Dorongan dan sokongan itu penting sebenarnya. Namun, sebanyak mana kita didorong dan disokong, tetapi kita tidak mahu menjadikan dorongan dan sokongan itu sebagai kunci untuk melangkah lebih jauh pun tidak ada gunanya. Segalanya terpulang pada diri kita. Kalau kita hendak….kita pasti lakukan yang terbaik.kalau kita tak nak…buat macam manapun..tentu tidak akan menjadi.

Tidak ada sesiapa yang boleh membantu kita…melainkan kita sendiri. Kalau boleh kita ingin sekali ada orang yang boleh membantu kita untuk menduduki peperiksaan ,tetapi itu adalah mustahil. Kita jugalah, yang perlu menduduki peperiksaan itu, bukan orang lain. Dengan itu, kita jugalah yang akan membentuk masa hadapan kita bukan orang lain. Orang lain hanya boleh menjadi pendorong dan penyokong kita tetapi untuk merealisasikannya adalah diri kita sendiri.

DIRI KITA adalah pendorong utama kita untuk mencapai kejayaan. Jangan hanya bergantung pada sesuatu yang ‘sederhana’ sahaja atau 'ala kadar' sahaja kerana kita orang melayu jangan melayukan diri kita. Kita perlu tanamkan dalam diri, bahawa kita adalah MELAYU MUSLIM, dan seharusnya melayu muslim perlu lebih cemerlang dari yang lain. Saya teringat kata-kata ketua pustakawan kepada seorang rakan saya yang menerima anugerah pencinta ilmu, katanya:

“Kalau di FPI (Fakukti Pengajian Islam) ada orang cina, saya rasa orang cina jugalah yang akan menerima anugerah ini”

Saya tersenyum lalu melihat senarai nama penerima anugerah. Memang benar, hanya 4 orang sahaja pelajar melayu yang mendapat anugerah tersebut, yang selebihnya adalah pelajar cina.Saya tersenyum lagi lalu berkata pada diri, “saya melayu tetapi tidak melayu kerana saya melayu muslim yang ingin sentiasa menjadikan agama saya sebagai panduan hidup saya”

Ketahuilah seorang muslim itu, perlu menjadi umat nabi Muhammad s.a.w yang berusaha untuk mencapai kejayaan dunia dan akhirat.Tetapi kadangkala sering berlaku, mereka yang hanya mementingkan salah satu diantaranya. Sedangkan keduanya itu berjalan serentak.

Kita ingin berjaya?
Segalanya bermula dengan diri kita..bukan orang lain.

23 October, 2007

Salam kasih penuh ukhwah Islamiah saya hadiahkan buat mereka yang sudi menatap ruang blog ini. Semenjak syawal membuka tirainya, saya tidak berkesempatan untuk menulis sesuatu melainkan meng ‘post’ gambar-gambar yang dipetik ketika berjalan raya bersama keluarga dan rakan-rakan. SIBUK!. Adakah itu perkataan yang sesuai untuk saya gambarkan keadaan saya pada ketika ini? Entahlah..tapi yang pasti saya sentiasa mencari-cari masa dan ruang untuk berehat. Kadangkala saya sendiri pelik…sibuk kah saya? sebab saya belum lagi berkesempatan untuk menyelesaikan tugas mengulangkaji setiap subjek yang bakal saya duduki examnya pada minggu hadapan. Tetapi sekurang-kurangnya saya berasa sedikit lega kerana saya baru sahaja berjaya menyelesaikan assignment yang menghantui fikiran saya semenjak sebelum saya pulang bercuti raya lagi.


Semalaman saya bersengkang mata dihadapan komputer untuk menyelesaikan assignment yang masih terbengkalai itu, tiba-tiba tugasan yang hampir 90% saya taip hilang atas sebab yang saya sendiri tidak pasti dan pada waktu itu jam menunjukkan tepat pukul 3.30 pagi! Saya menangis…hancurnya perasaan saya Allah sahaja yang tahu. Kelitihan saya dari pagi hingga ke malam nampaknya tidak berbaloi! Saya lebih berasa terkilan dan tertekan kerana suami saya lebih menyalahkan saya kerana tidak meng ‘save’ tugasan tersebut sedari awal. Ya..mungkin salah saya. Tapi waktu seperti itu saya tidak mahu orang menyalahkan saya. Saya cuma mahu orang memujuk saya dan memberikan kata-kata semangat kepada saya, bahawa saya masih ada masa untuk menaipnya semula! Apakan daya, suami saya tidak mengerti kehendak saya…dan dia tidak habis-habis menyalahkan saya dan mengingatkan saya! mmm..hehhe, kadangkala tidak guna kita mengharapkan orang untuk memberikan kata-kata semangatkan?daripada mengharap lebih baik kita lakukannya sendiri, betul tak? Itulah yang saya lakukan.Saya menguatkan semangat saya. Akhirnya saya mengelap airmata, menghentikan esakan saya dan terus menghadap komputer kembali untuk menaip semula semuanya. Alhamdulillah…dengan keizinan Allah saya mampu menyelesaikannya.

Sekarang fikiran saya pening pula dengan peperiksaan. Saya selalu berfikir kenapa kita perlu menduduki peperiksaan? Selalunya orang belajar hanya untuk periksa, selepas itu entah hilang ke mana, apa yang dibaca dan dihafal. Saya sendiri tidak berani nak kata sejauhmana peperiksaan mampu menilai diri seseorang itu sebagai bijak pandai. Selalunya pelajar yang dapat A untuk kesemua mata pelajarannya di gelar sebagai hebat. Selalunya juga pelajar yang pandai menghangatkan suasana tutorial dan pandai mengeluarkan maklumat dihujung lidahnya digelar sebagai pelajar pintar. Benarkah semua itu? Mmm…saya tak berani nak komen apa-apa, sebab nanti takut orang kata saya nak angkat diri saya pula.hehe (tetapi saya sering berpendapat yang sebaliknya tau! Tak semestinya orang selalu dapat A itu dia pandai dan tak semestinya orang pandai memutar-mutarkan maklumat itu hebat)

Walau apapun, bagi saya peperiksaan cukup menyusahkan hidup saya. Peperiksaan akan membuat saya tidak tenteram nak lelap mata dan selalu juga buat saya mengalirkan air mata. Macam itu lah saya…semenjak dari sekolah menengah di Madrasah Alsagoff, kemudian di Maahad Tahfiz sehinggalah penghijrahan laluan ilmu saya ke UKM, gaya saya menghadapi peperiksaan tetap sama. Kurang tidur, tak tidur malam, menangis, risau, dan STRESS!!! Bagaimana tak sukanya saya dengan peperiksaan, saya tetap perlu belajar, perlu berusaha dan perlu mendapatkan yang terbaik. Ini kerana saya sendiri sedar siapa saya, saya bukanlah manusia genius yang hanya perlu membelek buku, tetapi saya jenis manusia perlu berusaha untuk mencapai kejayaan. Matlamat saya tetap satu: belajar bukan untuk A tetap belajar untuk ilmu.

Kepada semua rakan-rakan seperjuangan:

SELAGI ADA MASA DAN TENAGA ..SELAGI ITU KITA PERLU BERUSAHA

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN

16 October, 2007

Salam Aidilfitri Saya Ucapkan kepada mereka yang mengenali diri ini.
Semoga kita tergolong di kalangan mereka yang layak untuk menyambut Syawal.
Selamat Hari Raya
Maaf Zahir Dan Batin
Min al-'Aidin wa al-Faizin wa al-Maqbulin

10 October, 2007

Bismillah

Sudah 4 hari aku berada di rumah. Kembali menghirup udara Singapura. Tapi percutian Hari Raya yang sudah ku rancang untuk bergembira, nampaknya tidak menjadi. Aku terpaksa duduk dihadapan komputer, menyiapkan assignment yang diberikan last minute oleh ustaz. Kadang-kadang aku rasa macam nak marah juga. Maklumlah, banyak persiapan raya belum lagi aku siapkan. Lagi 2 hari nak raya…

Aku jadi muram…
Kadang-kadang geram…
Tak tahulah..apa nak jadi dengan assignment itu.
Aku tidak ada ‘perasaan’ dalam menyiapkannya…
Rancangan aku untuk ke Arab Street dan Geylang terpaksa aku tunda. Sepatutnya hari ini.. tapi aku tunda lagi esok…
Hai.. mcm mana ni..assignment itu tetap tak siap lagi?!!
Hari raya tak lama lagi..
Kuih ada lagi tak buat..
Baju ada lagi yang tergendala ni..
Mak dah bising dah…”baju-baju tu..bila kau nak lipat!”
“Kak..bila kau nak buat kuih nie?”
Adui..pening-pening!!
Aku jadi tertekan…dalam masa yang sama otak ligat memikirkan tentang peperiksaan!!
Ya Allah…tak pernah-pernah aku kalut mcm nie sekali.
Kenapalah dengan ustaz ni? Kenapa bagi assignment last minute macam ni?dah lah aku tak suka buat kerja last minute! Aku nak marah pada siapa sekarang ni?
Entah lahh!!!

Fasobrun Jamil….

30 September, 2007

“Kenapa tak nak instructor lelaki?pelik lah saya? nanti awak nak test JPJ pun dengan orang lelaki?”, kata seorang instructor (pangkat pakcik) kepada saya, saat kecoh di pejabat apabila instructor perempuan yang telah saya booked seminggu lebih awal diberikan kepada pelajar memandu yang lain. Saya disuruh belajar memandu dengan instructor lelaki. Saya bengang!

Saya merenung tajam pakcik itu, dan terus berkata:

“Pakcik, kalau sekiranya test JPJ itu boleh beri saya pilihan sama ada saya nak lelaki atau perempuan, saya akan pilih perempuan. sekarang ini saya boleh memilih.saya ada pilihan.”

“Abih..kalau tak de instructor perempuan, mcm mana?”, kata pakcik itu denghan sinis kepada saya.

“Saya tak belajar!”, jawab saya dengan tegas tapi tetap sopan.

“Okay..it’s up to you!”, katanya sambil menjeling kepada saya.

Yes…it’s up to me!! Sombongkah saya?.Bukan…saya bukan berlagak sombong. Saya cuma ingin pertahankan hak saya dan saya juga dengan tegas ingin memberitahu secara indirect kepada pakcik yang sudah separuh abad umurnya itu bahawa saya menegakkan hUkum Allah. Saya tidak kisah..andai orang disekitar saya mengatakan saya mengada-ngada. Hanya orang yang faham akan berpihak kepada saya.

Saya ada pilihan!

Mana mungkin saya membiarkan diri saya berada di dalam satu kereta dengan seorang lelaki yang bukan mahram, yang mana keadaan tersebut boleh membuatkan saya dan dia bersentuhan tangan (faham-faham sahajalah, bila belajar memandu. Lebih-lebih lagi dengan keadaan saya yang masih belum mahir. Tentu saya lebih memerlukan bantuan instructor untuk memegang stereng, walaupun dia memakai sarung tangan!).

Maka saya memilih jalan selamat iaitu belajar dengan instructor perempuan (itu juga yang suami saya inginkan).

Ya…saya memang tegas! Tetapi bukan kerana saya anti-lelaki ataupun mengada-ngada. Menjauhi fitnah lebih baik dan menjauhi perkara yang maksiat juga adalah wajib. Islam telah meletakkan had diantara lelaki dengan perempuan. Maka saya sebagai orang yang belajar agama tetap mempertahankan syariat Islam.

Di dalam banyak perkara wanita muslimah ada pilihan.Berjumpa doctor misalnya: kita perlu mencari seorang doctor muslimah dahulu. Jika benar-benar pasti tidak ada doctor muslimah. Maka baru pilihan dibuka kepada kita.

Entahlah…saya tak tahu nak kata apa lagi…saya kehilangan kata….

Tiba-tiba saya jadi sebak….duduk disebuah Negara yang rakyatnya beragama Islam…tetapi IsLAM SEKADAR NAMA, ISLAM SEKADAR DI DALAM KAD PENGENALAN.

Maafkan saya andai penulisan ini terlalu emosi. Saya benar-benar sensitive, bila hukum Allah diperlekehkan dan bila prinsip saya yang berasaskan hukum Allah dipandang dengan senyuman sinis!!!

22 September, 2007

“Kalau saya nak cari menantu mesti yang pandai baca Quran dan pandai I’rab (nahu) (كلوا واشربوا), mana satu (فاعل)? Kalau tak tahu, jangan harap lah!kalau tak tahu ‘irab tak faham Quran!!!”

Kenyataan ustaz Asmadi di kelas tutorial siang tadi membuat kami tersenyum-senyum. Macam tu lah ustaz, setiap kali tutorial ada sahaja yang nak diceritakan tentang anak-anaknya. Kadang-kadang masa tutorial, perbincangan kami hanya sekitar kisah dan kerenah anak-anaknya. Apa yang dibincangkan tentang subjek Kajian Perbandingan Kitab Hadith itu pun, saya sendiri tidak pasti.

Cuma, yang ingin saya kongsikan disini adalah berkenaan kenyataan ustaz diatas. Bila saya fikir-fikir…kalau sayalah yang menjadi anak perempuan ustaz Asmadi, tak tahulah bila saya boleh menamatkan zaman bujang saya. Bimbang-bimbang lelaki yang nak datang merisik pun, akan berfikir 40 kali sebelum mencuba. Heheh..

Tetapi kenyataan itu juga membuatkan saya teringat pada kata-kata saya sendiri kepada beberapa orang adik yang suka berbual mengenai calon suami. Saya pernah katakan kepada mereka, jika sekiranya anak perempuan saya dilamar seorang lelaki, soalan pertama dan utama yang akan saya kemukakan padanya ialah:

“Sebulan khatam al-Quran berapa kali? Bangun tahajjud setahun berapa kali? Tajwid ok tak? Bagaimana meletakkan diri dalam dakwah fillah? Berikan sebab kenapa perkahwinan itu penting?”

mmmm…terbeliak mata adik-adik yang mendengar soalan-soalan saya. Sambil tersenyum, seorang adik berkata:

“Ish..kalau macam tu, tak de orang nak kat anak akak!”

Heheheh…kami semua ketawa. Sebenarnya yang saya nak nyatakan disini, suami macam mana yang patut jadi pilihan seorang gadis. Saya berpendapat bahawa seorang gadis perlu lebih mementingkan agama daripada rupa dan wang ringgit. Bukankah Rasulullah sendiri telah memberikan panduan kepada umatnya ciri-ciri pasangan yang bagaimana perlu dijadikan pilihan hati?


حدّثنا مُسدَّدٌ حدَّثنا يحيى عن عُبيدِ الله قال: حدثني سعيدُ بن أبي سعيدٍ عن أبيهِ عن أبي هريرةَ رضيَ الله عنه عن النبيِّ صلى الله عليه وسلم قال: «تُنكَحُ المرأة لأَربعٍ: لمالها، وَلِحَسَبِها، وَجَمالِها، ولدِينها، فاظفَر بذاتِ الدِّينِ ترِبَتْ يَداك»*



Maksudnya: Diceritakan kepada kami Musaddad, diceritakan kepada kami Yahya daripada ‘Ubaidillah berkata: Telah menceritakan kepadaku Sa’id bin Abi Sa’id daripada bapanya daripada Abi Hurairah R.A: Daripada nabi S.A.W telah bersabda: Dinikahi seorang wanita itu kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana kemuliaanya (keturunannya), kerana kecantikannnya, dan kerana agamanya, maka berpeganglah yang mempunyai agama……”

Hadith diatas bukan sahaja boleh dijadikan panduan oleh lelaki di dalam mencari pasangan hidup, tetapi juga kepada wanita. Ciri-ciri seperti harta (kekayaan), keturunan dan kecantikan, jika tidak disertai dengan agama, maka akan binasalah segalanya. Harta perlu disertai dengan agama agar ia digunakan dengan sebaiknya. Keturunan tanpa agama akan gersanglah keturunan itu kerana tidak dibajai dengan iman dihati. Begitu juga kecantikan, ia akan pudar tanpa adanya agama kerana kecantikan yang sebenar ialah mereka yang hatinya cantik penuh dengan ketawadhuan dan ketaqwaan kepada Allah. Maka jelas disini dalam semua perkara agama perlulah diletakkan ditempat yang teratas.

Namun begitu pernahkah kita mendengar ungkapan seperti ini?: “Ramai orang soleh tapi tak baik!”

mmm…mcm mana pula tu? (saya mengerutkan dahi)

Ustazah saya pernah berkata begini: “Ramai ustaz yang soleh tapi tak baik. Solehnya ketika mengajar, berhadapan dengan orang ramai, melakukan amal ibadat, tapi tak baiknya sering berlaku dalam keluarga, bagaimana mereka bermu’amalah dengan isteri, anak-anak dan ahli keluarga”

Eh, kalau ada ustaz yang membaca pembaca penulisan saya ini, jangan marah-marah ye?Itu pendapat individu… (Perlu saya nyatakan disini…tidak semua macam itu, betul tak?) tetapi, apabila saya fikir-fikirkan semula ada benarnya kata-kata ustazah saya tadi. Kalau lah solehnya hanya setakat di depan orang tetapi di dalam rumahnya sendiri ia tidak berlaku soleh..maknanya ada masalah. Jadi..adakah kita nak cari suami yang soleh sahaja tetapi tidak baik?Adui!!! Susahlah macam ni? Nak cari suami soleh pun dah susah, ini pula nak cari suami yang soleh dan baik!

Bukankah orang yang beragama itu, insya Allah orang yang soleh..dan bukankah orang yang beragama itu orang yang baik? Kalau begitu, agama jugalah jawapannya! Nak suami soleh dan yang baik juga perlu lihat pada agamanya.

-Ehh..tapi tak juga..ada orang beragama pun masih tidak baik dan tidak soleh…masih ada masalah dengan akhlaknya?!Ada juga orang yang ‘kelihatannya soleh’ suka sangat duduk di majlis ilmu tapi kurang berakhlak. Ada juga yang ‘kelihatannya soleh’ suka duduk kat masjid tapi malas bekerja? Ada juga ‘nampak soleh’, tapi hatinya tak sesoleh apa yang ada pada zahirnya. Senang kata, ada orang nampak baik..tetapi sebenarnya tidak.

Mmm…itu memang betul….saya sukar hendak menafikan!

-Jadi, apa beza orang beragama dengan orang yang tidak beragama? Kalau begitu, buat apa susah-susah saya nak cari orang yang beragama, walaupun kadangkala orang yang beragama sama dengan orang yang kurang agamanya?

Nanti…nanti…hah! Nampak sangat kalau kita fikir macam itu, masih ada yang tak kena dengan kefahaman kita tentang orang beragama.

Atas sebab itulah…pentingnya mencari suami dengan mata hati bukan sahaja dengan mata. Ramai manusia nampak baik di mata tapi sukar ditafsirkan disebalik kebaikan itu. Mata kita boleh menipu, tetapi jika mata hati kita (jika kita dah terapkan dengan iman dan Islam), sukar untuk menipu. Mencari suami perlu berhati-hati (saya tidak mengajar supaya berburuk sangka, tetapi berhati-hati lebih baik dari menyesali. Kita yang akan duduk sebumbung dengan suami, kita yang akan menghadap muka suami hari-hari, kita jugalah yang kena telan pahit manis perangai dan kerenah suami. Jadi, perempuan juga ada hak untuk menanya tentang siapa bakal suami, bagaimana akhlaknya, bagaimana mu’amalahnya dengan rakan-rakan dan ahli keluarganya, bagaimana pegangan AGAMANYA dan perempuan juga ada hak untuk menolak, jika dia mendapat tahu ada yang ‘tak kena’ dengan bakal suaminya)

Pada pandangan saya, orang yang beragama adalah mereka yang takut pada Allah s.w.t, yang indah akhlaknya dengan keluarganya, yang akan berusaha menjauhkan dirinya daripada kemungkaran walau ia sekecil zarah. Jika nak tahu seorang lelaki itu beragama atau tidak, cubalah anda berkata begini padanya:

“Jika benar sayangkan saya…kita keluar dating jam 7 malam kat taman bunga

Itu satu cabaran untuk seorang lelaki. Bukti sayang atau tidak? mmm…jika benar dia datang, itu bermakna dia sudah melakukan 3 kesalahan dalam agama.

1) Keluar dating – jelas dalam Islam, berdating (berjumpa seorang lelaki dan seorang perempuan yang bukan mahram) tidak dibolehkan. Tetapi jika ia ditemani oleh kedua ibu bapa (atau beberapa orang perempuan yang thiqah) atas urusan yang penting, tidak ada masalah.
2) Jam tujuh malam- bukankah dah nak maghrib tu? Mengabaikan satu kewajipan untuk menghadirkan diri pada kemaksiatan?
3) Taman bunga – kalau difikir-fikir..baik ke..tempat itu..lagi pula nak pergi ke situ dengan tujuan berjumpa seorang perempuan yang tidak halal baginya?

Maka, adakah lelaki seperti itu dikatakan lelaki soleh dan baik serta boleh menjadi suami? Anda sendiri boleh buat penilaian..beragama atau tidaknya si dia itu. Ingat akhawat, Lelaki yang soleh dan baik, tidak akan terpedaya dengan pujukan anda, semata-mata kerana anda! Lelaki soleh yang baik, akan berusaha untuk menjauhkan dirinya daripada maksiat dan laranagn Allah s.w.t. Lelaki soleh yang baik juga memilih isterinya dengan mata hati.

Tetapi saya sendiri kadang-kadang berasa pelik, kerana ada wanita yang mengajak lelaki untuk berjumpa dan untuk menjalin hubungan cinta agar dia juga boleh mendabik dada untuk berkata pada orang lain “Aku pun..ada pakwe lahh!!!”.(Adui…ingat-ingatlah wahai wanita bergelar muslimah…tak bererti tidak ada pakwe..anda itu tidak laku. Malah anda sebenarnya lebih mahal dari orang yang ada pakwe) dan ada juga wanita tidak mahu lelaki yang baik, tidak mahu lelaki yang beragama (bimbang tidak bebas. Nak buat itu tidak boleh, nak buat ini pun tak boleh) jadi, asal ada rupa….asal kocek kaya…asal ada cinta…semua itu sudah boleh menobatkan seorang lelaki bertakhta dalam jiwa. Astaghfirullah..dasyat!

Akhir sekali suka untuk saya mengajukan persoalan kepada akhawat: Anda inginkan seorang suami yang membimbing anda ke jalan yang diredhai Allah. Tetapi jika sebelum anda berdua diikatkan dengan tali akad, dia dan anda sudah berani berjalan di titian kemungkaran dan kemaksiatan…mmm…bagaimanakah itu? Beranikah anda memutuskan sebuah perhubungan percintaan (yang sememangnya anda akur sudah berada di dalam kemaksiatan) kerana takutkan Allah s.w.t? Beranikah anda katakan TIDAK pada bercouple dan TIDAK untuk merasa nikmatnya berada di dunia percintaan sebelum perkahwinan?

Akhawat yang saya kasihi, mencari suami soleh? Adakah anda sudah cukup solehah untuk dirisik oleh seorang lelaki soleh (dan baik)?! Saya serahkan kepada anda untuk terus berfikir…dan terus berfikir. Sebelum itu…suami saya pernah berpesan kepada saya, katanya:

Bila kita berfikir..fikirlah dengan iman
Bukan dengan akal


والله أعلم بالصواب

£££££££££££££££££££££££££££££££££££££££££££££££££££££££££££££££££££££

* (H.R al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, Ibn Majah, al-Nasai, al-Darimi, dan Ahmad bin Hanbal daripada Abu Hurairah. Hadith yang sama diriwayatkan oleh al-Tirmizhi daripada Jabir tanpa lafaz (لحسبها) :

حدثنا أَحْمَدُ بنُ مُحَمَّدٍ بنِ مُوسَى. أخبرنا إسْحَاقُ بنُ يُوسُفَ الأزْرَقُ. أخبرنا عَبْدُ الْملكِ عَنْ عَطَاءِ ، عَنْ جَابِرٍ ، عن النبيِّ قالَ: «إنَّ الْمَرْأةَ تُنْكَحُ عَلَى ديِنهَا ومَالِهَا وجَمَالِهَا. فَعَلَيْكَ بِذَاتِ الدِّينِ. تَرِبَتْ يَدَاكَ قال: وفي الْبَابِ عَنْ عَوفِ بنِ مَالِكٍ وعَائِشَةَ وعَبْدِ الله بنِ عَمْرِو وأبي سَعِيدٍ قال أبو عيسى: حديثُ جابرٍ حديثٌ حسنٌ صحيحٌ.

Ada juga hadith yang lain daripada jalur periwayatan yang lain dan lafaz matan yang ditambah dan juga tanpa lafaz (لحسبها)yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal daripada Jabir:

حدثنا عبد الله حدثني أبي ثنا يحيى بن سعيد عن عبد الملك ح و إسحاق بن يوسف الأزرق ثنا عبد الملك عن عطاء عن جابر قال: تزوّجت امرأة على عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال: «يا جابر أتزوّجت؟» قال: قلت نعم قال: «بِكْراً أو ثَيِّباً» قال: قلت: ثيباً قال: «أَلا بِكْراً تُلاعِبُهَا» قال: قلت: يا رسول الله، كن لي أخوات فخشيت أن تدخل بيني وبينهن فقال: «إِنَّ المرْأةَ تُنْكَحُ لِدِينِهَا ومَالِهَا وَجَمالِها، فَعَلَيْكَ بذاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ» .

Begitu juga hadith yang diriwayatkan oleh al-Nasai berikut terdapat penambahan lafaz dan ada lafaz yang sedikit berbeza dengan hadith imam Ahmad bin Hanbal yang sebelumnya dan juga tanpa lafaz (لحسبها):

أَخْبَرَنَا إسْمَاعِيلُ بْنُ مَسْعُودٍ قَالَ: حَدَّثَنَا خالِدٌ عَنْ عَبْدِ الْمَلِكِ عَنْ عَطَاءٍ عَنْ جَابِرٍ ،: أَنَّهُ تَزَوَّجَ امْرَأَةً عَلَى عَهْدِ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَلَقِيَهُ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ: «أَتَزَوَّجْتَ يَا جَابِرُ؟» قَالَ: قلت: نَعَمْ قَالَ: «بِكْرا أَمْ ثَيِّبا؟» قَالَ: قُلْتُ: بَلْ ثَيِّبا قَالَ: «فَهَلاَّ بِكْرا تُلاَعِبُكَ» قَالَ: قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ كُنَّ لِي أَخَوَاتٌ فَخَشِيتُ أَنْ تَدْخُلَ بَيْنِي وَبَيْنَهُنَّ قَالَ: «فَذَاكَ إذا إنَّ الْمَرْأَةُ تُنْكَحُ عَلَى دِينِهَا وَمَالِهَا وَجَمَالِهَا فَعَلَيْكَ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ».

17 September, 2007

Ya Allah..
ampunkanlah aku, Ya Allah
Semakin hebat aku berdoa..semakin hebat aku Kau uji
Aku tidak mampu Ya Allah...
Ampunkan aku
sabarkan aku, Ya Allah.
Ujian Mu...
Dugaan Mu...
amat pedih
hingga membuat aku bertanya-tanya
mengapa?kenapa?untuk apa?
atas sebab apa semuanya terjadi!!!!
ampunkan aku
Jangan Kau jadikan aku hambaMu yang berputus asa
dari terus mencari Rahmat Mu..memohon kasihMu
MEMOHON PERLINDUNGANMU...
Rabbirgh Fir Li....

13 September, 2007

Kumulakan dengan seindah kalam

بسم الله الرحمن الرحيم

Entah mengapa aku ingin bersendirian pada malam ini. Ajakan seorang adik untuk berterawih secara berjamaah pada malam pertama Ramadhan ini kutolak lembut. Aku berkata dalam hati, aku ingin bersendirian. Setelah selesai solat isyak dan terawihku, setelah selesai tugasan tutorial untuk dibentang esok, akhirnya, jari jemari ini bertemankan hati yang tidak seperti hari-hari biasa, mengajak aku untuk meluahkan bicara yang tersimpan kemas di dalam jiwa.

Aku ingin berbicara….
Walaupun hati dan fikiran ini terlalu runsing dengan memikirkan nota dan buku-buku yang perlu diulangkaji, hati ini tetap berdegil untuk berbicara. Kerana apa yang ada didalam hati ini adalah suaraku..apa yang ada pada suaraku selalunya adalah harapanku…harapan yang bukan harapan biasa..tetapi ia tetap harapan yang bagiku cukup istimewa. Mengapa aku katakan ia sebagai harapan?kerana harapan seringkali mempunyai dua kemungkinan. Samada ia boleh menjadikan kenyataan ataupun ia boleh menjadi harapan tinggal harapan…

Hatiku menangis….jam 7 malam. Mengingatkan aku pada fenomena aku masih lagi anak-anak ingusan, anak-anak yang tidak kenal erti apa itu ibadah dan kewajipan, anak-anak yang masih lagi inginkan hiburan sebagai teman. Pada zaman itu, jam 7 selalunya tanyangan Doraemon di RTM 1 (Tidak silap aku pada setiap hari sabtu). Rancangan kartun popular kegemaran kanak-kanak…siapa yang tidak kenal pada Doraemon. Walaupun aku turut menonton kartun tersebut,emak selalu mengingatkan : “Maghrib..maghrib!” Abah pula selalu ingatkan: “dah nak maghrib” Aku tidak mnegerti waktu itu, yang aku tahu mak dan abah ingatkan, jangan lupa solat maghrib kerana menonton cerita kartun yang tidak ada faedah itu. Tetapi, semakin aku membesar sebagai anak gadis yang berpendidikan madrasah, aku semakin mengerti. Rupanya arahan itu, adalah arahan agar aku ihtiram pada waktu maghrib, bersedia dengan wudu’ di sejadah, mengaji al-Quran dan bersedia untuk menghadapa Tuhan. Itu bukan satu yang ada nasnya, tetapi itu adalah didikan mak dan abah agar kami adik beradik tahu menghormati waktu maghrib. (Mengapa maghrib itu amat dititik beratkan oleh emak dan abah, aku tidak pasti. Mungkin bagi mereka itu adalah waktu peralihan dari petang ke malam, waktu yang semua perlu duduk dalam rumah bersama keluarga.Atau macam orang tua-tua kata: waktu setan suka berkeliaran)

Tapi …7 malam disini, buat hatiku benar-benar terguris….buat hatiku dihujani gerimis…suara tawa berdekah-dekah kedengaran…suara jeritan bergurau senda menghilangkan keheningan….suara televisyen dari DRAMA terasa seperti berada dihujung telingaku walau aku berada di tingkat dua!!! Apa yang membuatkan aku lebih…lebih…ingin menangis..malam ini adalah malam 1 ramadhan bulan penuh keberkatan dan keampunan. Beginikah caranya anak-anak Islam menghormati maghrib…beginikah caranya anak-anak Islam menghayati Ramadhan?

Suasana..jam 7 malam itulah yang mengingatkan aku pada rumah, pada zaman kanak-kanak, pada zaman di sekolah menengah dan pada zaman tarbiyah di Maahad Tahfiz Melaka. Paling berkesan dijiwa ku ialah pentarbiyahan di maahad Tahfiz. Hingga kan ada seorang adik berkata padaku: “Kalau ingat apa-apa, mesti ingat maahad. Tak de tempat lain ke? Sekolah menengah ke?”

Aku ulangi sekali lagi..maahad paling berkesan! Disitu, hati dilentur untuk menjadi manusia yang menangis kerana Tuhan, hati lembut untuk berlumba-lumba melaksanakan kebaikan, ada ta’lim dan tazkirah..ada solat berjamaah. Disitulah, bila hamper masuk maghrib, ramai yang mandi di bilik air, ramai yang bergegas untuk bersiap-siap solat maghrib. Bila maghrib tiba…ada laungan dari akhawat yang sudah bersiap-siap dengan telekong..memanggil kami.. “solat jamaah..solat jamaah”, “mana imamah ni?” jika sekiranya aku yang menjadi imam “eh..banat cepatlah…imamah dah tunggu ni!” Kelihatan…ada yang bergegas ke surau..ada yang jerit…”tunggu…nak amik wudhu’” ada pula yang senyum-senyum masih membuat pertimbangan nak jemaah ke tidak.

Aku rindu suasana itu. Rindu pada malam Qiyamullail kami. Rindu untuk mendengar tangisan dan esakan yang menangis kerana berdo’a kepada Allah. Rindu pada do’a-doa akhawat yang mampu memecahkan tembok keegoan kami hingga mengalirkan air mata yang amat deras bagai tiada henti…rindu pada rintihan do’a-doa yang mampu menggegarkan jiwa! Do’a-doa yang mampu menginsafkan diri betapa kami adalah manusia kerdil yang seringkali tidak mengenang budi! Rindu…

Akhirnya aku mengalirkan air mata jua. Saat aku menaip ini airmataku mengalir…harapanku untuk mengubat rindu ini, entah bila…

Sukar untuk kudapatkan bi’ah itu disini. Aku tidak mahu memandang yang jauh-jauh…jika sikap sebahagian pelajar pengajian Islam sendiri sudah mampu membuat aku gusar hati dan menangis hiba…apatah lagi yang bukan pelajar pengajian islam…

Sering aku berkata dalam diri, jika yang berpengajian islam sendiri tidak mahu mengubah diri yang masih lemah dalam pembacan al-Quran secara bertajwid…bagaimana nak sebarkan Islam…
Atas tujuan apa kita melabelkan diri kita sebagai pelajar PENGAJIAN ISLAM? Mungkin ramai yang menjawab "sebab saya tidak ada pilihan…".
Jika begitulah…sampai bila-bila pun anak-anak Islam masih hanyut dengan hiburan
Sampai bila-bila pun, anak-anak islam akan meremehkan agama dan suruhan tuhan

Kerana kita salah satu diantaranya..

Kerana kita yang tahu hukum..turut sama memegang bendera cinta pada mungkar…jauh pada ma’ruf…

Kita tidak suka pada amalan-amalan sunat, kita jauhkan hati untuk mendengar tazkirah dan menempatkan diri dalam majlis ilmu, kita malas nak rebut pahala…
Kita lebih suka yang relax-relax, yang happy-happy….

Benarlah…kita berada diakhir zaman….zaman penuh fitnah….zaman penuh kemungkaran…

Ya Allah..kuatkanlah aku...

Luahan rasa di 1 Ramadhan 1428H

10 September, 2007

Aku terlalu rindu
Jiwa ku penuh dengan sendu
Menahan sakit rindu yang tidak tertahan
Ingin kucurah namun hajat tak kesampaian

Setiap hari rindu ini kusulam
menjadi bunga kasih di dalam jambangan
tersimpan rapi …bila ingin kusentuh, kukata “jangan”
kerana rindu itu adalah rindu terlarang

Sahabat
dayuskah aku menyimpan rindu?
Pengecutkah aku memendam rasa?
Jangan hadiahkan senyuman sinis mu
Jangan berikan pandangan hina mu
Kerana aku takut pada Tuhanku
Kerana aku takut mendekatkan zina pada diriku
Kerana aku gengam bara syariat hingga bertukar menjadi abu

Hidupkah lagi rindu di hati mereka yang berpacaran?
Masih adakah lagi rindu pada mereka yang sudah puas dengan kemaksiatan?
Indahkah lagi rindu bagi mereka, yang tidak peduli halal haram?
Maka disitu wujudkah cinta yang katanya ingin mencari redha tuhan?
Jauhkan aku dari semua itu wahai tuhanku,
Kuatkan aku yang berada di persekitaran hamba-hamba-Mu yang dahagakan cinta terlarang itu
Biar rinduku terlerai disaat yang haram menjadi halal
Biar rinduku terluah disaat ikatan perkahwinan sudah bersimpul mati

Hiaskan sabar pada rinduku, ya Allah
Indahkan ia dengan ketaqwaan, ya Allah
Moga rindu itu hidup dihati ini
Rindu itu hidup kerana-Mu
Agar bila disatukan,
aku berada di dalam rahmat dan keredhaan-Mu
Agar bila ditakdirkan tiada ikatan,
Aku redha dengan ketentuan-Mu

Ya Allah,
Engkaulah yang mengetahui rindu itu hidup di hati ini
pada hamba-Mu yang sentiasa merindui-Mu.

(Adakah KITA merindui-Nya?? Tepuk dada tanya iman )

Zaujah Yazid
K8U 202 Ungku Omar, UKM
21 Mac 2007.

09 September, 2007

Monolog

Tiba-tiba pagi tadi aku merasakan sesuatu yang sudah agak lama juga tidak hadir. Aku tersentak!Aku memejamkan mata, dan cuba melihat apa yang ada di skrin computer PTSL, laman web Gemilang tetap dihadapan mataku, Cuma..aku agak tidak selesa secara tiba-tiba. Dalam hati berkata: “Kau datang lagi rupanya. Kau nak musnahkan aku lagi?”

Aku bangun dari meja computer, terus menuju ke rak-rak buku. BP166! Aku terkejut..kerana bahan mengenai’nya’ terlalu banyak..banyak sekali.Baik dalam bahasa Melayu mahupun bahasa Arab dan Inggeris. Di saat tanganku hebat mencapai, buku-buku yang aku cari, saat itu jantungku berdegup kencang, aku rasa seperti nak pitam, kepalaku sakit bukan kepalang! Aku pejamkan mata lagi, lalu berkata dalam hati: “Aku tak kan berganjak!Kau tak mampu halang aku!Aku tak peduli siapapun Kau. Aku ada Allah!”

Aku teruskan pencarianku, sehingga aku berkenan dengan tiga buah buku yang bertajuk:
1) الدواء القرآني للجن والمس الشيطاني
2) عبادة الشيطان في البيان القرآني والتاريخ الإنساني
3) Sihir Penghalang Perkahwinan

Aku membawa buku-buku tersebut ke kaunter pinjaman dan kini ada bersamaku.Cuma..bila masanya yang hendak dibelek buku-buku itu. Tapi hendak atau tidak, aku perlu buka untuk buat penilaian.

Beranikah aku untuk meneruskan dengan tajuk-tajuk yang berkaitan dengan mistik?Aku tidak serikkah?Bukankah pengalaman semasa semester dua tahun satu yang lalu sudah cukup untuk aku jadikan I’tibar?Aku terlalu berani untuk mengulangi lagi? Kali ini aku akan hadapinya sendirian, jika dulu kami bersepuluh. Tapi kini aku hanya sendiri! Tapi apa bezanya dulu dan kini. Dulu pun,aku juga yang sendirian berlawan dengan’nya’. Tidak ada siapa yang tahu dan dapat menolong.

Aku pejamkan mata lagi lalu bermonolog sendirian:

“Seksalah aku semahumu…aku tidak akan peduli!Semakin kuat kau lakukan..maka semakin kuat aku akan melangkah dan semakin kuat juga aku berada dalam dakwah. Kau takkan berjaya!Kerana Tuhanku maha kuasa!”

Monolog ini ditulis pada 8 September,jam 6.00 petang.

Masih merenung hari-hari yang kian lama kian menguji keimanan. Mencari sebuah nokhtah diatas setiap kesukaran yang mengelilingi kehidupan. Namun, ia tiada perhentian…terus berlaku dan terus menyinggah tanpa ada sedikit pun ruang untuk membiarkan diri menghembus nafas lega!Pendek kata inilah yang dinamakan NEVERENDING STORY yang sebenarnya….

SIHIR dan GANGGUAN JIN dan SYAITAN adalah satu hakikat yang tidak dapat dinafikan. Ianya berlaku setiap hari sepertimana berlakunya kelahiran dan kematian. Kesayuan dan simpati yang bersarang didalam hati ini semestinya belum dapat membantu mereka-mereka yang menderita disihir dan diganggu. Penyakit ini tak mampu dilihat dengan mata kasar dan sukar untuk di terangkan bagaimanakah ia. HANYA MEREKA YANG SAKIT DAN MEMAHAMI, MENGERTI BETAPA DERITANYA MEREKA YANG TERKENA SIHIR DAN GANGGUAN!!!.

Ini adalah realiti bukan satu omongan kosong yang perlu dipandang dengan sebelah mata. Kadang-kadang penulis menjadi hairan..kenapa dan mengapa semua ini perlu terjadi? Mengapa mereka yang tidak bersalah perlu menjadi mangsa? Sehinggakan penulis menjadi manusia paling sensitif apabila mengenangkan anak-anak Islam yang sedang dan ingin berjuang dalam menegakkan kalamullah adalah antara mereka yang paling hebat mendapat ‘tentangan’ dari makhluk halus ini!!!(walaupun ada yang lagi hebat lagi) Musuh ketat yang tidak dapat dikesan apalagi dilihat dengan mata kasar.

Akhirnya penulis akur..bukankah itu janji iblis kepada Allah s.w.t…janji iblis yang angkuh…untuk menyesatkan anak-anak Adam.(al-Isra’:61-65),(al-Zumar:73-88).
Tapi perlukah kita kalah dengan tentangan mereka? JAWAPANNYA PASTI TIDAK! Memang sukar…sukar..

Keadaan ini juga membuatkan penulis sedar bahawa mengapa ayat-ayat sihir kerap kali penulis baca dan hafal di dalam al-Quran. Benarlah, tidak Allah jadikan sesuatu itu dengan saja-saja dan tidak Allah juga memperingatkan hamba-Nya dengan sesuatu perkara juga dengan saja-saja.

Pada asalnya penulis juga bukanlah orang yang mengerti tentang semua ini, tetapi Alhamdulillah, berbekalkan sedikit ilmu dan pengalaman, akhirnya penulis menjadi diantara mereka yang ‘arif tentang sihir dan gangguan. Bila penulis amati, penulis berpendapat bahawa setiap muslim itu perlu tahu ttg ruqyah, perlu tahu tentang sihir dan gangguan., lebih-lebih lagi apabila orang itu adalah mereka-mereka yang tinggi ilmu agamanya (tentulah mereka ini adalah golongan asatizah, dan bakal asatizah, ataupun mereka-mereka yang sedang mendalami ilmu agama).

Mengapa penulis katakan demikian? Lihatlah disekeliling anda, jika sekiranya berlaku kerasukan (hysteria), apa yang akan orang lakukan?.Mungkin ada yang lari kerana takut. Ada pula yang panik – “nak buat apa.ye?!”, mungkin juga ada yang masih stay utk membantu, tetapi dgn cara yang salah (selalunya menggunakan kaedah khurafat yang diwarisi dari orang lama-lama, seperti meletakkan bawang putih dan sebagainya, ataupun mereka membaca ayat al-quran tetapi tidak kena dgn cara dan method rawatannya), dan bila ditanya pada ustaz atau ustazah, kebanyakannya akan berkata “ooo..maaflah,saya tak pandai sangat dalam hal-hal mcm ni…”.Akhirnya ustaz atau ustazah sendiri terkapai-kapai mencari jalan untuk membantu.

Sayang sekali, seharusnya ustaz dan ustazah inilah yang sepatutnya menunjukkan jalan yang sebetulnya pada mereka-mereka yang di dalam keadaan terdesak ini. Akhirnya, kerana terlalu kebuntuan, mereka akan berjumpa dengan bomoh untuk mendapatkan bantuan.

Maka disinilah penulis melihat peri pentingnya, asatizah dan mereka-mereka yang berilmu agama memainkan peranannya di dalam membantu masyarakat Islam kita daripada terus terjerumus di dalam kesyirikan kerana kejahilan mereka. Seandainya jika kita bukanlah seorang perawat sekalipun, tetapi sekurang-kurangnya kita tahu apa yang perlu dilakukan tatkala tersepit di dalam keadaan sedemikian. Jangan sangka, dunia moden kini semua itu tidak berlaku. Tidak ada yang mengarutnya tentang reality dunia mistik…jangan terkejut seandainya telefon bimbit anda diganggu oleh makhluk mistik…kerana tak bererti jika anda canggih,,,mereka kolot..sebenarnya..mereka juga canggih seperti kita….